Gerimis Malam

Namaku Azim. Berusia awal 40-an. Kecenderunganku kepada cerita-cerita misteri dan seram mendorongku untuk menghasilkan cerita ini, yang mana ianya siap ditulis pada tahun 1997, iaitu 20 tahun yang lepas. Walaupun masih ada idea yang boleh dinukilkan, namun tugas hakiki dan komitmen yang padat menjadikan ianya sebagai cerita pertama dan terakhir yang aku tulis. Namun, 18 tahun kemudian, iaitu lebih kurang 2 tahun yang lepas, dengan takdir-Nya, aku berdepan dengan pengalaman berkaitan dunia mistik ini secara realiti. Jika diizinkan-Nya, aku akan kongsikan pengalaman itu nanti.

Sementara itu, terimalah…

GERIMIS MALAM

Hari Khamis. Malam Jumaat. Dari kejauhan, kelihatan satu lembaga manusia seolah-seolah sedang terburu-buru mengejar sesuatu. Suasana sekeliling begitu suram dan samar. Walaupun sudah biasa dengan selok-belok jalan di situ, namun kadang-kadang terdapat juga benda-benda asing yang merintangi jalan yang boleh membuatkannya jatuh tersungkur kalau tidak berhati-hati. Lebih menyulitkan lagi bila tiba-tiba hujan renyai mulai berguguran membasahi bumi Desa Permai, desa kelahirannya.

“Saya mahu ia disiapkan hari ini juga, urgent!!!” Terngiang-ngiang kata-kata pengurusnya siang tadi.

“Tapi Encik Ahmad…” kata-katanya terputus setakat itu bila pengurusnya pula memotong.

“Tak ada tapi tapi lagi, dokumen ini penting untuk saya buat pembentangan esok, yang saya mahu, awak siapkan juga walau apa cara sekalipun.”

Dan itu adalah kata pemutus buat Iskandar. Dengan dada yang terbuku dengan rasa tidak puas hati dia menyiapkan juga kerjanya. Hasilnya, dia terpaksa meredah kekelaman malam yang serba tidak menyenangkan untuk pulang.

Dalam kesamaran, dia melihat jam di tangannya, pukul sebelas empat puluh lima minit malam. Hatinya masih membara teringat peristiwa siang tadi, di tambah pula dengan apa yang selalu didengarnya dari mulut orang-orang kampung tentang kejadian-kejadian aneh yang kerap berlaku di sekitar kampungnya sejak kebelakangan ini.

Baru dua hari lepas, heboh kisah Salleh Gagap terserempak dengan seorang perempuan cantik yang berpakaian serba putih, berjalan tidak menjejak tanah. Salleh Gagap yang pada waktu itu terlewat pulang dari pekan tidak menunggu lama, terus membuka langkah seribu sebaik sahaja ternampak perempuan tersebut. Habis semak samun diredahnya, duri yang menyucuk kakinyapun sudah tidak terasa sakitnya akibat terlalu takut, yang penting nyawa mesti diselamatkan dahulu, begitulah fikirnya. Tiba sahaja di rumah, dengan termengah-mengah dan tergagap-gagapnya itu dia menceritakan apa yang telah terjadi kepada isterinya. Dari situlah cerita itu kemudiannya dengan pantas tersebar ke seluruh kampung.

“Ah, setakat inipun bukan ada orang yang mati disebabkan hantu perempuan itu,” hati kecilnya berkata sendiri, sekadar menyedapkan hati.

Orang kampung juga sedar yang sehingga kini hantu perempuan itu tak pernah pula mengacau, apatah lagi memudaratkan sesiapa, cuma menunjukkan diri, kemudian menghilang begitu sahaja, seolah-olah mencari-cari sesuatu… atau… mungkin juga seseorang? Tiada siapa yang tahu jawapannya.

Iskandar memanjangkan langkahnya dengan harapan agar segera sampai ke rumah. Bajunya telahpun basah dimamah gerimis malam. Setibanya di satu tempat, langkahnya terhenti. Dia terkaku seketika. Dia merenung persekitarannya. Dia sedang berada di satu kawasan yang persekitarannya agak lapang. Berdiri teguh di situ sebatang pohon besar. Rumput di bahagian pangkalnya hampir botak, menandakan ianya pernah dihadiri manusia. Perasaanya tiba-tiba diserang rasa pilu. Tanpa disedari, air jernih mula mengalir ke pipinya, bersatu dengan titis-titis gerimis yang gugur. Bayangan kisah silam bermain-main dibenaknya.

Nostalgianya bermula di situ…..

Ayu, nama kepunyaan seorang gadis pingitan yang sememangnya mempunyai seraut wajah yang ayu, bersopan-santun serta pemalu, dan memiliki ciri-ciri seorang wanita sejati. Menjadi idaman dan igauan jejaka-jejaka untuk dijadikan teman sepanjang hayat, malah tak ketinggalan juga lelaki-lelaki yang telah berumahtangga, namun tiada seorangpun daripada mereka yang berjaya memiliki cinta dan kasih sayang Ayu. Malah Ayu sendiri tidak pasti bilakah hatinya akan terbuka menerima cinta seorang yang bergelar lelaki. Baginya semua lelaki adalah sama, hanya memandang kepada keindahan paras rupa dan lahiriah semata-mata, bukannya cinta yang lahir dari hati yang tulus ikhlas. Tetapi, di luar sedarnya, masih ada lelaki yang baik di dunia ini… dan di antara lelaki-lelaki yang baik itu ada di kampungnya sendiri. Ayu tetap teguh berpegang kepada pendiriannya itu, sehinggalah…

Malam itu, Ayu keseorangan pulang dari rumah Haji Saad, guru Al-Qurannya. Selalunya ayahnyalah yang mengiringinya pergi dan pulang dari mengaji, tetapi memandangkan malam itu ayahnya terpaksa pulang lebih awal atas sesuatu urusan penting, Ayu terpaksa pulang bersendirian, tambahan pula dia sendiri telah biasa dengan jalan-jalan yang dilaluinya, jadi tidaklah terasa sangat takutnya. Namun, rela atau tidak, yang tersurat tetap akan terjadi. Tiga lembaga manusia lelaki kelihatan tercegat menghalang perjalanan Ayu. Dalam kesamaran itu agak sukar untuk Ayu mengecam wajah ketiga-tiga mereka, tetapi Ayu cukup sedar bahawa mereka berada di situ bukan dengan tujuan yang baik.

“Kau terlalu sombong Ayu…” satu suara garau memulakan bicara.

“Permintaanku jarang ada orang yang menolak, tapi kau telah membuatkan aku rasa terhina dengan cara penerimaanmu terhadap aku… aku tidak boleh menerima penghinaan itu,” sambungnya lagi, meluahkan rasa kecewa.

Sewaktu Ayu masih cuba mengingat siapakah yang sedang berbicara dengannya itu, lelaki-lelaki tersebut terlebih dahulu memulakan tindakan yang diluar dari batas-batas kesopanan dan tatasusila kemanusiaan. Jelas dengan apa yang bakal terjadi, Ayu cuba melarikan diri, tetapi salah seorang daripada mereka lebih pantas merentap tangan Ayu. Ayu cuba meronta, tetapi kudrat seorang perempuan sepertinya masakan mampu melawan kudrat lelaki-lelaki itu.

“Tolonglah!! Jangan apa-apakan aku, aku tak kenal siapa kamu dan apa yang kamu mahu, tolonglah!!” Ayu merayu-rayu mengharapkan belas simpati.

Tetapi istilah belas kasihan tidak pernah ada dalam kamus hidup manusia-manusia keparat seperti itu. Rayuan itu hanya jatuh pada pendengaran manusia-manusia yang berhati batu. Mereka terus bertindak lebih ganas lagi.

Beberapa ketika sebelum itu…

Langkah sembah penutup gelanggang baru sahaja selesai, tanda tamatnya latihan silat untuk malam itu. Semua ahli bersalaman, lantas membawa haluan masing-masing, termasuk juga Iskandar, salah seorang ahli yang paling menonjol ketangkasannya sewaktu di gelanggang serta menjadi murid kesayangan Pak Hamid, guru silatnya. Selepas bersalam dengan gurunya, Iskandar mengorak langkah untuk pulang ke rumah.

“Berhati-hati Iskandar,” pesan Pak Hamid.

“Baik guru, terima kasih, assalamualaikum,” lalu Iskandar beredar.

Menyusur kekelaman malam, seperti malam-malam sebelumnya adalah perkara biasa baginya, tetapi malam itu nalurinya terasa satu kelainan… dan firasatnya ternyata benar.

Di hadapan, kelihatan olehnya tiga makhluk dengan rakusnya cuba mencabul kehormatan seorang gadis suci yang tak berdaya. Terasa darah panas menyerbu ke mukanya menahan geram melihat sesuatu yang di luar dari batas kemanusiaan di hadapan matanya sendiri. Tanpa menunggu lebih lama, dengan satu teriakan yang kuat Iskandar melompat ke arah ketiga-tiga manusia laknat itu, dan dengan satu tendangan padu, ketiga-tiganya lintang-pukang bertaburan tertindih antara satu sama lain. Kehadiran tetamu yang tidak diduga sama sekali itu cukup memeranjatkan mereka bertiga, namun segera pula mereka bangun dan bersedia untuk menghadapi sayembara yang seterusnya. Bagi Iskandar, keringat sewaktu latihan tadi belumpun kering sepenuhnya, tetapi kudratnya masih belum habis untuk dia beraksi sekali lagi.

Tanpa sepatah kata, salah seorang dari mereka memulakan serangan. Satu tendangan terbang cuba dilepaskan ke arah Iskandar, namun dengan pantas Iskandar memotong pergerakan musuhnya dengan menangkap kaki lelaki yang menendang itu menyebabkan dia jatuh terhempas ke tanah, disusuli dengan penumbuk sulung tepat ke hulu hati penyerang. Dia mengerang seketika sebelum kaku tidak bergerak lagi, entah pengsan entah mati. Kedua-dua kawannya tampak sedikit gementar melihat rakan mereka tewas hanya dalam masa beberapa detik. Mereka mengambil keputusan menyerang serentak. Pantas mereka meluru ke arah Iskandar dan melepaskan pukulan bertubi-tubi, tetapi dengan mudah Iskandar mengelak sambil penendangnya singgah ke perut kedua-duanya… merengkuk mereka ke tanah menahan senak. Ternyata kehandalan Iskandar sukar ditandingi oleh mereka. Suasana sunyi seketika.

“Ingat Iskandar, hari ini hari kau, tapi peristiwa malam ini tak akan aku lupakan begitu sahaja, aku akan membalas dendam, berhati-hatilah kau mulai saat ini…!!!” Dalam kepayahan itu masih sempat seorang daripada mereka memberi amaran.

“Ya, terima kasih atas ingatan saudara itu, aku akan ingatinya, tapi sekarang berambus kalian semua dari sini sebelum kesabaran aku hilang!!” Jawab Iskandar, tenang tetapi tegas.

Seorang rakan mereka yang pengsan tadi tiba-tiba tersedar. Terpinga-pinga dia mengingatkan kembali apa yang telah berlaku. Kemudian, terhenjut-henjut mereka berlalu dari situ sambil menahan bisa pukulan Iskandar sebentar tadi, dan parutnya berbekas juga di hati, menjadi bara dendam yang hampir mustahil untuk dipadamkan sehinggalah nyawa Iskandar sendiri yang menjadi galang gantinya.

“Saudari tak apa-apa?” Soal Iskandar sambil menarik kain selempangnya dari atas bahu dan menyelimuti tubuh Ayu yang bajunya terkoyak di sana-sini.

Ayu yang masih terkejut dengan peristiwa itu tidak dapat berkata apa-apa, hanya bahunya sahaja yang kelihatan terhenjut-henjut menahan tangisan.

“T..tt..terima kk..kasih,” setelah hatinya sedikit tenang, barulah dia dapat bersuara, walaupun dalam suara yang tersekat-sekat.

“Kalau tidak kerana pertolongan saudara, tak tahulah apa yang akan terjadi kepada saya, tak dapat saya membalas budi baik saudara itu,” sambungnya lagi.

“Sudahlah, lupakan saja perkara yang telah berlaku, izinkan saya menemani saudari pulang, malampun sudah lewat, ibu dan ayah saudari tentu sedang risaukan saudari.” Iskandar menawarkan dirinya.

“Ya, silakan,” balas Ayu.

Dalam perjalanan, masing-masing lebih mengambil sikap membisu, sehinggalah Iskandar memulakan bicara.

“Maaf saya bertanya, kalau tidak menjadi keberatan… boleh saya tahu nama saudari?”

“Saya Ayu… dan saudara pula?” Ayu menyoal kembali sambil mendongak memandang iskandar.

“Iskandar…” Ringkas Iskandar menjawab.

Pandangan mereka bersatu buat beberapa detik sebelum Ayu tertunduk, tak terdaya membalas renungan Iskandar. Ayu sendiri kurang pasti, apakah perasaan yang sedang melandanya waktu itu. Berbalas pandang dengan orang yang telah bergadai nyawa menyelamatkan maruahnya, kemudian dengan ikhlas pula menemaninya agar selamat sampai ke rumah bukanlah sesuatu yang biasa. Ayu sedar bahawa apa yang dirasainya waktu itu bukan sekadar rasa terhutang budi, tetapi juga rasa yang dia sendiri tak pernah alami. Menjalar ke segenap jiwa dan menjadi penghuni di dasar hatinya yang paling dalam. Sesampai sahaja ke rumah Ayu, Iskandar menerangkan segala apa yang telah berlaku kepada ayah dan ibu Ayu yang pada mulanya terkejut melihat keadaan Ayu sedemikian. Setelah segalanya selesai, Iskandar meminta diri untuk pulang.

“Ayu…” Iskandar mengulang nama itu sendirian. Satu nama yang agak baru baginya yang telah sekian lama merantau ke negeri orang.

Sejak kepulangannya ke rumah kedua orang tuanya di kampung itu beberapa bulan lalu, ada terdengar juga olehnya nama itu disebut-sebut orang, cuma dia kurang pasti siapakah tuan punya nama itu, dan dari peristiwa itu, segala persoalannya telah terjawab.

Masa tetap berlalu. Hari tetap berganti, dan sebagaimana fitrah manusia itu sendiri, Ayu dan Iskandar tidak mampu membohongi perasaan masing-masing lagi. Siapa yang memulakan tidak lagi menjadi persoalan bila kedua-duanya telah dapat menyelami hati dan perasaan masing-masing. Tingkah laku dan tutur kata sudah cukup menggambarkan rahsia di hati. Mereka pasrah dengan apa yang telah ditakdirkan. Tetapi itu adalah takdir yang mereka ketahui, hakikatnya, alam nyata ini sememangnya penuh menyimpan rahsia kehidupan manusia. Iskandar dan Ayu sememangnya tak pernah mengetahui apakah takdir yang ditentukan untuk mereka, suatu takdir yang bakal merubah hidup mereka seterusnya.

Malam itu bulan mengambang penuh. Suara cengkerik dan unggas malam bersahut-sahutan umpama satu pesta. Bayu malam bertiup lembut, membelai jiwa sesiapa sahaja yang merasainya.

“Abang…” satu suara kedengaran antara suara-suara unggas malam, suara Ayu.

“Ya sayang…” Iskandar membalas.

“Sungguh-sungguhkah abang menyayangi Ayu?” Soal Ayu. Iskandar tersenyum mendengar soalan Ayu.

“Sudah tentu abang menyayangi Ayu, sepenuh jiwa raga abang, tak perlulah Ayu ragukan itu. Tetapi kenapa Ayu bertanya demikian? Ayu masih ragu lagi dengan kasih sayang abang kepada Ayu?” Soal Iskandar kembali, agak pelik dengan soalan Ayu yang sedemikian.

“Bukan begitu, cuma… Ayu takut bang. Ayu takut andainya antara kita yang berubah, atau mungkin juga kita akan terpisah oleh suatu keadaan yang kita sendiri tidak merelainya. Ayu tak akan dapat menghadapi perpisahan itu bang.” Jelas Ayu. Suaranya begitu sayu, menyentuh perasaan Iskandar.

“Sudahlah sayang, selagi hayat dikandung badan, abang akan pertahankan cinta kita walau apa jua rintangan sekalipun, ini janji abang kepada Ayu.” Iskandar cuba mententeramkan perasaan Ayu.

Diam sejenak. Tiba-tiba Iskandar mengeluarkan sebilah pisau kecil dari kain yang meliliti pinggangnya. Ayu hanya memerhatikan perlakuan Iskandar itu dengan persoalan. Tanpa diduga oleh Ayu, Iskandar menghiris sedikit jari telunjuknya, berdarah.

Kemudian Iskandar bersuara, “hulurkan tanganmu Ayu,” tanpa sebarang bantahan, Ayu menurut sahaja kata Iskandar.

Begitu jugalah yang Iskandar lakukan kepada Ayu, dia menghiris sedikit jari telunjuk Ayu sehingga berdarah, menyebabkan Ayu terjerit kecil.

“Ayu, rapatkan jarimu itu dengan jari abang,” Iskandar seperti mengarah.

Ayu mengangkat sedikit jari telunjuknya yang berdarah dan disatukan dengan jari telunjuk Iskandar.

“Ayu…” Iskandar terhenti berkata-kata, menarik nafas, kemudian menyambung kembali, “sebagaimana bersatunya darah kita ini, dan malam ini sebagai saksinya, abang bersumpah pada Ayu bahawa tiada apa yang dapat memisahkan kita, kecuali mati…!!!” Itulah sumpah Iskandar.

Ayu tidak dapat berkata apa-apa, lidahnya kelu, dadanya terasa sebak. Titis-titis jernih mula membasahi pipinya, keharuan. Iskandar segera mengesat air mata Ayu yang mengalir itu dengan tangannya, sambil mengusap-usap lembut pipi Ayu. Dia turut terharu melihat insan yang paling disayanginya mengalirkan air mata. Dan, malam itu menjadi saksi terikatnya sebuah janji. Malam itu juga yang menjadi saksi terpaterinya sebuah sumpah… sumpah berdarah…!!!

Suasana yang tadinya nyaman dengan bayu malam yang bertiup mesra dan rembulan yang memancarkan cahayanya menerangi alam, tiba-tiba menjadi kelam dan gelap. Rembulan telah ditutupi awan. Angin masih lagi bertiup, tetapi lebih keras berbanding tadi. Suara alam yang tadinya meriah tiba-tiba menjadi sunyi sepi, yang terdengar hanyalah gemersik desiran angin yang membelah dedaunan.

“Petanda apakah ini?” Bisik hati Iskandar.

Degupan jantungnya terasa semakin kencang. Aliran darah semakin pantas berlari di dalam seluruh urat nadinya. Nalurinya membisikkan bahawa sesuatu yang buruk bakal terjadi. Titis-titis air mula berguguran dari langit, hujan gerimis. Dalam suasana kelam itu tiba-tiba muncul tiga susuk tubuh manusia tercegat di hadapan Iskandar dan Ayu. Manusia-manusia yang pernah suatu ketika ditewaskan oleh Iskandar dalam keadaan yang sungguh memalukan, dan kehadiran mereka kali ini adalah untuk melunaskan dendam yang pernah dijanjikan oleh mereka. Pandangan mereka menyorot tajam ke arah pasangan kekasih itu, penuh dengan bara dendam dan api kebencian yang menyala-nyala.

“Kami datang menagih hutang, bersedialah kau Iskandar…!!!” Seru salah seorang daripada mereka.

Iskandar telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Seorang daripada mereka menyerbu ke arah Iskandar sambil menghayunkan buku limanya, tetapi dengan mudah dielak oleh Iskandar.

“Celaka kau, kali ini tahulah nasib kau Iskandar,” jerit salah seorang daripada mereka.

Dalam pada itu Ayu cuba mengecam wajah ketiga-tiga mereka, ya, Ayu kenal. Itulah manusia-manusia yang selalu menimbulkan masalah di kampung mereka. Azam, Karim dan Hadi sememangnya tidak pernah serik, apatah lagi untuk insaf atas apa yang telah mereka lakukan. Ayu melihat Azam mengeluarkan sebilah pisau yang tersisip dipinggangnya dan cuba menikam curi dari belakang.

“Iskandar, awas!!!” Ayu memberi amaran.

Iskandar berpusing, tetapi agak terlewat. Pisau tajam berkilau itu menghiris sedikit daging lengannya. Darah merah mengalir keluar, namun tidak sedikitpun melemahkan semangat Iskandar. Langkahnya diatur kembali. Serangan demi serangan dipatahkan sambil kaki dan tangannya singgah di sasaran sipenyerang. Kelihatan Karim terguling di atas tanah sambil tangannya menekap rusuk, dia muntah darah, rusuknya patah oleh penumbuk Iskandar. Dua lagi rakannya masih berusaha menumbangkan Iskandar walaupun melihat seorang kawan mereka telah cedera parah.

Gerimis masih mencurah-curah membasahi bumi. Dalam jangka waktu yang agak lama, Iskandar masih teguh bertahan. Memang menjadi sumpah pendekar, biar mati bergalang tanah, namun menyerah tidak sekali-kali. Tetapi segagah-gagah dan sekuat-kuat manusia, tidak terlawan kudrat dan iradat Ilahi. Dari balik pohon berhampiran, muncul seorang lagi rakan mereka lantas meluru ke arah Ayu yang sedang cemas. Ayu tidak sempat berbuat apa-apa bila manusia yang tidak dikenalinya itu memegangnya. Pada saat Iskandar telah teralih tumpuan dari musuh-musuh yang sedang dihadapinya, Hadi telah bertindak memukul curi, setelah dirasakan mustahil olehnya untuk menewaskan secara berdepan lawannya yang nyata lebih arif dalam ilmu kependekaran itu. Iskandar terasa satu benda keras hinggap ditengkuknya. Pandangannya menjadi semakin kabur dan terus gelap. Namun, pada saat-saat terakhir sebelum dia rebah dan tidak sedarkan diri, dalam kekaburan itu dia sempat melihat keempat-empat manusia itu cuba mengerjakan batang tubuh kekasihnya itu sambil pendengarannya menangkap suara jeritan Ayu memanggil namanya… sayu dan pilu…!!!

Dinihari… Iskandar, yang disangka telah mati oleh musuh-musuhnya, tersedar dari pengsan. Gerimis telah berhenti. Suara malam kembali bergema. Suara cengkerik berselang-seli dengan suara unggas malam. Perlahan-lahan dia cuba bangun… terjatuh kembali. Ternyata badannya masih lemah. Namun, dia gagahi juga untuk berdiri. Dia mengusap-usap tengkuknya, masih terasa sakitnya. Bila fikirannya kembali waras, baru dia teringat.

“Ayu… di mana Ayu?!” Desis hatinya.

Matanya liar memerhati sekeliling, namun tidak kelihatan apa yang dicari. Tiba-tiba dia terlihat kesan-kesan tompokan darah yang telah separuh membeku dengan warnanya yang hampir kehitaman di atas daun-daun dan rumput di sekitar kawasan itu. Dengan debaran jantung yang semakin kencang, dia menyusur kesan darah itu ke arah belukar berhampiran, dan, bagai disambar petir perasaanya ketika itu bila melihat apa yang ada di depan matanya. Kelihatan olehnya sekujur tubuh kaku berlumuran darah. Tubuh Ayu. Badannya penuh dengan kesan-kesan calar dan luka. Wajahnya yang pucat lesi itu membayangkan betapa beratnya penyeksaan yang ditanggungnya pada saat-saat terakhir sebelum kematiannya. Iskandar segera membuka bajunya dan menyelimuti tubuh Ayu yang separuh terdedah itu.

Iskandar melutut di samping jasad kekasihnya. Air mata lelakinya yang cukup mahal itu gugur jua akhirnya, tidak tertahan-tahan lagi. Iskandar membiarkan ia mengalir sepuas-puasnya. Terlalu pilu perasaanya waktu itu.

“Mengapa terlalu kejam mereka memperlakukan dirimu seperti ini Ayu,” bisiknya dalam sendu.

Tak pernah diduga oleh Iskandar, sumpahnya kepada Ayu bahawa hanya kematian yang memisahkan mereka menjadi kenyataan.

“Maafkan abang sayang. Abang gagal menyelamatkanmu. Abang sungguh-sungguh menyesal, jika tidak, kau tak akan meninggalkan abang.”

Terlalu sukar untuk Iskandar menuturkan kata-kata, tetapi lebih sukar lagi untuk dia menerima hakikat bahawa insan yang paling disayanginya telah meninggalkan dirinya dan dunia ini buat selama-lamanya.

Iskandar masih melutut di samping tubuh Ayu sewaktu ayah Ayu bersama sekumpulan orang kampung yang mencari mereka menemuinya di situ. Bertalu-talu pertanyaan diajukan kepada Iskandar tentang apa yang telah berlaku, namun semua soalan itu berlalu tanpa jawapan. Iskandar hanya tunduk membisu. Pandangan matanya kosong. Reaksi wajahnya menggambarkan seolah-olah dia sudah tidak mempunyai perasaan lagi.

Sehingga jenazah cintanya diusung ke pusara, Iskandar masih begitu.

“Semangatmu tetap bersamaku Ayu,” desis hatinya.

Tetapi, semangat Iskandar sendiri telah turut berkubur bersama jasad kekasihnya. Selepas peristiwa itu, Iskandar jatuh sakit. Perasaannya terlalu tertekan lantaran kesetiaan serta cinta dan kasih sayangnya yang terlalu mendalam terhadap Ayu. Tidurnya selalu diulit mimpi-mimpi indah bersama Ayu, berkejaran di taman yang indah, dengan bunga-bunga berwarna-warni yang mekar berkembang, dengan sungai jernih yang mengalir perlahan dan bayu yang bertiup lembut, menyapu segala duka dan gundah yang bersarang di jiwa. Namun, bila dia terjaga, Ayu sudah tiada lagi, taman yang indah juga telah hilang, sirna bersama mimpinya yang diragut siang. Kadangkala pula Ayu akan datang dalam mimpinya berpakaian serba putih dengan rambutnya yang panjang terbuai-buai dihembus angin, dan dengan air mata yang mengalir ke pipinya, Ayu akan merenungnya buat beberapa ketika dengan pandangan yang cukup sayu, seolah-olah ingin mengatakan sesuatu, namun perlahan-lahan berundur, semakin menjauh dan terus hilang ditelan kabus dan kegelapan malam. Sejurus Iskandar terjaga, Ayu sudah tiada, namun bayangan wajah Ayu tetap terpahat dalam ingatan Iskandar. Setiap kali itu juga ingin Iskandar menangis, tetapi air matanya telah kering untuk terus meratapi pemergian Ayu. Iskandar terseksa zahir dan batin.

Dua bulan Iskandar terlantar, namun berkat doa dan nasihat yang tidak putus-putus dari kedua orang tuanya, juga ayah serta ibu Ayu yang sering datang menziarahinya, Iskandar beransur-ansur sembuh. Dia semakin dapat menerima kenyataan dan sedar bahawa segala apa yang berlaku adalah ketentuan-Nya jua. Semangatnya juga semakin pulih, walaupun kadangkala bayangan wajah Ayu masih terlintas di fikirannya pada waktu-waktu dia bersendirian. Wajahnya semakin ceria, gundah beransur pergi, duka semakin menjauh. Tiada lagi sendu dan pilu.

Untuk melupakan segala apa yang terjadi, Iskandar memohon pekerjaan di bandar. Dia berharap kesibukan kerjanya memungkinkan dia untuk tidak terus mengenang kembali kisah-kisah silam. Waktu kerjanya dari jam sembilan pagi hingga lima petang. Biasanya dia pulang dari kerja jam lima atau lebih dan tiba di rumahnya pada waktu sudah hampir senja, sehinggalah pada hari tersebut di mana dia terpaksa bekerja lebih masa untuk menyiapkan tugasan yang diberikan kepadanya. Seperti kebiasaan, dia harus melalui jalan itu untuk pulang. Melalui jalan itu juga bermakna dia akan terpaksa melintas tempat di mana peristiwa yang mencatatkan sejarah hitam dalam hidupnya itu berlaku, dan malam itu kebetulan pula sewaktu dia melintas kawasan itu, hujan gerimis telahpun turun. Malam, hujan gerimis, dan pohon besar itula yang telah mengembalikan kenangannya kepada Ayu.

“Iskandaaarrrrrrrrrr…”

Iskandar tersentak dari lamunannya yang panjang apabila terdengar seperti namanya dipanggil. Dia mengamati jika suara itu kedengaran lagi, namun yang terdengar hanyalah desiran angin bersama rintik-rintik hujan yang gugur menimpa dedaunan, lantas dia membuat kesimpulan;

“Mungkin hanya bunyi desiran angin,” bisiknya sendirian.

Dengan cepat pula dia cuba mengawal kembali emosinya daripada terus mengingati peristiwa itu. Dia mengambil keputusan meneruskan perjalanan pulang.

Tetapi baru dua tapak langkahnya dihayun, suara itu kedengaran lagi, “Iskandaaarrrrrrrrrr” menyebabkan langkahnya terhenti.

Cuma antara dengar atau tidak pada Iskandar, lebih merupakan satu bisikan, seperti desiran angin, namun kali ini Iskandar cukup yakin apa yang didengarnya itu bukanlah suara angin ataupun titis-titis gerimis, tetapi namanyalah yang dipanggil oleh suara yang entah dari mana datangnya itu.

Jantungnya berdebar-debar, sambil hatinya diserang persoalan, “Siapa?” Dan persoalan itu berlalu tanpa jawapan.

Dia menunggu sejenak dengan harapan suara itu akan kedengaran lagi, namun detik demi detik berlalu, hasratnya tidak terlaksana. Suara itu telah tiada, bersama berhentinya gerimis malam dari menyirami bumi. Akhirnya setelah pasti yang suara itu tak akan didengarnya lagi, dalam keheningan malam itu dia kembali mengatur langkah pulang.

Setelah sekian lama perasaan Iskandar tenang dan aman dari diburu bayangan wajah Ayu, malam itu Ayu bertamu kembali dalam mimpinya. Seperti sebelumnya, Ayu yang berpakaian serba putih dengan wajahnya yang masih semuram dulu, perlahan-lahan menghampiri Iskandar. Tiada kesan calar atau luka pada wajah itu, tiada juga air mata, cuma terdapat kesan darah yang memerah pada bajunya. Kecantikannya masih terserlah di sebalik wajah yang pucat lesi itu.

Ayu memandang Iskandar, kemudian bersuara, “Abang, ada satu permintaan yang Ayu ingin abang tunaikan,” suaranya begitu perlahan, tetapi cukup untuk Iskandar mendengarnya.

“Cakaplah apa sahaja permintaanmu Ayu, abang mendengar,” balas Iskandar.

“Abang, Ayu cuma minta abang datanglah ke tempat di mana kali terakhir kita bertemu dulu, hari Jumaat ini, waktu tengah malam, sekiranya abang masih menyayangi Ayu,” Ayu menyuarakan permintaannya.

“Demi janji-janji yang pernah abang lafazkan kepada Ayu, akan abang tunaikan permintaanmu itu, tunggulah, abang akan datang kepadamu sayang,” janji Iskandar.

“Terima kasih abang,” dan segaris senyuman terukir di wajah Ayu.

Sebaik sahaja selesai ucapan terima kasih itu, bayangan Ayu semakin lama semakin kabur dan terus hilang dari pandangan Iskandar. Serentak dengan itu, Iskandar bingkas bangun dari mimpinya. Badannya berpeluh, fikirannya bekerja keras mencari jawapan tentang erti mimpinya itu.

Iskandar masih lagi dalam keraguan sama ada dia harus mengotakan apa yang telah dijanjikan kepada Ayu di dalam mimpinya, tetapi bila mengenangkan kerinduannya yang terlalu mendalam terhadap Ayu, setelah difikirkan masak-masak, dia mengambil keputusan untuk pergi. Fikirnya, walaupun sekiranya mimpinya itu tidak benar, dia tidak akan kerugian apa-apa jika meneruskan juga niatnya itu.

Malam Jumaat. Kalau sebelum ini Iskandar terlewat pulang dari kerja kerana menyiapkan tugasan yang diserahkan kepadanya, tetapi kali ini Iskandar sengaja pulang lewat semata-mata untuk menunaikan janjinya kepada Ayu, seperti di dalam mimpinya. Jam di tangannya baru menunjukkan pukul sebelas malam.

“Masih awal lagi,” fikirnya.

Dengan tenang dia melangkah menuju ke destinasinya. Dia tidak lagi perlu tergesa-gesa ataupun risau, cuma dadanya agak berdebar-debar memikirkan kemungkinan yang akan berlaku sebentar nanti.

“Apakah benar Ayu akan menemuiku di sana nanti?” Keraguannya masih belum dapat dihapuskan sepenuhnya, sehinggalah ianya terbukti.

Jika benar, apakah tujuan Ayu ingin menemuinya? Itu juga menjadi satu persoalan buat Iskandar. Akhirnya Iskandar hanya membiarkan sahaja persoalan-persoalan itu berlegar di dalam kotak fikirannya.

“Aku akan tahu juga nanti!”

Detik demi detik berlalu, penantian Iskandar menghampiri penghujungnya. Dia mengerling jam di tangan, pukul sebelas lima puluh lima minit. Langit yang tadinya terang dengan cahaya purnama yang dipagari bintang-bintang umpama mutiara di langit, tiba-tiba kelam. Seperti satu janji, setiap pertemuan Iskandar dan Ayu akan sentiasa ditemani gerimis malam, yang mana, tanpa pengetahuan Iskandar, gerimis malam itulah yang mengundang Ayu datang menemuinya. Tepat jam dua belas tengah malam, seperti yang Iskandar jangkakan, gerimis mencurah-curah membasahi bumi. Iskandar semakin gelisah, yang ditunggu belum juga tiba. Gerimis yang diiringi angin malam yang cukup dingin membuatkan Iskandar menggeletar menahan kesejukan. Dia tetap menanti dengan sabar sambil mengharapkan Ayu akan segera tiba.

“Ayu, di mana kau. Abang datang menunaikan janji,” Iskandar bersuara perlahan.

Pukul dua belas lima puluh minit malam. Iskandar hampir berputus asa. Tiada tanda yang Ayu akan benar-benar menemuinya di situ. Iskandar berada di persimpangan, haruskan dia terus menunggu? Atau pulang sahaja ke rumah? Sukar untuk diputuskan olehnya. Dalam dia terfikir-fikir itu, dia terdengar suara orang sedang bercakap-cakap, kadangkala diselang-seli dengan ketawa besar, memecah keheningan malam yang membawa ke pagi itu. Menyedari bahawa itu bukanlah apa yang ditunggunya, Iskandar mencari tempat perlindungan agar tidak dilihat oleh manusia-manusia tersebut. Nalurinya berkata, ada yang tidak kena pada orang-orang yang bersuara itu.

“Eh, Azam, kau tak takut ke kalau si Ayu tu hidup balik?” Karim bersuara setelah ketawa mereka reda.

“Apa? Kalau Ayu hidup balik? Eiii.. takutnya aku. Ha ha ha! Eh kau ni jangan merepek tak tentu fasallah pagi-pagi buta ni. Mana ada orang mati hidup balik, mengarut ajelah!!” Balas Azam sambil ketawa, diikuti oleh rakan-rakan mereka yang lain.

Gelihati dengan soalan Karim yang bagi mereka tidak masuk akal itu.

“Tapi, kau tahu tak, dah banyak kali aku bermimpi Ayu datang mencari kita, katanya dia akan membalas dendam atas perbuatan kita dulu. Hah! Kalau apa yang dikatakan tu betul, tak ke mampus kita!!” Karim yang tidak berpuas hati masih ingin mempertahankan kata-katanya.

“Alaa, mimpi tu kan cuma mainan tidur, takkan jadi betul pula. Sudahlah, jangan nak mengarut lagi, balik tidur lagi bagus.” Azam tak mahu memanjangkan lagi perkara itu, dan mereka terus berjalan tanpa mengetahui apa yang bakal menanti mereka di hadapan.

Dalam kepekatan malam dan dingin gerimis, suatu keanehan terjadi di hadapan kumpulan manusia itu membuatkan langkah mereka terhenti tiba-tiba. Satu kepulan seperti kabus berlegar-legar di hadapan mereka. Kepulan itu perlahan-lahan semakin menebal dan kemudiannya beransur hilang ke udara, dan bersama hilangnya kabus itu, muncuk satu lembaga perempuan, berpakaian gaun putih, labuh menyapu tanah. Rambutnya menggerbang ditiup angin. Namun yang lebih mengejutkan mereka berempat ialah kerana wajah perempuan yang berdiri di depan mereka itu cukup mereka kenali. Ya, wajah itu memang mereka kenali, wajah Ayu. Cuma kali ini wajah itu tidak cantik seperti dulu. Suram, pucat dan dipenuhi kesan-kesan calar dan luka dengan darah merah yang masih menitis dari kesan luka tersebut. Tetapi yang paling menakutkan mereka ialah dua gigi taringnya yang menyeringai bila dia tersenyum kepada mereka.

“Masih ingat aku lagi?” Suaranya garau bergetar dalam kerongkong.

Azam yang tadinya bercakap besar menggigil ketakutan, pehanya terasa hangat. Dia terkencing di dalam seluar, manakala yang lain terpaku, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Peluh jantan memercik. Mereka ketakutan separuh mati. Masing-masing cuba melarikan diri, tetapi kaki mereka terasa kejang.

“Mati kita kali ni!!” Antara keluar atau tidak sahaja suara Azam.

Sejurus selepas itu, keheningan dinihari dipecahkan oleh suara-suara hilaian dan jeritan yang cukup mengerikan sesiapa sahaja yang mendengarnya, bersatu dengan suara unggas dan serangga malam, dan, Iskandar adalah satu-satunya saksi kepada segala peristiwa yang terjadi.

Sinar mentari pagi memancar indah. Menerangi alam semesta dengan cahayanya, rahmat kurniaan Yang Maha Kuasa. Kicauan beburung riuh di dahan, keriangan menyambut ketibaan pagi, tanpa mengetahui kegusaran penduduk Desa Permai yang gempar dengan penemuan empat mayat berhampiran sebatang pohon besar di kampung itu. Keadaan keempat-empat mayat itu sungguh mengerikan. Batang tubuh mereka seperti dirobek oleh binatang buas, penuh berlumuran darah, dan yang lebuh menghairankan orang-orang kampung adalah salah satu daripada mayat itu di dapati tersangkut di atas dahan pohon besar yang tinggi itu. Terlalu sukar untuk sesiapa membuat telahan apakah sebenarnya yang telah terjadi kepada keempat-empat orang pemuda tersebut. Semuanya di luar jangkauan pemikiran manusia. Pembunuhan itu kekal sebagai satu misteri yang tidak terungkai oleh penduduk Desa Permai.

Malam. Sehari selepas berlakunya peristiwa itu. Iskandar termenung sendirian di jendela kamarnya. Fikirannya menerawang kepada peristiwa semalam. Masih jelas dalam ingatannya bagaimana dia meyaksikan Ayu menamatkan riwayat manusia-manusia yang memperkosa dan membunuhnya dengan kejam dahulu. Mereka merayu-rayu kepada Ayu agar tidak diapa-apakan, tetapi mereka lupa bahawa Ayu yang di depan mereka itu bukanlah Ayu yang dulu lagi. Ayu yang datang kali ini adalah Ayu yang ingin menagih hutang daripada mereka, hutang darah, yang mesti dibayar dengan darah juga!

Setelah tugasnya selesai, Ayu mengubah haluan. Perlahan-lahan dia menuju ke tempat di mana Iskandar bersembunyi. Perasaan Iskandar agak gementar melihat Ayu menuju ke arahnya.

“Abang’ kemarilah sayang, Ayu ingin bertemu denganmu,” suara Ayu kembali seperti yang pernah Iskandar dengar suatu waktu dahulu, tidak lagi segarau bila mana dia berhadapan dengan musuh-musuhnya tadi.

Iskandar keluar berhadapan dengan Ayu.

“Ayu?” Iskandar seperti tidak percaya.

Ayu tersenyum memandang Iskandar. Tiada lagi wajahnya yang mengerikan dan penuh dengan luka. Di hadapan Iskandar adalah wajah Ayu yang secantik dulu, wajah kekasih yang amat dicintainya, cuma wajah itu kelihatan pucat. Seribu persoalan timbul dibenaknya, tetapi belum sempat dia bertanya apa-apa, Ayu terlebih dahulu bersuara,

“Usahlah abang bertanya apakah yang berdiri di hadapan abang sekarang ini adalah Ayu kekasih abang. Ya bang, inilah Ayu yang abang sayangi, tetapi sekarang dunia kita berbeza bang. Tak mungkin kita akan dapat bersama seperti dahulu,” terlalu sayu suara itu.

Jelas di mata Iskandar air jernih mengalir membasahi pipi Ayu.

“Ayu, tahukah kau, abang terlalu menderita dengan pemergianmu dulu,” Iskandar pula meluahkan perasaannya.

“Ayu tahu bang, sebab itulah Ayu meminta abang datang ke sini malam ini. Ayu mahu abang menyaksikan sendiri bagaimana Ayu membalas perbuatan orang-orang yang telah memusnahkan kebahagiaan kita. Ayu sendiri yang lakukannya kerana Ayu tak ingin abang menjadi pembunuh,” sambung Ayu lagi.

Iskandar terdiam sejenak, kemudian bersuara, “Tapi itupun tak akan mengubah apa-apa kan? Abang tetap tak akan mendapat kembali Ayu abang,” Iskandar seperti kecewa.

Ayu tersenyum sambil berkata, “Terima kasih bang, abang terlalu setia kepada Ayu, Ayu bertuah menjadi kepunyaan abang, tetapi terimalah hakikat ini bang, kita tak akan dapat bersama lagi.”

Tiba-tiba Ayu kelihatan sedikit cemas.

“Abang, Ayu mesti beredar sekarang. Jagalah diri abang baik-baik, dan Ayu minta abang rahsiakan segala apa yang abang saksikan malam ini, demi keselamatan abang,” pinta Ayu.

“Ayu, tolong jangan tinggalkan abang, abang tak sanggup berpisah denganmu lagi,” Iskandar merayu.

“Mustahil bang, tetapi ada satu cara abang boleh berjumpa Ayu. Hujan gerimis malam jumaat. Ya bang, jika ada gerimis pada malam Jumaat, abang datanglah ke tempat ini, serulah nama Ayu, Ayu akan datang kepadamu. Selamat tinggal sayang.”

Selesai sahaja memberi pesanan terakhir itu, Ayu ghaib dari pandangan Iskandar. Ayu terpaksa pergi, kerana gerimis telahpun berhenti.

Hari-hari yang berlalu seterusnya, Iskandar lebih banyak menghabiskan masa termenung di dalam kamarnya. Bayangan wajah Ayu yang sedikit masa dahulu telah beransur-ansur luput dari ingatannya, kembali menjadi pengunjung setia di dalam mimpi-mimpinya. Kembali membayangi setiap gerak langkah dan arah tujuannya. Dia menjadi seorang perindu dan penanti setia. Merindu dan menanti akan ketibaan malam Jumaat yang hadir bersama gerimis, dengan harapan agar gerimis itu akan membawa Ayu kepadanya. Ya… cepat atau lambat, detik itu akan tiba jua.

“Ayu… abang akan tetap menanti dan merinduimu sayang!!”

-noktah-
28 Oktober 1997
Jam 7.00 malam

(“Aku keseorangan di pejabat. Di luar hujan gerimis, kerana itulah aku masih lagi di sini pada waktu sebegini. Tetapi aku pasti, Ayu tidak akan muncul dari balik hujan gerimis itu, kerana malam ini malam Rabu… bukan malam Jumaat…”) -PENGARANG-

.

Azim
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.