Gangguan di Hostel

Nama aku Syirah, disini aku ingin ceritakan pengalaman aku yang terjadi pada tahun lalu, iaitu tahun 2023. Kisah ini bermula ketika aku, kembar aku iaitu Fiqah dan 3 lagi kawan dari Sabah dapat kerja di Selangor. Kami tinggal di hostel 2 tingkat yang bertempat di kawasan perumahan dan penuh dengan deretan rumah. Unit hostel kami terletak di unit kedua dari hujung deretan rumah. Dan rumah sebelah kami ini memang kosong dan didepan halamannya ada pokok yang besar.

Setelah 3-4 minggu kemudian, ada penghuni hostel baru yang datang dari Sabah juga. Lebih kurang dalam 5 orang yang memenuhi hostel kami. Selebihnya di rumah sebelah yang kosong itu. Malam kejadian, kami duduk bercerita beramai-ramai untuk kenal antara satu sama lain setelah itu kami masuk tidur.

Biasanya aku akan tidur di lantai bilik disebabkan rasa panas dan takut, kerana katil aku berdekatan dengan tingkap yang luas. Tapi malam itu, aku tidur seorang diri di lantai ruang tamu tingkat bawah kerana lebih sejuk. Waktu itu, aku sudah tidak fikirkan apa-apa disebabkan terlalu geram kerana rumah yang panas walaupun di malam hari. Jam menunjukkan sudah pukul 2 pagi, mataku sudah rasa berat, lalu aku tidur.

Sesetengah manusia akan sedar kalau dia sedang bermimpi, tapi bagiku waktu itu seperti bukan mimpi mahupun realiti. Seperti aku terjaga dalam mimpi, atau boleh juga dikatakan seperti hanya sekilas mimpi kerana suasana dan tempat yang sama, iaitu baring terlentang di lantai depan pintu rumah, bezanya sebelum aku tidur, aku hanya sendiri.

Tapi setelah buka mata dalam mimpi, aku lihat ada seorang perempuan berbaju putih dan berambut panjang berdiri didepan kakiku sambil merenung tajam ke arah aku seperti sedang marah. Sepertinya itu Cik Pon. Terus mataku terbuka lalu aku tersedar dari ‘tidur’, bulu romaku meremang seremang-remangnya. Aku dapat rasakan seperti aku diperhatikan oleh seseorang ataupun sesemakhluk. Suasana setelah bangun tetap sama seperti dalam mimpi, seperti cara dan posisi ku tidur tetap sama. Ketika aku lihat jam di dinding dengan samar-samar, sepertinya jam menunjukkan sekitar pukul 2:10 pagi. Aku yakin itu bukanlah mimpi, tapi aku seperti separa sedar. Aku dengan bergegas ambil bantal dan selimut aku lari ke atas dan masuk ke bilik untuk sambung tidur.

Kisah kedua, dalam rumah ada 3 bilik, dan setiap bilik, hanya ada 4 katil bertingkat untuk empat orang. Malam itu, kembarku dan kawan-kawan yang lain sudah tidur awal. Hanya tinggal aku dan seorang kawanku yang sedang bercerita di bilik kawanku itu. Sedang hanyut bercerita, tetiba terdengar suara perempuan ketawa dari arah tingkap. “Suara siapa tu?” tanya aku kepada kawanku. Kawanku hanya mengangkat bahunya tanda tidak tahu dan kehairanan kerana bilik itu di tingkat dua dan darimana datang suara sedekat itu, seolah-olah ada orang berdiri di tingkap dan ketawa. Kami hanya buat tidak tahu lalu tutup cerita kami dengan tidur. Aku temankan kawanku tidur di biliknya.

Malam esoknya, roommate aku, Mira ceritakan padaku kalau tadi dia dan adiknya bangun subuh untuk mandi pergi ke kerja, biasanya sebelum turun dari katil Mira akan lihat ke lantai dulu takut kalau dia terpijak aku (Mira katil paling atas dan aku biasa tidur di lantai). “Oh ada Syirah pula. pelan-pelan la turun”, katanya. Selesai saja mandi, keluar dari bilik mandi lantas Mira terkejut beruk melihat lantai yang kosong, lalu tanya adiknya, “Mana Syirah?!”. “Syirah kan tidur di bilik sebelah, dari semalam lagi. Kenapa?” jawab adiknya, dia tau kalau aku tidur di bilik sebelah.

Dengan kehairanan Mira menjawab, “Tadi aku bangun mahu turun dari katil, aku tengok bawah ada Syirah. Ada selimut, bantal, tilam dia pun ada, cara tidur pun macam Syirah. Jadi aku turun perlahan-lahan tapi keluar ja dari bilik mandi, hilang sudah dia”. Masa tu mereka memang sudah faham kalau ada ‘something’ dalam rumah tu. Memang benar, masa tu aku dah tidur terlentang di bilik sebelah. Ini bukan kali pertama ada ‘benda’ yang ikut caraku tidur. Semasa di Sabah juga kawanku pernah nampak ada ‘orang’ ikut caraku tidur di sebelahku.

Gangguan-gangguan seperti suara ketawa, kami hanya biarkan sehingga ‘dia’ sudah mulai berani tunjukkan dirinya. Dimana, housemate ku, Nurul terlihat kelibat seorang berbaju biru, berambut panjang di sebalik pintu dalam stor (ketika tu pintu stor terbuka sedikit). Lalu dia masuk ke stor untuk lihat siapa yang berada didalam stor, tetapi stor itu KOSONG!! Tidak ada jalan keluar lain selain pintu yang dia masuk tu. Padahal waktu tu, tidak ada siapa pun yang memakai baju berwarna biru. Jadi siapa yang dia lihat di dalam stor?

Beberapa hari setelah kejadian, Nurul yang berada di dapur terdengar seperti ada bunyi dari arah tangga. Nurul cuba lihat siapa yang buat bunyi tersebut, sebaik sahaja dia menjengahkan kepalanya di sebalik dinding pintu dapur untuk lihat ke arah tangga, alangkah terkejutnya Nurul, hampir tercabut jantungnya apabila dia melihat seorang nenek tua merangkak turun dari tangga ke bawah dengan kepalanya digerakkan kiri-kanan sambil memandang tajam ke arah Nurul. Nurul apalagi, lari dengan sepantas kerbau keluar dari rumah kerana ketakutan. Untuk pengetahuan, hanya Nurul sahaja yang boleh melihat benda-benda ghaib diantara kami semua.

Setelah beberapa hari itu, kisah kami diganggu telah menjadi viral di tempat kerja sehinggakan pekerja lainnya menuduh bahwa orang-orang Sabah pembawa hantu. Kisah ini juga sudah sampai ke warden dan pihak HR dan mereka mengambil tindakan secepatnya dengan memanggil seorang ustaz untuk lihat dan buat sedikit bacaan dalam hostel. Ustaz masuk saja ke dalam rumah tanpa melihat apa-apa, dia sudah tahu dan dapat rasakan kalau memang ada ‘benda’ jahat dalam rumah tu.

Ustaz pun mulakanlah bacaan-bacaan, dan dia minta kami semua taburkan garam dan biji lada hitam yang telah dibaca olehnya ditaburkan di setiap pintu dan tingkap rumah. Pada mulanya makhluk tu memang degil untuk keluar dari rumah tapi ustaz tetap berusaha halau makhluk tersebut. Setelah habis, ustaz beritahu kepada kami dan barulah kami tahu ternyata bukan satu, tapi ada tiga makhluk yang mengganggu kami, iaitu lembaga hitam yang berasal dari pokok besar depan halaman rumah kosong itu dan dua lagi adalah makhluk poc*ng dan nenek tua yang ternyata dibawa oleh Orang Asli Selangor sebagai penjaga mereka yang menjadi penghuni rumah/hostel kosong tersebut sebulan sebelum kami masuk. Tapi mereka sudah berhenti kerja beberapa minggu sebelum kami masuk kerja. Setelah kejadian itu, pihak hostel dan saya ikut menebang pokok besar tersebut takut jika perkara sama berulang kembali.

Jika Fiksyen Shasha memilih kisah saya, saya amat berterima kasih dan menghargainya kerana ini kisah pertama yang saya tulis dan share. Maafkan saya kerana saya tidak mahir menulis karangan dan bina ayat, tapi saya berusaha. Dan maafkan juga jika kisah saya tidaklah seseram kisah yang lain, sekian itu saja dari saya, Syirah.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Syirah. N

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 26 Average: 4.3]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.