Felda Lurah Bilut

Assalamualaikum para pembaca FS dan admin. Terlebih dahulu terima kasih kepada Tuan Admin yang menyiarkan cerita saya. Cerita saya ini diinspirasikan sepenuhnya dari kisah benar yang dialami oleh arwah abah saya pada tahun 1986, tahun saya dilahirkan. Mohon jasa baik para pembaca FS yang beragama Islam untuk mendoakan kesejahteraan ke atas roh arwah abah yang pulang ke Rahmatullah pada tahun 2007.

____________________________________________________________________________________________

1986. Felda Lurah Bilut.

Arwah abah aku ni dulu seorang pendakwah bebas dan juga aktivis politik dikenali ramai yang sering kali mengembara ke Felda-Felda dan ke setiap ceruk kampung hampir di seluruh negeri semenanjung tanah air untuk menyampaikan ceramah agama dan syarahan politik beliau. Dari masjid di Pasir Gudang, Johor sampai lah ke nun masjid di Padang Besar, Perlis. Hampir semua tempat beliau pernah sampai. Semuanya menaiki kereta, ditemani sahabat sahabat seperjuangannya.

Semangatnya tidak pernah luntur walaupun perjalanan karier politik dan secara tidak langsung – hidupnya sering bergelut dengan pelbagai dugaan dan halangan dalam sepak terajang dunia politik yang extreme ketika itu. Namun di sebalik dugaan dan halangan dari manusia yang zahir di mata, terdapat juga pengalaman-pengalaman misteri dan seram yang pernah menguji kecekalan dan keberanian beliau. Salah satu kisah ini berlaku ketika petang senja ketika beliau dalam perjalanan menuju ke Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang kira-kira 95 km dari Kuala Lumpur, lebih 39 tahun yang lalu.

Petang itu di kaki langit mulai berwarna jingga kemerahan di ufuk barat, menandakan hampir tibanya waktu senja. Hanya suara enjin kereta Datsun 1970 yang menderum memecah keheningan meluncuri jalan raya yang semakin sunyi. Arwah abah ketika itu berusia awal 40-an dengan raut wajah yang tenang memegang kemas stereng dengan kedua-dua tangan. Matanya fokus ke hadapan, dahi berkerut sedikit seolah-olah memikirkan sesuatu yang belum selesai.

Duduk di sebelahnya, Pakcik Mail, teman sekampung sejak remaja lagi, dia lebih peramah, ceria dan santai orangnya. Mulutnya tidak pernah diam, ada saja cerita atau jenaka yang terbit untuk menceriakan suasana.

“Mail,” kata Abah, tanpa menoleh.

“Jalan ni makin sempit. Betul ka kita tak salah simpang?”

Pakcik Mail menoleh keluar tingkap, lalu tersenyum.

“Betullah, Ustaz. Ana ingat lagi jalan ni. Dulu masa ana hantar baja, ana lalu sini dengan lori tiga tan. Tapi masa tu… siang. Sekarang ni, lain macam sikit.”

Abah hanya mengangguk perlahan, matanya kekal di hadapan. Kereta mula memasuki simpang kecil yang menuju ke kawasan Felda Lurah Bilut. Jalan yang dilalui semakin gelap dek dilitupi pokok-pokok tinggi yang membentuk seperti kanopi semula jadi. Daun-daun bergetar lembut ditiup angin senja.

Selekoh tajam demi selekoh tajam mula menguji pemanduan. Kereta Datsun itu menderam kuat setiap kali gear diturunkan. Abah menggenggam stereng lebih kuat saat tayar depan menyentuh bahu jalan yang sempit.

“Fuhh… macam main roller coaster, Ustaz. Nasib baik tak bawak mak ana tadi. Silap hari bulan dia baca surah Yasin sepanjang jalan,” seloroh Pakcik Mail sambil ketawa kecil.

Abah tidak menyambut jenaka itu. Matanya menjeling Pakcik Mail sekejap. Wajahnya masih serius. Peluh mula membasahi belakang baju Pagodanya. Jubah putih dan serbannya di gantung rapi di pemegang tangan tempat duduk belakang. Sekali sekala terbuai buai.

“Selekoh lepas ni… kalau tak silap ana, pernah ada orang m**i eksiden. Lori balak. Brek tak makan masa hujan. Tayar lori tergelincir, masuk gaung. Jumpa mayat drebar 2 hari lepas tu,” ujar Abah tiba-tiba sambil tersenyum.

Pakcik Mail terdiam sejenak. Ketawanya m**i serta-merta.

“Eh, Ustaz ni… tiba-tiba cerita benda-benda macam tu. Tak usahlah. Tengah senja pulak tu,” balas Pakcik Mail sambil matanya meliar memerhati kawasan sekeliling.

