GOLEKKAN GURAUAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca FS. Ya Dressar Cabuk Azim kembali. Maaf kepada semua kerana lambat ‘update’ cerita terbaru. Sibuk dengan kerja. Baiklah, seperti yang telah dijanjikan pada penulisan aku yang kedua, kali ini aku nak berkongsi cerita pengalaman arwah ayah aku sewaktu bertugas dahulu.

Arwah ayah aku merupakan seorang dressar a.k.a MA a.k.a PPP juga. Jadi aku adalah penyambung legasi kepada arwah ayah aku. Dan kisah beliau kali ini telah berkali-kali diceritakan sendiri oleh arwah sewaktu hayatnya.

Penempatan ayah aku selepas tamat latihan adalah di negeri Pahang ketika tahun awal 1970-an. Beliau telah ditugaskan di satu klinik kesihatan di pedalaman Ulu Tembeling bersama seorang Assistant Nurse(AN). Waktu ketika itu jalan perhubungan antara kampung tersebut dengan tempat lain hanya menggunakan sampan@bot. Perjalanan mengambil masa berbelas jam. Kalau air surut, makin lama masa diambil sebab terpaksa menolak bot.

Ketika melaporkan diri hari pertama di sana, ayah aku diberikan tempat tinggal di sebuah rumah orang tempatan di sana. Rumah kampung biasa yang tak terasa sebarang keanehan atau keganjilan. Ayah aku pun tak merasakan sebarang masalah pada awalnya. ‘Just follow the flow’ orang Jawa cakapšŸ¤£.

Merentasi minggu pertama di sana, ayah merasakan sedikit pelik kerana setiap kali dia pulang senja ke rumah, mesti lampu dah terpasang. Ayahku sedikit pelik sebab dia yakin segala suis telah dimatikan ketika dia hendak ke klinik setiap pagi. Tapi dia berfikir bagus juga kalau ada orang tolong bukakan suis lampu. Taklah terasa gelap sangat waktu dia pulang dari kerja. Setelah seminggu, ayahku cuba memberanikan diri bertanya kepada orang kampung siapa yang baik hati bukakan suis lampu rumahnya, namun jawapan yang diterima membuatkan ayahku terpana sejenak, TIADA SESIAPA. Tapi ayahku malas berfikir sangat kerana dia merasakan perkara itu macam tak berikan kesan sangat.

Masuk minggu kedua di sana, barulah ‘test’ sebenar dilalui ayahku. Pulang dari kerja macam biasa lampu terbuka sudah, seusai selesaikan semua perkara, ayahku masuk tidur di dalam bilik selepas solat Isyak. Untuk pengetahuan semua, bilik ayah aku ini memang tiada apa-apa perabot melainkan sebuah katil ‘single’ design orang dulu-dulu (katil jenis tinggi dan bawah ‘clear’ boleh nampak segenap sisi macam dalam cerita P.Ramlee) dan juga sebuah almari kecil (tinggi tak sampai 1 meter) di 1 sudut bilik yang mana pintunya diikat dengan tali. Ayahku semenjak duduk di situ memang tak pernah ambil tahu pun apa yang ada dalam almari tersebut. Melewati jam 11 malam, ayahku pun baring dan ingin tidur setelah kepenatan bertugas menguruskan klinik.

Dalam melayan mata hendak tidur, ayahku dikejutkan dengan bunyi golekan sesuatu. ‘Klekkkkk..klekkkkkk..kleekkkkkk…’. Ayahku masih lagi berbaring lagi. Dia amati betul-betul bunyi itu yang semakin lama semakin jelas kedengaran, dan bunyi itu datang dari bawah katil ayahku. ‘Sudah, bunyi apa pula ini?’, ujar ayah dalam hati. Ayahku pun mengiringkan badan ke kanan. Nak tahu apa yang ayahku lihat? Sebatang tongkat yang bergolek keluar dari bawah sebelah kanan katil. Tongkat yang ayahku sendiri tidak tahu datangnya dari mana. Tiada tongkat atau kayu sebatang pun ayah aku jumpa dalam seminggu dia tinggal di situ. Yang ada hanyalah penyapu lidi. Datang mana pula tongkat ini?

