Salam kepada admin dan sahabat-sahabat FS yang dihormati. Namaku Azim.
Hujung tahun 2018 yang lepas, atas sebab-sebab tertentu aku berhenti kerja dari sebuah syarikat yang aku telah bekerja selama hampir dua puluh tahun. Sejak lebih tiga bulan lepas, aku mula bekerja di tempat baru, dengan persekitaran dan teman-teman sekerja yang baru juga. Di tempat baru ini masaku lebih fleksibel dan tidak sepadat jadual kerja di syarikat lama, jadi aku ada lebih masa untuk berkongsi pengalaman dengan sahabat-sahabat FS.
Kisah berikut terjadi dalam kalangan saudara terdekatku sendiri. Semua kisah yang telah dan akan aku kongsikan, tujuan aku cuma satu, iaitu agar ianya dapat menjadi pedoman dan pengajaran buat kita semua, insyaAllah.
GANGGUAN JIN
“Meow! Meow!” Satu bunyi halus dan gemersik menyentuh gegendang telinga Sara yang sedang solat.
“Meow! Meow!” Bunyi itu kedengaran lagi sewaktu Sara hampir selesai solat, ketika dia sedang duduk dalam tahiyat akhir.
Sesudah memberi salam dan berdoa ringkas, Sara melihat ke kiri, tidak kelihatan apa yang mungkin dicarinya. Pandangannya beralih pula ke kanan, masih tiada apa-apa. Kemudian Sara bangun, membuka telekungnya sambil matanya mengimbas setiap sudut bilik tidurnya, namun masih gagal menemui anak kucing yang mengiau tadi.
Sara geleng kepala, “mungkin anak kucing tu masuk sekejap ke dalam bilik dan keluar kembali sebelum sempat aku selesai solat tadi,” bisik Sara sendiri. Sara yakin bunyi itu bukan perasaannya semata-mata kerana dia mendengar bunyi mengiau itu dengan begitu jelas biarpun tidak terlalu kuat.
Beberapa hari berlalu. Sara sudah melupakan apa yang terjadi. Apa yang nak diingatkan sangat tentang bunyi anak kucing? Memang tidak signifikan untuk diingati… sehinggalah hari berikutnya.
“Meow! Meow!” Kali ini ia berbunyi bukan waktu Sara sedang solat, dan bukan di dalam bilik tidur Sara, tetapi di dalam bilik tidur satu lagi, iaitu bilik adiknya, Mira. Sara segera cuba mencari arah datangnya bunyi itu walaupun dia sendiri keliru dari arah mana sebenarnya bunyi itu datang. Bunyi anak kucing itu seolah-olah tepat di telinganya. Matanya liar memerhati sekeliling, celah-celah almari, atas, bawah dan dalam almari, bawah katil dan juga di sebalik timbunan kain-kain basuhan kering yang belum sempat dilipat, namun masih hampa. Langsung tiada kelibat anak kucing.
Kali ini Sara dah mula merasa pelik. Jika benar itu adalah bunyi seekor anak kucing, mana mungkin secepat itu anak kucing tersebut berlari keluar dari bilik tidur adiknya, sedangkan bunyi itu kedengaran terlalu hampir dengan telinganya. Sara segera keluar ke ruang tamu. Adik dan emaknya sedang berborak santai di situ.
“Mak, adik… ada nampak tak anak kucing keluar dari bilik ni tadi?” Tanya Sara kepada mak dan adiknya sambil menunjuk kepada bilik adiknya.
“Entah, tak perasan pulak,” jawab Mira sambil berkerut dahi.
“Ya lah, tak ada pula nampak,” emaknya pula menambah.
“Kenapa kak?” Tanya Mira dengan perasaan ingin tahu.
“Mmmm…” Sara macam berkira kira sama ada patut dia ceritakan atau tidak. Tetapi bila melihat reaksi wajah Mira yang tertunggu-tunggu jawapannya, akhirnya dia bercerita. “Tadi masa kat dalam bilik, ada bunyi anak kucing mengiau. Dah cuba cari dalam bilik, tapi tak ada. Sebab tu saya tanyakan kepada mak dan adik tadi.”
