Gangguan Saka

Ini kali pertama aku berkongsi cerita kat sini. Pengalaman ni takkan aku lupakan sampai bila-bila. Kisah ni agak panjang, harap bersabar untuk membacanya. Hehe. Kejadian ni terjadi 4 tahun yang lepas. Masa tu kami sekeluarga tengah bercuti di luar negara, dan dapat panggilan dari keluarga sebelah ayah yang nenek tengah sakit teruk, dan kini ada kat hospital. Sekembalinya ke Malaysia, iaitu dua hari selepas dapat panggilan tu, mama dan ayah aku pun pergilah melawat nenek kat hospital.

Time tu aku dah balik ke Shah Alam, sebab masih study lagi. Dapat cerita dari adik beradik ayah yang lain bahawa keadaan nenek agak teruk. Senang kata, bed-ridden lah. Lepas tu Mak Ndak cerita yang nurse dan doktor kat wad yang nenek duduk tu sampai tak boleh buat apa, bila tengok keadaan nenek yang tak duduk diam, resah gelisah. Bila waktu malam je, mula lah memekik melolong sebab katanya panas. Bahang.

Sedangkan katil nenek betul-betul bawah kipas. Dan doktor nasihatkan suruh ayah bawak nenek pulang sahaja, memandangkan nenek tak ada penyakit yang serius, cuma keadaannya nampak teruk. Sebenarnya kami sekeluarga dah faham kenapa nenek macam tu tapi masing-masing memilih untuk berdiam diri. Ayah cerita yang nenek memang ada bela saka dari zaman nenek muda-muda lagi, sebagai pertahanan diri. Biasalah, orang dulu-dulu.

Memandangkan ayah adalah anak lelaki yang sulung, ayah membuat keputusan untuk jaga nenek kat rumah. Rumah kami tu betul-betul kat sebelah hutan. Jadi bila waktu malam je, memang seram lah. Nenek duduk di bilik aku, kat bilik tengah. Sebab bilik aku je yang ada katil single, jadi senang dan sesuai lah untuk nenek. Dan bermulalah kisah seram di sini. Beberapa hari abang aku yang jaga nenek, sebab mama dan ayah ada hal apa ntah, aku dah lupa. Abang cerita yang time malam je nenek akan meracau, mulut terkumat kamit baca sesuatu, dan kedua-dua belah tangan dia ke kiri ke kanan seolah-olah macam menghalau sesuatu. Yang lawaknya abang aku ni, konon nak dijadikan bukti, dia letak video cam tepi katil nenek, dan rekod keadaan nenek bila waktu malam. Aku dan ahli keluarga yang lain masih ingat lagi video tu macam mana. Ternampak ada asap-asap hitam berkeliaran atas badan nenek, sebab tu nenek ‘menghalau’ benda tu jangan datang dekat.

Disebabkan kesian tengok keadaan nenek hampir setiap malam macam tu, kami pegi mintak air penawar dari ustaz, dan ustaz cakap bila nampak nenek meracau, spray air tu kat seluruh badan nenek. Kebetulan waktu tu aku dah cuti sem, jadi aku ada sekali lah. Malam tu mula lah sesi meracau nenek. Kami bukak lampu kuning kat bilik tengah tu. Time tu aku, abang aku dan ayah masuk nak menjenguk nenek. Aku bawak lah bekas spray air penawar tu. Nenek cakap seluruh badan dia sengal, berbisa.. Aku pun picit-picit lah badan nenek. Lepas tu dia mengadu panas pulak, kepala dia ke kiri ke kanan macam orang tak betul. Ayah dan abang kat sebelah tengah baca Yassin. Sambil mulut aku terkumat-kamit baca ayat Qursi, aku spray la air penawar kat badan nenek. Dalam kesamaran lampu bilik, nenek pandang tepat ke arah wajah aku. Tapi aku tau tu bukan wajah nenek yang aku kenal.

Pandangan mata ‘dia’ terus masuk ke dalam mata aku dan aku dapat rasa sesuatu dalam badan aku. Aku baling air penawar tu, dan aku lari pegi bilik hadapan sambil meraung macam orang gila. Aku histeria. Menangis, melolong tak ingat dunia. Kecoh jugak rumah malam tu. Mama dah mula menangis. Ayah pula peluk aku erat dan baca apa yang patut dan dengan harapan untuk cuba menenangkan aku. Hampir 15 minit lepas tu, baru aku reda. Tapi seluruh badan aku menggeletar. Ada beberapa adik beradik belah ayah datang tidur rumah kami malam tu, termasuklah boyfriend aku (dah suami aku dah sekarang) untuk meramaikan kat rumah. Nenek dah kembali ke asal dan aku dapat dengar dia merayu mintak maaf kat aku dari jauh. Kesian pula aku dengar.

Keadaan ni tak berhenti takat ni je. Kakak aku dua orang, sorang duduk kat Shah Alam, lagi sorang kat Damansara. Kak Ngah yang duduk di Shah Alam call dan cakap dia dan keluarga dia kena kacau dengan ‘benda’ kat rumah. Dari gambaran yang dia cerita, sama macam aku nampak kat dalam bilik nenek tadi. Dan selang beberapa minit kemudian, kawan serumah Along call dan cakap Along kena rasuk. Ahh sudah. Nasib baik ayah mertua kak Ngah jenis yang warak, dia lah yang bantu bawak Along balik ke rumah mama dan ayah. Kak Ngah ikut dari belakang. Sepanjang perjalanan, Along meronta-ronta nak keluar dari kereta, dan suara yang keluar darinya adalah suara ‘benda’ tu. Nasib ada mak mertua Kak Ngah tolong pegang Along.

Kak Ngah dan Along sampai subuh keesokan harinya. Mama suruh Along tidur di sebelah aku, lagipun Along time tu nampak dah okay tapi muka dia pucat. Selepas 5 minit dia baring, badan dia tiba-tiba menggeletar, habis gegar satu katil. Dan dia meraung kesakitan. Aku peluk Along, dengan aku sekali menggeletar sampai rasa nak terjatuh dari katil. Aku baca Qursi, 3Qul semua tak jalan. Aku jerit panggil ayah. Abang, ayah semua pegang Along, Along kelihatan macam nak bangun dari katil dan pegi ke bilik nenek. Along jerit cakap, “Lepaskan aku! Aku nak jumpa dia!”. Time tu jugak ustaz sampai dan cuba untuk berubat Along. Tapi Along boleh gelak je tanda perlekehkan ustaz. Lepas sesi soal jawab dengan benda tu, barulah kami tau bahawa saka nenek nak cari pengganti badan yang lain memandangkan nenek dalam keadaan tenat dan nenek tak mahu saka tu lagi. Dan benda tu nak Along. Allahu, macam nak gugur jantung aku dengar.

Sejak dari kejadian ni, kami sekeluarga memang tak tenteram. Aku jenis boleh nampak benda-benda halus. Sekali sekala aku nampak kelibat hitam keluar masuk bilik nenek, dan yang paling aku tak boleh lupa, aku dengar orang berjalan kat atas bumbung, tapak kaki tu macam gergasi tengah jalan. Aku tanya yang lain, tapi tak dengar pulak apa yang aku dengar. Keadaan Along tak sentiasa kena rasuk, ada masa dia okay, ada masa dia tak okay. Masa dia okay, dia cerita la macam mana dia nampak benda tu masuk dalam badan dia.

