Assalamualaikum semua. Aku nak kongsikan satu pengalaman yang mengubah prinsip hidup aku. Dulu, aku seorang yang sangat skeptikal. Bagi aku, hantu atau gangguan mistik ni hanyalah imaginasi orang yang lemah semangat. Tapi, peristiwa di sebuah kem motivasi di pedalaman Perak dua tahun lepas benar-benar “mengajar” aku.
Kisahnya bermula apabila kawan baik aku, Sara, beria-ia mengajak aku dan seorang lagi rakan, Tasha, untuk sertai kem kepimpinan di sebuah kawasan hutan simpan. Aku mulanya malas, malah masa kemas beg pun aku rasa berat hati sangat. Biasanya aku akan selitkan buku doa atau Al-Mathurat, tapi kali ni aku sengaja tinggalkan sebab nak ringankan beg. Satu kesilapan besar.
Perjalanan ke kem tu sangat dalam. Bayangkan, dari jalan utama, bas kami masuk ke dalam jalan balak selama hampir dua jam. Kiri kanan cuma pokok besar dan kabun sawit tinggal. Suasana bilik kami pun suram. Kami ditempatkan di dorm paling hujung, betul-betul bersebelahan dengan blok tandas lama yang berlumut.
Kami berkongsi dorm dengan tiga pelajar lain. Salah seorang daripada mereka, Dina, memang ada “deria keenam”. Sejak awal lagi dia dah nampak gelisah. Petang pertama, ketika kami berehat sekitar jam 6:30 petang, keadaan asrama sangat bising dengan suara pelajar lain. Tapi peliknya, sebaik saja azan Maghrib berkumandang, suasana jadi sunyi sepi secara mendadak.
Apabila kami keluar bilik, satu kelibat manusia pun tak nampak. Padahal tadi bukan main riuh. Kami berlima terpaksa berjalan dalam gelap menuju ke dewan makan. Masa itulah Dina mula mengadu bahunya sakit sangat, macam ada benda yang bertenggek. Bila kami suluh, ada kesan lebam kebiruan yang jelas di bahunya.
Malam itu, keadaan makin parah. Bilik kami ada satu pintu belakang yang menghadap terus ke hutan. Si Sara ni pula gatal tangan pergi buka pintu tu sebab katanya panas. Aku terpaksa tidur di katil paling hujung, rapat dengan tingkap yang cerminnya sudah retak seribu.
Tengah malam, ketika semua sudah tidur, aku terdengar suara halus berbisik tepat di telinga aku. Dia panggil nama aku, “Mayaaa… Mayaaa…”. Aku tersentak! Aku cuba kuatkan semangat dan bangun untuk petik suis lampu.
Zup!
Lampu kalimantang tu berkelip-kelip (flicker). Dalam cahaya yang kejap ada kejap tak ada tu, aku nampak satu bayangan hitam yang sangat tinggi berdiri tegak di hujung katil aku, menghadap dinding. Aku tak berani tegur. Aku terus baring, selubung satu badan dengan selimut sambil pasang ayat suci dari telefon bimbit. Peliknya, setiap kali aku letak telefon tu dekat dengan kepala aku, rakaman tu akan terhenti (pause) sendiri.
Pagi esoknya, sekitar jam 5:15 pagi, aku bangun awal untuk mandi. Aku dengar suara Tasha panggil aku dari arah koridor, “Maya, pergi tengok tandas kejap, ada orang tak? Aku nak mandi ni.”
Sebab aku dengar macam ada suara orang bersembang di tandas, aku pun pergi sorang diri. Tapi bila sampai sana, kosong. Sunyi sepi. Bila aku balik ke bilik dan tanya Tasha, dia terpinga-pinga. “Mana ada aku panggil kau? Aku dari tadi tengah cari tuala dalam beg ni.”
Darah aku terus tersirap. Jadi, siapa yang panggil aku tadi?
Masuk hari kedua, keadaan jadi kucar-kacir. Dina dan dua orang peserta lain diserang histeria. Mereka menjerit dalam bahasa yang kami tak faham. Kami semua diarah berpindah ke dewan besar untuk keselamatan.
Masa nak pindah beg dalam keadaan kelam-kabut tu, aku tertinggal jam tangan kesayangan aku dekat atas loker bilik hujung tu. Aku lari semula ke sana sorang-sorang. Dari jauh aku nampak lampu bilik tu terpasang terang, padahal aku sendiri yang tutup tadi. Bila aku masuk, suhu bilik tu sejuk macam dalam peti ais. Aku ambil jam dan terus lari tanpa menoleh. Abang fasi yang nampak aku cuma cakap, “Dah, jangan pandang belakang. Terus ke dewan.”
Selepas pulang dari kem, hidup aku tak tenang. Aku jadi pendiam, kerap menangis tanpa sebab, dan kadangkala ketawa sorang-sorang. Mak aku perasan perubahan tu dan bawa aku berubat secara Islam.
Ustaz tu cakap, ada “benda” yang ikut aku balik sebab :
Sikap Skeptikal : Aku terlalu mencabar dengan niat “tak percaya” pada awalnya.
Kawasan Larangan : Katil tepi tingkap pecah yang aku pilih tu sebenarnya “laluan” mereka, dan aku pula jenis yang suka buat hal sendiri tanpa berteman.
Kekosongan Jiwa : Aku masuk ke tempat “keras” tanpa sebarang pelindung diri (doa/Yassin).
Alhamdulillah, selepas beberapa kali rawatan, aku dah pulih. Tapi itulah, sampai sekarang kalau aku lalu kawasan sunyi, telinga aku masih tajam mendengar bunyi-bunyi pelik. Pengajarannya, walau sekuat mana pun kita rasa kita mampu, jangan sesekali sombong dengan “alam sebelah sana”.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit