#Gongpal : Tiga Penjuru – Siri (III)

Ren terperangkap di dalam mimpinya sendiri. Entah kenapa, malam itu dia tidak dapat bangun daripada tidur yang dalam, sedari bahawa dia bukanlah dalam tidur yang biasa-biasa. Bagaikan rohnya diseru, tepi jauh diasingkan daripada deria-deria yang boleh digunakan. Kira-kira setengah jam dia terperangkap dalam ‘kegelapan’ mimpi tanpa mampu berbuat apa-apa. Terkapai-kapai tanpa arah. Ren mula melonjakkan kata-kata di dalam hatinya, dengan harapan dapat jawapan balas daripada ‘pembuatnya’.

“Siapa kamu? Apa yang kau mahu daripada aku? Adakah perlu kita bersua dengan sebegini caranya?” Pertanyaan Ren dijawab perlahan, dan Ren mula dapat melihat, mendengar, dan bertutur. Deria mula berfungsi.

“Maafkan saya, Shahrin. Saya terpaksa berbuat demikian, supaya perhubungan saya bersama saudara ini tidak dikesan musuh. Saya terpaksa ‘menyorok’ jauh semangat saudara untuk berjumpa di sini.” Ternyata, insan yang memanggil dia datang untuk berbicara, tidak lain dan tidak bukan adalah Salafus Salleh, orang kanan diraja Kampung Tinggal.

“Kita sudah tiada urusan bersama lagi, manusia bunian. Raja kamu enggan tolak ansur, diperlinya kami seolah-olah tidak penting kuasa kami di sini. Apa lagi yang kamu mahukan, si bunian?”

“Saya maklum semua itu. Saya hanya ingin maklumkan bahawa, saya secara peribadi kagum dan hormat saudara sebagai hamba Allah. Saya kesal kita tidak dapat bekerjasama. Dan pertemuan kita di kemudian hari adalah sebagai seteru, bukan sekutu.”

“Jadi, kenapa aku diseru ke dunia ais kamu, manusia bunian?” Ren melihat sekeliling. Ruang ni sejuk membeku, dikelilingi dinding ais besar, membentuk tembok bulatan besar. Ren dan Salafus Salleh di tengah-tengah arena itu. Suhu yang teramat sejuk, Ren dan Salafus Salleh berbicara dengan wap udara keluar dari rongga mulut dan hidung, berkepul-kepul.

“Pujian kamu tidak akan menukar pendirian kami terhadap kalian. Kita tetap akan bermusuhan tidak lama lagi.”

“Benar. Oleh itu, izinkan saya secara persendirian memohon izin saudara Shahrin, agar saya dapat memberi isyarat kepada saudara, jika musuh telah mula menceroboh kampung kami. Supaya kalian bersedia untuk turut sama berperang, atau hanya tunggu dan lihat.”

“Ya, aku tiada halangan jika itu yang kamu mahu. Tetapi, jangan harapkan pertolongan kami. Kerana kami manusia biasa, yang akan menjadi musuh pihak kamu juga.”

“Baiklah, saudara Shahrin. Semoga terus hidup selepas ini. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Sekejap, siapa nama kamu? Aku tidak sempat berkenalan dengan kamu, walaupun sudah dua kali berjumpa.”

“Aku Salafus Salleh, anak Salafus makmoor, cucu Tun Masyhoor. Berdoalah agar hayat saudara tidak berakhir di hujung keris saya. Sekian.” Ayat terakhir penuh dengan amaran. Tanda bahawa ilmu persilatan Salafus Salleh, tidak kurang hebatnya berbanding keupayaan Ren.

Ren ditolak jauh. Kembali ke dunia nyata. Dia kini dapat membuka mata. Ligat memikirkan rancangan yang sewajarnya.

****
Pagi itu, Minji menerima mesej aneh daripada adiknya, Fahmi. Seolah-olah cuba melarikan diri daripada janji yang telah dibuat.

“Kakak, minggu depan kita ke Korea. Sini bukan tempat untuk kakak. Jangan risau, kakak selamat. Saka kakak sudah diselesaikan. Jika tidak percaya, tengoklah di halaman nanti. Tiada lagi mereka. Kita jangan libatkan diri dalam perang tidak bermakna ini ya, kakak?”

Minji tidak senang duduk. Dia membaca mesej itu di ruang tamu, ketika Ren juga berada di situ sedang membaca surat khabar. Ternyata, Ren perasan perubahan raut wajah Minji. Namun, dibiarkan sahaja kekasihnya bermain dengan perasaan.

“Satu lagi kakak. Jangan beritahu Ren dan Munsyi, apa yang adik cadangkan ni. Kata sahaja Fahmi ajak melancong di Korea. Atau mana-mana sahaja destinasi yang kakak mahu.” Datang lagi mesej menduga Minji. Kali ini, Ren tidak lagi berdiam diri.

“Ada apa, Minji? Fahmi, hubungi kamu?” soal Ren. Pertanyaan Ren itu tidak terus dijawab, Minji hanya termenung melihat telefonnya.

“Minjiya, musen irini?(Minji, apa masalahnya?)” Minji bagaikan dibawa pulang daripada lamunan yang jauh, apabila Ren bertanya lagi dengan nada yang sedikit tinggi.

“Oh, tak ada apa-apa, sayang. Cuma mesej daripada kawan-kawan model di Korea. Mereka rindukan aku.” Ren memegang rahang bawah Minji, lalu dipalingkan muka kekasihnya tepat ke arah mukanya.

“Kamu bila berbohong, sangat kelihatan menipunya. Nomu tti nasso (Terlalu jelas),” ujar Ren seraya tertawa geli hati. Minji tersipu-sipu malu diperlakukan begitu. Bukan sekalu dua Ren pernah menyentuhnya, tetapi sentuhan Ren sejak akhir-akhir ini membuatkan hati wanita Minji berdebar-debar. Bagaikan anak gadis kecil yang berjumpa dengan pujaan hati. Sebelum ini, Minji tiada perasaan begini. Sentiasa dia ingatkan kenalan mereka berdua, bahawa Ren yang gilakannya, bukan sebaliknya. Namun, kini Minji dapat rasakan, dia sangat cintakan Ren. Empat tahun di Malaysia, cukup untuk dia mengenal hati budi lelaki itu.

“Ehem, ehem!” Perlakuan mesra Ren dan Minji ditegur oleh ibu Ren. Bukan tidak setuju, sekadar mengusik dua anak muda itu. Ren segera menarik tangannya, seraya berbuat-buat seperti sedang membaca surat khabar semula. Geli hati Puan Latifah melihat gelagat acuh tak acuh anaknya.
“Hai, ini gaya, tak lama lagi makan nasi minyak lagilah kita abang oi!” Puan Latifah sengaja bercakap kuat, supaya didengari oleh suaminya, Encik Shahril di ruang meja makan berdekatan dapur.

“Aunty, kenapa pula makan nasi minyak? Bukan, nasi putih ke yang kita makan selalu?” Minji dengan penuh rasa tidak bersalah dan maklum dengan perkataan nasi minyak, menjawab bagaikan kanak-kanak innocent. Ketawa besar Ren dan ibunya di situ.

“What? Why? Am I wrong?” Ren masih ketawa berdekah-dekah, membuatkan Minji mahu merajuk.

“Pedulikan Ren tu, Minji. Nasi minyak tu, maksudnya seperti pergi kenduri, makan makanan kerja kahwin. Minji faham ke, sayang?” ujar Puan Latifah, memujuk Minji yang sudah mula mencebik marah. Minji membaling bantal sofa, melihatkan Ren ketawa tidak henti-henti, dek kerana penguasaan bahasa Minji masih cetek.

“Saya memang mahu makan nasi minyak, aunty. Aunty tanya anak aunty. Betul sayangkan sayakah? Mahu kahwin dengan saya? Jika tak mahu, saya balik Korea saja. Buang masa tunggu dia.” Minji bangun, lalu berjalan ke arah meja makan. Protes secara berani. Dia bukanlah seperti orang Melayu biasa. Hal berkahwin, ditutur malu-malu dan berlapik. Lebih-lebih lagi wanita. Minji sememangnya berperwatakan berani dan lantang bersuara. Puan Latifah juga terkesima dengan kata-kata Minji, seraya memberi isyarat supaya Ren memujuk kekasihnya itu.

Ren berhenti ketawa. Mengeluh berat. Bukan dia tidak mahu menyunting Minji sebagai peneman hidup. Dia masih ragu-ragu, sama ada dia akan masih hidup lagi ataupun tidak, selepas peperangan besar itu kelak. Dia tidak yakin manusia biasa akan menang mudah, dan pulang tanpa pengorbanan. Dia bukanlah Fahmi, mahukan pertumpahan air mata mengiringi kematian diri. Dia adalah Ren, lelaki yang tidak didendang. Sentiasa berkorban untuk kebahagiaan orang lain.

***
Salafus Salleh membuka matanya. Bangkit ke bilik air, mengambil wuduk. Selesai bersolat subuh, dia perlahan-lahan berjalan menuju ke bilik beradu Raja Iskandar. Dia khuatir. Sejak akhir-akhir ini, Raja Iskandar mengalami sakit yang tidak dapat dikesan puncanya. Bermula dengan mimpi buruk yang berulang, kini rajanya itu hanya terlantar baring, demam panas. Kadang-kadang, meracau dalam bahasa yang tidak difahami. Adakah Raja Iskandar telah disihir?

