Assalamualaikum, hai korang…awal tahun lepas aku melawat family kakak ku di Ireland buat pertama kali sejak 18tahun dia duduk sana. So kakak punya happy tu lain macam. Adik dia yang degil akhirnya nak juga jejak kaki kat sana. Abang ipar aku orang Pantai timur je, diorang jumpa kat sana.
Budaya orang Malaysia (kakak aku dan kawan-kawan mereka) dekat sana dah macam orang barat. Antara yang kami tak senang, lepas makan, baki makanan tu dibiarkan atas meja tanpa ditutup. Kata mereka, bukan ada lalat pun nak hinggap , lagipun dengan suhu sana, makanan lambat basi. Tapi kan masih ada makhluk-makhluk lain. Sepanjang tinggal di sana, dah jadi tugas aku cari penutup mangkuk-mangkuk, periuk-periuk lauk. Paklong aku jenis lapar Tengah malam. Lepas dia makan, aku pun turun ke bawah untuk pastikan semua dah tutup.
Rumah kakak aku pasang pemanas yang ada timer, lepas beberapa jam akan off sendiri. Suhu pagi sana -2 hingga 3 darjah sahaja. Sejuk sepanjang hari la suhu sana. Al-kisahnya ada la satu malam ni, aku rasa panas teruk padahal selalunya kalau pemanas di pasang pada waktu malam, aku masih berstokin dan berselimut tebal. Mata terpisat-pisat tak mahu tidur, aku pun keluar dari bilik, turun ke bawah, nak ke dapur. Biasanya kalau tak dapat tidur aku akan siapkan sarapan. Tak kira la jam 2 ke 4 pagi. Masa turun tangga, kedengaran bunyi sudu berlaga dengan mangkuk. Mungkin paklong lapar la tu. Masa tu dah jam 2 pagi. Sedikit lega sebab ada paklong, boleh la aku tanya nak makan apa sarapan, boleh terus masak. Sampai ke anak tangga paling bawah, aku memandang ke kanan, dari sebelah bawah pintu dapur tiada lampu kelihatan. Eh, takkan paklong tak buka lampu, fikirku. Tanpa ada perasaan apa-apa, aku terus buka pintu dapur. Ketang!! Bunyi sudu jatuh ke atas lantai. Gelap gelita! Aku terus petik suis lampu. Aku pandang keliling ruang makan dan dapur. Takde siapa pun di sana. Yang ada hanya periuk kari yang terbuka. Tak pula aku jumpa sudu atas meja atau atas lantai. Rasa marah datang. Dah siapa pula kacau dapur malam-malam ni! Apa aku buat? Aku buang je kari seperiuk tu. Beberapa hari lepas tu baru aku cerita dengan kakak aku. Bagi dia alert. Owh ye. Kakak aku ni penakut orangnya hehehe
Rumah kakak aku dekat County Kill, tak la jauh dari airport Dublin tu. Aku ke sana dengan 3 warga emas (mak, pak long, maklong). Sepanjang aku kat sana, memang aku la driver diorang (kakak aku ada lessen tapi tak pandai drive). Kakak aku punya la excited, dia ambil cuti 5 hari, pontengkan anak-anak sekolah bawa kitorang kenal Ireland. Kami bertiga kecuali mak, merupakan firstimer la. Mak dah banyak kali pergi sana. Tapi dia belum pernah ke County lain. County ni macam negeri la kalau kat Malaysia ni. Dalam 5 hari tu, kakak aku ajak la kitaorang pergi ke Kilkenny. Dia ada menyewa sebuah rumah AirBNB di Listerlin untuk 1 malam sahaja. Saje nak ambil udara desa. Aku dan mak masak makanan untuk kami sepanjang di sana. Kalau area bandar cari makanan halal tak susah. Tapi di pinggir bandar, kedai pun belum tentu buka malam-malam. Confirm paklong lapar nanti.
Dengan menggunakan 2 buah kereta, aku dan abang iparku memandu. Berhenti seketika di bandar Westport, untuk beli stok coklat roti susu dan lain-lain makanan anak-anak kakak aku, 2 orang. Hari tu merupakan hari pertama aku datang bulan. Sakitnya pinggang, rasa tak sabar nak baring kat tilam empuk. Daripada 3 jam perjalanan jadi 6 jam. Berhenti beberapa kali ambil gambar keindahan tepi laut di musim sejuk. Sempat mengopi, memang menambahkan rasa lesu badan ku. Layankan je lah. Kakak aku pun baru pertama kali sampai ke Westport. Sepanjang jalan ke Listerlin memang cantik, korang boleh google macam mana. Rumah AirBNB yang disewa itu jauh ke dalam. Makin jauh ke dalam, jalan raya semakin sempit, kereta pun makin kurang.
Kami tiba di rumah AirBNB pada jam 3 petang. Sementara kakak aku berunding dengan tuan tanah yang pegang kunci, aku keluar dari kereta untuk meluruskan pinggang. Rumah AirBNB itu memanjang bentuknya. Sebelah kirinya ada sebuah pub kecil untuk warga tempatan. Malam hari mungkin tidak terlalu sunyi. Sebelah kanannya hanya barisan pokok-pokok hutan. Bila ku pusing belakang, hendak menyandar pada pintu kereta, Alamak! Seberang jalan sana, betul-betul berhadapan dengan pintu masuk rumah, ada kubur dan gereja. Ha sudah. Bukanlah takut, aku risau kalau ada yang tak boleh tidur malam ni je. Aku sedikit mengeluh mengenangkan nasib ku malam nanti.
Rumah yang disewa itu, pintu masuknya ditengah-tengah. Masuk je pintu ada dinding, di belakang dinding tersebut ada meja makan kayu, gaya orang sana la, kerusi kayu yang tinggi tempat sandarnya. Disebelah meja makan tersebut, ada lorong menuju ke bilik-bilik yang terletak di sebelah kiri rumah. Berhadapan meja tersebut adalah dapur. Disebelah dapur itu bilik air. Disebelah kanan pintu masuk tadi ada ruang tamu dan dihujungnya ada bilik utama yang mempunya bilik air bersambung dengan bilik tersebut. Paklong dan maklong ku tinggal di bilik utama itu. Daripada ruang makan tadi, bilik pertama dihuni oleh family kakak ku. Bilik kedua baru lah aku dengan mak. Ada sebuah bilik kecil yang menempatkan iron dan lain-lain barang untuk mengemas rumah. Aku la yang paling rajin nak buka semua pintu yang ada untuk kenal rumah tu. Termasuk pintu belakang yang dikunci rapat. Ada sebuah lubang intai di pintu belakang. Tak ada apa yang menarik pun di luar sana hanya ada susunan batu-batu besar macam batu Sungai kita tapi lebih besar ditindan setinggi pingang orang dewasa. Tiada pokok juga di bahagian belakang rumah itu.
Sepanjang petang tu kami tak ke mana pun. Terlalu penat dengan perjalanan yang panjang. Seawal jam 9 masing-masing dah masuk tidur. Mak aku awal lagi, jam 8 dah lelap. Katil kami berada ditengah bilik, ada almari baju yang mempunyai cermin di sebelah kanan katil, asalnya almari itu mengadap ke katil, aku yang alih menghadap ke dinding (alih 90darjah). Pintu masuk bilik berada di sebelah kanan juga. Di sebelah kiri ada laci kecil dan tingkap yang ditutup dengan langsir labuh. Disebalik tingkap itu lah pemandangannya adalah kubur Kristian. Mak aku solat di ruang antara tingkap dan katil, dan dia tidur di sebelah kiri, aku di sebelah kanan. Masa aku hendak tidur, masih kedengaran bunyi di pub sebelah. Sedikit bising takkan ganggu rehat ku. Seingat aku, pada papan tanda pub tersebut ditulis ‘closing 12am’. Tak lama lagi senyap la tu. Aku pun terus lelap.
Aku tersedar dari tidurku secara tiba-tiba. Rasanya macam tak mimpi apa-apa pun. Ada bunyi seolah-olah tombol pintu bilik ku cuba dibuka dari luar. Ku fikir mungkin kakak aku perlukan apa-apa. Ku lihat mak sedang tidur nyenyak. Dengan beratnya aku bangun dan buka pintu. Kosong. Takde sesiapa pun di luar pintu bilik kami. Lambat sangat ke aku buka pintu? Aku pun berjalan di susur koridor menuju ke ruang makan. Manalah tahu kalau paklong ke yang cari aku, kot tak jumpa mana ayam panggang tadi ke. Sepanjang laluan itu, lantai kayu yang aku pijak sejuk beku, tapi suhu dalam rumah suam, ini bermakna pemanas sedang dipasang. Sampai sahaja ke meja makan, aku lihat tiada siapa di sana, aku pun patah balik. Bila aku lewati bilik kakak ku, tiada bunyi yang kedengaran, mereka tidur nyenyak la tu. Sebelum aku menutup pintu bilikku, terdengar bunyi rak jatuh di bilik utility betul-betul sebelah bilik kami. Aku yang tadi mamai, terus segar. Seingat aku, masa aku tengok bilik tu tadi tiada almari atau rak pun dalam bilik tersebut. Aku hanya mampu berdiri kaku di pintu masuk bilik ku. Sehingga mak menegurku, pergi tandas ke malam-malam, barulah aku masuk ke bilik dan mengunci pintu. Mak pun kembali lelap. Aku baringkan diri, dan melihat jam di telefonku, jam 12.04 tengah malam. Patutlah sunyi, pub sebelah dah tutup.
Baru sahaja aku nak lelapkan mata, ada ketukan dari dalam almari di sebelah ku. Pada awalnya bunyi nya sayup-sayup sahaja. Makin lama makin kuat. Ah, annoying! Aku nak rehat pun tak dapat. Dalam cahaya yang samar-samar, aku memandang ke arah dinding almari tersebut. Ketukan semakin keras. Pintu almari bergegar sedikit. Aku ambil keputusan untuk abaikan sahaja gangguan tersebut. Eh makin rancak pulak gegarannya. Aku cuba pusing ke arah mak, tetapi badan ku tak dapat bergerak. Hanya mata yang terus terbuka memandang almari tersebut. Dalam fikiran aku ‘hantu sini faham ke ayat Quran? Nak kena speaking ke? Cakap melayu dorang faham tak ye?’ . Akhirnya aku cuba untuk komunikasi dalam Bahasa Inggeris, ku tenung tajam almari tu pastu cakap sekeras-kerasnya dalam hati (translate ye) ‘aku ni penat, datang dari jauh, jangan kacau aku, esok aku nak drive jauh lagi, pagi esok aku aku keluar dari sini, kau ambil la balik’. Lepas itu ketukan hilang, badan aku boleh bergerak, terus aku buka al-Baqarah dekat telefon. Lepas tu baca 3Qul dan ayat Qursi sebagai doa pelindung. Mak aku duduk dan bertanya aku kenapa, aku cakap, esok je la cerita, aku pun tidur. Tiada gangguan sampai ke pagi.
Esok harinya dalam perjalanan sambung meneroka Ireland, aku ceritakan pada mak dengan kakakku. Mak cakap, dia takde bangun pun. Aku hanya mampu berhuhuhu…Kakak aku, terlalu takut untuk tanya apa-apa. Nasib baik bukan dia yang kena.
~jib – Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit