Gangguan Di Pejabat Baru

Assalamualaikum admin dan peminat FS yang dihormati. Terima kasih kerana menyiarkan pengalaman saya berpindah ke pejabat baru. Kisah ni berlaku pada tahun 2012.

Pada awal kami pindah ke pejabat baru ni memang banyak pengalaman seram yang diceritakan oleh staff tapi saya tak pernah alami. Ada staff yang cerita:
1. Pengawal keselamatan terjumpa Cik Ponti masa buat clocking. Ada yang ternampak tangan terhulur ke dalam pondok pengawal. Ada yang nampak anjing sebesar gajah semasa clocking malam. Ada yang terdengar substation TNB bergegar pintunya pada siang hari.
2. Pemandu yang balik lewat malam dan perlu punch out lari lintang pukang apabila bunyi tong sampah disepak
3. Pekerja cafe ternampak seorang perempuan duduk dengan kaki terjuntai atas meja dalam setor sambil tertunduk dan rambut berjurai. Ada pekerja yang datang seawal 5pagi untuk sedia sarapan nampak cik ponti di sudut cafe dan tak bergenjak walaupun dipasang surah dalam telefon. Dia hanya hilang bila matahari terbit. Ada yang guna tandas pada waktu malam dan semasa buang air tiba-tiba pintu tandas terbuka luas.
4. Ada kontraktor yang buat partition pada hujung minggu ternampak lembaga menyerupai harimau dalam ofis
5. Ada pemandu yang diganggu dengan ketukan pada cermin kereta ketika sedang melengkapkan buku log sebelum balik tapi bila tengok tiada sesiapa di luar.
6. Ada mak cik cleaner yang ternampak orang sedang bedah mayat dalam bilik ofis sedangkan ofis mana ada bilik mayat.
7. Staff sedang susun buku dalam library seorang diri tiba2 terdengar suara macam disergah, cari suara tu tapi takda siapa pun dalam perpustakaan.

Pengalaman seram aku bermula pada satu pagi ahad. Hari ahad adalah hari bekerja di Kedah. Kerani aku masuk ke bilik dan beritahu, ‘Puan, saya nak laporkam sesuatu khuatir nanti jika ada benda hilang saya disalahkan. Pagi tadi seperti biasa saya buka bilik mesyuarat dan nak siapkan untuk kegunaan pada pukul 9pagi. Saya dapati kerusi bilik mesyuarat berselerak macam baru lepas duduk. Lcd projector terpasang dan air con pun terpasang sedangkan pada hari khamis saya dah off semuanya dan susun semua kerusi sebelum balik. Kunci bilik mesyuarat ni dalam laci saya dan laci memang berkunci.’

Aku pun meremang bulu roma dengar cerita dia tapi buat2 berani la. Aku kata ‘Cuba awak check dengan guard kot ada yang guna bilik mesyuarat masa weekend?’

Kerani pun call pondok guard. Pak guard semak buku catitan keluar masuk dan dia sahkan tak ada sesiapa masuk ke blok jabatan kami. Semua keluar masuk staff lepas waktu pejabat dan weekend perlu lapor ke pondok guard. Cerita tu berakhir di situ sahaja.

Selang beberapa hari, aku pulak alami pengalaman seram iaitu satu pagi tu aku masuk ke bilik dan dapati air con dan computer terpasang. Aku memang pastikan air con dan computer di off sebelum balik dan kerani juga akan countercheck. Aku rasa tak sedap hati lalu cerita pada timbalan pengarah di jabatan lain. Kebetulan dia memang sedang mengambil kursus sambilan perubatan Islam. Dia pun hubungi kawannya dan mereka masuk ke bilik aku. Kawan dia kata bilik aku ni sangat seram dan dia memang nampak beberapa makhluk halus. Dia minta izin untuk buat rukyah pada bilik mesyuarat dan bilik aku serta bilik2 lain. Dia kata ini macam laluan makhluk halus. Tapak kompleks pejabat ni memang tanah bendang dan katanya memang banyak benda yang jadi penunggu di situ….mungkin dibuang dan mungkin juga milik tuan tanah dulu.

Selepas kejadian tu aku buat solat hajat untuk Allah buka hijab mata hatiku untuk tengok makhluk yang dok kacau ni. Dengan izin Allah dalam solat tu memang nampak wanita hodoh berambut panjang dan baju putih labuh. Aku cerita pada staff aku tentang perkara ni. Esoknya staff aku bagi tahu yang anaknya umur 12tahun mimpi makhluk yang sama walaupun dia tak pernah cerita apa yang saya cerita pada anaknya. Dia kata ‘meremang bulu roma saya bila anak saya describe perempuan tu macam yang puan nampak, memang betul la ofis kita ni keras’.

Kadang bila mesyuarat habis lambat, aku akan turun ke bilik untuk solat asar sebelum balik. Pernah aku terbau bauan wangi seperti bunga rampai. Pernah juga bau seperti orang bancuh kopi tapi takda orang bancuh kopi dan kedudukan cafe pun jauh dari bilik aku. Aku tak pernah tegur atau bagi tau sesiapa.

Kadang masa solat aku rasa macam diperhatikan orang atau sesuatu benda. Salah seorang staff aku memang boleh melihat makhluk halus ni dan dia kata ada nenek kebayan yang suka dok kat sofa bilik aku. Dia suka bilik aku sebab banyak bunga hiasan. Memang di bilik aku ada satu jambak bunga hiasan di sudut sofa. Makhluk ni pernah ikut dia balik ke rumah.

Pendek cerita selepas proses rawatan oleh pengamal perubatan Islam tu, kurang dah gangguan di blok pejabat kami. Tapi staff masih berhati2 jika balik lewat atau datang pada hujung minggu.

Aku pun beli CD dengan surah2 manzil dan pasang dalam bilik. Memang selepas tu tiada kejadian seram lagi.

Demikianlah pengalaman aku semasa berpindah ke ofis baru. Semoga terhibur dengan cerita yang tak seberapa seram ni. Terima kasih

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment