#Gongpal : Dendam Suri (V) – Tewas

Nama Pesakit : Ahmad Shahrin bin Muhammad Shahril
Umur : 27 tahun
Komplikasi/Sakit lain-lain : Tiada
Maklumat tambahan : Perokok

Pemerhatian
– Mimpi berkenaan seseorang/sesuatu yang sama.
– Sleepwalking. Sejak berusia 25 tahun.
– Mendakwa mengalami kecederaan ketika mimpi. Luka di tangan kanan (animal bite).
– Tiga nama, dan dua lukisan.
– Mendakwa tidak pandai melukis.
– Natrah, Sarah, Adam. Semua tidak dikenali.

Hipotesis/ Analisis Awal
– Dissociative Identity Disorder (DID). Split personality, mungkin bertukar ke watak lain ketika dakwaan sedang tidur.
– Sleepwalking mungkin disebabkan stress. Juga ada tanda sebagai watak lain.
– Watak kedua mungkin pandai melukis.
– Natrah, Sarah, dan Adam adalah memori/kenalan watak kedua, atau tidak wujud
– Perlu diberi preskripsi yang sesuai untuk mengawal emosi, dan tidak mencederakan diri.

Solusi/Langkah Seterusnya
– Appointment untuk kemaskini keadaan.
– Ubat : Chlorpromazine (antipsychotic medication)
Tiada anxiety. Valium diberi, sebagai langkah berjaga-jaga
– Cadangan kepada pesakit untuk memantau perilaku selama seharian untuk mengesahkan
DID.

***
Doktor Munsyi memandang jam di dinding. 12 tengah malam. Sampai masa untuk tidur.

“Assalamualaikum,” sapaan di belakang Munsyi, memecah keheningan malam. Munsyi kaget. Dipusingnya kerusi ke belakang, menghadap almari besi di tepi tingkap bilik bacaannya. Susuk tubuh asing kelihatan di sebalik kesamaran. Munsyi mencapai telefon bimbit. Rumah dipecah masuk.

“Tidak perlu, Munsyi. Polis tidak akan dapat buat apa-apa kepada saya. Saya sarankan saudara hanya mendengar, dan memberi kata putus dengan cadangan yang saya ingin tawarkan kepada saudara.”

“Siapa kau?” “Jawablah dahulu salam. Wajib untuk kita beragama Islam.” Munsyi memperbetulkan duduknya, lalu menjawab,” Waalaikumussalam. Siapa kamu? Apa tujuan kamu datang ke sini. Jika kamu mahu mencuri, ambil sahajalah apa sahaja yang kamu mahu. Aku tak halang.”

Adam membuka fail pesakit Ren. Entah bagaimana, fail itu sudah ada pada tangannya. Munsyi terkejut, dan melihat ke meja tulisnya semula. Hilang! ” Aku bermimpi? Dunia mistik apa yang aku lalui ni?”

“Di sini ada tulis nama saya. Saudara masih tidak kenal siapa saya?” “Encik Shahrin?” Adam tersenyum sinis. Disambung lagi bacaan pada fail.

“Banyak yang perlu diubah di sini, Munsyi. Natrah, Sarah, Adam. Semuanya wujud. Bukan juga memori personaliti lain Shahrin. Saudara sudah salah faham dengan semua ini.” Adam menambah, ” Saudara percaya dengan kewujudan makhluk-makhluk halus?”

“Wajib percaya. Al-Quran menyebut kewujudan semua itu. Siapa kamu?” Munsyi masih ragu-ragu. Identiti penceroboh masih tidak diketahui. ” Natrah, terlantar di hospital, Munsyi. Saudara boleh periksa di hospital saudara bekerja. Kalian memanggil, koma. Kami menganggap dia terperangkap.”

“Sarah,….hmmmm. Tidak jelas tentang dia. Apa yang pasti, dia penyebab semua ini berlaku.” Munsyi lantas bertanya,” Adam?” “Ya, saya Adam. Kami ‘ada’, kami hanya memerhati saudara dari jauh. Bagi kami, saudara adalah pilihan kedua untuk tugasan ini.”

“Tugasan?” ” Tugasan menyelamatkan Natrah. Malang sekali, Natrah diganggu makhluk halus seperti kami, tetapi berlainan jenis dan matlamat. Matlamat kami, untuk melihat Natrah hidup biasa, seperti manusia lain. Kami sangka Shahrin mampu untuk tugasan ini, namun…”

“Namun apa?” ” Pergilah cari dia esok di rumah. Saudara akan tahu. Sudi mendengar tawaran saya?” Munsyi berbelah bahagi. Masih tidak jelas apa sebenarnya makhluk di hadapannya itu. Juga ragu-ragu dengan tawaran yang hendak diberikan.

“Saya percaya sesama manusia, Allah memerintahkan untuk saling tolong menolong. Saudara tidak sudi menolong?” “Aku memang hendak menolong manusia. Tetapi, manusiakah kamu? Masuk ke sini dengan mudah. Siapa kamu?”

“Cukuplah saudara tahu yang saya Adam. Bukan menolong kami, tetapi menolong Natrah, atau Shahrin.” “Bagaimana?” Adam tersenyum, tawaran pasti diterima.” Esok malam, tidur sebelum pukul 12. Saya akan bawa saudara ke satu tempat. Misi menyelamatkan Shahrin di alam lain. Dengan kapasiti keupayaan saya dan saudara, kita hanya dapat ‘membawa’ pulang satu semangat sahaja. Ingat. Kami mahukan Shahrin. Kita hanya berdoa Allah melindungi Natrah di alam sana.”

Munsyi mengangkat kening tanda tidak faham.” Di mana Shahrin? Baru dua hari lepas saya jumpa dia. Apa sudah kamu buat pada dia?” Adam membangkang,”Kami tidak buat apa-apa. Kami hanya meminta dia menjalankan tugasnya menyelamatkan Natrah. Shahrin mesti dibawa pulang. Masih ada kepentingan kepada kami.

“Apa yang aku dapat jika menolong dia?” “Pahala insyaAllah. Jika menolong dia ‘pulang’ itu dikira satu amal kebaikan di sisi-Nya. “Baiklah. Aku terima. Apa perlu aku buat untuk bertemu aku esok?”

“Tidur. Dalam keadaan suci dari hadas kecil dan besar. Akan saya jemput saudara dalam mimpi.” “Oh ya, solat Isyak sekali. Manalah tahu, itu menjadi solat terakhir kamu di dunia ini.”

Gerun. Sangat berat bunyinya tugasan ini. Namun, dia mahu melakukannya. Jauh di sudut hati Munsyi, mengenali dunia lain adalah satu peluang yang tidak semua boleh lalui. Malah, kehidupan dengan cabaran yang lain daripada yang lain, adalah impian yang ingin dia hadapi.

“Ingat, Munsyi. Jangan hebahkan kepada yang lain. Kau akan aku pantau selalu. Sentiasa tahu, AKU ADAM ada di mana-mana memerhatikanmu.” Kata-kata terakhir yang berlalu begitu sahaja. Adam lesap. Munsyi terkebil-kebil sambil mengosok-gosok mata. Seolah-olah baru lepas bermimpi. Namun, realiti.

***
Ren berlari sepantas yang mungkin menyusuri pintas semak samun. Hilaian tidak lekang daripada pendengaran. Ekor mata terlihat dua tiga susuk entiti sedang mengekori di udara. Melangkau dari pokok ke pokok. Ren tidak mempedulikan semua itu. Dia hanya perlu bergerak pantas ke destinasi. Setiap halangan akan dihadapi hanya apabila diserang terlebih dahulu.

Sampai di kaki bukit. Ren berhenti. Susuk-susuk tubuh jembalang kelihatan tidak jauh di hadapan mata, sedikit tinggi daripada tempat berdirinya Ren. Bukit ini adalah halangan pertamanya. Kejap dipegang kayu cemati di tangan. Ren hanya memerhati, dan berfikir cara untuk melepasi halangan pertama itu. Kekerasan, atau cara lain?

Ren memilih untuk azan. Entiti-entiti itu mula mengilai dan menyeringai, menandakan mereka merasakan sakitnya. Tamat sahaja azan, kelibat entiti-entiti tersebut hilang dari pandangan Ren. Mudah, getus hatinya. “Jangan riak, Shahrin. Fokus pada tugas,” jelas kedengaran amaran daripada Adam.

Larian diteruskan. Bacaan zikir rapi tersusun di dalam hati. Hanya itu pelindung Ren supaya teguh hatinya di ‘alam luar’. Kegelapan malam tidak menghalangnya untuk terus maju ke arah matlamat utama, Natrah.”Aku tidak tahu siapa kamu Natrah. Aku lakukan ini atas dasar sesama Islam. Aku harap kita tidak berjumpa lagi selepas semua ini selesai.”

***
Sesampainya ke puncak bukit, Ren berhenti memerhati sekeliling. Gelap. Di kejauhan kelihatan beberapa bulatan api berpusing-pusing secara rawak. Pasti makhluk jahat, getus hati Ren. Kawasan gelap menjadi sedikit cerah di puncak bukit itu. Bulan purnama dirasakan dekat, cahaya agak terang memandangkan puncak bukit ini agak tandus, kurang pokoknya. Hanya ada tiga empat batang pokok besar di kawasan pasir tandus. Pelik keadaan persekitaran. Di hujung pandangan, terdapat sebuah gua kelihatan. Di hadapan pintu gua, terdapat sekumpulan anjing, berkepala manusia. Anjing jahanam yang pernah menggigit Ren.

Tidak semana-mana, Ren merasakan sesuatu di kaki kanannya. Rupa-rupanya, dia sudah dibelit ular tedung hitam bermata merah, berkepala kuning. Bersiap sedia untuk mematuknya. Ren, dengan laungan Allahuakbar, mengbenam hujung kayu cemati ke arah kepala ular tersebut. Terpacak rapi ke tanah, laungan membelah langit. Bergelut ular tedung tersebut akibat tersepit di antara kayu cemeti dan tanah berpasir. Asap mula kelihatan, bara api pada hujung kayu cemeti mula membakar daging kepala ular. Suasana sekeliling menjadi hening seketika.

Namun, semua itu tidak lama. Lolongan anjing-anjing bertalu-talu kedengaran. Ular tedung tadi rentung, kemudian perlahan-lahan terbang ditiup angin dalam bentuk debu. Halangan kedua selesai. Ren memandang ke arah anjing-anjing tersebut. “Bagaimana hendak aku hadapi semua ini, Adam?” “Akal itu luas, carilah solusi dengan kapasiti yang ada. Allah pasti bantu.”

Belum sempat maju ke hadapan, kumpulan anjing tersebut mula menyerang terlebih dahulu. Ren menutup mata sejenak, bertafakur mencari jawapan. Semakin menghampiri. Ren membuka mata, lalu dicapainya segenggam pasir di atas tanah. Dibacakan zikir dan surah Al-fatihah, lalu dilemparkan ke arah anjing-anjing yang laju mendekatinya. Menggelempur anjing-anjing di barisan hadapan. Masih terdapat seekor anjing mara dan melompat ke arah Ren.

Lagak perejam lembing, Ren menjerit lalu melontar kayu cemeti sebagai tindakan balas. Hujung kayu cemeti bagaikan berapi. Tepat menusuk ke halkum anjing berkepala manusia, lalu susuk anjing tersebut terpelanting, mengikut layangan arah kayu cemeti. Terpacak kemas ke pokok di belakang sana, berhampiran dengan gua. Ren mengurut dada sendiri. Nyaris-nyaris diterkam. Anjing tersebut masih tergantung di pokok, menggelumpur. Kali ini dengaran dengusan seperti manusia mencari nafas, bukan lagi anjing melolong.

Melihatkan keadaan di situ, anjing-anjing lain berundur. Semuanya menuju ke arah pokok tersebut, bukan kembali ke arah pintu gua. Barulah Ren sedar akan kelibat manusia bongkok berjubah putih lusuh di hadapan pintu gua. Melambai-lambai seperti menyuruh Ren ke arahnya. Ren memerhatikan gelagat anjing-anjing itu semula. Nampak gayanya kayu cemeti sasaran mereka. Ren tidak dapat mengambil senjatanya semula.

Ren berjalan mendekati gua tanpa diganggu sekumpulan anjing itu. “Satu dah datang…..satu dah datang. HIHIHIHIHIHI~~” Ikutkan hati, suara mendayu nenek kebayan itu menyeramkan bagi Ren, tetapi dia perlu mara. “Masuklah nak,masuk….Satu masuk, tiada yang keluar lagi. HIHIHIHIHI~~” Ren merasakan nenek kebayan itu bukanlah halangan, hanyalah ‘penyambut tetamu’ yang akan mengganggu ‘tetamu’ yang lemah semangat. Ren hanya memandang muka nenek sekilas, rambut tidak terurus panjang mencapai dada, muka berulat, gigi tunggal tajam di atas. Berkerut teruk, nyaris muntah Ren di situ.

Ren tekad dalam gusar. Tiada senjata menghadapi kemungkinan di hadapan. Melangkah masuk ke dalam gua. Sekali lagi, ‘penyambut tetamu’ jijik itu berkata,” Satu dah masuk,satu dah masuk….Jangan keluar ya nak. Teman nek di sini saja.HIHIHIHI~~” Ren memandang sekilas ke arah nenek kebayan tersebut. Bukan lagi melambai, isyarat tangan seperti menyuruh masuk ke dalam lagi.

Kelam. Tiada punca cahaya di hujung penglihatan. Ren berjalan penuh waspada. Nahas menimpa sekiranya dia hilang fokus. Kaki lebih diberi perhatian, memandangkan hampir dipatuk ular tadi. Dari kejauhan, sayup-sayup kedengaran esakan tangis perempuan. “Halangan seterusnya?” getus hati Ren. Dia berhenti untuk mengamati tangisan itu, sambil memulakan bacaan 4 qul selepas membaca ibu segala surah. Dirasakan sedikit bergegar gua tersebut. Hilaian nenek kebayan juga semakin sayup kedengaran. Mungkin kerana Ren semakin menjauh.

Di hujung gua, kelihatan ruangan seperti penjara. Palang-palang kayu tanpa pintu menutupi ruang sepenuhnya. Di sebalik palang tersebut, kelihatan susuk tubuh perempuan tergantung yang dikenalinya. Natrah! Tergantung seperti disalib, badan Natrah penuh dengan kesan gigitan. Dia bukan digantung dengan tali di tangan dan kakinya, sebaliknya Ren yakin, itu belitan ular-ular berbisa. Dengan hanya memandang, cukup dapat dirasakan azab yang Natrah lalui.

Sedari tadi, asap berkepul keluar merebak dari tanah di bawah Natrah. Natrah hanya menangis teresak-esak. Bingung. Tanpa diketahui kenapa semua ini dilaluinya. Asap yang berkepul-kepul itu mula menyelubungi Natrah. Di sebalik kaburan asap tersebut, nampak pipi Natrah seperti dijilat-jilat. Semakin kuat jeritan Natrah. Sakitnya hati Ren melihatkan keadaan tersebut.

Lalu, Ren cuba memegang palang kayu,dan menghentak-hentakkannya dengan tangan. Padat. “Mana mungkin aku patahkan.” Ren m**i akal. Kepulan asap tadi mula turun semula, lalu membentuk jasad yang tidak asing lagi. Makhluk berjubah. Mata merah menyala memandang Ren, sambil menjelir-jelir lidah panjangnya. Menjilat sisa-sisa d***h Natrah di tangannya.

“Menggali kubur sendiri!” Bergema jeritan makhluk tersebut, turut bergegar gua. Ren hanya memandang kosong makhluk tersebut, m**i akal. Perlukah dia berpatah balik mengambil kayu cemeti, atau hanya berhadapan dengan makhluk syaitan dengan bacaan ayat suci? Ren cuba mengatur nafas, mengundur dua langkah ke belakang, lalu berkata,” Mahu mendengar tawaran aku, si jijik lidah biawak?”

“Hahahahaha!HUH! Kau bukan dalam situasi untuk tawar-menawar di sini, bodoh!”

“Lepaskan Natrah, aku tidak apa-apakan kau. Jangan sampai m**i aku kerjakan kau!”

“Kau, budak hingusan! Kail pendek, mahu membelah lautan! HAHAHAHA!” Suara makhluk tersebut tiba-tiba bertukar menjadi suara wanita yang menggerunkan. Mengilai. Pertama kali Ren dengari. Natrah, dalam separa sedar, seperti pernah mendengar suara tersebut.”

“Suri?” “Ya, aku Suri! Celakalah kau berdua! M**i terperangkap di sini!”

Ren mula mengangkat tangan untuk takbir, lalu memulakan azan. Malang, dia kurang pantas. Makhluk berjubah menukar bentuk kepada asap dengan pantas, sepantas kilat menyelubungi badan Ren. Ren sesak nafas. Sedikit demi sedikit, kakinya tidak dapat dirasakan. Dia seakan-akan terbang di awangan, hilang nafas. Muka makhluk berjubah betul-betul di hadapan matanya. Mata merah, berbentuk seperti ular bentuk mata hitamnya. Lidah melilit leher Ren. Tiba-tiba, hilaian ketawa nenek kebayan kedengaran jelas. “Satu dah m**i, satu dah m**i. Dua tergantung. Dua tergantung. HIHIHIHIHI~~~”

Lelap. Hilang pandangan mata. Ren tumpas. Misi gagal.

***
Adam seperti berterbangan di udara. Pantas mengikut laluan yang Ren lalui. Sesampainya di puncak, Adam mendekati pokok bersangkut anjing m**i itu. Anjing-anjing tadi kembali menjaga pintu gua. Nenek kebayan hanya menyeringai sambil melambai-lambai. Sayup kedengaran panggilan nombor tiga. Mengharapkan Adam turut serta.

Adam mencabut kayu cemeti dari batang pokok. Perlahan-lahan, lidah panjang dari atas pokok turun cuba membelit tangan Adam. Adam melompat jauh ke belakang, lalu memandang siapa gerangannya.

“Perkenalkan diri kamu, bajingan.”” Hahaha, bunian tak sedar diri. Aku adalah kamu, kamu bukan lah aku.HAHAHAHAHA!”

“Kita akan berjumpa lagi. Bukan sekarang. Perang ini belum tamat.”

“Akan kuratah-ratah badanmu, supaya tamat semuanya.HAHAHA!” Angkuh makhluk berjubah berhadapan dengan Adam. Adam berlalu pergi meninggalkan provokasi tidak penting, hanya membawa pulang kayu cemeti ‘pinjaman’ Ren. Pemergian Adam disambut hilaian nenek kebayan dan lolongan panjang anjing-anjing.

“Pengecut!!!” Kata-kata terakhir bergema mencengkam hati Adam. “Sabar itu iman,” Adam memujuk hati.

***
Polis dan ambulans mengerumuni kawasan rumah Ren. Munsyi bergegas menghampiri. Kelihatan Ren diusung keluar dengan troli pesakit dalam keadaan tidak sedar diri. Sesuatu telah berlaku. “Adam itu benar, bukan lagi mimpi,” getus hati Munsyi.

Ditegur salah seorang anggota polis di situ, lagak seperti ketua di kalangan mereka. “Apa sudah berlaku, tuan?”

“Encik kenal dia? Encik Shahrin?” “Ya, dia pesakit saya. Saya doktor psikiatri, rujukan Encik Shahrin.” “Kami datang untuk menyoal siasat Encik Shahrin berkenaan dengan kes kemalangan Cik Natrah tempoh hari. Timbul keraguan, dia mungkin suspek utama kejadian. Tapi, seperti yang encik nampak, dia jatuh tangga dari tingkat dua. Mungkin concussion.”

“Encik ada sebarang maklumat berkenaan Encik Shahrin? Mari, ikut saya. Kita berbincang.” Munsyi hanya menurut. Terngiang-ngiang amaran Adam di kepala. Munsyi sudah berkira-kira untuk mereka cerita. Agar Ren tidak dipersalahkan dalam hal ini.

***
“Jadi, dia ada tabiat sleepwalking?” “Ya, tuan. Saya hanya mengagak dia ada sakit mental, tapi kena perhatikan lebih lagi. Sebab itu saya datang tadi. Tiba-tiba, jadi macam ni pula. Kalau encik datang jumpa dia pun, dia akan kata tidak kenal Natrah siapa. Dia sendiri cakap kepada saya.”

“Lagi satu encik, saya rasa dia mangsa keadaan. Bukan suspek. Kemalangan Cik Natrah mungkin kemalangan biasa. Mungkin Encik Shahrin betul-betul membantu.” ” Berdasarkan kepada fail pesakit kamu, jika benar semua ni, memang terbukti dia suspek utama. Stalk and do the job. Cuma motif belum jelas.”

Munsyi mengeluh. Bukan ini yang dia mahukan situasi berlaku kepada Ren.”Saya sarankan kita tunggu dahulu tuan. Biar Natrah, dan terangkan keadaan sebenar. Kita tak boleh jatuhkan kesalahan kepada seseorang, melainkan terbukti bersalah.” “Apapun, terima kasih Encik Munsyi, atas kerjasama. Kami akan hubungi encik lagi jika ada apa-apa pertanyaan.”

Munsyi mengangguk. Dilihat tubuh kaku Ren di atas katil wad. Tangan bergari di sisi katil. “Maafkan aku, Ren,” keluh Munsyi. Dia perlu berbuat sesuatu. Fail pesakit Ren miliknya telah mengundang padah. Jauh di sudut hati, dia mahu cepat Adam ‘bawa’ ke dunia lain dan mempercepatkan tugasan yang perlu dilakukan. Dengan harapan itu membantu mengubah situasi Ren.

***
Fahmi berhenti di perkarangan rumah papan milik Suri. Mengikut maklumat diberi Man, Sarah digambarkan sebagai seseorang yang dikenalinya. Fahmi datang untuk mengesahkan maklumat tersebut. Hujan lebat turun menyukarkan pergerakan Fahmi.

Salam diberi dari luar. Tidak berjawab. Kilat sabung menyabung. Guruh juga kedengaran. Kedatangan Fahmi seperti tidak diundang. Salam terus diberi. Dia bertekad untuk tidak pulang selagi tidak berjumpa dengan Sarah.

“Ya, siapa di sana?” teguran di belakang Fahmi memecahkan suasana. Fahmi tersentak, tidak kelihatan sebarang tanda orang datang sebentar tadi. Dia tidak sedap hati. Ditoleh ke belakang untuk melihat. Sah, Suri adalah Sarah! Fahmi tidak pasti, reaksi apa yang harus dilakukan.

“Hai Fahmi. Apa khabar? Marilah masuk dalam. Hujan lebat ni. Tak elok berdiri saja di sini.” ” Tak apa, Suri. Aku datang untuk memberi sesuatu.” “Lukisan?” Jawab Suri sambil tersenyum.

“Aku tak nampak lukisan pun dari tadi. Kau datang bukan untuk serahkan lukisan padang pasir tu kan?” Fahmi berpeluh dalam kedinginan. Aura Suri sangat berlainan daripada dulu. Dia menyeramkan, walaupun hanya berkata-kata. Fahmi menarik nafas dalam, cuba menyusun ayat.

“Apa yang kau nak daripada lukisan tu? Apa lagi yang kau dah buat kepada Natrah? Tak cukup lagi kau seksa kehidupan dia selama ni? Apa masalah kau?”

“Masalahnya sekarang, apa kena mengena dengan kau Fahmi? Kau suka dia?” Terdiam Fahmi. Cuba untuk menidakkan kebenaran, tetapi tidak jadi. Suri tahu segala-galanya.

“Apa lebihnya dia? Aku lagi cantik, kau tak nampak aku Fahmi? Kenapa digila-gilakan si kenit mata sepet muka tak siap tu? Butakah kau? Lukisan tu takkan terhasil tanpa aku kau tahu. Kau patut bersyukur aku bayar mahal untuk beli.”

“Apalah sangat harga yang aku dapat, kalau itu terus buatkan Natrah terseksa. Nah, ambil balik cek ni. Lukisan tu akan kekal di tempat asalnya. Jangan cuba datang ke galeri aku lagi. Faham?!”

Fahmi berlalu pergi. Suri hanya tersenyum. Di sebalik senyuman itu, timbul rasa penuh benci dan dendam. “Matilah kau dengan cinta kosong tu,” sumpah Suri dalam hati.

***
Fahmi tiba di hadapan rumah Natrah. Basah kuyup. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa setengah jam, berlanjutan sehingga dua jam ke sana. Ada sahaja halangan menimpa. Nyaris kemalangan, penampakan makhluk berjubah putih, tayar pecah. Dugaan menghalang Fahmi untuk menunaikan hajat sebenarnya.

“Eh, Abang Fahmi. Kenapa basah kuyup ni. Mari masuk. Maaflah, majlis bacaan Yaasin dah tamat. Abang Fahmi datang lambat sangat,” sapa Syaza di halaman rumah. Fahmi membawa sesuatu di tangannya. “Natrah mana?” “Oh, abang tak tahu ke? Dia kemalangan. Majlis ni untuk doa supaya dia cepat sedar. Sekarang masih di hospital.”

Fahmi tertunduk. Sampai begitu sekali malangnya nasib Natrah. Dia kemudiannya menyerahkan sampul di tangannya kepada Syaza. “Apa ni bang? Untuk siapa?”

“Untuk Natrah. Permintaan Shahrin. Esok akan ada penghantaran lukisan dari Galeria Andamas. Minta siapa-siapa terima di rumah. Tapi jangan bawa masuk dalam, dan jangan buka bungkusan lukisan tu. Tinggalkan di luar rumah. Jangan dibuka. Biar Natrah, atau Shahrin sahaja yang uruskan lukisan tu.”

“Baik bang. Tak nak masuk dulu ke?” “Takpe Syaza. Abang ada hal. Sampaikan salam kepada Natrah kalau dia dah sedar nanti.” Syaza mengangguk, dan melihat sehingga Fahmi pergi meluncur laju dengan keretanya. Banyak persoalan tentang lukisan yang disebut. Namun, dipendamkan sahaja dalam hati Syaza.

***
Munsyi sudah lelap tidur. Bagai diketuk mindanya, datang satu suara menyeru. “Munsyi, kamu sudah bersedia?” “Ya, Adam. Bawa aku ke sana. Kita selesaikan malam ini juga.” “Hujani bibir dengan nama Allah, dan selamat berjaya.”

Munsyi membuka matanya. Berdiri di hadapan gua. Realiti? Atau ilusi? Hampir menjerit dia melihatkan kelibat nenek kebayan melambai-lambai di tepinya. “Tiga sudah sampai, tiga sudah sampai. Masuklah nak…..HIIHIHIHIHIHI~~” ” Dengan nama Allah yang Satu, tunjukkanlah aku jalan yang benar!” Jeritan kuat Munsyi kedengar di seluruh pelusuk kawasan itu. Bergema ke dalam gua. Nenek kebayan turut terdiam. Muka menyeringai juga bertukar. Sesuatu yang lain dirasakan. Aura yang kuat.

“Kau diam nenek. Jangan ganggu urusan aku,” ujar Munsyi lalu melangkah masuk. Rapi langkahnya, membawa obor dan kayu cemeti di kedua-dua belah tangan. ” Keluar kau! Berhadapan dengan aku!” Jerit Munsyi.

“Kubur ketiga….HAHAHAAHAHA!”

Munsyi menarik nafas dalam-dalam. Kemudian menjerit lagi,” Kubur ketiga milik kau, dengan izin Allah. Allahuakbar!”

***
Nota kaki: Penulis bercadang untuk menamatkan siri Dendam Suri secepat mungkin. Maaf kepada yang merasakan terlalu banyak sambungan. Jika ramai bersetuju, sambungan akan dibuat di blog penulis sendiri, selepas Aidiladha ini. Sekian, terima kasih atas sokongan dan bacaan anda. Wassalamualaikum

Teka-teki: Siapa hero cerita ni? Sila komen di bawah ya. Terima kasih.

Kongsi kisah anda: https://fiksyenshasha.com/submit.

Gongpal
Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 4]

62 comments

  1. Cerita yang menarik. Penggunaan bahasa juga membuatkan pembaca berimaginasi seolah berada di dalam jalan cerita tersebut. Teruskan menulis, kami sentiasa menunggu hasil karya #Gongpal.

    p/s : Boleh penulis kongsikan nama blog?

  2. Alaaa. Jangan la habis cepat. Serious tak puas baca. Nanti please update link blog. Nak lepak situ pulak. Hehehe. #Gongpal punya cerita memang 200/100. Terbaek!

    Dulu aku mmg pembaca setia FS. Tapi lepas banyak cerita mengarut, aku stop. Then bila baca cerita dari #Gongpal ni la aku lepak balik kat FS.

  3. superb bro.. lepas raya tu dngr macam lama pula..walaupun sbnrnya x la lama sangat..
    x kisah la post sini atau tmpt lain..yg penting update cpt2..

  4. masa baca ni, merinding gak aa bulu roma. serius wei goosebump. best citer ni.
    alaa ngape tak post dekat sini je ?

    sy rasa munsyi hero. tp ren pun hero juga sbb dia tetap terus tolong natrah walaupun dia tau risikonya tinggi. hehe

  5. Assalamualaikum kepada pembaca.salam sejahtera.
    Dendam suri akan tamat next siri. InsyaAllah last siri masih di FS.
    Lepas dendam suri, ada 2 kisah berasingan(sambungan dendam suri) akan dibuat. Yang mana 1 dlu yang jalan, depend kepada pembaca punya survey dalam komen siri terakhir nanti. Yg update di sni akan utk kisah survey terbanyak(bergantung kepada approval admin). Siri yang kurang vote akan update di blog sahaja, bersama siri yang menang vote. Projek 2 kisah ni lepas raya ya. Harini saya submit ke FS utk siri last dendam Suri.

    Jazakumullah kepada semua pembaca. Takda Ren, Munsyi, Natrah tanpa korang. Kita doakan umat Islam bebas pengaruh sihir, dan sentiasa bergantung kepada Yang Satu dalam apa sahaja hal di dunia.

    Doa juga Gongpal tak writer’s block ya sampai bila2.???

    Sekian, terima kasih

  6. Arggghhhhh..tension..tgh sedap mkn sambal belacan boleh abes plak..(perumpamaannya).. weh, apa nama blog ko #gongpal ? Share la weh..xyah la tggu pas raya..buat smbungan esok..hehee

          1. Alaaa~ Janganlah Adam jadi jahat yer~ Saya suka watak Adam tu, ada karisma sendiri haha 😀

  7. Weyh gonpal.. apa nama blog.. cter best gilerr sanggup stop buat keje sbb nak.fokus cter ka je weyhhhh… bravo bro..

  8. Aku rasa #gongpal mesti bagi plot twist ending nnti. Paklong ren lah jdi hero.hehehehe….btw selamat hri raya aidiladha gongpal…????

  9. Ren Ren Ren is the hero please!! Hehe..
    Thanks sebab tulis kisah ni..rasanya cerita melayu kurang sangat tema fantasi ni..barulah bersemangat nak baca. Asyik novel suamiku playback, turun langit, mr Cinderella dll huhu tandusssss rasanya membaca

  10. weiiii nak baca lagi ,gigih aku baca dari part 1 smpai part skrg , jangan lama2 weii nt aku lupe kisah sebelom ni hahaha

  11. Dr Munsyi,sgt ikhlas krn Allah.disitu kekuatannya.kisah ini bermula di FS,berakhir di FS jugalah..sambung sini jg ye..

  12. Ala.. X kan kot? Sambung kat cni je please? Jalan crite yg menarik. Dh mcm bce novel Ramlee Awang Murshid je rsenya. Hehe.. Best.

  13. Assalam. Kisah ini sungguh menarik sampai saya rasa adakah ini satu rekaan semata atau kisah benar? Tapi apa2 pun, best sngt dan bnyk info dan pengajaran. Jngnlah hbiskan cepat, nnti nak baca apa pulak kalau #dendamsuri tamat. Keep up .
    Saya rse mcm adam itu hero dia haha. Mcm semua nya merupakan nukilan dan dilakar oleh adam. Tapi hahaha hanya sekadar tekaan shje. Keep up. Cant wait for the next #gongpal

  14. best cerita nii..Gongpal awak menggunakan bahasa yg sangat mudah dan best dibaca!
    sampaikan nk tidur pun teringat cerita Dendam Suri, berangan sekali kita dlm cerita nii
    😛

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.