Kisah Seram di Sebuah Apartment di Genting Highland

Genting Highlands: ***** *****

Seperti yang dirancang, empat orang satu kereta. Satu kereta Bob, satu lagi kereta Hasan. Bob dan Hasan dah biasa jadi tukang angkut rakan-rakan mereka ke mana-mana. Mungkin kerana hanya mereka berdua yang sahaja mempunyai kereta. Destinasi percutian mereka kali ini adalah; Genting Highlands. Dalam kelapan-lapan orang pelajar IPTS itu, hanya Hasan seorang sahaja yang pernah menjejakkan kaki ke Genting Highlands. Dia orang Wangsa Maju. Baginya, memandu ke Genting Highlands tu macam pergi ke kedai mamak sahaja payahnya.

Kereta Proton Satria Hasan dipandu mendahului kereta Perodua Myvi Bob. Melayani bengkang-bengkok jalan Genting Sempah merupakan antara detik yang paling dinantikan oleh Hasan. Dia menyusuri jalan mendaki itu dengan wajah yang tenang. Manakala Bob pula asyik terkial-kial menekan brek dan menaik-turunkan gear keretanya.

“Apa ni Bob!? Peninglah aku kau asyik brek-brek jer.” Tegur Jiha yang asyik tersengguk-sengguk setiap kali Bob memijak brek keretanya.

“Alamak kau ni Jiha! Sape suruh naik dengan aku? Lain kali kau naik dengan Hasan.” Balas Bob sambil tangannya memegang erat tombol gear. Bersedia untuk menurunkannya bila-bila masa sahaja.

“Kau tengoklah sticker dekat cermin kereta dia ni, Jiha. Bukan semua orang boleh tampal sticker ni! Pemandu ‘pro’ jer!” Kata Zali berseloroh sambil menggosok-gosok pelekat ‘P’ berwarna merah yang tertampal di hadapannya.

“Kau diamlah Zali. Nah, kau nak bawak ke?” Tanya Bob yang bergurau sambil melepaskan stereng.

“Hoi, hoi! Bob! Kau jangan main-mainlah! Bodoh.” Jerkah Dila pula dalam nada risau. Bob kembali menyambut sterengnya melayani selekoh yang agak tajam.

Di dalam kereta Hasan pula, hanya dia seorang sahaja yang masih berjaga. Yang lainnya sedang lena dibuai oleh alunan selekoh tajam Jalan Genting Sempah.

Jam baru menunjukkan pukul 2:30 petang ketika mereka tiba di Gohtong Jaya.

“Syah, bangun. Hoi! Bangun. Nak makan dulu ni.” Kata Hasan sambil menggegar-gegarkan tubuh Syah yang duduk di sebelahnya.

“Hmm. Hmm. Ya, ya.” Syah bersuara mamai dengan mata terkedip-kedip.

“Kejut June dengan Lina. Aku tak tahan nak kencing ni.” Arah Hasan sambil melangkah keluar dari keretanya. Syah mengangguk-angguk tanpa menjawab.

“June! Lina! Bangun, bangun! Dah sampai ni.” Syah memusingkan badannya menghadap ke tempat duduk belakang yang menempatkan dua orang lagi rakan mereka. Lina membuka matanya perlahan, memandang sekeliling.

“Genting ke ni? Tak ada kabus pun?” Soal Lina mamai.

“Tu lah kau. Orang jalan-jalan, kau tidur. Kita berhenti makan dulu.” Jawab Syah selamba sambil terkial-kial menyarungkan semula kasutnya yang dibuka dalam perjalanan tadi.

“Macamlah kau tak tidur. Hasan mana?” Tanya Lina lagi.

“Kencing. Kejut June tu. Aku pun nak kencing ni. Nanti korang keluar, bawa kunci kereta.” Kata Syah sambil tergesa-gesa keluar dari kereta.

“June, June! Bangun. Makan.” Lina cuba mengejutkan June dari lenanya.

June mengangguk-angguk mamai.

Beberapa minit kemudian, kereta Bob pula sampai. Sebuah kedai mamak di Gohtong Jaya menjadi tempat mereka mengisi perut. Sambil makan, mereka berbincang tentang hotel mana yang patut mereka pilih untuk bermalam. Masing-masing memegang telefon bimbit untuk mencari hotel yang murah di laman web penginapan.

“Aku rasa kita duduk sinilah.” Cadang Zali sambil menunjukkan telefon bimbitnya kepada Hasan.

“*******? Macam pernah dengar jer.” Kata Hasan sambil menyuapkan nasi kandar ke dalam mulutnya.

“******? Gila kau! Hotel tu berhantu kau tahu tak?” Ujar Lina memandang tajam wajah Zali.

“Yeker? Manalah aku tahu. Aku tengok murah.” Balas Zali serba-salah.

“Kau ni Lina. Jangan percaya hantu-hantu ni. Tahyul!” Tegur Jiha pula.

Hasan memerhatikan rakan-rakannya.

“Okay, ada sesiapa ada cadangan lain?” Tanya Hasan bersuara lantang.

Semua menggelengkan kepala.

“Aku okay jer. Hantu ker, jembalang ker, asalkan murah.” Tambah Syah pula.

“Betul ni? Kalau macam tu, lepas makan kita ke ********. Nama pun sedap. Macam cerita misteri.” Kata Hasan sambil tersenyum sinis.

Yang lain semua mengangguk-angguk kecil sambil menikmati makanan tengahari mereka, kecuali Lina yang tampak risau merenung nasinya yang baru dijamah tidak sampai separuh.

Mereka sampai di perkarangan ********  pada jam 3:50 petang. Bangunan itu tampak suram dan usang. Cat-cat di dindingnya yang berwarna putih dicacati oleh tompok-tompok kulat berwarna hijau.
Terdapat dua blok apartment yang tinggi mencuar. Puncak kedua-dua blok itu dilitupi kabus yang menapis sinaran cahaya terik matahari bulan Disember. Dihimpit di antara kedua-dua blok itu, sebuah bangunan rendah yang menempatkan lobi hotel.

“Okay, kita ambil dua apartment. Satu lelaki, satu perempuan. June, duit semua dekat kau kan?” Tanya Hasan memandang June yang bertugas sebagai pemegang amanah wang percutian mereka.

June mengangguk-angguk.

“Okay, korang tunggu sini. Jom, June.” Arah Hasan kepada rakan-rakannya sambil mendaki tangga rendah untuk ke lobi hotel.

Meja pendaftaran lobi itu dijaga oleh seorang wanita pertengahan umur yang kelihatan agak mengantuk. Langsung tiada sesiapa lagi di dalam lobi itu selain wanita itu yang sedang membaca surat khabar berbahasa Cina.

“Aunty, kami mahu check-in. Dua apartment. Sebelah-sebelah, ada?” Tanya Hasan. Wanita itu memandang mereka dari balik surat khabarnya.

“Ada. You mahu sepuluh apartment pun ada.” Kata wanita itu agak kasar sambil melipat surat khabarnya. June memandang wajah Hasan, menantikan reaksinya. Hasan sekadar mengangguk-angguk merenung wanita itu menaip-naip sesuatu pada papan kekunci komputernya yang nampak ketinggalan zaman. Wanita itu kemudiannya masuk ke dalam sebuah bilik di belakang meja pendaftaran itu dan keluar semula beberapa minit kemudian sambil memegang dua bentuk kunci.

“Nah, ini kunci apartment. Nombor 1331 sama 1333. Sebelah-sebelah.” Kata wanita itu sambil menghulurkan dua bentuk kunci yang pada kedua-duanya tersangkut kad plastik yang tertera nombor apartment.

“Eh, sebelah-sebelah ke? Apartment nombor 1332 dekat mana?” Tanya Hasan merenung nombor-nombor pada kad itu.

“1332 dekat depan bilik you. Mau ka?” Tanya wanita itu serius.

“Oh, tak apa. Tak mahu. Berapa deposit?” Tanya Hasan lagi.

“Dua bilik, RM200.00 deposit.”

June menghulurkan wang deposit kepada wanita itu. Sejenak kemudian, dia kembali memandang wajah Hasan.

“San, kau tak rasa pelik ke? Cuti sekolah ni. Kenapa tak ada orang?” Tanya Lina dengan nada berbisik.

“Baguslah tak ada orang. Okay, thank you aunty. Dah, jom!” Balas Hasan selamba sambil berjalan menuju ke arah pintu masuk lobi itu.

Selepas meletakkan kereta di tingkat bawah blok A itu, mereka mengangkut beg masing-masing menaiki lif ke tingkat 13.

“Kurang ajar gila aunty tu tadi, korang tahu tak! Bercakap kasar gila.” Beritahu Lina kepada rakan-rakannya yang lain.

“Dia tension kot. Kalau aku jadi dia, aku pun tension. Kerja dekat rumah hantu macam ni.” Kata Dila bergurau sambil mengetuk-ngetuk dinding lif berlagak seperti memeriksa keselamatannya.

“Hoi, mulut kau Dila!” Tegur Lina marah.

Dila tergelak terkekeh-kekeh melihat reaksi Lina yang semakin gelabah sejak dari tadi.

“Malam ni kita berkumpul dalam bilik, cerita hantu. Nak?” Cadang Syah memandang rakan-rakannya.

“Cantik!” Sahut Dila. Yang cuma sekadar mengangguk-angguk. Wajah Lina menjadi semakin pucat.

Sesampainya mereka di unit apartment, masing-masing meletakkan beg mereka di dalam bilik-bilik tidur. Setiap apartment mempunyai dua bilik. Hasan, Bob, Zali dan Syah memilih apartment 1331 atas alasan keselamatan kerana bilik itu terletak lebih hampir dengan lif. Kata Syah, jika ada orang nak pecah masuk, mereka akan pecah masuk bilik itu dulu, guraunya. Jiha, Dila, June dan Lina pula ambil apartment 1333. Di hadapan unit apartment mereka pula terletak sebuah pintu yang tertera nombor 1332. Tampak usang dan tidak berpenghuni.

Malam itu, selepas menjamah mi segera, yang perempuan semuanya berkumpul di dalam apartment lelaki. Menurutkan cadangan Syah petang tadi untuk berkongsi cerita hantu masing-masing. Wajah Lina tampak terpaksa, namun menurutkan sahaja kerana tidak berani tinggal di dalam bilik berseorangan.

Lampu ruang tamu apartment 1331 itu dimalapkan, menambahkan kekusaman suasana ruang itu. TV dipadamkan. Kesunyian malam itu dipecahkan sekali-sekala oleh bunyi cengkerik yang bersambung-sambung. Kabus di luar tingkap apartment itu semakin menebal, membuatkan cahaya suram yang datang dari arah Taman Tema Genting tampak berbalam-balam. Mereka berlapan duduk membentuk satu bulatan mengelilingi meja kopi kayu yang menempatkan lapan biji cawan berisi minuman panas dan plastik-plastik snek.

“Okay, siapa nak mula dulu?” Tanya Bob memandang sekeliling.

“Aku, aku!” Kata Syah sambil mengangkat-angkat tangannya. Seakan-akan ingin menjawab soalan di dalam kelas.

“Okay, Syah. Kau mula. Kalau tak seram, siap kau!” Kata Zali sambil tersenyum sinis. Lina yang duduk di sebelahnya menjeling sambil memeluk erat lengan June yang langsung tidak mengendahkannya.

“Okay, cerita dia macam ni. Ada seorang lelaki ni, nama dia Sani. Dia ni berniaga karipap dekat Kampung Sebang. Karipap dia memang terkenal. Sebab sedap gila. Sani ni duduk hujung kampung. Rumah dia jauh dari rumah orang lain. Nak dijadikan cerita, pada suatu malam, seorang orang kampung, nama Karim, ternampak Sani ni terhendap-hendap keluar dari rumah dia bawa cangkul. Si Karim ni pun peliklah. Buat apa malam-malam keluar bawa cangkul? Dia pun ikut Sani senyap-senyap. Tiba-tiba Sani berjalan masuk dalam kawasan perkuburan. Sani mula korek salah satu kubur ni. Kubur Melati yang baru jer meninggal malam semalam. Hati Karim dah rasa tak sedap. Dahlah si Karim ni suka makan karipap Sani. Tiba-tiba, Karim nampak Sani keluarkan pisau pula dari kocek. Dia macam tengah potong sesuatu dari lubang kubur tu. Terkejut si Karim ni bila nampak si Sani angkat seketul daging warna merah keluar dari kubur tu. Karim pun berlari macam tak cukup tanah balik ke rumah. Malam tu, Karim bermimpi. Dia mimpi Melati datang tepi tingkap dia, tanya pada dia; “Karim, mana dagingku?”…”

“Jap, jap. Apasal pula Melati pergi cari Karim? Kan Sani yang curi daging dia?” Soal Hasan geram.

“Entah kau ni. Orang suruh cerita hantu, kau cerita pasal mimpi.” Sambung Zali pula. Syah terdiam sambil menjeling dua orang rakannya itu.

Tiba-tiba angin menderu laju masuk ke dalam ruang itu. Kemudian, sayup-sayup terdengar dari luar pintu apartment mereka, suara seseorang. Kedengaran begitu halus.

Mereka saling berpandangan.

“Eh, suara siapa tu?” Tanya June perlahan.

“Aunty tadi kot. Dengar macam dekat depan pintu kita ni.” Kata Hasan lalu bangkit berjalan ke arah pintu masuk apartment itu.

“Hoi, hoi San! Kau nak dengar cerita aku tak?” Tanya Syah marah.

“Kejaplah!” Balas Hasan sambil berdiri melekapkan telinganya pada pintu. Sejenak kemudian, air muka Hasan tiba-tiba berubah. Dia kembali berjalan ke arah rakan-rakannya lalu duduk semula di tempatnya tadi.

“Apasal San? Dia cakap apa?” Tanya Dila serius. Hasan terdiam merenung wajah Dila. Sesaat kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mengukir senyuman yang tampak terpaksa.

“Sambunglah, Syah.” Kata Bob pula yang kembali memandang wajah Syah.

“Jangan!” Halang Hasan tiba-tiba.

“Eh, apasal?” Tanya Bob hairan.

“Bo…bosanlah cerita tu. Cerita lainlah Syah.” Cadang Hasan teragak-agak.

Syah merenung wajah Hasan kehairanan.

“Aku tak ada cerita lain dah. Siapa nak cerita, ceritalah.” Kata Syah sedikit merajuk.

“Okay, aku cerita!” Kata Dila teruja. Yang lain sekadar memandangnya, membenarkan.

“Okay, pada suatu hari, ada seorang budak perempuan ni, nama dia Lucy. Dia tinggal dengan nenek dia berdua jer dalam sebuah kampung. Setiap malam nenek dia akan panggil nama dia sebelum tidur. Neneknya tak nak apa-apa pun. Cuma suka sebut nama Lucy sebelum tidur. Beberapa tahun lepas tu nenek Lucy meninggal. Malam nenek dia meninggal tu, dia masih terdengar lagi suara nenek dia panggil-panggil nama dia. Tapi kali ni dari atas katil sebelah Lucy…”

Tiba-tiba katil di dalam salah satu bilik dalam apartment itu berkeriut kuat. Masing-masing tersentak memandang ke arah bilik itu.

“Eh, siapa dalam bilik tu?” Tanya Hasan spontan.

“Mana ada sesiapa. Semua ada dekat sini.” Jawab Bob sambil memandang setiap seorang rakannya. Lina semakin erat memeluk lengan June. Bob bangun berjalan perlahan ke arah bilik itu. Lambat-lambat Bob menjengukkan kepalanya ke dalam bilik itu. Dia seakan-akan terpaku. Mulutnya sedikit ternganga. Wajahnya yang gelap bertukar pucat.

“Kenapa Bob?” Tanya Hasan yang wajahnya sedari tadi kelihatan semakin pucat.

Tanpa memandang Hasan, Bob menggeleng-gelengkan kepalanya. Syah bingkas bangun lalu melangkah ke arah Bob. Tiba-tiba Bob tarik pintu bilik itu, menutupnya rapat. Syah merenung wajah Bob. Bob memandangnya kembali.

“Dah, jomlah. Kita sambung cerita.” Ujar Bob sambil menarik bahu Syah. Kedua-duanya kembali duduk di tempat masing-masing.

“Hah, sekarang siapa nak cerita?” Tanya Zali memandang rakan-rakannya.

“Aku tak ada moodlah Zali. Jom kita tidur.” Kata Hasan merenung wajah Bob yang kelihatan semakin pucat.

“Tu lah. Aku pun. Rasa tak sedap hatilah.” Kata Lina pula.

Masing-masing mengangguk perlahan, bersetuju.

Malam itu Hasan dan Bob tidur sebilik, manakala Zali dan Syah tidur di bilik satu lagi. Hasan sedang berbaring di atas katil sambil merenung siling ketika Bob tiba-tiba membuka semula topik suara di luar pintu tadi.

“Kau dengar apa dekat luar pintu tadi, San?” Tanya Bob merenung wajah Hasan yang kini kurang sedikit pucatnya berbanding tadi.

“Kau pula nampak apa dekat dalam bilik Zali dengan Syah tu tadi?” Tanya Hasan kembali sambil menoleh ke arah Bob.

Bob terdiam. Wajahnya kelihatan berfikir-fikir. Sejenak kemudian, dia menjawab;

“Aku nampak macam ada orang tengah duduk berselubung dalam selimut atas katil tu tadi.”

Bulu roma Hasan tiba-tiba meremang. Dia memandang wajah Bob tanpa berkedip.

“Kau pulak dengar apa?” Tanya Bob deras.

“Aku…aku dengar suara perempuan sebut “Mana dagingku? Mana dagingku?” macam mengajuk si Syah bercerita.” Jawab Hasan perlahan. Wajahnya kelihatan gusar memandang Bob.

“San, aku rasa tak sedap hatilah. Jom kita panggil budak-budak ni ajak tidur hotel lain.” Cadang Bob.

“Kita dah bayar deposit, Bob. Rugilah kalau macam tu.”

“Kau tak nampak tadi San. Nak gugur jantung aku ni.” Kata Bob sedikit berbisik.

“Yelah, jom. Jom.” Gegas Hasan berjalan keluar ke arah bilik Zali dan Syah. Tiba-tiba langkahnya terhenti di ruang tamu tempat mereka bercerita tadi. Alangkah terkejutnya Hasan apabila di dalam kegelapan ruang tamu itu dia terlihat, di sekeliling meja kopi kayu tadi, lapan bentuk lembaga berwarna hitam sedang duduk merenung lantai.

“Bob!!!” Jerit Hasan kuat sambil mengalihkan pendangannya dari lembaga-lembaga itu. Bob melangkah laju ke arahnya.

“Apasal kau ni San?” Tanya Bob hairan. Hasan perlahan-lahan mengangkat tangannya menuding ke arah meja kopi itu. Bob berpaling ke arah yang ditunjukkan oleh Hasan.

“Apa?” Kenapa dengan meja tu?” Tanya Bob hairan memandang ke arah meja kopi itu. Hasan menggosok-gosok perlahan matanya.

“Tadi…tadi aku…errr…tak ada apa-apalah. Aku salah nampak kot.” Kata Hasan kembali berjalan masuk ke dalam bilik.

“Eh, kan kau nak panggil Zali dengan Syah tadi?” Soal Bob sambil merenung Hasan.

“Kau pergi panggillah.” Balas Hasan tanpa memandang wajah Bob. Bob menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berjalan ke arah bilik yang satu lagi. Bob memulas tombol pintu bilik itu tetapi merasakan bagai ada seseorang memulas kembali tombol itu dari dalam. Bob pulas tombol itu sekali lagi sambil menolak kuat daun pintu itu. Mendedahkan sebuah bilik yang gelap gelita.

“Syah? Zali?” Panggil Bob sambil tangannya meraba-raba dinding di sebelahnya mencari suis lampu. Tiba-tiba tangan Bob tersentuh sesuatu yang lembut. Seakan-akan tangan seseorang. Bob menarik semula tangannya tanpa memandang ke arah itu.

“Sy…Syah? Za…Zali?” Panggil Bob tergagap-gagap sambil mengecilkan matanya merenung katil yang kelihatan kosong. Tiba-tiba Bob terasa bagai bahunya disentuh seseorang dari arah belakang. Bob berpusing menoleh.

“Hasaaaaaaaaannn!”

Hasan yang sedang berbaring di atas katil tersentak terdengar suara Bob menjerit memanggil namanya dari bilik sebelah. Hasan bingkas bangun lalu berjalan laju ke arah bilik itu. Bob dilihatnya sedang terpaku berdiri merenung ke arah ruang tamu.

“Bob?” Panggil Hasan perlahan. Bob tidak menjawab.

“Mana Syah dengan Zali?” Tanya Hasan sambil menjenguk ke dalam bilik yang gelap itu. Tiba-tiba terdengar bunyi pintu apartment mereka diketuk. Bob bagaikan tersedar dari lamunan, memandang ke arah pintu masuk apartment itu. Hasan berjalan perlahan ke arah pintu itu.

“Siapa?” Tanya Hasan sambil memegang tombol pintu itu. Tiada sebarang jawapan.

“Syah? Zali? Korang ke?” Tanya Hasan lagi. Kali ini kedengaran suara Zali mengiyakan. Lantas Hasan membuka pintu itu mendedahkan dua orang rakannya yang sedang merenung lantai.

“Korang pergi mana? Cepat, kemas barang. Kita nak check-out ni. Aku pergi panggil budak-budak perempuan ni jap.” Arah Hasan sambil berjalan melintasi pintu yang tertera nombor 1332 ke arah apartment yang didiami oleh rakan-rakan perempuannya. Langkah Hasan terhenti apabila dia terlihat pintu apartment 1332 di hadapannya terbuka sedikit. Sejenak kemudian, dia melangkah semula tidak mengendahkan pintu apartment itu. Hasan mengetuk pintu apartment perempuan sekuat hati.

June membuka pintu apartment itu dengan wajah risau. “Kenapa, San?”

“Jom kita check-out. Kemas barang cepat.”

“Eh, kenapa?” Tanya June pelik.

“Alah, nanti aku ceritalah. Cepat! Suruh semua berkemas.”

“Okay, okay.” Balas June sambil menutup pintu apartment itu.

Hasan berpusing kembali untuk berjalan semula ke arah apartmentnya ketika dia terlihat wajah pucat seorang budak perempuan menjengukkan kepalanya dari balik pintu apartment 1332 di hadapannya. Hasan tersentak. Budak itu tiba-tiba melambai-lambai memanggilnya sambil mengukir senyuman yang luar biasa lebarnya. Hasan menggeleng-gelengkan kepalanya tidak mengendahkan budak itu. Hasan cuba membuka pintu apartmentnya namun, pintu itu terkunci dari dalam. Kelam-kabut dia mengetuk-ngetuk pintu apartment itu sedaya upaya cuba untuk tidak menoleh ke arah budak perempuan itu tadi. Tiba-tiba Hasan merasakan tangannya digenggam erat dari arah belakang. Hasan tergamam. Sesaat kemudian kedengaran suara jeritan June dari dalam apartment di sebelahnya. Tangannya terasa dilepaskan. Hasan berpusing melihat pintu apartment 1332 ditutup perlahan-lahan. Berdentum pintu apartment perempuan dibuka oleh June sambil melaung;

“Lina! Lina hilang!”

“Hilang? Tak mungkin! Dia ada keluar ke tadi?”

“Mana ada. Lepas semua masuk, tak ada sesiapa pun yang keluar.” Jawab June laju. Pintu apartment lelaki masih tertutup rapat. Orang-orang di dalamnya bagaikan tidak dengar akan kekecohan yang berlaku di luar apartment itu.

“Aku rasa ada yang tak kena ni. Panggil semua keluar, June.” Arah Hasan tegas sambil kembali berjalan ke arah pintu sebelah lalu mengetuknya sekuat hati.

Tiba-tiba pintu apartment itu dibuka oleh Bob yang wajahnya kelihatan pucat lesi. Hasan menolak pintu itu lalu bergegas ke arah bilik Zali dan Syah. Alangkah terkejutnya Hasan bila terlihat di sebelah Zali dan Syah terdapat dua orang lagi sedang berselubung di dalam selimut. Zali dan Syah kelihatan sedang nyenyak tidur di sebelah susuk-susuk berselubung itu.

“Zali! Syah! Bangun! Korang pengsan ke apa?” Jerit Hasan deras. Perlahan-lahan Zali dan Syah membuka mata dalam keadaan mamai, memandang Hasan.

“Kenapa ni, San?” Tanya Syah hairan. Hasan sekadar menuding ke arah dua susuk berselubung di sebelah mereka itu. Zali dan Syah bingkas bangun merenung susuk-susuk berselubung itu.

“Siapa ni?” Tanya Zali.

“Tak tahu. Biarkan. Kita kena cari Lina. Lina hilang.” Beritahu Hasan.

Zali dan Syah cepat-cepat mencapai beg masing-masing dari tepi meja solek dan keluar dari bilik itu meninggalkan dua susuk berselubung yang masih lagi terbaring di atas katil mereka. Bob kelihatan sudah bersedia memegang begnya di tangan. Namun, wajahnya kelihatan kosong tanpa ekspresi. Hasan merasakan ada sesuatu yang pelik tentang Bob waktu itu. Hasan menepuk bahu Bob memanggilnya, tetapi Bob langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Angin dingin bertiup perlahan menerobosi pintu hadapan yang terbuka. Hasan berjalan keluar dari apartment mereka itu diekori oleh Bob di belakangnya. Tiba-tiba Bob bersuara;

“San, aku rasa Lina ada dalam bilik depan tu.” Kata Bob sambil matanya merenung kosong pintu apartment 1332 di hadapan mereka. Hasan tersentak mendengar suara Bob.

“Aku ingatkan kau kena rasuk tadi Bob. Kenapa kau rasa Lina ada dalam bilik tu?” Tanya Hasan merenung wajah Bob.

“Aku rasa macam ada benda nak masuk dalam kepala aku. Aku cuba melawan. Tapi, bila aku langkah keluar jer dari apartment tadi, aku rasa benda tu pergi.” Jawab Bob yang perlahan-lahan terduduk tersandar. Kelihatan lemah. Hasan mengalihkan pandangannya ke arah pintu apartment di hadapan mereka itu.

“Mana kau tahu Lina dalam tu?” Tanya Hasan dalam nada risau.

“Aku dapat rasakan Lina dalam tu. Masa benda tu cuba rasuk aku tadi, aku dapat tengok apa yang benda tu fikir. Dia nak ajak aku masuk dalam bilik tu.” Kata Bob tanpa merenung kakinya sendiri. Syah dan Zali sedang berdiri di hadapan pintu apartment perempuan sambil merenung pintu apartment 1332 itu. Berfikir samada mereka patut mengetuk pintu bilik itu.

Sesaat kemudian, June keluar dari pintu di sebelah mereka disusuli oleh Dila dan Jiha. Masing-masing sedang memegang beg baju.

“Jiha kata tadi Lina keluar pergi tandas. Lepas tu tak balik-balik.” Beritahu June kepada Hasan.

“Betul. Lepas tu aku dengar pintu apartment ni terbuka, lepas tu tertutup. Aku rasa Lina keluar.” Sambung Jiha pula.

Hasan terdiam sejenak dengan riak wajah berfikir.

“Tak mungkin Lina keluar seorang-seorang. Dia bukannya berani sangat.” Kata Hasan memandang wajah Jiha.

“Dalam bilik tu! Aku dah cakap tadi kan? Dalam bilik tu.” Tegas Bob sambil menudingkan jarinya le arah pintu apartment di hadapan mereka.

Syah berjalan ke arah pintu itu lalu menolak daun pintunya perlahan. Pintunya tidak berkunci.

“Hello?” Sapa Syah tanpa mengharapkan sebarang jawapan.

“Hello? Ada sesiapa dalam ni tak?” Sapa Syah lagi.

“Syah, tadi ada seorang budak perempuan dalam umur lima enam tahun jenguk dari pintu tu.” Kata Hasan sambil menggosok-gosok tangannya yang seperti masih merasakan sentuhan budak itu tadi.

“Budak kecik? Takkan budak kecik duduk seorang-seorang dalam apartment ni?” Soal Syah berpaling memandang Hasan. Tiba-tiba dari celah bukaan pintu itu keluar sebelah tangan kecil yang pucat memegang tangan Syah. Syah menarik tangannya menjauhi pintu itu. Tangan itu tiba-tiba hilang.

“Si…siapa tu?” Tanya Syah tergagap-gagap merenung ke arah pintu itu.

“Aku rasa budak tu. Dia nak suruh kita masuk dalam bilik tu. Aku pun yakin Lina ada dalam bilik tu.” Jawab Hasan tanpa mengalihkan pandangannya dari pintu itu.

“Jom, kita check dalam bilik tu.” Kata Bob bingkas bangun lalu berjalan mendekati pintu itu. Hasan, Syah dan Zali mengekorinya dari belakang.

“Hoi! Jangan masuk bilik tu!” Tiba-tiba bergema suara seorang lelaki tua menjerkah mereka dari hujung lorong tingkat 13 itu. Lelaki tua itu berjalan laju mendekati mereka.

“Pakcik, kami nak cari kawan kami. Saya rasa dia ada dalam bilik ni.” Beritahu Hasan dari muka pintu. Lelaki tua itu merenung ke arah pintu apartment 1332 itu. Kemudian, dia mengalihkan pandangannya ke arah setiap seorang dari mereka yang sedang berdiri di luar apartment itu.

“Korang semua tunggu. Biar aku masuk cari.” Arah lelaki tua itu sambil berjalan memasuki apartment 1332 itu. Beberapa minit kemudian, lelaki tua itu keluar sambil mendukung Lina yang kelihatan tidak sedar. Lelaki tua itu kemudian mendudukkan Lina di atas lantai luar apartment itu. Lina tersandar lemah pada dinding di belakangnya. Mereka bertujuh menghembuskan nafas lega.

“Korang keluarlah dari sini. Tak usah duduk di sini.” Kata lelaki tua itu dalam nada agak kasar.

“Kenapa pakcik? Errr… pakcik bekerja di sini ke?” Tanya Bob.

“Ya.” Jawab lelaki tua itu ringkas.

“Apa dah jadi dengan kawan kami ni?” Tanya Dila merenung Lina yang masih tidak sedarkan diri.

“Tak ada apa-apa ni. Dia cuma tertidur saja. Mungkin letih.” Jawab lelaki tua itu sambil menutup pintu apartment 1332 itu.

“Sekarang, korang terus pergi ke kereta masing-masing. Jangan naik lagi. Siapa boleh angkat budak ni?” Sambung lelaki tua itu.

“Saya boleh.” Jawab Bob sambil mengangkat tubuh Lina yang jauh lebih kecil dari tubuhnya.

Lelaki tua itu mengangguk-angguk.

“Korang pergi ke kereta. Aku pergi check-out dulu.” Arah Hasan kepada yang lainnya.

“Tak payah! Dalam keadaan macam ni, kau nak check-out lagi buat apa? Tak ada orang pun dekat lobi tu malam-malam macam ni. Bagi kunci korang pada aku.” Kata lelaki tua itu sambil menghulurkan tangannya. Hasan dan June menyerahkan kunci apartment mereka kepada lelaki tua itu.

“Dah, pergi!” Kata lelaki tua itu kasar sambil berdiri mencekak pinggang di hadapan ketiga-tiga pintu apartment tadi.

Mereka melangkah memasuki lif. Wajah masing-masing kelihatan pucat. Sesampainya mereka di tingkat tempat letak kereta, Hasan membuka pintu kereta Bob. Bob membaringkan Lina di tempat duduk belakang lalu menutup pintu keretanya.

“Sekarang macam mana?” Soal Bob.

“Kita turun KL lah. Aku dah hilang mood nak bercuti.” Kata Hasan sambil membuka pintu keretanya pula. Yang lain semua mengiyakan cadangan Hasan.

Dalam perjalanan keluar dari blok tempat letak kereta itu, mereka terlihat lelaki tua tadi di hadapan lobi hotel itu. Berdiri memerhati kereta-kereta mereka. Riak wajahnya seakan-akan tidak berpuas hati dengan sesuatu. Hasan dan Bob tidak mengendahkan lelaki tua itu yang sedang berjalan laju menuruni tangga lobi. Mereka berlalu meninggalkan perkarangan  ********** itu.

Selepas beberapa minit meninggalkan perkarangan hotel itu, Syah yang sedang duduk di sebelah Hasan tiba-tiba menepuk-nepuk bahu Hasan sambil sebelah tangannya memegang telefon bimbit.

“San, San! Berhenti tepi jap. Aku nak tunjuk kau sesuatu.” Kata Syah sambil menyuakan telefon bimbitnya ke arah muka Hasan.

“Eh, kau ni kenapa Syah? Tunggulah sampai KL nanti.” Balas Hasan marah.

“Berhentilah kejap! Penting ni.” Rayu Syah lalu Hasan mengisyaratkan kepada Bob yang memandu di belakangnya supaya berhenti di tepi jalan kecil yang kosong itu.

“Hah, apa?” Tanya Hasan merenung marah wajah Syah.

“Ni hah. Baca ni.” Jawab syah sekali lagi menyuakan skrin telefon bimbitnya ke hadapan muka Hasan. Hasan merampas telefon bimbit itu dari tangan Syah. Tertera pada skrin telefon bimbit itu, sebuah keratan artikel seakan-akan di ambil dari surat khabar.

“Genting Highlands, 24 Februari 1999.
Seorang kanak-kanak berumur lima tahun ditemui mati di dalam sebuah apartment sewaan di sini, tengahari semalam. Menurut laporan, kanak-kanak itu ditemui mati di dalam sebuah bilik yang terkunci daripada dalam. Seorang pekerja am telah memecahkan pintu bilik itu kerana mendapati terdapat bau yang kurang menyenangkan datang dari arah bilik itu ketika dia sedang mengemaskan unit apartment tersebut. Punca kematian adalah disebabkan pendarahan di dalam otak akibat dipukul dengan senjata tumpul. Selepas siasatan dibuat, kanak-kanak perempuan itu didapati diculik dari rumahnya di Cheras dan dibawa naik ke tanah tinggi itu untuk dibunuh. Motif penculikan masih belum dikenalpasti.”

“Lah, itu jer? Kes berapa belas tahun lepas ni! Kenapa pulak?” Tanya Hasan kembali memandang wajah Syah sambil menghulurkan telefon bimbit itu kepada tuannya.

“Kau tengoklah gambar tu! Dekat mana tu?” Kata Syah sambil menolak-nolak tangan Hasan yang masih memegang telefon bimbitnya. Hasan melalukan jarinya perlahan-lahan di atas skrin telefon bimbit itu, memaparkan gambar dua buah blok apartment yang baru ditinggalkan oleh mereka tadi. **********! Di bawahnya pula terpapar gambar sebuah pintu dengan nombor 1332 tertera di atasnya. Hasan merenung sejenak gambar itu, kemudian mengalihkan pandangannya ke arah Syah.

“Nah, korang baca ni.” Kata Hasan sambil menghulurkan telefon bimbit itu ke belakang. Jiha menyambut telefon bimbit itu lalu membaca artikel tadi bersama June dan Dila.

“Kau… kau rasa pakcik tadi tu siapa? Yeker dia pekerja dekat situ? Macam mana kalau dia…” Kata-kata Jiha tersekat apabila dia terpandang sebuah motosikal datang menghampiri mereka dari arah belakang sambil membunyi-bunyikam hon. Mereka berlima menoleh serentak. Motor itu berhenti betul-betul di sebelah pintu kereta Bob. Lelaki tua tadi!

Hasan dan Syah bergegas turun dari kereta berjalan menghampiri motor lelaki tua itu.

“Pakcik? Kenapa ni?” Tanya Hasan hairan memandang wajah orang tua itu yang kelihatan gusar. Bob dan Zali ikut sama keluar dari kereta.

“Ada sesiapa bercerita bukan-bukan ke semalam?” Tanya lelaki tua itu serius.

“Cerita bukan-bukan macam mana?” Tanya Hasan kaget.

“Yalah, cerita-cerita yang macam menyeru-nyeru benda tu?” Sambung orang tua itu lagi.

“Semalam, kami berkumpul dalam apartment 1331, kongsi cerita-cerita hantu. Tapi apa yang kami ceritakan tu tiba-tiba macam jadi betul-betul pulak.” Jelas Bob jujur. Zali dan Syah memandang wajah Bob, tidak faham apa yang Bob maksudkan.

Lelaki tua itu mengangguk-angguk.

“Apartment tu memang dah ada penghuninya sendiri kalau tak ada orang sewa pun. Tapi, bila berlaku kejadian bunuh budak perempuan tu beberapa belas tahun lepas, lagi bertambah-tambah pula gangguan yang penyewa-penyewa alami.” Jelas lelaki tua itu perlahan dan teratur.

“Kes bunuh budak? Kami tak pernah dengar pulak.” Bob mencelah.

“Kitorang dah terbaca tadi dalam internet. Memang ada kes pembunuhan berlaku dekat dalam apartment 1332 tu. Budak perempuan umur 5 tahun kena culik, lepas tu kena bunuh dalam bilik apartment tu.” Terang Syah kepada Bob.

Tiba-tiba pintu kereta Bob terbuka. Lina melangkah keluar dalam keadaan terpinga-pinga.

“Eh, kita dekat mana ni? Mana budak perempuan tadi?” Tanya Lina mamai.

“Budak? Budak mana, Lina?” Tanya Bob kehairanan.

“Dah, adik, adik masuk dalam kereta. Itu semua mimpi saja tu.” Kata lelaki tua itu lembut kepada Lina.

“Sekarang ni macam mana, pakcik? Benda tu marah ke kitorang cerita bukan-bukan tadi?” Tanya Zali risau.

“Benda tu bukannya marah. Dia lagi suka adalah. Lagi-lagi kalau ada seorang yang lemah semangat macam adik tu.” Kata lelaki tua itu sambil menunjuk ke arah Lina yang sedang duduk mengurut kepala di dalam kereta.

“Tapi, kenapa pakcik ikut kami sampai ke sini? Mana pakcik tahu kami ada cerita bukan-bukan tadi?” Tanya Hasan pula.

“Anak pakcik yang beritahu.” Kata lelaki tua itu spontan.

“Anak pakcik? Siapa anak pakcik?” Tanya Bob dengan mata yang dibuntangkan.

Lelaki tua itu diam tanpa menjawab. Tiba-tiba dia mengangkat kepala merenung tajam ke arah kereta Hasan.

“Aku dah agak! Siapa ada dalam kereta depan tu?” Tanya lelaki tua itu sambil menudingkan jarinya yang kurus ke arah kereta Hasan.

“Kawan-kawan kami.” Jawab Hasan hairan melihat orang tua itu.

“Berapa orang?” Tanya lelaki tua itu lagi.

“Tiga orang.” Jawab Syah pula.

“Habis, kepala siapa yang keempat tu?” Tanya lelaki tua itu sambil berjalan ke arah kereta itu. Hasan, Bob, Syah dan Zali menoleh spontan ke arah kereta Hasan. Memang dari belakang kereta itu nampak seperti ada kepala keempat yang duduk tegak di antara kepala ketiga-tiga orang rakan perempuan mereka itu.

“Keluar kau! Aku dah perasan kau sejak dari luar lobi tadi! Keluar! Jangan kau ganggu budak-budak ni!” Jerkah lelaki tua itu sambil membuka pintu kereta Hasan.

