Estodania- Helah Syaitan

SELAMAT DATANG KE ESTODANIA. Kota manusia dan jin hidup bersama. Sebelum kita teruskan kembara, bacalah snippet penulis ni. Tak panjang.

Sedikit info tentang Estodania ini, di dalamnya saya muatkan beberapa kisah yang ada dalam Al-Quran.. dan catatan kisah nabi-nabi yang lain. Sedikit juga daripada kisah dongeng dan mitos rakyat. Sedikit lagi daripada kisah sejarah yang ada. Kadang-kadang, sumber saya akan kongsi di ruangan page saya. Jadi, berkemungkinan fakta sedikit tersasar. Kalau ada pembaca yang perasan kesilapan saya lakukan, jangan segan-segan tegur di ruang komen. After all, Estodania ini sekadar fiksyen acah-acah epik, acah-acah thriller.

Ini adalah Bahagian 6 Estodania. Bahagian 5 saya tidak siarkan di sini kerana saya rasa kisah yang ada dalam Bahagian 5 kurang menepati tema Fiksyen Shasha. Minta maaf ye. Bahagian 5 saya hanya siarkan di page saya. Boleh baca di sana. Terima kasih sudi baca kisah fiksyen saya ini. Haha. Jom sambung melancong.

.

ESTODANIA (BAHAGIAN 6)

.

Disember 2014, Selatan Kepulauan Karimata.

.

MEREKA tiba di kenderaan terbang yang ditinggalkan jauh dari belantara Selatan Karimata saat mentari mula tenggelam diufuk barat langit. Berbalam-balam kedengaran laungan azan Maghrib oleh muazzin masjid berdekatan. Mereka memilih untuk singgah sebentar untuk melaksanakan kewajipan sebagai muslim di situ. Sedikit berbeza dengan Estodania, bilangan jemaah kurang ramai yang memenuhi saf masjid.

Kenderaan terbang mereka bebatkan di sebelah masjid. Mata-mata penduduk di permukiman itu terintai-intai kehadiran mereka. Tatkala menyedari gerangan yang datang, tidak kurang yang menampilkan diri menunjukkan hormat. Sultan Aminuddin hanya melayan mereka secepat yang boleh kerana masih banyak lagi urusan yang perlu dilakukan.

Kenderaan yang menjadi medium pengangkutan mereka menyeberang Laut Cina Selatan itu mengambil rekaan helikopter biasa yang pernah mereka gunakan sebelum ini. Tetapi, kenderaan seakan-akan helikopter ini tidak memiliki kipas besar di bahagian atas, hanya dipasangkan dua kipas senyap di bahagian bawah untuk mengapungkannya. Kemudi di bahagian belakang dan sayap berwarna kelabu dipasang di kiri dan kanan untuk membelah angin. Manakala, enjinnya pula menggunakan janaan kuasa elektrik untuk terbang. Oleh sebab kenderaan ini bukan kenderaan perang, hanya sistem komunikasi dan radar navigasi sahaja yang dipasang pada sistemnya.

“Hubungi Iltizam. Kita perlu maklumkan kepadanya perubahan hala kita,” titah Sultan Aminuddin kepada Pangeran Badar sebaik sahaja mereka memasuki perut kenderaan tersebut.

Belum sempat Pangeran Badar menekan butang komunikasi, tiba-tiba punat kecemasan yang berada di sebelah butang komunikasi itu mengeluarkan bunyi penggera seiring dengan lampu biru berkelip-kelip. Mereka saling berpandangan. Bunyi penggera itu adalah isyarat kecemasan daripada mukim yang berhampiran. Lampu biru itu pula ada kod warna daripada sahabat mereka di dalam laut.

“Esramudra!” ujar Pangeran Badar. Serta-merta rasa risau menjalar ke seluruh dadanya. Tanpa berkata apa-apa, segera Sultan Aminuddin menghidupkan enjin lalu dipecutkan kenderaan tersebut ke arah timur Karimata. Terbang laju menuju Esramudra. Maka berterbanganlah dedaunan yang berada di bawah mereka kerana ditiup angin kipas kenderaan itu.

“Hubungi Iltizam! Pantas Badar! Pantas!,” titah Sultan Aminuddin semula. Nadanya suaranya ditinggikan sedikit. Tangan-tangannya galak mengerak-gerakkan kemudi kenderaan terbang tersebut. Segera Pangeran Badar menekan butang komunikasi dan mereka menunggu sehingga deringan panggilan itu bersahut.

“Tak berjawab, tuanku,” ujar Pangeran Badar. Wajah Sultan Aminuddin semakin kelat. Saat-saat genting seperti ini, sepatutnya sahabat manusianya itu peka dengan setiap panggilan yang masuk.

“Hubungi NASA! Arahkan dia pindahkan Iltizam ke Karimata!” ujar Sultan Aminuddin pula. Kenderaan mereka masih menderu laju, membelah keheningan senja Karimata.

“Tapi tuanku, bagaimana kalau dia sedang solat?” tanya Pangeran Badar, sedikit menentang keputusan rajanya itu.

“Solat apanya? Maghrib Esramudra sudah lama berlalu!” tingkah Sultan Aminuddin.

“Isyak?” tingkah Pangeran Badar lagi.

“Saya kata panggil, panggil je lah! Nak bangkang apa lagi?! Nak jadi Azazil?!” bentak Sultan Aminuddin. Kali ini nada suaranya sangat tinggi. Dia hilang pertimbangan apabila memikirkan kecemasan Esramudra. Firasatnya kuat mengatakan kecemasan itu ada kaitan dengan Mandalika.

“Baik, tuanku,” ujar Pangeran Badar, akhirnya akur. Segera ditekan butang-butang kecil berwarna putih di hadapannya. Ada tiga butang semuanya. Dimulakan dengan butang di sebelah kiri, kemudian butang kanan ditekan sebanyak dua kali, lalu butang tengah. Lalu, ketiga-tiga butang putih itu berkelip dua kali. Kemudian terdengarlah suara mesin cerdas bergema dalam kenderaan itu.

“Assalamualaikum, Sultan Aminuddin. Ada keperluan apa NASA dipanggil?” ujar NASA.

“Wa alaikumussalam. Pindahkan Iltizam ke sini! Segera!!” ujar Sultan Aminuddin.

“Baik, tuanku. Jangan lupa selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. untuk meredakan kemarahan,” ujar NASA sebelum suaranya menghilang.

Pangeran Badar terkidum mendengar ujaran NASA itu. Teguran pedas daripada mesin ciptaan mereka untuk sang raja. Sultan Aminuddin juga sedikit terpempan mendengar teguran mesin cerdas itu.

‘Allahumma Salli ‘ala Sayyidina Muhammadin wa Aalihi Wasallim’

Selawat itu diulang tiga kali di dalam hati. Sultan Aminuddin memandang Pangeran Badar dari hujung matanya. Pangeran jin itu sedang menutup bibirnya menggunakan tangan kanannya. Sultan Aminuddin turut tersenyum.

.

.

Disember 2014, Estodania.

.

PERMAISURI Isabella melangkah masuk ke dalam kamar peraduannya. Langkah terhenti apabila terpandang suaminya sedang kusyuk melafazkan puji-pujian kepada Allah. Mata suaminya dipejamkan. Butir-butir tasbih dimainkan di jari suaminya. Permaisuri Isabella melangkah dengan berhati-hati kerana tidak mahu mengganggu kekusyukan suaminya. Perlahan-lahan dia melangkah ke atas katil lalu mencapai telefon putih yang terbiar di atas tilam. Telefon yang berbentuk segi empat tepat itu boleh diubah bentuk menjadi  gelang tangan.

“Aminuddin?” getus hatinya tatkala melihat rekod panggilan terlepas yang dipaparkan di skrin telefon tersebut. Dia bercadang hendak menghubungi Sultan Aminuddin semula untuk mengetahui tujuan panggilan tersebut dilakukan.

Belum sempat dia menekan butang panggilan, cahaya putih mula menerangi kamar itu. Cahaya putih terang-benderang itu mengelilingi suaminya yang sedang duduk bersila di atas sejadah. Perlahan-lahan cahaya putih itu mengecil kemudian ghaib bersama suaminya.

“Maaf mengganggu Permaisuri. Sultan Aminuddin meminta jasad Sultan Iltizam dipindahkan ke Karimata dengan segera. Sepertinya, ada kecemasan yang berlaku. Nada Sultan Aminuddin kedengaran cemas,” tiba-tiba suara NASA memenuhi ruang kamar, seperti dipasangkan pada pembesar suara yang besar di syiling kamar.

“Tidak mengapa NASA. Beta faham. Terima kasih maklumkan beta,” balas Permaisuri Isabella. Dia menarik sedikit nafas lega apabila mengetahui ke mana tubuh suaminya ghaib.

Teknologi pindah jasad itu hanya boleh digunakan oleh golongan-golongan pemimpin di Nusantara itu. Teknologi itu hanya akan digunakan sekiranya berlaku keperluan yang terlalu mendesak. Permaisuri Isabella yang memahami rasionalisasi tindakan Sultan Aminuddin itu hanya mampu menarik nafas berat. Doa dipohonkan di dalam hati kepada Allah agar tidak ada perkara buruk yang menimpa Sultan Aminuddin dan Pangeran Badar sehingga terpaksa menggunakan cara itu.

“Nampak gayanya, hanya aku dan Farihah sahaja yang akan ke gerbang Estodania,” gumam hati kecilnya. Hatinya semakin kecut apabila memikirkan permasalahan yang berlaku hampir pada masa yang sama. Kemunculan semula Mandalika sepertinya memang akan mencetuskan musibah yang besar sehingga ketiga-tiga mereka terpaksa berpisah untuk mencari jalan keluar masalah tersebut.

Permaisuri Isabella menuruni katil. Langkahnya diatur ke kamar Farihah. Dia ingin mengajak fuqaha itu ke gerbang Estodania lebih awal memandangkan hanya mereka berdua sahaja yang akan pergi. Dengan menggunakan kenderaan Estodania, mereka pasti akan tiba semula ke istana Estodania sebelum azan Isyak berkumandang.

Derapan kakinya terhenti tatkala tiba di hadapan pintu kamar Farihah. Suara gelak tawa kedengaran dari kamar Farihah. Gelak tawa yang berbaur kejahatan, tidak selari dengan keperibadian sopan yang ditunjukkan oleh Farihah. Permaisuri Isabella segera mengeluarkan ibu kunci yang diletakkan di bawah lengan kanannya. Tanpa memberi salam, dia membuka tombol pintu kamar tersebut. Dia memilih tindakan itu kerana syak wasangkanya terhadap Farihah muncul kembali.

“Tuanku Permaisuri?” ujar Farihah sebaik sahaja wajah Permaisuri Isabella tersembul di muka pintu. Dia agak hairan melihat kehadiran permaisuri itu yang muncul secara tiba-tiba.

“Kamu berbual dengan siapa?” tanya Permaisuri Isabella. Kakinya dilangkah masuk lalu menghampiri Farihah yang sedang duduk di hadapan cermin meja. Rambut fuqaha itu terlihat panjang tidak terikat.

“Tidak ada siapa-siapa. Patik hanya seorang diri di sini,” jawab Farihah. Rambut panjangnya diikat lalu dikejapkan menggunakan sanggul perang berbentuk daun.

“Tadi beta mendengar kamu sedang tertawa dengan kuat. Ada apa?” tanya Permaisuri Isabella. Matanya tertumpu kepada kotak hitam yang terletak di hadapan Farihah. Di dalam kotak itu ada sekuntum bunga seperti mawar yang berwarna putih. Ada benih merah yang tergantung di tangkai bunga tersebut.

“Oh, itu! Patik sedang berbual dengan suami patik. Melalui telefon?!” ujar Farihah. Tangannya digerakkan menutup kotak hitam di hadapannya. Kemudian dia menyarungkan tudung labuhnya yang berwarna biru.