‘Ahhhh sudahhhhhh’, ujar ayahku. Ayahku beralih pula mengiring ke kiri, elok tongkat tu bergolek dari kanan, melalui bawah katil, dan keluar dari sebelah bawah kiri katil. 3-4 kali ayahku pusing ke kiri dan kanan sambil memejam mata dan setiap kali itulah juga tongkat itu mengikut. Ayahku dah tak tertahan lagi! Antara perasaan takut, penat, mengantuk, geram, ayahku turun dari katil dan terus memegang tongkat tersebut. ‘Hangat’, itulah perkataan yang keluar dari mulut arwah ayahku setiap kali dia bercerita mengenai tongkat tersebut. Ayahku genggam kemas tongkat itu dan membawanya ke pintu bilik. Dibukanya pintu bilik, menuju pula ke pintu utama rumah. Dibukanya pintu rumah itu, ayahku tidak tahu apa yang harus dilakukan malam itu. Dengan perasaan bercampur-baur, ayahku melempar tongkat itu ke semak tepi rumah lalu menutup pintu rumah dan bilik. Berpeluh-peluh ayahku duduk di atas katil memikirkan apa yang berlaku. Antara mimpi dan nyata.

Ayahku kembali baring. Kembali melayan mata dan menyangka segalanya selesai. Namun sangkaan ayahku meleset sama sekali. Sedang melayan mata untuk lena, perkara yang sama berulang lagi. Tongkat tadi yang bergolek tadi, kini buat perkara yang sama seperti tadi, bergolek lagi kanan dan kiri! Ayahku dah hilang sabar sangat-sangat, antara takut, berani dan risau, kembali ayahku genggan tongkat tersebut, keluar daripada rumah, jalan dengan laju dan penuh perasaan geram menuju ke sungai Ulu Tembeling. Sebelum ayahku baling tongkat tersebut ke dalam sungai, ayahku bercakap dengan tongkat tersebut, ‘aku datang tanpa masalah, aku tak cari masalah dan aku taknak ada sebarang masalah. Aku tak ganggu kau, kau jangan kacau aku. Cukup semua ini!’, ujar ayah dalam keadaan sedikit tegas suaranya. Lalu ayahku baling sekuat hati tongkat tersebut ke dalam sungai Ulu Tembeling. Ayahku pun segera pulang. Penat, mengantuk, risau setiap 1 perasaan semua ada bercampur-baur.

Setibanya di rumah, ayahku mengambil wuduk dan terus melenakan diri. Sedar-sedar azah Subuh kedengaran. Alhamdulillah, semenjak daripada itu, dah tiada lagi gangguan golekkan yang ayahku terima . Bertugas di sana hampir 3 tahun sebelum berpindah ke Hospital Bentong memberikan banyak pengalaman mendewasakan ayahku. Sampai sini sahaja dulu kisah untuk kali ini, insyaAllah jika dikurniakan umur yang panjang, kesihatan yang baik, aku akan kongsikan lagi kepada pembaca semua pengalaman-pengalaman aneh dan sedikit mistik yang lain. Semoga anda semua terhibur dan berada sentiasa dalam lingkungan rahmat Allah. InsyaAllah. Aamiin.

*p/s : arwah ayah bukan pandai dalam bab bomoh2 ke apa ye. Belajar silat sikit-sikit adalah waktu budak dulu. Arwah ayah cuma bercakap, bila duduk dalam keadaan macam itu, bila mana semua perasaan bercampur baur, kau akan buat sesuatu mengikut apa yang terlintas dalam kepala, dan tawakkal sahaja kepada Allah sebab tiap-tiap yang berlaku atas izin-Nya. Dan ini adalah pengalaman sebenar. Tiada sebarang tokok tambah. al-Fatihah untuk arwah ayah.

Assalamua’alaikum.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

AtoyOmarElhajj

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 22 Average: 4.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.