Gangguan Harian

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Nama aku Adele. Aku akan menceritakan kisah yang agak seram bagi aku. Bagi kalian yang sudah terbiasa membaca cerita hantu, kisah ini mungkin tidaklah ekstrem sangat seramnya…

Rumah sendiri. Siapa sangka, rumah sendiripun ada benda-benda ganjil yang kita sendiri tak inginkan. Kali ini, aku akan menceritakan situasi-situasi yang agak aneh berlaku di rumahku. Untuk sesiapa yang kempunan nak tahu aku tinggal di mana… aku tinggal di Selangor. Baiklah, macam ni ceritanya…

SITUASI PERTAMA
Aku suka tidur lewat. Apabila semua ahli keluargaku sudah tidur berdengkur, aku pula sedang melihat telefon bimbit, melayan aplikasi ‘TikTok’ sampailah pukul 2,3 pagi. Habitku sudah menjadi perkara biasa.

Pada suatu malam, aku seperti biasa melayan telefon bimbit dengan penuh keasyikkan. Tiba-tiba aku mendengar pintu bilik (bukan pintu bilik aku) terbuka dan tertutup acap kali. Aku jadi hairan “Eh, ada orang yang tak tidur lagi ke?” soalku sendiri.

Aku tidaklah fikir bukan-bukan dan teruskan menggosok skrin telefon bimbitku. Bunyi pintu itupun berhenti. Selang beberapa minit, pintu bilikku pula menjadi sasaran‘nya’. ‘Benda’ itu mengetuk pintu bilik aku berulang-ulang kali dengan ketukan yang sangat kuat bagaikan nak roboh. Tapi yang peliknya, ahli keluargaku yang lain tidak pula mendengar ketukan tersebut. Aku jadi tak sedap hati.

Entah mengapa aku berani sangat ketika itu, aku pergi membuka pintu bilikku. Tiada sesiapa. Tiba-tiba angin entah dari mana menerpa ke muka aku. Angin itu sejuk seperti angin peti sejuk beku. Kulitku serta merta meremang. Aku tak fikir panjang, terus pergi naik atas katil dan menyelimuti diri.

Dalam lima minit begitu, bunyi ketukan itu semakin reda. Dan debaran akupun menjadi hilang. Aku beritahu ibu aku kejadian malam tadi. Ibu aku hanya sekadar mendengar.

SITUASI KEDUA
Lepas saja solat Isyak secara berjemaah, aku terus pergi masuk bilik dan melelapkan mata. Penat sangat sampai tak mampu untuk menonton televisyen bersama keluarga.

Dalam beberapa jam kemudian, entah macam mana aku pun terbangun. Aku mengelihkan mata ke arah jam dinding. Jam menunjukkan pukul 12.30 pagi. “Dah lewat dah. Sambung tidurlah..” Ujarku sendiri. Tiba-tiba aku mendengar bunyi orang bergelak sakan di tingkat bawah iaitu di ruang tamu rumah. Suara mereka bukanlah dari ahli keluargaku. Suara mereka sangat lain.

Aku menganggar, mungkin tetamu yang datang lewat malam menghantar makanan. Untuk pengetahuan semua, kebiasaannya, pukul 12 malam masih ada jiran yang menghantar dan berkongsi makanan di rumah kami.

Jadi, akupun mengambil tudung di bilik dan menyarungkan ke kepala, seterusnya pergi turun ke bawah. Punyalah yakin, turun-turun saja… tiada orang. Lampu ruang tamu pun tutup. “Eh? Mana orangnya?” aku bingung sebentar.

SITUASI KETIGA (TERAKHIR)
Kali ini, adik aku yang kena. Aku anak sulung jadi aku ada ramai adik. Aku ada empat orang adik.

Baiklah, cerita dia.. adik aku main sorok-sorok melayan si bongsu. Eyas tukang cari. Eton dan Echa pula menyorok. Eyas seperti biasa mengira dari 1 sampai 20. Eton dan Echa pula pergi mencari tempat sesuai untuk menyorok.

Selesai mengira, Eyas pun pergilah cari dua beradik tersebut. Cari punya cari, Eton saja yang jumpa. tapi Eyas tak berputus asa dan terus mencari Echa. Selang 10 minit, Eyas sudah penat.

“Eton bagitahulah, kat mana Echa?”

“Tak silap Eton, Echa masuk dalam bilik ni tadi.”

Mereka pun masuk ke bilik yang diperkatakan. Namun, Echa tiada di situ. Keadaan semakin pelik bila mereka mendengar suara Echa ketawa terkekek-kekek tapi kelibat Echa masih tiada.

“Echa, Eyas dah tak nak main dah. Dah penat” Pujuk Eyas.

“hehehe…” itu yang Echa balas.

Tiba-tiba ibu dan abah membuka pintu utama. Echa pula bersama mereka. Eton dan Eyas mula cuak. Kalau Echa ikut ibu dan abah keluar, habis itu siapa yang bermain bersama mereka tadi. Persoalan itu masih tidak terjawab hingga ke hari ini.

Itu sahaja kisah yang kerap kali berlaku di rumahku. Maaflah kalau tak seram sangat. Akupun tak pernah jumpa hantu depan-depan. Kalau kena ganggu tu, biasalah.

Assalamualaikum.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Adlyna Afza

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.