Abah tidak membalas tetapi dia menguntum senyuman nakal.

Kereta perlahan-lahan mendekati selekoh yang dimaksudkan. Lampu kereta menyuluh pepohon cempaka putih yang menghiasi sepanjang sisi kiri kanan jalan di hadapan. Bunganya kelihatan putih bersih, seolah-olah bercahaya sendiri dalam cahaya malap senja.

“Pokok bunga cempaka…” kata Pakcik Mail perlahan.

“Ustaz tahu tak, Ustaz… mak ana selalu pesan. Kalau nampak pokok cempaka waktu senja, jangan tegur. Jangan ambil bunga. Itu rumah Pontianak,”

“Tapi anta pergi tegur kenapa, Mail?” soal Abah dengan nada sedikit tidak selesa.

“Ana takda niat tegur. Err… Ana terlepas cakap, Ustaz!” balasnya perlahan, serba salah.

Abah tidak membalas. Tapi dia menjeling ke arah satu pohon cempaka yang paling besar di hujung selekoh, dahan-dahannya seolah menjulur ke tengah jalan, menunduk seperti menghulurkan tangan untuk berjabat salam.

“Ana pernah dengar cerita,” sambung Pak Mail, suaranya lebih perlahan.

“Dulu masa mula-mula Felda buka kawasan ni, ada budak perempuan hilang lepas maghrib. Dia nak kutip bunga cempaka, konon nak buat minyak wangi. Tak balik-balik sampai sekarang. Orang kampung kata, malam-malam ada bunyi budak ketawa bawah pokok. Bila disuluh, takde siapa. Tapi bau bunga tu… makin kuat.” Ujar Pakcik Mail panjang lebar.

Abah hanya membatukan diri. Dia sebenarnya cuba mengawal amarahnya. Dia merasakan Pakcik Mail tidak perlu menyambung ceritanya tentang pokok bunga cempaka itu lagi memandangkan mereka sedang melalui kawasan itu sekarang.

Abah menekan brek perlahan, kereta mula mengambil selekoh tajam yang curam dan sempit. Jantung Pakcik Mail berdegup laju, tangannya spontan berpegang pada dashboard.

“Kalau kereta rosak kat sini, memang tidur sinilah kita malam ni,Ustaz!” gumam Pakcik Mail.

Abah tiba-tiba mengelak satu lubang kecil di jalan dengan cekap.

“Kalau anta nak tidur sini, anta tidur seorang. Ana tak nak. Selagi ana bawa, Insha Allah kita tak berhenti kat sini. Jalan ni bukan tempat untuk orang biasa berhenti,” gurau Abah dalam nada tegas.

Pakcik Mail menelan air liur. Hidungnya kembang kempis. Degup jantungnya deras. Tiba tiba bulu romanya meremang kuat. Telinganya berdengung. Bunyi cengkerik dan unggas mula kedengaran, berselang-seli dengan hembusan angin menggemersek daun seperti membawa suara berbisik.

Saat mereka melintasi kawasan pohon cempaka yang besar itu, serta merta bau bunga kuat menyapa hidung mereka. Bau itu bukan sahaja menusuk hidung, malah seolah-olah memenuhi setiap sudut ruang dalam kenderaan mereka.

“Ini anta punya pasal lah Mail, pergi tegur kenapa?!!!” marah Abah dalam hati. Mahu saja dia menyekeh kepala kawan baiknya itu!

Abah yang sedang memandu sesekali memandang Pakcik Mail di sebelah. Dahinya berkerut dan keningnya hampir bertaut. Pakcik Mail juga memandang Abah sekilas sebelum matanya kembali setia pada jalan raya. Kelihatan seolah olah dia tidak senang dengan bau cempaka tersebut. Namun Abah kekal tenang walaupun ada sesuatu dalam diamnya yang menggetarkan hati.

Pakcik Mail bersandar semula. Dia cuba menenangkan diri. Tapi matanya masih terpaku ke belakang melalui cermin sisi, ke arah pohon cempaka besar yang makin menjauh.

Sekilas, dia ternampak sesuatu seperti kain putih tersangkut dan bergoyang perlahan di dahan.

Tapi bila dia kelipkan mata, tiada apa-apa pun kelihatan.

“Ustaz… Ana rasa tak sedap hati,” bisik Pakcik Mail.