“Ooo begitu, mungkin masa anak kucing tu keluar tadi kami tak perasan kot,” Mira membuat teori.
“Ya la kot… agaknya,” Sara menyokong… walaupun hatinya tidak dapat menerima sepenuhnya teori Mira itu.
Tidak seperti bunyi kali pertama dulu, bunyi kali kedua ini meninggalkan persoalan di dalam fikiran Sara kerana dia cukup yakin dia mendengar bunyi anak kucing tersebut dan dia juga yakin tak mungkin secepat itu anak kucing itu lari keluar dari bilik, apatah lagi tanpa dilihat oleh emak dan Mira yang berada di ruang tamu. Ruang tamunya tidaklah berapa luas, malah jarak antara pintu bilik Mira dengan tempat emak dan Mira duduk berbual pun hanya lebih kurang dalam dua meter.
“Meow! Meow!” Selang beberapa hari berikutnya, sewaktu berada di dalam bilik tidurnya, bunyi anak kucing itu bertandang lagi ke telinga Sara. Kali ini pada waktu malam. Suami Sara iaitu Amar ada bersama di dalam bilik.
“Meow! Meow!” Ia berbunyi lagi. Tak mungkin bunyi itu datang dari luar bilik kerana ianya amat jelas di pendengaran Sara.
“Abang dengar tak?” Tanya Sara kepada Amar.
“Dengar apa?” Soal Amar kembali memandang Sara.
“Bunyi anak kucing mengiau, beberapa kali dia berbunyi baru je sekejap tadi.”
“Tak ada dengar apa-apapun.”
“Abang ni betul-betullah, takkan abang tak dengar, saya dengar jelas sangat tadi.”
Sedang Sara cuba meyakinkan Amar, tiba-tiba, “Meow! Meow!”
“Hah bang, dia tengah berbunyi sekarang, abang dengar tak?” Bersungguh-sungguh Sara bertanya dengan harapan agar Amar menjawab bahawa diapun mendengar bunyi tersebut.
Berkerut dahi Amar mencuba untuk fokus dan memasang telinganya besar-besar dengan harapan dapat memberi jawapan yang diharapkan oleh isterinya, tetapi;
“Tak ada pun…” Jawab Amar.
Sara terdiam. Melihat reaksi Amar, Sara tahu bahawa Amar tidak menipu dan tidak juga sedang bergurau bila mengatakan yang dia tidak mendengar bunyi anak kucing itu.
Sekarang jelaslah kepada Sara bahawa sememangnya anak kucing itu tidak wujud, hanya dia seorang sahaja yang mendengar suara anak kucing tersebut… dan bunyi mengiau itu pula bukan datang dari mana-mana arah, tetapi memang berbunyi di telinganya.
Beberapa hari berselang.
Nenek Som merenung tajam tepat ke muka Sara. Keadaan itu berlangsung selama beberapa minit sebelum Nenek Som membuka mulut;
“Ada jin yang mengganggu Sara,” kata Nenek Som.
Bapa Amar, yang juga bapa mertua Sara, Pak Hussin namanya, membawa Sara bertemu Nenek Som setelah cerita mengenai bunyi anak kucing di telinga Sara sampai ke pengetahuannya. Pak Hussin ada juga cuba berikhtiar merawat Sara dengan cara merendam cincin yang dipakainya ke dalam air dan memberi Sara minum air rendaman cincin tersebut. Tidak pula Sara pasti apa jenis dan apa istimewanya cincin itu. Sara sekadar patuh pada kehendak dan ikhtiar bapa mertuanya. Bila cara tersebut tidak menampakkan hasil, Pak Hussin membawa pula Sara bertemu Nenek Som yang tinggal hanya beberapa kilometer dari rumah Sara.
“Aku perintahkan kau jangan ganggu wanita ini lagi,” agak keras Nenek Som memberi amaran kepada jin yang mengganggu.
Ada perkara yang agak mengganggu fikiran Sara waktu berubat dengan Nenek Som, iaitu setiap kali Nenek Som berdialog dengan makhluk yang didakwanya adalah jin yang mengganggu Sara, Nenek Som akan bercakap dalam bahasa Indonesia, sedangkan dia adalah orang tempatan di daerah yang terletak di negeri Kelantan tersebut. Hanya waktu berubat sahaja Nenek Som akan bercakap bahasa Indonesia, sedangkan selain daripada itu bahasa percakapannya adalah normal, loghat daerahnya sama seperti percakapan orang-orang tempatan yang lain.
Hanya sekali Sara pergi berubat dengan Nenek Som kerana Sara kurang sedap hati dengan cara rawatan Nenek Som.
Selepas membuat rawatan kali pertama dengan Nenek Som, Pak Hussin ada bertanyakan kepada Sara, “Masih ada lagi bunyi anak kucing di telinga Sara?”
“Dah tak ada Ayah,” jawab Sara, walaupun hakikatnya bunyi itu masih ada, dan masih lagi sekerap sebelum berubat dengan Nenek Som.
Bunyi itu masih berterusan, selalunya selang beberapa hari, tapi ada masanya berturut harinya ia berbunyi.
Setahun selepas itu.
Sewaktu cuti sekolah, Sara bersama emaknya dan Amar berkunjung dan bermalam di rumahku di Rawang, Selangor untuk beberapa malam. Saja sekali-sekala mereka turun ke bandar bertukar angin. Sempatlah juga aku jadi pemandu pelancong dan bawa mereka melawat beberapa tempat menarik sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Untuk makluman, emak Sara adalah emak saudaraku, jadi hubungan aku dan Sara adalah sepupu.
Suatu hari, sewaktu aku, Sara, emak Sara dan Amar sedang minum petang sambil berbual-bual di ruang tamu rumahku, Sara bersuara, “Abang Azim, boleh tak Sara nak beritahu satu perkara?”
“Boleh, apa salahnya,” jawabku, sambil hatiku berbisik, “macam ada perkara penting sahaja dari nada pertanyaan Sara ni.”
“Lebih kurang setahun yang lepas, Abang Amar ada terlanggar seekor anak kucing. Masa tu Abang Amar tengah undurkan kereta Pajeronya untuk keluar pergi kerja. Dia tak perasan ada anak kucing sedang tidur berhampiran tayar belakang keretanya, jadi dia tak sedar bila tayar keretanya menggilis anak kucing tu. Habis lenyek anak kucing tu, habis semua keluar tali perutnya,” cerita Sara. Emak Sara dan Amar cuma terangguk-angguk mendengar Sara bercerita kepadaku.
Setahuku, di rumah Sara, ada seekor kucing. Aku tahu kerana setiap kali aku pulang ke kampung ke rumah orang tuaku, biasanya aku akan berkunjung juga ke rumah keluarga Sara yang jaraknya lebih kurang empat puluh kilometer dari rumahku. Tiada siapa tahu dari mana datangnya kucing tersebut, mungkin kucing jalanan atau mungkin juga yang dibuang orang. Waktu mula-mula berada di situ, keadaan kucing tersebut amat menyedihkan sekali, bulunya kusut dan kotor, tetapi yang paling aku kasihan adalah sebelah matanya buta, dengan bola matanya tersembul keluar dan berlendir. Bila selalu diberi makan, akhirnya kucing tersebut tinggal tetap di rumah Sara. Semakin lama keadaanya bertambah baik, bulunya semakin terjaga, matanya hanya tinggal sebelah, bebola mata yang tersembul keluar dulu telah tiada dan hanya ada kesan parut pada lubang matanya yang separuh bolong. Melalui cerita Sara, tahulah aku bahawa anak kucing yang mati digilis tayar kereta Amar itu adalah anak kepada kucing yang buta sebelah matanya itu.
Kemudian Sara menyambung, “beberapa hari selepas tu, Sara terdengar bunyi anak kucing mengiau. Mula-mula Sara ingatkan ada anak kucing di dalam rumah, tetapi bila cari tak ada. Bila Sara tanya mak dan abang Amar pun mereka tak dengar bunyi anak kucing tu. Sampai sekarang bunyi tu masih ada, yang peliknya bunyi tu hanya terdengar di telinga sebelah kanan sahaja, sebelah kiri tak ada.”
“Kerap ke dengar bunyi tu?” Tanyaku.
“Biasa setiap kali berbunyi ada lah beberapa kali dia mengiau. Bunyinya pula kadang-kadang dua hari berturut, kadang-kadang selang beberapa hari. Macam ni lah Bang Azim sejak setahun lepas,” Sara seperti mengeluh.
Aku termenung sekejap memikirkan penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi oleh Sara. Sejurus kemudian, aku bangun dan meminta diri untuk masuk ke bilik tidurku sekejap. Aku ambil satu botol semburan plastik jernih bersaiz kecil dengan kapasiti 150ml dan kembali ke tempat kami berbual tadi. Aku memang sentiasa menyimpan botol tersebut yang telah aku isikan air yang aku bacakan beberapa ayat sebagai persediaan jika keadaan memerlukan.
Pada jarak lebih kurang satu meter, aku semburkan air dari botol menghala ke telinga kanan Sara. Kalau dekat sangat takut air masuk ke dalam telinga pula, jadi pada jarak tersebut cukup untuk titisan-titisan air semburan sampai ke telinga Sara.
“Kita tengok nanti bagaimana, insyaAllah semuanya akan selamat, banyakkanlah berdoa,” kataku memberi harapan.
Gangguan berbentuk bunyi anak kucing di telinga seolah-olah tiada apa-apa yang perlu dirisaukan, dan tidak terlalu menakutkan orang yang mengalaminya, tetapi apa sahaja bentuk gangguan, walaupun tidak menakutkan, tidak boleh dipandang ringan. Ada beberapa pengalaman oleh kawan-kawanku sendiri di mana pada awalnya gangguan yang dihadapinya tidak serius, tapi semakin lama gangguan yang terjadi semakin banyak dan semakin menakutkan.
Malam itu.
Selepas solat Isyak, di dalam bilikku, aku mulakan operasi. Aku mulakan dengan solat hajat, bermunajat dan memohon kepada Allah agar dipermudahkan usahaku membebaskan Sara dari belenggu khianat syaitan yang ada pada dirinya. Aku hadirkan ke dalam diriku dengan sepenuhnya bahawa tiada yang lebih besar dan lebih berkuasa selain daripada Allah, Sang Penguasa langit dan bumi serta seluruh alam semesta. Aku pejamkan mata, sambil mulutku berzikir berterusan memohon kepada-Nya agar menghadirkan makhluk yang mengganggu Sara di hadapanku.
Beberapa minit kemudian, yang ditunggu tiba jua akhirnya. Berdiri di hadapanku satu makhluk bertubuh agak tinggi, tubuhnya gelap, hampir samar-samar. Di kiri dan kanan kepalanya terpacak dua tanduk, juga berwarna hitam dan tidak terlalu panjang. Tubuhnya terikat ketat sehingga menyukarkannya untuk bergerak. Matanya merah, menahan marah bercampur keliru.
“Bagaimana aku boleh berada di sini!!?” Bentaknya menyoalku.
Sebagai hadiah pertemuan, tanpa menjawab soalannya, aku letakkan nyalaan api yang membahang di bawah kakinya. Lidah api menjulang hingga melepasi kepala makhluk tersebut.
“Aduh… Panassss! Panasssss!” Jerit makhluk tersebut.
“Itu hadiah dari aku kerana kau dah mengganggu sepupuku Sara. Sekarang aku pula nak tanya kau, nama kau siapa?”
“Tak payahlah kau tahu nama aku.” Makhluk itu masih berdegil biarpun sedang manahan kesakitan bahang api yang membakar.
“Baik, oleh sebab kau tak nak cakap, aku panggil kau Hitam je, sebab tubuh kau semuanya hitam.”
“Suka hati engkau lah!”
Aku padamkan api untuk memudahkan dia menjawab soalan bila aku bertanya. Hitam termengah-mengah, tubuhnya berasap manakala mukanya menunjukkan reaksi yang teramat marah.
“Yang kau nak marah ni kau tak serik lagi ke kena bakar? Kau nak hadiah lain pula ke!?” Soalku sambil mengugut Hitam.
Perlahan-lahan marah Hitam mula kendur, “baiklah, aku mengaku kau memang hebat.”
“Aku tak hebat, aku tiada apa-apa kuasa, yang hebat hanya Allah! Allah akan bantu hamba-Nya yang teraniaya. Kau dah aniaya Sara,” tegasku.
“Dia yang buat pasal dengan aku dulu, lakinya dah bunuh anak kucing kepunyaanku,” Hitam membela diri.
“Alasan kau saja tu. Sejak bila pula kau bela anak kucing tu? Dan kenapa kau marah kepada laki dia tapi Sara yang kau kacau?”
“Setiap hari aku tengok anak kucing tu dari tempat tinggalku… kadang-kadang aku bermain dengannya. Memang aku marah kepada laki Sara sebab dia bunuh anak kucing aku tu, tapi Sara jenis lemah semangat, lebih mudah untuk aku kacau.”
“Oh, kau tinggal dekat-dekat situ ya? Kat mana? Kat pokok kuini yang tinggi dan rimbun yang kat depan rumah tu ke?”
“Ya, itu rumah aku.”
“Sara dan keluarga dia yang bagi makan dan jaga, kau pula yang mengaku anak kucing tu kau punya, memang tak tau malu kau ni,” aku saja nak psiko Hitam.
“Ahh… aku tak peduli semua tu, yang aku tahu mereka dah bunuh anak kucing aku… dan aku mesti membalasnya.”
“OK, kau nak balas dendam kan? Sekarang ni apa kau nak buat?”
Hitam terkebil-kebil, dia tahu dia tak boleh buat apa-apa dalam keadaan terikat pada waktu itu. Ada juga sesetengah makhluk yang tertangkap yang menghembuskan sihirnya waktu terikat itu, tetapi selalunya aku memang telah bersedia untuk sebarang kemungkinan. Nampaknya ilmu yang Hitam ada tidak cukup untuk dia berbuat seperti sesetengah makhluk tersebut.
“Baiklah, aku tak mahu buang masa bercakap lama dengan syaitan macam kau. Sekarang aku nak kau ambil balik semua racun yang kau dah letak dalam badan Sara, di rumah keluarganya dan juga di semua tempat,” aku memberi arahan.
“Dan, aku tak mahu kau ataupun puak-puak kau mengganggu Sara dan keluarganya lagi. Kalau aku dapat tangkap kau lagi sekali, nahas kau nanti!” aku menambah.
“Kalau aku tak mahu ikut arahan kau, apa kau nak buat?” Hitam masih cuba menguji kesabaranku.
Dengan dua jariku, jari telunjuk dan jari tengah, aku buat isyarat memotong.
“Hahhhhhhhhh… apa kau dah buat?” Jerit Hitam. Sebelah tanduknya hanya tinggal pangkalnya sahaja.
“Kau tanyalah banyak-banyak soalan lagi, supaya lepas ni aku boleh potong tanduk kau yang satu lagi pula, kalau tak cukup lagi aku potong pula tangan atau kaki kau. Kau pilihlah sendiri.”
“Baiklah, aku dan puak-puak aku akan ambil balik semua racun yang aku dah tabur,” akhirnya Hitam mengalah.
“Kau nak aku bagi tempoh berapa minit untuk kau ambil balik racun kau tu?” Soalku.
“Aku nak tiga puluh minit.”
“Lama benar tempoh kau minta, aku bagi kau sepuluh minit cukup. Nanti kalau dah habis tempoh tapi kau masih belum habiskan kerja kau tahulah nasib kau.”
“Ya lah! Ya lah!” Bengang Hitam aku potong separuh tempoh masa yang dia minta.
“Dah! Kau buat kerja kau sekarang, masa sepuluh minit kau dah bermula.”
Menanti habis tempoh sepuluh minit, aku pejamkan mata, berzikir dalam hati tanpa henti.
“Dah, aku dah siapkan kerja aku,” Hitam kembali dengan laporan.
“Baik, sebab kau ikut cakap aku tadi, aku bebaskan kau. Tapi ingat, jangan sampai kita berjumpa lagi. Kalau kita berjumpa lagi maknanya ada orang yang kau dah kacau. Masa tu aku tak akan bagi peluang lagi untuk kau. Sekarang kau boleh pergi dari sini,” aku memberi amaran dan melepaskannya dari ikatan. Hitam hanya mengangguk dan berlalu dari situ.
Kepada sahabat-sahabat yang bertanya bagaimana aku menggempur Tuan Sheikh di dalam kisah Tuan Sheikh sebelum ini, aku menggunakan modus operandi yang sama seperti aku menangkap Hitam. Rupa Tuan Sheikh adalah jin berupa manusia berkepala gajah, ada belalai dan ada lapan tangan. Setiap kali dia berdegil atau loyar buruk bila aku bertanyakan soalan, aku potong belalainya terlebih dahulu, kemudian aku potong tangannnya pula satu persatu. Sewaktu soal jawab, Tuan Sheikh ada memberitahuku kononnya di dalam badan Imah ada dua jenis jin, iaitu ada jin baik dan ada jin jahat… dan Tuan Sheikh mengaku bahawa dia adalah jin baik, dia hanya menjaga Imah. Sudah tentu aku tak percaya Tuan Sheikh adalah jin baik. Kalau baik dan kalau dia menjaga Imah, kenapa dia tak menghalang perbuatan jin jahat yang menggganggu Imah? Jadi, jangan sekali-kali kita terpedaya dengan jin yang mengaku baik.
Esoknya.
“Abang dah tolong tengokkan, lepas ni kalau ada lagi bunyi anak kucing beritahu abang cepat-cepat ya,” kataku kepada Sara.
“Baik Abang Azim, apa-apa nanti Sara akan beritahu.”
Dalam keadaan tertentu, bila sesuatu gangguan berjaya dihapuskan, akan ada gangguan oleh makhluk yang lain pula. Ada makhluk halus yang boleh membaca memori pesakit dan lebih senang untuknya membuat gangguan kepada pesakit dengan cara yang sama dengan gangguan makhluk sebelumnya, tetapi jika pesakit cepat membuat rawatan, gangguan baru tak akan sempat bertapak lama, manakala makhluk lain akan lebih susah untuk mengganggu pesakit yang sama lagi. Sebab itu aku berpesan kepada Sara agar segera memberitahuku jika selepas ini bunyi anak kucing di telinganya terjadi lagi.
Sepanjang beberapa hari tinggal di rumahku, tiada bunyi anak kucing yang kedengaran di telinga Sara. Beberapa hari kemudian, Sara, emak dan suaminya bergerak pulang ke kampung. Aku harap Sara dah pulih, tetapi manusia hanya boleh mengharap dan berikhtiar, kehendak Yang Maha Kuasa tetap mengatasi segala-galanya.
Beberapa hari berikutnya.
“Meow! Meow!” Telinga Sara kembali mendengar bunyi anak kucing.
Seperti pesanku, tanpa berlengah Sara memberitahu kepadaku tentang perkembangan terbaru itu.
“Ni mesti yang lain pula datang mengacau,” bisik hatiku.
Aku mempunyai beberapa kaedah dalam rawatan, ada kaedah yang mengambil masa yang agak panjang, ada juga yang ringkas, bergantung kepada situasi. Kebiasaannya aku akan lakukan kaedah yang ringkas terlebih dahulu, jika masalah belum selesai baru aku akan beralih kepada cara yang lebih panjang. Malam itu, seperti biasa selepas solat Isyak, aku mulakan operasi. Kali ini aku hanya lakukan satu operasi ringkas, sebab pada waktu siangnya aku sibuk dengan kerja, jadi badanku agak kepenatan.
Setelah berdoa memohon ke hadrat Allah agar membantuku, di samping memohon agar Dia melindungiku sepanjang ikhtiar aku memerangi gangguan syaitan terhadap Sara kali ini, aku mula fokus. Dalam keilmuanku, kali ini aku nampak makhluk yang mengganggu Sara adalah jin yang berdamping dengan Nenek Som. Dia dah ikut Sara seawal Sara bertemu Nenek Som dulu lagi, tapi dia tak dapat mengganggu Sara kerana waktu itu Hitam masih menguasai Sara.
Aku hantar api yang menyala-nyala, dengan bahangnya yang amat panas dan berbunyi seperti mengaum ke hadapan jin Nenek Som.
“Aku bagi kau amaran, lima minit lagi kalau kau tak hentikan gangguan kau, tak ambil balik racun kau dan tak batalkan niat untuk mengganggu Sara lagi, aku akan musnahkan semua sekali termasuk kau dan puak-puak kau sekali,” aku memberi kata dua kepadanya.
Selepas itu aku tunggu. Aku dah tak peduli apa reaksi atau jawapan dari jin Nenek Som tersebut. Lima minit lagi aku akan sapu semuanya. Pada awal penglibatanku dalam bidang rawatan, biasanya aku akan terus musnahkan makhluk yang mengganggu tanpa memberi apa-apa amaran, tetapi ada beberapa kejadian yang membuatkanku lebih sabar dan memberi peluang dengan memberi amaran terlebih dahulu kepada makhluk yang aku perangi. Jika mereka berdegil juga baru aku akan musnahkannya.
Lima minit kemudian. Aku musnahkan semuanya. Aku dah tak melihat sama ada jin Nenek Som mendengar amaranku dengan mengambil balik racunnya dan berhenti mengganggu Sara atau sebaliknya masih berdegil. Jika dia degil, dia akan musnah, jika sebaliknya dia akan selamat. Menutup operasi, aku berdoa kepada Allah agar memberikan kesembuhan kepada Sara dan tiada lagi gangguan lain selepas itu.
Dua tahun berlalu selepas kali terakhir Sara mendengar bunyi anak kucing di telinganya.
“Meow! Meow!” Tiba-tiba bunyi itu hadir lagi ke telinga Sara, baru sahaja sekitar dua bulan lepas iaitu pada bulan Ogos 2019.
Masih ingat pesanku kepadanya dua tahun yang lepas, Sara segera memberitahuku tentang bunyi anak kucing yang kembali didengarinya itu. Semasa Sara menghantar pesanan teks melalui aplikasi WhatsApp memberitahuku tentang perkara itu, aku sedang bersarapan bersendirian di restoran mamak berhampiran rumahku. Aku tahu gangguan berulang yang berlaku kepada pesakit setelah agak lama gangguan yang sebelumnya berjaya dihapuskan biasanya akan lebih mudah dimusnahkan. Jadi aku tidak melakukan operasi pada waktu malam seperti kebiasaannya.
Sejurus selepas menerima pesanan teks dari Sara, aku merenung meja di hadapanku, dengan teh tarik dan roti canai banjir yang dah habis separuh aku makan di atasnya. Aku sebenarnya sedang cuba fokus, lebih mudah jika aku memejamkan mata, tapi aku takut nanti mamak kedai tu ingat aku tertidur sambil duduk pula.
Seperti biasa aku terlebih dahulu memberi amaran; “Apa sahaja yang mengganggu Sara, hentikan sekarang. Aku cuma bagi lima minit, selepas tu kalau masih ada yang mengganggu dan yang berniat mengganggu aku akan musnahkan semuanya.”
Padaku, lima minit adalah tempoh yang tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek, jadi itu adalah jangka masa standard yang aku berikan kepada makhluk-makhluk yang aku beri amaran, kecuali dalam keadaan tertentu dan bergantung juga kepada mood aku pada masa tersebut.
Sambil menunggu lima minit, sempatlah aku habiskan roti banjir dan minum teh tarik hingga tinggal separuh gelas. Cukup lima minit, aku musnahkan semuanya. Dah malas aku nak susul jin mana punya angkara.
Minggu lepas, pertengahan bulan Oktober 2019, aku pulang ke kampung kerana ada perkara yang perlu aku uruskan di sana. Aku sempat menziarahi emak saudaraku dan Sara sekeluarga sambil bertanya khabar.
“Meow meow bagaimana? Masih ada?” Tanyaku kepada Sara.
“Alhamdulillah, setakat ni dah tak ada, bunyi sekejap sahaja iaitu hari yang saya beritahu Abang Azim dulu tu,” jawab Sara.
“Alhamdulillah, harap-harap lepas ni dah tak ada lagi.”
“InsyaAllah.”
Sehingga kisah ini aku nukilkan, tiada lagi bunyi anak kucing di telinga Sara, semoga ianya tidak berulang lagi.
Kepada sahabat-sahabat yang sedang berdepan dengan masalah gangguan jin, harap tidak berputus asa dalam ikhtiar merawat diri, semoga bertemu perawat yang serasi dan diberi kesembuhan oleh Allah S.W.T.. Salam hormat juga kepada perawat-perawat di luar sana yang sentiasa sabar dan istiqamah dalam jihad menentang pengkhianatan jin dan syaitan terhadap manusia walaupun terpaksa meletakkan diri dan keluarga dalam risiko diserang jin-jin yang berdendam. Aku sendiri telah beberapa kali diserang, tetapi Alhamdulillah setakat ini Allah masih memeliharaku. InsyaAllah akan aku kongsikan dalam kisah-kisah yang akan datang.
Semoga kita semua sentiasa dilindungi oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Amin Ya Rabbal Alamin!
-AZIM-
Semoga Allah merahmati tuan , Dan semoga tuan terus istiqomah melawan makhluk yg mggngu manusia
InsyaAllah. T.kasih atas doa.
assalamualaikum..jika tidak keberatan..boleh saya tanya en azim betul2 seorang pengubat atau pun rekaan..kerana saya dan kluarga ingain meminta pertolongan..jika sudi menolong kami..sy tinggalkn no hpon suami..017 7848457-megat zaim ( kami tinggal di johor ).. terima kasih..
Baik2 puan. Takut ada azim fake di sini ya. Sekadar ingatan 😊
Assalamualikum dan salam sejahtera azim. Sy berhajat nak memohon bantuan dr azim dgn IzinNya. Dah hampir 5 tahun disihir belum ada tanda2 nak sembuh. Merata dah ikhtiar. Kalau azim sudi utk membantu, email sy [email protected].
Sy tinggal di Kelantan dan berasal dari kedah. Tq
assalamualaikum..jika tidak keberatan..bolehkah sy bertanya..adakah en azim seorang pengubat atau pun rekaan..kerana sy bersama kluarga ingin meminta pertolongan..jika en azim sudi menghulurkan bantuan..sy tinggal kan no hpon suami sy 017 7848457 – megat zaim ( kami tinggal di johor )
Wslm. Blh email dulu ke;
[email protected]
Tq
Assalamualaikum. Jika tidak keberatan boleh tak En Azim ikhtiarkan rawatan untuk mak saya yang menghadapi gangguan makhluk halus. Semakin menjadi². Dah beberapa kali mendapatkan rawatan dari perawat Islam tapi masih tiada kesembuhan. Email saya: [email protected]
Semoge sudi share lagi cerita2 pengalaman saudara disini…
Tq saudara. InsyaAllah.
Assalamualaikum, sy nak tanya encik memang betul2 perawat atau cerita encik adalah rekaan semata-mata?
Ini cerita gaban hitam lah. Rawat pakai api amenda…. Ngarut
Maaf, tapi dengan izin allah, boleh je perawat dengan cara ni. Ada je. Cuma yy ada kelebihan. Ayat2 alquraan lah yg di gunakan sebagai api, memotong dll.. semua dengan izin allah, kalau tak di izinkan takde lah jadi