“Ada apa tuanku Permaisuri datang singgah ke kamar patik? Apakah waktu berangkat sudah tiba?” tanya Farihah. Tersenyum-senyum.

“Ya. Kita akan bertolak sekarang,” jawab Permaisuri Isabella. Dia memandang tepat ke arah Farihah yang sedang tersenyum-senyum itu. Dia dapat merasakan Farihah sedang menyembunyikan sesuatu.

“Bukankah Baginda Sultan Iltizam bertitah seusai Isyak?” tanya Farihah. Dia bangun dari kerusi lalu mencapai purdahnya yang diletakkan di kaki katil.

“Sultan Iltizam tidak turut serta. Dia terpaksa bergegas ke Karimata. Jadi hanya kita berdua yang akan menjemput suami kamu,” beritahu Permaisuri Isabella. Khabar itu memberi kegembiraan kepada Farihah. Senyumannya semakin lebar di balik purdah. Nampaknya, perancangannya akan berjalan dengan lancar malam ini. Dia mengira, dia akan menanti lebih lama untuk melaksanakan arahan ketiga Pandora Bentara.

“Baiklah kalau begitu. Patik menurut perintah,” ujar Farihah. Dia mendekati Permaisuri Isabella lalu memegang kedua tangan permaisuri itu.

“Kamu sihat Farihah? Kamu kelihatan berbeza sedikit,” tanya Permaisuri Isabella. Dia agak terkejut apabila Farihah memegang kedua tangannya. Terasa agak sejuk.

“Patik cuma bahagia, tuanku. Terima kasih kepada tuanku berdua kerana sudi menerima kehadiran suami patik di istana ini. Selama ini, kami terpaksa tinggal berjauhan kerana Imam Syahriyan tidak merestui hubungan kami,” ujar Farihah. Genggaman tangannya dieratkan.

Permaisuri Isabella tersenyum mendengar ujaran Farihah. Sepertinya dia memahami perasaan bahagia Farihah saat itu. Sebagai perempuan, dia juga pernah merasai kemanisan cinta seperti itu. Cuma, tindakan Farihah yang merahsiakan perkahwinan mereka daripada pengetahuan Imam Syahriyan kurang berkenan di hatinya.

“Kalau begitu, marilah kita segera menjemput suami kamu. Beta tidak sabar bertemu dengannya,” ajak Permaisuri Isabella. Pegangan tangan Farihah dileraikan.

Farihah menurut. Dia sempat mencapai kotak hitam di atas meja. Kemudian mereka jalan beriringan meninggalkan kamar. Berjalan menuju ke bahagian selatan istana. Di sana, kenderaan ciptaan Estodania sedang menanti mereka. Dua orang Juruterbang Diraja Estodania akan menjadi kemudi mereka menjemput suami Farihah.

“Kamu sudah memaklumkan Imam Syahriyan tentang suami kamu?” tanya Permaisuri Isabella.

“Patik cuma memaklumkan adik patik, Ayyan. Kelak dia akan menyampaikannya kepada Imam Syahriyan,” jawab Farihah.

Mereka tiba di bahagian selatan istana. Kemudian, kedua-duanya menaiki lif berbentuk silinder yang diperbuat daripada kaca. Permaisuri Isabella menekan butang bernombor 73, iaitu lokasi kenderaan-kenderaan diraja diletakkan.

“Kotak apa yang kamu bawa itu?” tanya Permaisuri Isabella lagi. Syak wasangkanya masih bersisa.

“Oh, kotak ini! Hadiah daripada suami patik, tuanku,” jawab Farihah lagi.

“Nama suami kamu siapa, Farihah?” tanya Permaisuri Isabella lagi. Belum sempat Farihah menjawab, pintu lif terbuka. Dua orang lelaki muda yang lebih kurang sebaya dengan Farihah sedang menyambut mereka dengan senyuman. Salam dan sembah diberikan kepada Permaisuri Isabella.

“Semua sudah sedia, Kamarul?” tanya Permaisuri Isabella.

“Sudah, tuanku,” jawab Kamarul, pendek. Juruterbang Estodania daripada bangsa manusia.

“Kalau begitu kita bertolak sekarang,” titah Permaisuri Isabella. Ketiga-tiga manusia itu menurut perintah permaisuri mereka. Kenderaan terbang Estodania yang berwarna perak belang kelabu itu terbang meninggalkan menara selatan Estodania. Menuju ke arah Gerbang Estodania. Tinggallah istana kerajaan gah itu tanpa pengawasan sebarang pemimpin tertinggi. Hanya mesin cerdas, NASA yang ditugaskan menjaga istana itu jika ketiga-tiga amirul Estodania meninggalkan istana.

.

.

Disember 2014, Selatan Kepulauan Karimata.

.

SULTAN Iltizam muncul di bahagian belakang mereka. Terkejut raja manusia itu apabila jasadnya dipindahkan sedemikian tanpa rela. Tergesa-gesa raja itu memeriksa anggota badannya. Risau kalau-kalau ada bahagian yang terkurang. Hanya tasbih yang terputus. Manik-manik mutiara tasbih itu terlantun-lantun di lantai. Segera dia memukul bahu kiri Sultan  Aminuddin.

“Mengapa kamu pindahkan aku tanpa sebarang petanda?!” ujarnya. Sultan Aminuddin tergelak melihat ulah kalut sahabat manusianya itu.

“Siapa suruh panggilan aku kamu tidak jawab. Esramudra ada musibah. Mereka menghantar isyarat kecemasan,” beritahu Sultan Aminuddin.

“Kamu tidak boleh selesaikan sendiri? Aku sedang cuba menyelesaikan misteri Farihah sebentar lagi, tahu tak?” ujar Sultan Iltizam. Dia menyandarkan dirinya ke kerusi. Kesal dan risau akan isterinya di Estodania. Dia tidak sempat meninggalkan sebarang pesan kepada isterinya.

“Maaf mengganggu kamu sahabat. Aku selajur ingin menyampaikan khabar baharu. Tentang Mandalika,” ujar Sultan Aminuddin. Matanya masih dihalakan ke hadapan. Kenderaan mereka dihentikan di atas Pulau Belawai. Kemudian kenderaan terbang itu didaratkan di atas laut berdekatan pinggir pantai.

“Aku perlu ke Kepulauan Gili. Nenda Cilinaya enggan berkongsi kisah anaknya itu,” sambung Sultan Aminuddin. Jarinya menekan-nekan beberapa punat di bahagian kanannya. Kemudian, bahagian kipas bawah kenderaan itu berganti dengan sirip perahu.

Permukaan laut di hadapan mereka berubah riak. Membentuk pusaran air dan kemudiannya membentuk lubang yang melohong masuk ke dalam laut. Sultan Aminuddin menolak kemudi ke hadapan, lalu kenderaan itu meluncur laju masuk ke dalam lohong pusaran air itu.

Sultan Iltizam meleparkan pandangan ke luar. Beberapa ekor ikan sedang berenang-renang di sebelah kenderaan mereka. Namun dia tidak sempat menangkap rupa ikan tersebut kerana kenderaan mereka sedang memecut dengan laju. Mereka melintasi beberapa batuan laut dan kemudiannya tersembam jauh ke dalam pasir. Beberapa lama kemudian, mereka melintasi seekor ikan Pemancing yang sangat besar. Di hujung mulut ikan itu, sebiji bebola cahaya sedang tergantung. Mereka menuju ke arah bebola cahaya tersebut.

Kenderaan mereka memasuki gelung-gelung cahaya yang berwarna jingga. Terpusing-pusing mereka mengikuti alur gegelung tersebut. Sultan Iltizam sedikit pening tatkala melalui gegelung itu. Walaupun sudah banyak kali mengunjungi mukim bawah laut itu, dia masih belum terbiasa apabila melalui gegelung jingga yang melingkar-lingkar itu.

Kenderaan mereka muncul di atas satu permukiman bawah laut yang berwarna-warni. Namun, kemeriahan warna-warni itu tercalar apabila mereka melihat penduduk-penduduk permukiman itu sedang duduk berteleku mengelilingi jasad seorang lelaki tua yang berjubah putih. Ada janggut panjang yang menghiasi dagunya, Jasad lelaki itu terapung-apung tidak menyentuh lantai bumi. Mereka mendaratkan kenderaan tidak jauh dari kerumuman makhluk-makhluk berkaki ikan itu. Semua mata memandang mereka.

Seekor duyung lelaki berwarna kelabu mendekati mereka. Tangannya sedang memegang pedang berwarna ungu. Lelaki itu diiringi oleh seekor duyung kecil yang berwarna biru. Bahagian kepalanya ada segi tiga berwarna kuning. Beberapa pucuk rumpai laut tumbuh di puncak segi tiga kuning itu.

“Apa yang berlaku, Delustar?” tanya Sultan Iltizam sebaik sahaja mereka keluar dari kenderaan mereka.

“Sultan Naziman telah mangkat, tuanku,” beritahu Delustar. Suaranya tertahan-tahan kerana menahan tangisan. Pangeran Badar segera memegang bahu Delustar. Pandangannya dihalakan kepada jasad lelaki tua yang sedang terapung di tengah-tengah kerumunan jemaah yang sedang membaca talqin.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Bagaimana ini boleh berlaku, Ammar?” tanya Sultan Aminuddin pula. Dia memandang duyung kelabu yang berada di hadapannya.

“Usai Maghrib tadi, Esramudra diserang sesuatu. Entah apa. Kami tidak sempat melihatnya kerana lampu Pemancing terpadam. Sultan Naziman pergi menjelmakan diri ke luar perbatasan untuk melihat apa yang berlaku. Belum sempat kami menyusulnya, tubuh sultan tercampak kembali ke dalam Esramudra. Tidak bernyawa. Hanya bahagian dada berlubang terluka. Sepertinya ditusuk duri gergasi,” terang duyung kelabu yang bernama Ammar Hillman itu. Hati Sultan Aminuddin berasa ralat mendengar khabar duka itu. Rasa bersalah menyelinap masuk ke dalam hatinya kerana kelewatan mereka tiba di permukiman Esramudra.

“Siapa yang menyerang Esramudra?” tanya Sultan Iltizam pula.

“Maaf tuanku, patik tidak berjaya melihatnya. Seluruh Esramudra bergelap. Kami diserang curi,” jawab Ammar Hillman.

“Tampaknya seperti ular yang besar. Delustar hanya sempat melihat ekornya saat istana bersinar jingga,” Delustar mencela dalam tangisan.

“Mandalika!” ujar Sultan Aminuddin, marah. Penumbuk kanannya digenggam kuat.

“Sollu’ alan nabi, sahabat. Jangan terbawa amarahmu. Kelak mendatangkan bahana,” nasihat Sultan Iltizam. Dada kiri sahabatnya itu diusap-usap.

“Andai sahaja tadi kita sampai lebih awal, pasti ini Naziman masih hidup,” rungut Sultan Aminuddin, kesal.

“Ajal maut itu urusan Allah. Mungkin sahaja Malaikat Izrail sudah lama memerhatikannya. Cuma menanti Naziman usai mengimamkan jemaah,” ujar Sultan Iltizam, masih mencuba untuk menenangkan sahabat jinnya itu. Sultan Aminuddin melagukan istighfar di dalam hati. Cuba memujuk hatinya agar redha dengan takdir Allah yang tidak terduga itu.

“Lalu siapa yang akan menjadi Amir Esramudra sekarang, tuanku?” tanya Ammar Hillman. Dadanya didabik ke belakang. Pedang diletakkan di belakangnya.

Sultan Aminuddin dan Sultan Iltizam saling berpandangan. Mereka hampir terlupa, kematian Sultan Naziman itu menandakan Esramudra akan kehilangan amir. Kematian yang mendadak seperti itu sudah pasti Sultan Naziman tidak sempat mencari warisnya. Mereka terdiam seketika. Masing-masing memerah akal cuba membuat keputusan.

“Bagaimana kalau kita tugaskan Badar untuk memangku tugas amir Esramudra sehingga kita menemukan siapa yang layak?” cadang Sultan Iltizam kepada Sultan Aminuddin. Pangeran Badar terkejut mendengarnya.

“Tuanku, patik tidak layak lagi tuanku,” ujar Pangeran Badar. Dia merasakan dirikan masih kerdil untuk menjadi pemimpin di Esramudra itu. Walaupun dia berasal dari permukiman itu, tetapi dia merasakan dirinya belum layak menjadi Amir Esramudra kerana dia sudah lama meninggalkan mukim bawah laut itu.

“Bukan untuk selamanya, Badar. Kamu hanya memangku. Kami perlu memilih dalam kalangan penjaga pintu Esramudra siapa yang layak. Tidak elok jika kita melantik tergesa sebegini. Lagi pula, Almarhum Naziman masih basah,” pujuk Sultan Iltizam. Tangan kirinya diletakkan di bahu Pangeran Badar.

“Setuju sahajalah Pangeran. Lagi pula, Pangeran bukannya asing di mukim ini,” sokong Ammar Hillman. Dadanya masih ditegakkan.

Pangeran Badar agak termangu mendengar titah mengejut rajanya itu. Hajatnya, dia hanya mengiringi Sultan Aminuddin ke Karimata. Dia tidak pernah menyangka kelaknya dia akan tinggal di Esramudra. Padahal tugasnya di Estodania masih belum selesai.

“Lalu siapa yang akan menguruskan latihan kadet baharu ketenteraan kelak?” ujar Pangeran Badar. Sengaja memberi alasan.

“Tidak mengapa Badar. Kamu tidak perlu risau dengan latihan kadet itu. Kelak saya akan meminta pangeran tentera darat mengetuainya,” ujar Sultan Aminuddin. Dia juga menyokong keputusan Sultan Iltizam itu. Sungguh ada hikmah dia membawa Sultan Iltizam ke Esramudra kerana sahabat manusianya itu sentiasa bijak membuat keputusan. Tidak seperti dirinya yang agak terburu-buru.

Pangeran Badar menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia tidak ada helah lain lagi untuk mengelak. Keputusan raja-rajanya sudah bulat untuk melantiknya sebagai pemangku Amir Esramudra. Antara redha atau tidak, dia tidak ada pilihan lain selain akur. Dia yakin, kedua-dua raja itu sudah menimbang tara keputusan mereka walaupun Estodania semakin dihimpit ancaman.

“Baiklah,” jawab Pangeran Badar, akhirnya.

.

.

Disember 2014, Estodania.

.

“FARIHAH, beta ingin bertanyakan sesuatu lagi,” ujar Permaisuri Isabella. Dia memandang Farihah yang duduk di sebelah kanannya. Juruterbang mereka, Kamarul dan Syaiful sedang tekun mengemudi kenderaan mereka. Saat itu mereka sedang melintasi bangunan-bangunan kaca pencakar langit Estodania.

“Apa dia, tuanku? Ujarkanlah,” jawab Farihah. Dia membalas pandangan Permaisuri Isabella. Kotak Pandora Bentara yang berwarna hitam dipegang kejap. Diletakkan atas pahanya.

“Bunga apa dalam kotak itu?  Beta seperti mengenalinya,” tanya Permaisuri Isabella. Persoalan yang terbungkam di sanubarinya sejak melihat bunga itu akhirnya disuarakan. Farihah tersenyum mendengar soalan Permaisuri Isabella itu.

“Mawar putih, tuanku. Mengapa?” jawab Farihah.

“Itu bukan bunga mawar! Beta kenal bagaimana rupa bunga mawar!” tingkah Permaisuri Isabella.

“Kalau bukan bunga mawar, bunga apa tuanku?” ujar Farihah seraya membuka kotak pandora hitamnya. Dia mengeluarkan bunga putih yang ada dalam kotak itu lalu memberikannya kepada Permaisuri Isabella. Permaisuri itu mengambilnya.

“Suami patik berkata, ini mawar putih,” sambung Farihah lagi. Matanya tidak lepas memandang Permaisuri Isabella yang mula kusyuk memerhatikan bunga putih itu.

“Dari mana suami kamu dapat bunga ini?” tanya Permaisuri Isabella. Dia membelek-belek buah yang bergantung di tangkai bunga itu.

“Hati-hati, tuanku. Duri bunga itu tajam. Agak berbisa,” pesan Farihah.

“Patik tidak pernah bertanya kepadanya dari mana asalnya bunga ini. Sekadar menerima sahaja. Ujarnya, ini tanda cinta kami berdua,” jawab Farihah. Ada nada bahagia pada ujarannya.

“Bunga ini macam bunga Gharqad,” ujar Permaisuri Isabella. Dia masih tekun memerhatikan setiap inci bunga putih itu.

Pada saat itu, mereka hampir tiba di gerbang Estodania. Tatkala mereka melintasi jejantas tinggi yang menghubungkan dua bangunan kaca Estodania, Kamarul menyendengkan kenderaan mereka agar dapat menyelit masuk di celah-celah bangunan yang agak sempit.

“Aduh!” ujar Permaisuri Isabella. Ibu jari kirinya tertusuk jarum bunga putih kerana dia tidak sempat mengimbangkan diri ketika kenderaan mereka menyendeng. D***h merah mengalir dari hujung jarinya.

“Benar, tuanku. Itu bunga Gharqad,” ujar Farihah. Dia telah menanggalkan purdahnya lalu menunjukkan parut kesan lecur di pipi kiranya. Selama ini, dia menyembunyikan parut itu disebalik kulit mulut Farihah.

Nilakendra yang muncul dalam tubuh Farihah itu tersenyum puas. Tidak menyangka sama sekali perancangan terlalu mudah untuk dilaksana. Manusia-manusia Estodania itu terlalu mudah diperdayakan. Selama ini, dia menyangka bahawa ilmu tauhid amirul-amirul Estodania itu terlalu hebat. Rupa-rupanya mereka hanya berselindung di sebalik lingkaran sakti yang diwujudkan oleh Aminuddin dan penjaga Tanah Emas. Terlalu berbangga dengan teknologi. Kemunculan semula Mandalika memang berhasil mengugah kawalan amirul-amirul Estodania itu. Aturan Bentara Lukhas memang berkesan.

“Farihah? Apa erti semua ini?” ujar Permaisuri Isabella, lemah. Badannya terasa lemah. Kepalanya terasa pening. Seluruh pandangannya terlihat berpusing-pusing. Ada biasa terasa menjalar dari ibu jari kirinya sehingga ke kepala. Perlahan-lahan, akhirnya permaisuri manusia itu pengsan tanpa disedari oleh kedua-dua juruterbang mereka. Farihah tersenyum jahat lalu memakai purdahnya semula.

“Kamarul! Patah balik ke istana cepat. Permaisuri pengsan!” jerit Farihah. Sengaja mewujudkan situasi cemas sehingga kedua-dua juruterbang itu turut berasa cemas. Tanpa mendarat, kemudi kenderaan terbang itu dipesongkan kembali menghala ke arah Istana Estodania. Farihah tersenyum puas.

‘Benarlah, sakti Bentara Lukhas itu lagi ampuh berbanding canggihnya Estodania,’ getus hatinya. Nilakendra tertawa puas disebalik hijab jasad Farihah yang disarungkannya.


Bersambung pula.

Kelak kita teruskan kembara.

Terima kasih sudi baca.

Jemput singgah di page saya.

#Estodania #epikthiller #fiksyensahaja #share jika bermanfaat.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Lawat laman facebook penulis: https://www.facebook.com/estodania.page/

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]
dhaifullahazzayyani

8 thoughts on “Estodania- Helah Syaitan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.