GANGGUAN DI HOMESATY

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca Fiksyen Shasha. Sebelum itu, aku nak ucap terima kasih dekat admin sebab memilih cerita aku ‘PENJAGA RUMAH KAMPUNG’ sebelum ini untuk dijadikan salah satu cerita seram di Fiksyen Shasha. Hari ini, aku nak share dekat semua pembaca, pengalaman aku sendiri diganggu oleh mahluk halus yang menjadi pengajaran buat aku dan keluarga kecilku. Peristiwa ini berlaku setahun yang lepas, masih segar lagi dalam ingatan aku.

Aku mulakan dengan group bestie. Group ni kawan-kawan suami aku time sekolah dulu. Kitorang rancang nak bercuti sekali alang-alang kawan kitorang jemput datang kenduri kawen dia. Kami booking satu Homestay di area Jerantut. Aku dan suami pula baru dikurniakan anak lelaki. Umur anak aku pada masa tu baru 4 bulan. Baru habis berpantang la. Dalam group bestie pula, kami sahaja yang baru dikurniakan anak, yang lain masih belum ada rezeki lagi, maka aku dan suami serta anak diberikan keistimewaan sikit. Istimewa apa?

Homestay tu ada 4 bilik. 1 bilik master bedroom dan tandas untuk perempuan, 1 bilik ada 1 katil bujang, 1 queen bed untuk lelaki dan 1 bilik ada queen bed untuk aku, suami dan anak. Itulah istimewa kitorang. 1 bilik lagi berkunci, kami semua tak tahu apa ada dalam tu. Tapi bagi aku, aku rasa cadar atau bantal yang akan digunakan untuk homestay ini agaknya. Homestay ni besar, cantik sangat. Ada swimming pool dan rumah dia kayu. Ala-ala thai. Dapur dan tandas bersebelahan.

Hari yang dijanjikan, semua gerak berasingan dari rumah masing-masing. Masa tu, aku dan suami bergerak dalam tengahari dari KL ke Jerantut, Pahang. Kira-kira dalam pukul 5ptg, kami fikir untuk singgah makan dulu. Kira malam tak payah keluar dah. Kesilapan yang aku dan suami buat adalah kami sampai homestay time magrib.

Kerana mencari dan tersesat jalan, selepas azan magrib baru kami sampai homestay. Kawasan tu sunyi sangat. Kiri kanan ada orang tapi tak nampak macam berpenghuni. Agaknya semua sibuk solat magrib kot, aku nak sedapkan hati la. Suami aku buka pintu pagar, dan parking kereta. Suami aku kata tunggu dulu dalam kereta, dia nak masuk rumah dulu. Aku dalam kereta sambil pangku anak dah mula membaca doa dan zikir pendinding. Itu pesanan ibu aku sebelum kami bertolak dari rumah lagi. Aku tak berhenti-henti selawat mohon Allah lindungi kami.

Lepas suami aku siap turunkan barang semua, baru dia panggil aku masuk rumah. Kami pun tengok la setiap bilik dan nak tau macam mana bilik kami. First time, bila suami aku kata, jom tengok bilik kita, aku dah rasa tak best. Sebab, bilik kami belakang sekali. Dia macam ni. Korang bayangkan, master bedroom depan sebelah hall. Nak pergi ke belakang, akan jumpa 1 bilik lagi, dan satu bilik yang berkunci yang aku cakap tak boleh buka tu dan last sekali bilik kami. Aku rasa terpisah dengan semua. Dah la nak ke bilik tu macam malap dan gelap sikit.

Sementara nak tunggu kawan-kawan semua sampai, aku buat keputusan menyusukan anak di hall depan dan bukan di bilik. Sebab bagi aku, sangat rimas dan tak selamat. Aku pun guna nursing craft dan tunggu. Suami aku tak cakap apa pun, aku consider okay la. Sambil-sambil aku menunggu, aku berhadapan dengan cermin luar. Aku tengok suami aku round satu rumah, tengok swimming pool, tengok apa ada dekat dapur. Aku ternampak ada susuk putih tinggi dekat cermin yang aku sedang mengadap. Aku tengok betul-betul. Aku kelipkan mata dua tiga kali, takut salah pandang. Aku benci mahluk berbungkus gula-gula. Aku doa bukan mahluk tu. Aku kecikkan mata, tajamkan lagi penglihatan aku. Rupanya pantulan lampu kalimantang di tangga pintu luar yang terpantul di cermin.

Aku tarik nafas lega tapi tak lama lepas tu, bayangan putih tu ada di kiri pandangan aku. Yang aku kira bukan pantulan sebab tak ada lampu di situ. Aku malas nak layan perasaan, aku baca je surah kursi dan main phone untuk alih perhatian aku. Malam tu, Alhamdulillah, tak ada apa-apa berlaku. Kami tidur macam biasa. Sekali-sekala anak aku terjaga untuk menyusu sahaja.

Malam ke-2 adalah malam yang memang menjadi pengajaran bagi aku sampai bila-bila. Hari ke-2, selepas selesai pergi ke majlis bertandang kawan kitorang, yang lelaki start beli barang basah untuk buat BBQ, yang perempuan lepak, gossip, masak makanan simple-simple untuk makan bersama BBQ nanti. Aku pada masa tu dah tak sedap badan. Aku rasa lesu, tak ada mood, penat sangat. Anak aku meragam mula dari magrib sampai malam. Dia taknak langsung minum susu direct dari aku. Aku mula bengkak susu.

Bila semua member-member dah start membakar ayam, daging, kambing, aku terperap dalam bilik, urut dan pujuk anak aku minum susu. Sebab anak aku tak minum dari petang. Suami aku tak fokus makan, dia kejap masuk bilik kejap keluar. Benda ni berlarutan sampai tengah malam. Aku tak turun join pun BBQ tu. Lepas semuanya masuk tidur, pada jam 2 pagi lebih kurang, anak aku mula menangis tak henti-henti. Aku jadi panas hati, aku rasa nak marah. Aku perasan yang anak aku menangis dan pandang di satu sudut yang sama, iaitu di dinding atas tempat bahagian aku tidur.

Aku tak boleh kawal kesabaran aku, aku biar je anak aku menangis. Suami aku yang redakan anak aku. Dia puas selawat dan zikir, tapi anak aku tetap menangis. Aku walaupun pura-pura tidur sebab mogok tapi masih dapat rasa aura pelik betul-betul tepi katil tempat aku tidur. Aku boleh rasanya ada benda yang gelap yang bertenggek di dinding atas kepala aku. Aku nak toleh tapi aku ambil keputusan untuk kekal pegun. Anak aku menangis sampai azan subuh berkumandang.

Homestay kami tidak jauh dari masjid dan aku boleh dengar taklimat subuh di masjid sebab suasana sunyi dan hanya tangisan anak aku yang kepenatan menangis. Pagi itu, aku dan suami tak bercakap apa-apa tentang tangisan dan apa yang terjadi. Kami senyap dan buat macam biasa. Aku kemas barang untuk check-out, aku ambil sepit rambut di bawah bantal tempat tidur, aku terpandang di lantai ada satu helai rambut yang sangat panjang. Dia panjang dari kepala katil hingga ke kaki katil.

Aku fikir, rambut aku paras bahu sahaja, dan tak ada perempuan pun yang masuk dalam bilik ni. Aku teringat bayangan mahluk gelap yang ada atas kepala katil aku. Aku cepat-cepat keluar dari bilik. Perjalanan balik aku dan suami, kami diam dan bisu sampailah agak jauh setengah jam perjalanan, baru aku buka cerita tentang malam itu. Suami aku pun turun sama rasa apa yang aku rasa. Pada masa siapkan BBQ, suami aku terdengar macam ada buah nangka jatuh belakang rumah. Tapi seingat dia, tiada pokok buah pun di sekeliling rumah ini melainkan pokok besar di dalam pagar jiran sebelah. Tu pun pokok manga yang masih kecil.

Waktu anak aku menangis, suami aku terdengar lagi bunyi buah nangka jatuh ke tanah. Suami aku zikir non-stop. Dia kata bunyi tu sama macam masa BBQ tadi dan bunyi ni betul-betul di luar bilik kami, belakang rumah. Suami aku pun tak henti sapu muka anak kami yang masih menangis dan cuba alihkan pandanagn anak aku ke tempat lain. Dari mula dia masuk rumah tu, memang suami aku rasa lain tapi sebab dah booking dan taknak spoilkan percutian ni, dia buat biasa dan tak melayan.

Pengajaran bagi kami, jangan sampai di tempat baru pada waktu magrib atau berada di luar pada waktu magrib. Dengan ada anak kecil yang mudah untuk mahluk ini menumpang, kita kena sentiasa baca pelindung diri dan mohon Allah lindungi kita. Paling baik, azan dulu rumah atau tempat yang kita nak menginap untuk halau apa sahaja mahluk tak baik yang menganggu kita.

Alhamdulillah, mahluk itu tidak mengikut kami sekeluarga dan amalan kami bila pergi ke tempat baru dan bercuti. Itu sahaja kisah yang aku nak share dekat korang semua. Terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment