Gangguan Di Malam Hari

Gangguan Dimalam Hari

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Nama aku Jiha dan berasal dari Negeri Johor. Coretan yang ingin aku kongsikan kepada pembaca FS adalah coretan pertama aku. Kisah yang akan aku kongsikan kurang keseramannya. Tetapi cukuplah diambil iktibar atas apa yang terjadi kerana setiap orang memiliki kesilapan. Jom ikuti kisah aku.

Disember 2012

Aku berada ditahun akhir dan bergelar seorang pelajar sekolah menengah. Baru sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia. Telah menjadi kebiasaanku,apabila tiba sahaja musim cuti persekolahan aku akan pulang ke kampung di daerah Muar. Tetapi pada waktu itu,kedua ibu bapaku hanya menghantar aku sahaja dikampung.
Tiba sahaja dikampung,tiga orang sepupu perempuanku Alya,Mira dan Farah sedang menunggu kedatanganku. Begitu juga makcik iaitu ibu kepada Alya dan nenekku. Lumrah apabila sekian lama tidak berjumpa,pastinya riuh sekampung ketika itu. Pada malam pertama dan kedua kami berkampung dirumah nenek,semuanya dalam keadaan baik.

Tetapi tiba malam yang ketiga,bermulanya gangguan untuk kami. Sebelum bermulanya gangguan mistik itu,kami berempat telah siap membentangkan toto diruang tamu. TV juga masih menayangkan berita pagi. Kami sedang rancak bermain makeup sesama sendiri dan diselangi dengan gelak tawa kami berempat. Nenek dan makcikku sudah lama dibuai mimpi. Tanpa kami sedar jarum jam menginjak ke 1.20 pagi.

Kebetulan,ketika itu makcikku bangun dari tidurnya untuk pergi ke tandas. Tandas hanya terletak didapur sahaja. Untuk makluman,rumah nenek adalah rumah papan yang memanjang ke belakang. Ruang hadapan berhampiran halaman rumah adalah ruang tamu,diikuti dengan 3 buah bilik tidur dan sebuah ruang solat. Kemudian,barulah menemui tangga batu menuju ke dapur dan tandas yang berhampiran dengan kebun-kebun pisang dibelakang luar rumah.

Pada mulanya,makcikku dan Alya menuju ke tandas. Selang beberapa minit,diikuti pula oleh Mira. Jadi yang tinggal di ruang tamu hanyalah aku dan Farah yang masih ralit dengan barangan makeup. Sedang elok kami bergurau dan bergelak ketawa,telinga aku menangkap satu bunyi suara. Aku tidak pasti suara apa yang aku dengar. Dalam hatiku cuma berdetik ‘Oh,mungkin suara anak kucing kot.’ Bunyi suara itu terlalu halus tetapi tidaklah nyaring. “Eeeeee!” Begitulah bunyi suara yang meleret itu. Entahlah,aku pun tidak tahu apa sebenarnya yang aku dengar. Tetapi suara itu semakin lama semakin dekat. Seolah-olah suara itu bergerak perlahan dari dapur dan menuju ke ruang tamu hadapan.

Sejujurnya ini adalah pengalaman pertamaku dengan kejadian mistik. Lalu aku bertanyakan kepada Farah adakah dia turut sama mendengar suara ‘anak kucing’ itu? Ya,dia juga turut mendengar. Sekali lagi aku ajukan soalan kepadanya,adakah suara tersebut milik cucu jiran sebelah rumah? Tetapi tidak! Menurutnya,jiran sebelah tidak mempunyai cucu iaitu bayi dan jiran tersebut juga sedang bercuti di Kuala Lumpur bersama anak-anaknya. Jadi suara apakah yang telah kami dengar? Hatiku mula rasa berdebar-debar. Tidak semena-mena bulu romaku juga turut sama naik.
Mataku tetap memandang Farah. Begitu juga dia. Tanpa banyak bicara,aku mengajak Farah untuk ke tandas. Sebenarnya itu hanya alasan untuk membuang perasaan takut itu. Kecut perut juga. Sampai sahaja didapur,suara tersebut masih lagi didengari. Hampir lima minit juga. Seusai misiku ke tandas,aku dan sepupuku yang lain naik bersama-sama menuju ke ruang tamu.
Sampai sahaja diruang tamu,aku bertanyakan kepada mereka,adakah mereka juga mendengarnya. Tetapi jawapan makcikku ketika itu adalah “Alah,suara kucing tu.” Masing-masing diam seribu bahasa. Kami terus sahaja mengemas barangan makeup dan mengangkat toto untuk tidur dibilik.

Ketika dibilik,sepupuku yang lain telah tidur. Maka,tingallah aku seorang yang masih ralit melayan game di telefonku. Sedang aku ralit dengan permainanku,aku terdengar derapan kaki diluar bilik. Mataku tajam memerhatikan jika ada bayangan yang melintasi dibawah pintu bilik. Bayang pun tak ada! Sangkaku pakcikku yang rumahnya terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumah nenekku. Tetapi aku tidak pula mendengar bunyi pintu hadapan dibuka. Bukan juga nenekku kerana nenekku tidak mampu untuk berjalan dan hanya terlantar dikatil sahaja.
Ah sudah! Siapakah yang sedang berjalan diluar bilik kami? Aku memaksa mataku untuk dipejam.

Keesokkan paginya,aku bertemu dengan pakcikku yang merupakan ayah kepada Farah. Belum sempat aku membuka mulut,dia terlebih dahulu bertanya kepadaku. “Malam tadi ada dengar tak bunyi suara?” Begitulah soalannya. Aku menganggukkan kepalaku. Lantas aku bertanya kepadanya mengenai suara itu. Sambil menayangkan sengihan misterinya dia menjawab.”tu kan suara Pontianak. Dari dulu ada. Dekat kebun pisang belakang rumah tu.” Mungkin bagi anda,pakcikku hanya mereka-reka cerita. Tetapi aku percaya kerana kawasan perumahan nenek masih wujud makhluk tersebut sejak ayah dan adik-beradiknya masih kecil. Bukan tidak pernah diusir. Tetapi dah memang disitu asal usulnya.

Begitulah kisah gangguan dimalam hari yang pernah aku alami. Aku bersyukur kerana Allah tidak membuka hijab mataku untuk lihat si dia. Pengajarannya janganlah terlalu seronok dan leka dengan persekitaran. Bukan kita sahaja yang ada dimuka bumi ini. Silap-silap ketika anda membaca entri aku,ada yang menemani. .
Maaf jika ceritaku terlalu meleret dan membuang masa anda. Terima kasih kerana meminjamkan masa anda di entri kali ini. Sekian. Assalamalaikum.

4 thoughts on “Gangguan Di Malam Hari”

Leave a Comment