Abah lekas memandang ke sekeliling, namun yang menarik perhatiannya bukan sahaja bau cempaka itu, malah ada sesuatu yang lain di luar kereta menarik perhatiannya;

Nun kejauhan di hadapan sana, Abah terlihat dengan samar-samar ada sehelai kain putih yang seakan akan tergantung di dahan salah satu pokok besar yang tinggi. Dari jauh, kelihatan kain itu terbuai-buai perlahan-lahan seolah-olah menari ditiup angin. Abah memandangnya dengan penuh rasa ingin tahu. Serta merta dia merasakan bulu romanya meremang.

Tiba tiba Pakcik Mail di sebelah mula bersuara dan memecahkan keheningan yang hampir menghimpit.

“Ustaz…” suaranya ringkas tetapi lirih, penuh dengan kebimbangan yang disorokkan.

Abah mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan lahan. Dia faham.

Kemudian kereta mereka meluncur laju di bawah naungan rimbunan dahanan pokok-pokok tinggi menghampiri lokasi kain putih tersebut tergantung. Selekoh tajam yang sempit dengan gaung yang dalam menanti mereka di hadapan.

Tiba-tiba ada sesuatu yang tidak dijangka berlaku!

Tanpa sebarang amaran, kain putih yang sebelumnya terlihat tergantung di dahan itu tiba-tiba melayang-layang perlahan jatuh. Kain itu mendarat dengan tepat di atas cermin hadapan kereta, menutupi hampir keseluruhan pandangan depan.

Abah terkejut tetapi dengan tenang kakinya menekan lembut pedal brek untuk memperlahankan sedikit kelajuan keretanya. Risau jikalau keretanya membuang ke tepi lalu terbabas menuju ke gaung dalam berhampiran. Setelah kelajuan kereta dapat dikurangkan dengan serendah yang mungkin, tangan abah ligat menurunkan tingkap kereta sepenuhnya lalu dengan pantas menjengukkan kepalanya keluar untuk melihat jalan. Dia tetap memegang stereng dengan kemas. Cuba untuk tidak memperdulikan tentang pemanduannya yang sangat terganggu ketika ini.

Pakcik Mail juga segera menurunkan tingkap kereta dan menghulurkan tangannya untuk mencabut kain tersebut. Namun, setiap kali tangan Pakcik Mail cuba meraih, kain putih itu seolah-olah mengelak. Ia beralun, berpusing, seakan-akan mempunyai nyawa sendiri. Kain itu terus menerus mengelak dan berpusing, membuatkan kedua-dua mereka terpaku. Pada saat itulah, Abah mula tersedar bahawa mereka sedang mengalami sesuatu yang jauh lebih aneh daripada sekadar sehelai kain lapik yang tersesat.

Kemudian, tidak semena mena hidung mereka berdua ditusuk bau yang amat busuk. Persis bau bangkai yang sangat meloyakan. Lantas mereka cepat cepat menutup hidung mereka menggunakan tangan. Mereka berdua hampir termuntah.

“Allahuakbar, Ustazzzz!!!” jerit Pakcik Mail sengau akibat hidungnya ditutup.

“Kita kena sakat ni, Mail,” ujar Abah dengan ringkas dan nada rendah, hampir berbisik sambil lehernya dipanjang-panjangkan menjenguk ke luar tingkap kereta, memerhatikan keadaan sekitar sambil memandu.

Dalam kekalutan yang mencengkam itu, tiba-tiba sesuatu berlaku pada cermin hadapan kereta! Kain putih yang terbuai buai dan meliuk liuk itu mula berubah. Dari balik kain putih yang menutupi cermin, perlahan-lahan, seperti bayang-bayang yang tidak jelas, kelihatan membentuk kepala manusia. Awalnya, ia hanya sebuah bayangan samar, namun dalam beberapa saat bayangan itu semakin jelas sehingga kelihatan seperti kepala seorang wanita berambut sangat panjang yang tersembul.

Rambut panjangnya mula menggerbang, terbang bertebaran seakan-akan mengikuti irama angin senja. Wajahnya pucat kehijauan, dengan mata yang sangat terbeliak dan hanya berwarna putih sepenuhnya. Mulutnya yang tersenyum lebar menunjukkan gigi-gigi yang tajam dan kuning. Dari celah bibirnya, d***h pekat meleleh. Suara tawa yang mengerikan pun mula bergema, seakan-akan menertawakan segala usaha Abah dan Pakcik Mail untuk mengusir kehadirannya.

PONTIANAK!

Pontianak yang muncul itu seolah-olah semakin jelas. Kepala itu kini telah benar-benar melekap di hadapan kain putih, dengan rambut panjang yang berkibar-kibar. Ngilai tawanya semakin kuat dan jelas menembusi keheningan senja di dalam hutan belukar Lurah Bilut itu.

Suasana di dalam kereta semakin tegang. Bunyi ngilai tawa pontianak bergema di seluruh ruang. Dengan suara yang tersekat-sekat dan penuh kekuatan, Pakcik Mail mula melafazkan azan.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar… Ashhadu al la ilaha illallah…” suaranya bergetar sedikit mahu menangis.

Suara azan yang dilantunkan itu semakin lantang sehingga selesai, bergema di sepanjang lorong hutan yang sunyi. Namun, pontianak itu tidak kelihatan ingin menghilang dengan mudah. Malah, dia terus mendakap cermin hadapan kereta, seolah-olah tidak mahu bergerak ke mana pun. Kepala pontianak itu diliuk-liukkan dengan kelakar namun menyeramkan, sambil tawa sinisnya masih terus bergema.

Abah masih kekal tenang memandu sambil bibirnya bergerak, membaca ayat-ayat Ruqyah dengan lantang.

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, aku perintahkan kau berhenti mengganggu kami!!!” suara Abah lantang dan tegas, penuh keyakinan.

Kemudian, Abah mula membaca ayat-ayat dari Surah Yasin. Seliang seli bibirnya terus melafazkan zikir, “La ilaha illallah… La hawla wa la quwwata illa billah…”

Kemudian, Abah bertempik melafazkan Ayat Kursi dengan penuh kusyuk.

“Allahu la ilaha illa huwal hayyul qayyum!” Suara Abah memenuhi ruang kereta, menggema.

Mulut Abah tidak pernah berhenti melafazkan zikir,

“Hasbunallahu wa ni’mal wakil…”
Dan, pontianak itu masih degil mengganggu mereka dengan menutup keseluruhan tingkap hadapan kereta dan mengilai ngilai tanpa henti.

Setelah 2-3 minit berlalu, dalam keheningan senja yang menginjak malam, terdengar suara azan maghrib yang lantang serta nyaring dari sebuah surau berhampiran.

“Allahuakbar Allahuakbar,”

“Ashhadu al la ilaha illallah,”

…………………………………..

Tiba-tiba pontianak yang selama ini mendakap cermin itu seolah-olah hilang sekelip mata! Kepala itu lenyap, dan kain putih yang menutup cermin itu pun berubah menjadi kabus yang perlahan-lahan lesap di udara malam. Tiada lagi kedengaran ngilai tawa yang menyeramkan. Hanya tinggal laungan azan yang mengajak manusia mendirikan solat.

Setelah beberapa ketika yang terasa seperti selama lamanya, perjalanan mereka mula berubah. Suasana hutan yang tebal dan sunyi beransur-ansur berakhir apabila mereka tiba di pinggir jalan yang sedikit lebih terang benderang.

Pakcik Mail yang masih terkesan dengan pengalaman tadi, hanya boleh mengangguk dengan perlahan. Mereka meneruskan pemanduan ke surau berhampiran itu, sambil mata kedua-duanya tidak berhenti memerhatikan cermin hadapan. Suasana hening menyelubungi kereta. Lalu Abah menarik nafas panjang dan berkata dengan suara yang penuh kelegaan;

“Alhamdulillah, kita selamat!”

Pakcik Mail pun tidak dapat menahan rasa syukur. “Alhamdulillah! Betul tu, Ustaz. Ana memang rasa kehadiran makhluk tu sangat menakutkan tadi. Tapi azan dan doa telah menyelamatkan kita. Ana takkan pernah lupa malam ini,”

Setelah melalui jalan yang berliku-liku dan penuh dengan bayang-bayang jin syaitan yang menyesatkan, Abah dan Pakcik Mail akhirnya sampai di surau yang menjadi penawar bagi jiwa-jiwa yang sedang bergelut. Surau kecil itu terletak di tepi jalan, kejauhan nampak lampu-lampu pudar menerangi ruang solat yang sederhana namun penuh dengan ketenangan.

Abah memarkir kereta dengan hati yang penuh syukur, dan segera keluar untuk menunaikan solat Maghrib. Pakcik Mail mengiringi, masih kelihatan bimbang namun tidak mengabaikan keperluan untuk beribadah. Sebelum melangkah masuk ke dalam surau, Abah berdoa sambil memandang ke langit yang masih dihiasi bintang-bintang:

“Ya Allah ya Tuhan kami, terima kasih atas limpahan rahmat-Mu. Lindungilah kami daripada segala gangguan jin syaitan dan bahaya, dan jadikan malam ini sebagai bukti bahawa keimanan dan ketaqwaan kami akan sentiasa menjadi pelita dalam kegelapan,”

AMIN.

SEKIAN.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Fathi Othman
Rating Pembaca
[Total: 55 Average: 4.7]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.