June, Dila dan Jiha yang berada di dalam kereta Hasan tergamam terkejut melihat lelaki tua itu.

“Eh, kenapa ni pakcik? Ka…kami nak balik ni.” Soal June sedikit tergagap.

“Bukan korang! Tu! Benda tu!” Kata lelaki tua itu sambil menudingkan jarinya ke arah sesusuk lembaga berwarna hitam tinggi, tidak berwajah yang sedang duduk di antara mereka bertiga.

“Astaghfirullahalazim!” Jerit Dila yang tergamam melihat lembaga itu. Lelaki tua itu menarik tempat duduk hadapan kereta Satria Hasan itu lalu menarik June, Dila dan Jiha keluar dari kereta.

“Macam mana kita boleh tak nampak dia duduk sebelah kita dari tadi?” Tanya Jiha yang jatuh terduduk di tepi kereta Hasan.

“Patutlah aku rasa sempit lain macam!” Tambah June pula.

“Keluar kau!” Jerkah lelaki tua itu sambil menarik lembaga itu keluar. Lembaga itu langsung tidak berganjak dari tempat duduknya. Hasan, Bob, Zali dan Syah lantas berlari ke arah kereta Hasan untuk membantu lelaki tua itu.

“Korang masuk dalam kereta aku! Cepat!” Arah Bob kepada ketiga-tiga orang rakan perempuannya yang bingkas bangun menurut arahan itu.

Mulut lelaki itu terkumat-kamit membaca sesuatu. Hasan dan yang lain hanya sekadar berdiri sahaja memandang lembaga itu yang seakan-akan terlekat pada tempat duduk kereta itu. Tanpa sedikit pun berganjak.

“Ke tepi!” Arah lelaki tua itu. Perlahan-lahan lelaki itu menghembuskan nafasnya yang panjang ke arah tempat duduk belakang kereta itu. Lembaga itu bergerak meronta-ronta mengeluarkan bunyi dengusan kuat seakan-akan bunyi seekor lembu jantan yang sedang disembelih. Kereta Hasan bergegar kuat. Terhuyung-hayang bagaikan akan terbalik.

“Allahuakhbar!” Laung lelaki tua itu lalu menarik leher lembaga tadi keluar dari kereta itu. Lembaga itu bagaikan terapung terikat pada tangan lelaki tua itu. Sesaat kemudian, lelaki tua itu menghempaskan tangannya ke atas tanah lalu lembaga itu hilang dari pandangan. Bagaikan tenggelam di dalam tanah gunung itu. Lelaki tua itu terduduk bersandar pada kereta Hasan. Wajahnya tampak luar biasa uzur tidak seperti tadi.

“Dah, kau orang pergilah. Biar aku uruskan di sini.” Kata lelaki tua itu terlelah-lelah.

“Pakcik nak kami hantar pakcik tak?” Tanya Hasan yang risau melihat keadaan lelaki yang baru menyelamatkan mereka itu.

“Tak payah! Jangan datang ke sini lagi. Balik sekarang!” Jerkah orang tua itu dalam nada marah. Perlahan-lahan lelaki tua itu bangun berjalan ke arah motornya lalu bertongkat di atas motor itu.

“Pakcik, mari kami hantar pakcik. Pakcik nampak…”

“Tak payah aku cakap! Pergi!” Tengking orang tua itu memotong kata-kata Bob. Bob kelihatan tergamam lalu mengangguk perlahan.

“Jom, jom. Terima kasih pakcik.” Ajak Hasan sambil menolak Bob dan Zali ke arah kereta Myvi di belakang keretanya. Sejenak kemudian, June dan Lina keluar dari kereta Bob lalu berjalan ke arah kereta Hasan. Tiba-tiba lelaki tua itu bersuara;

“Maafkan anak pakcik ya, dik?” Kata lelaki tua itu bersungguh-sungguh kepada Lina. Lina yang sedang kaget berjalan mengekori June sekadar merenung lelaki tua itu lantas masuk ke dalam kereta Hasan.

Mereka pun bertolak meninggalkan lelaki tua itu sendirian. Dari cermin sisi keretanya Bob merenung ke arah lelaki tua itu yang sedang terkial-kial menghidupkan motornya. Bob bersumpah yang di seakan-akan terlihat susuk seorang budak perempuan melambai-lambai ke arah mereka dari atas motor itu. Namun dia cuma mendiamkan sahaja perkara itu.

Asalkan mereka semua selamat. Diam-diam Bob membaca al-fatihah dengan niat disedekahkan kepada budak perempuan yang terbunuh di ********** itu.

Sekian.

10 thoughts on “Kisah Seram di Sebuah Apartment di Genting Highland”

  1. Misteri sunggoh penulis ni, takdak nama.
    kalau upload cerita lagi, bgtaw la nama, senang nak follow, sebab cita ni best
    gaya penceritaan pon best.

    Dulu masa stay kat genting, xdakla misteri, cuma bergegaq tinga kawan sbelah berdengkur, haha

    Reply
    • ehh kenapakah?
      admin edit title eh? tadi first baca tajuk lain.
      lpas refresh nk cari cita baru, tgok tjuk lain, bukak je isi sama.

      Reply
  2. “Anak pakcik yang beritahu.” Kata lelaki tua itu spontan.

    “Anak pakcik? Siapa anak pakcik?” Tanya Bob dengan mata yang dibuntangkan.

    siapa anak pakcik ni? adakah ?????

    Reply
  3. ni bukan amber court ke top 10 tempat berhantu di malaysia
    waktu kecik aku sokmo gi cuti sana bila besar ni baru tau yang
    tu hotel berhantu
    tapi tak tau ah betul ke ni amber court sbb aku dok baca agi
    citer ni hahaha nanti aku comment agi eh

    Reply

Leave a Comment