Menurut Permaisuri Seroja, sememangnya Raja Iskandar gering kerana buatan sihir. Seseorang telah mula menjalankan tugas untuk ‘m******h’ raja sedikit demi sedikit. Bimbang Permaisuri Salju, melihatkan keadaan suaminya. Hanya doa yang dapat mereka kirimkan, buat masa sekarang.

Salafus Salleh tiba di hadapan pintu. Dua pengawal bertugas menghalangnya masuk, tidak seperti kebiasaan. Pelik, getus hati Salafus Salleh.

“Apa yang telah berlaku?”

“Maaf, tuan Salafus Salleh. Permaisuri Salju menghalang sebarang kemasukan dan keluar dari bilik ini. Sesiapapun dilarang masuk. Permaisuri Salju sedang meminta pertolongan tabib terkenal di kampung jiran. Raja Iskandar tidak boleh dijumpai buat masa sekarang.”

“Permaisuri Seroja?”

“Yang Mulia sekarang masih di rumah papan itu. Enggan untuk berpindah ke bilik istana, kerana sayangkan kenangan di sana.”

“Baiklah, pengawal. Teruskan bertugas dengan baik.” Salafus Salleh pasti, Permaisuri Salju pergi berkunjung ke Kampung Rasau, perkampungan jauh di laluan bukit bukau sana. Tabib di sana berkualiti, tetapi dikhuatiri tidak dapat merawat raja mereka. Raja Iskandar hanya boleh sihat jika penyihir itu sendiri berhenti menyihir, atau d*****h. Bukan mudah untuk mengetahui siapakah dalang yang menyihir raja mereka.

***
Wasir selesai membaca mentera. Dia berjaya melemahkan lagi semangat Raja Iskandar. Lipur Lara hanya melihat dari jauh apa yang telah Wasir lakukan. Ternyata, tidak kurang kejinya Wasir ini. Sanggup berbuat apa sahaja untuk pangkat dan kuasa. Lipur Lara tersenyum. Dia tidak perlu bersiap sedia untuk menguruskan raja bunian itu, kerana Wasir telah melakukannya tanpa disuruh. Lipur Lara kemudiannya berpalin ke arah Suri. Dilihatnya makhluk campuran ciptaannya itu sudah tidak sabar lagi untuk meneguk d***h manusia. Lipur Lara kasihankan Suri. Dia sengaja mengambil jasad Suri sebaik sahaja selesai Busroq menghisap d***h gadis itu, supaya dia dapat gunakan dendam kesumat Suri yang tidak kesampaian itu untuk kepentingannya.

Lipur Lara melihat pula kepada 11 orang pahlawan bunian yang bersila sebaris di situ. Keris penuh dengan aura jahat syaitan. Mereka kini tidak ubah seperti boneka Lipur Lara. Anak mata masing-masing berubah, mata hitam membuntang besar. Sihir kebal pemberian Lipur Lara dan Wasir bagaikan merasuk mereka. Kini, mereka hanya akan bertindak di bawah arahan Lipur Lara, manakala hanya Salafus Luqman tertakluk kepada arahan Adam.

Melihatkan persediaan rapi mereka sudah benar-benar hampir selesai, Lipur Lara pun berkata,”Wahai rakan sekutuku sekalian. Bagaimana? Sudah bersedia untik menyerang?”

Satu demi satu wajah dilihat oleh Lipur Lara. Suri, sememangnya tidak sabar-sabar lagi. Wasir, hanya tersenyum. Kelihatan tangan kiri Wasir mula menghitam pekat, dek kerana ilmu kebalnya cuba menguasai kesedaran diri. Busroq, sedari tadi tidak berjubah dan beristirahat di atas pokok di luar gua, sudah turun ke tanah sambil memakai jubahnya. Juga telah bersedia.

Adam? Sentiasa tenang dalam takafur. Rambut diikat ke belakang. Tiada lagi kopiah putih. Bukan lagi jubah hijau. Sekadar seluar labuh, tanpa baju. Menampakkan susuk tubuh yang tegap dan sasa. Pertanyaan Lipur Lara dibalas dengan bukaan mata. Berkesumat dendam. Bersedia membaham apa sahaja halangan di hadapan. Tunggak berlima sudah bersiap sedia. Mereka bakal berangkat tidak lama lagi.

“Tiga hari lagi. Khamis, malam jumaat. Kita serang sebaik sahaja Maghrib. Bersiap sedialah. Jika ada urusan belum selesai, injlah masanya untuk menamatkan urusan. Kamu juga aku lepaskan bebas, Suri. Kita akan berangkat serentak secara mengejut ke sana.” Mendengarkan taklimat ringkas itu, lalu Busroq terbang pergi. Ada urusan agaknya, getus hati Lipur Lara. Suri masih kekal di tempatnya. Hanya berdiam diri. Wasir mula membakar kemenyan semula. Cuba untuk mengatasi ilmu kebalnya yang sedang dalam proses menguasai dirinya. Itulah risiko ilmu kebal Wasir. Gagal kuasai sepenuhnya, maka tamatlah riwayat.

“Nggak mahu mencari Natrahnya, Suri?”

“Hmmmm…. Mungkin tidak.” balas Suri, ringkas. Dia sudah dapat bersabar dengan d***h, memandangkan dia sudah dilatih dengan baik untuk bertahan.

Adam menutupkan mata untuk bertapa semula. Dia memikirkan cara untuk menamatkan perang dengan cepat. Jauh di dalam fikirannya, dia cuba mengingati gerak langkah pertarungan Ren dan Munsyi suatu ketika dahulu, menentang ahli bunian di padang pasir tandus. Dia mahu mengkaji agar lebih bersedia untuk menghadapi mereka. Dia sudah masak dengan cara pertarungan Salafus Salleh. Kini, dia perlu lebih tenang dalam mengatur serangan. Hanya dengan bertafakur dapat mengurangkan amarah dendamnya itu.

Lipur Lara pula kembali duduk di tempa duduknya. Bercadang untuk tidur dengan panjang sebelum bermulanya kerahan tenaga untuk berperang dan menceroboh Kampung Tunggal.

***
Perang tiga penjuru bakal meletus. Padang luas yang sebelum ini menjadi latar belakang rumah papan Muzaffar, telah diubah suai. Pembinaan seperti medan peperangan telah dibina. Cukup luas dalam bentuk seperti stadium bulat. Bumbung juga turut diletakkan membulat di atas medan peperangan itu. Selain daripada pembinaan, setiap pahlawan dikerah tanpa henti. Agar mereka ampuh menghadapi m**i kelak. Latihan intensif diberikan kepada mereka semua. Raja Iskandar beransur pulih, namun masih ada saki baki gangguan sihir tersebut.

Di kejauhan, Raja Iskandar melihat latihan-latihan yang sedang dijalankan. Memandang kosong semata-mata. Permaisuri Salju, sedari tadi di situ, memulakan bicara dalam keheningan itu.

“Wahai tuanku, mengapa termenung sahaja. Mahu adinda buatkan sesuatu untuk kakanda.”

“Permaisuriku. Adakah kita akan dapat menangkis serangan Adam dan konconya? Adakah beta akan m**i di sini?”

“Kakanda mahukan jawapan jujur?” Raja Iskandar menganggukkan kepala. Buntu mengenangkan dugaan mendatang.

“Kakanda wajib menang. Tiada istilah kalah dalam perang ini. Maaf, kepala kakanda akan d*******l sama ada Adam atau Wasir, jika kakanda tewas. Adinda tidak sanggup melihat itu terjadi.”

Raja Iskandar terdiam. Dia tahu, kalah adalah maut buatnya. Adam mahukan takhta da lehernya. Apa yang Raja Iskandar mahukan?

“Beta hanya mahukan kesejahteraan kampung ini. Mungkin ada baiknya perjanjian damai itu dibatalkan dan dibakar. Selepas beta mangkat, angkatlah waris daripada ahli bunian. Bukan kami, manusia biasa.”

“Kakanda yakin tiada pertumpahan d***h untuk takhta seterusnya, meskipun kita menang perang nanti?”

“Lebih baik perang dalaman kita, daripada berperang dengan manusia di sana. Akibat mengambil zuriat manusia sebagai raja.”

Permaisuri Salju mengeluh. Persepakatan dalam berfikir tidak dapat dicapai. Namun, Raja Iskandar tetap akur. Perang perlu, untuk keamanan di masa hadapan. Perlahan-lahan, Raja Iskandar menyentuh lembut tangan Permaisuri Salju. Mereka saling tersenyum.

“Perang takkan tercetus, jika aku tinggalkan zuriat untuk adinda, benar?” Dengan senyuman, Raja Iskandar membawa permaisurinya ke tempat peraduan.

***
Jauh di gua sana, bekas kemenyan Wasir dibaling jauh. Bengang. Kuasa sihirnya ditangkis sedikit demi sedikit. Hati Wasir bengkak. Marah. Bengis. Melihatkan kemesraan Raja Iskandar dengan kesayangannya, Permaisuri Salju.

“Aku bersumpah, dengan nama Ifrit, kamu berdua m**i di tangan aku!” Sumpahan bergema di dalam gua. Lipur lara melirik senyuman puas. Masanya telah tiba.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Lawati laman facebook penulis: https://www.facebook.com/gongpal.hakbon.7.

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 3]

4 comments

  1. hahaha..
    best hari2 ada entry baru..
    good job #gongpal..
    terbaik macam biasa..
    tak sabar tunggu next chapter…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.