Along cerita yang benda tu serang jantung dia dulu. Jantung dia jadi berdegup kencang, dan dia cakap bila kami dengar dia meronta dan meraung tu sebenarnya dia tengah ‘lawan’ dengan benda tu untuk berebut jasad Along. Habis je dia cerita tu kat kami, dia menggelupur jatuh ke lantai. Along kena rasuk lagi sekali. Kali ni lebih teruk, di mana dari dada sampai ke lutut dia terangkat, seolah-olah mahu terapung. ‘Nenek’ kat dalam bilik tengah gelak-gelak. Ustaz suruh tutup pintu bilik nenek, sebab khuatiri perkara buruk akan terjadi. Lepas ustaz berubat Along, dia kembali okay. Dia tidur je selepas tu. Mungkin keletihan.

Ustaz bagitau ayah yang dia harus bawak nenek pegi ke pantai untuk buang benda dalam badan nenek, iaitu pada malam yang sama. Sebab dalam badan nenek dah sampai beranak pinak dah benda tu. Nenek dipapah duduk di atas kerusi roda, dan aku sempat tengok nenek yang di mana mukanya lain sangat. Aku hampir tak kenal nenek. Ayah pegi pantai tu dengan abang, sepupu lelaki aku dua orang dan boyfriend aku. 30 minit kemudian, ayah telefon mama dari pantai, cakap yang Ustaz tengah buangkan benda tu dari badan nenek, Ustaz mintak tolong tengokkan keadaan Along. Dalam tengah bercakap tu, badan Along menggeletar lagi sekali.

Jenuh kami adik beradik cuba menenteramkan Along. Rupa-rupanya benda tu transfer dari badan nenek ke badan Along. Ustaz terpaksa bermalam di rumah kami untuk memantau keadaan Along. Keesokannya Along masih kelihatan teruk, dan ustaz panggil tok gurunya untuk datang membantu. Ustaz dan tok guru merawat Along di bilik hadapan, dan menyuruh ayah dan abang untuk membuka tingkap di hadapan katil. Dan tok guru mintak abang, ayah, boyfriend aku, dan dua orang sepupu lelaki aku untuk standby pegang Along. Bila tok guru mula membaca ayat-ayat suci Al-Quran, along dah start meraung dan gelak dalam masa yang sama.

Badan dia terangkat, dan lelaki-lelaki yang ada kat dalam bilik tu pegang Along. Tapi tok guru cakap, “Kalau ‘dia’ nak terapung, biar lah ‘dia’ terapung.” Semua yang ada dalam bilik tu lihat dengan mata mereka sendiri Along terapung di atas katil. Ayah tanya kenapa jadi macam ni? Tok guru cakap bumi dan langit tak nak terima benda dalam badan Along, sebab tu dia terapung. Aku, mama dan ahli keluarga perempuan yang lain semua tunggu di luar bilik. Aku cuba menenangkan mama yang tengah teresak-esak menangis. Dan Pak Su tengah pantau keadaan nenek di bilik tengah. Katanya nenek kelihatan lemah.

Lama jugak ustaz dan tok guru merawat Along. Selesai je merawat Along, benda tu pun dah berjaya dibuang keluar tingkap, Pak Su beritahu yang nenek tengah nazak. Pak Su ajar nenek untuk mengucap, dan selepas tu, nenek pun menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu pada hari Jumaat. Perasaan kami sekeluarga pada ketika tu bercampur baur. Lega sebab keadaan Along dah okay. Sedih sebab nenek dah pergi meninggalkan kami. Urusan mengebumikan nenek berjalan dengan lancar, Alhamdulillah.

Walaupun dah 4 tahun berlalu, saka tu masih berkeliaran di luar rumah. Sekali sekala ada juga aku nampak, kejap atas pokok di luar rumah, kejap terapung atas pagar rumah, tapi ustaz cakap jangan risau, dia tak boleh kacau kami sekeluarga lagi dah. Dan sampai sekarang Along takkan jejak kaki ke dalam bilik tengah, sebab dia cakap masih dapat rasa ‘bau’ benda tu dalam bilik tu. Wallahuallam..

Azreen

Leave a Reply

1 Comment on "Gangguan Saka"

avatar
Sort by:   newest | oldest | most voted
Yusz

Seramnya..best..menarik

wpDiscuz