Perang bakal meletus di Kampung Tinggal? Perang tiga penjuru? Manusia, Syaitan, dan bunian? Sangkaan kamu sangatlah meleset. Perang telah meletus sejak bermulanya Suri dibangkitkan. Aku pernah berjanji darah bersama Suri. Aku dibangkitkan daripada seruan darah Natrah, dan seruan darah Suri. Darah mereka bersatu di atas satu lukisan. Ingatkah kamu, torehan tangan Natrah, melukis pintu gerbang? Separuh semangat aku hidup daripada itu. Kemudian, dicalitkan tanda ‘N’ pada lukisan itu? Maka wujudlah separuh diriku.
Kemudian, Suri belot pada aku? Hilang separuh diriku. Jadi, kamu bayangkan. Jika Suri yang ‘hidup’ kembali itu tercapai hajatnya membunuh Natrah, apakah yang akan terjadi kepada aku? Mati, sudah pasti mati. Perlukah aku berpihak kepada puak aku sendiri, sedangkan itu memakan diri aku? Akulah Busroq. Aku adalah kamu, kamu bukanlah aku. Cara aku, bukan cara kamu. Tetapi, aku tetap akan mendampingi kamu. Manusiakah kamu? Syaitankah kamu? Buniankah kamu? Aku tetap di sisi. Kerana aku, adalah kamu.
***
Jam menunjukkan pukul 11 malam. Raykal masih belum tidur. Dia berseorangan di dalam bilik. Munsyi dan Natrah tidur di bilik utama, bersama Indah Nadia, anak bongsu. Hanya Raykal Danish mempunyai biliknya tersendiri, buat masa sekarang. Dia hanya berpura-pura tidur, semasa ayahnya memeriksa apa yang sedang dia lakukan sebentar tadi. Raykal tidak dapat tidur. Ada ‘sesuatu’ yang sedang memerhatikannya. Malah, dia tahu, makhluk itu bukanlah berniat baik. Raykal cuba untuk tidak mengendahkannya, tetapi gagal. Lalu, disarungnya cincin pemberian Wasir ke jarinya.
“Sayang benar kamu kepada Wasir,” Busroq memulakan bicara. Suara itu hanya samar-samar di ingatan Raykal.
“Kamu kenal siapa Atuk Wasir?”
“Sudah tentu. Dia sekutu aku. Kamu tahu kenapa dia pergi tinggalkan kamu? Kami akan berperang.”
“Perang? Dengan siapa? Siapa kamu?”
“Aku adalah kamu, kamu bukanlah aku. Hahaha!”
“Apa tujuan kamu datang ke sini?” Raykal mula ragu-ragu dengan perbualan ini. Bagaikan tidak ke mana-mana. Makhluk berjubah itu mula menonjolkan diri, di sebalik kegelapan malam. Masih tidak kelihatan rupa parasnya, tetapi sudah cukup untuk Raykal ingat siapakah gerangan pendatang pada malam itu.
“Masih ada urusan yang aku mahu kamu lakukan, si kecil. Sudi menerima tawaran aku?”
“Apapun rancangan kamu, aku rasa kamu sudah tahu jawapannya. Aku akan lakukan yang terbalik daripada itu.” Busroq tersenyum. Dia sudah berjaya menjerat seorang lagi manusia. Sememangnya, itulah kepakarannya. Memancing dengan tawaran, agar mereka masuk dengan sendiri ke dalam ‘jeratnya’.
“Jika aku mahu kamu memihak kepada kami, adakah kamu akan membantu pihak bunian, atau manusia?”
“Ya, sudah pasti. Walaupun Atuk Wasir itu sekutu kamu. Aku kenal kamu. Aku ‘hilang’ selama ini, kerana kamu, bukan?” Raykal Danish bertutur seperti seorang yang sudah dewasa. Bertindak cukup matang, melangkaui pemikiran kanak-kanak 10 tahun. Namun, untuk menghadapi sesuatu di hadapannya ini, memerlukan pengalaman. Itulah yang menjadi kekurangan Raykal sekarang.
“Baik. Aku beri kamu pilihan. Aku mahu kamu buat, terbalik kepada yang aku mahukan. Tetapi, kamu bebas memilih untuk bersama aku. Ingat, bersama aku. Bukan bersama yang lain. Pilihan di tangan kamu.” Tawaran mula diberi, berupa sesuatu yang menguntungkan Busroq, sudah pastinya.
“Apa pilihan yang aku ada?”
“Pertama, ikut kaum bunian ke Kampung Tinggal, bantu mereka. Pastikan kuasa Wasir terhad. Gunakan ilmu yang dia ajar kepada kamu. Jika kami menang juga, aku akan pulangkan kamu ke pangkuan keluarga, tanpa pengetahuan mereka yang lain. Itupun, jika ibu ayah kamu masih hidup.”
“Kedua?” Ternyata, pilihan pertama tidak berkenan di hati Raykal.
“Kedua, ikut kaum bunian ke Kampung Tinggal. Tawarkan diri untuk bekerjasama. Gunakan ilmu yang dipelajari oleh kamu. Khianati mereka dengan menguatkan barisan tentera kami. Jika kami menang, aku akan pulangkan kamu ke pangkuan keluarga, dan aku akan selamatkan salah seorang daripada ahli keluarga kamu.”
“Ada pilihan lain?”
“Ketiga, ikut kami. Perang di sebalik tabir. Tetapi, pastikan kamu khianati kami. Aku mahu Adam si bunian, dan Wasir si kebal mati, dengan bantuan kamu. Kemudian, pihak kami akan kalah teruk, dan kedua ibu bapa kamu akan aku pastikan selamat. Ternyata yang ketiga paling baik untuk kamu, bukan? Tapi mampukah kamu lakukan yang terbalik kepada pilihan yang ada, atas dasar kebencian kamu kepada aku? Hahahaha!”
Raykal berfikir dalam-dalam. Dia sangat bingung, apakah yang perlu dijawabnya. Mahu menurut sahaja, atau melakukan yang sebaliknya. Pilihan ada tiga, kesudahannya adalah enam, sekiranya diambil kira Raykal melakukan yang terbalik daripada pilihan yang diberi. Permainan minda Busroq, nyata tiada tandingan.
“Aku akan berikan jawapan di kemudian hari. Aku tahu, kamu akan tetap mengekori aku. Sepertimana yang telah kau lakukan kepadaku, semenjak pemberian patung mainan dahulu.”
“Baik, budak kecil. Aku harap kamu tidak menghampakan aku. Ingat, tiada pilihan menolak daripada turut serta. Jika kamu menolak, kedua-dua orang tua kamu akan ditimpa padah. Aku bersumpah atas kata-kata ini. Ingat! Bertindak sendirian. Jika kamu ingin mengikuti kaum bunian, aku akan sediakan jalannya nanti.”
Busroq berlalu pergi. Misi seterusnya akan dilakukan. Pembelotan tidak akan berakhir hanya di situ. Adakah Busroq tidak takut mati? Mengapa dia sanggup membelot, sedangkan perjanjian darah sudah dilaksanakan?
“Aku tidak percayakan Lipur Lara. Lima darah, lima pembunuh dari perjanjian berdarah? Lipur Lara adalah penglipur lara. Tipu daya adalah mainannya. Masakan aku tidak tahu akan permainan ini. Aku dicipta daripada permainan dia juga. Hanya kami berempat akan diburu, jika membelot. Tetapi, perjanjian tamat jika dia yang mati. Aku akan pastikan kau mati, Lipur Lara,” kata-kata di dalam hati Busroq, seiring berlalu pergi menuju ke destinasi seterusnya, Kampung Tinggal. Apa yang penting, kemandiriannya di dunia. Busroq adalah Busroq, tiada sekutu yang jelas pada dirinya.
***
“Syaitan, berani kau menjejakkan kaki ke tanah kami lagi!” Pahlawan di pintu gerbang bersiap sedia untuk menyerang. Semboyan dibunyikan. Gegak gempita suasana di dalam Kampung Tinggal. Mereka menyangka, perang sudah bermula.
“Kamu, penduduk Kampung Tinggal. Tiada satu pun yang aku nampak, tidak ekstrimis. Dari Adam, sehingga ke pengawal bodoh seperti kamu, tetap radikal. Mampuslah kamu.” Busroq bertindak menikam dada pengawal itu dengan pantas, sebaik sahaja tamat berkata-kata. Tumbang serta merta. Pahlawan lain cuba menyerang dengan segera, namun Busroq hilang dari pandangan mata.
Busroq sudah bertenggek di atas pintu gerbang kampung itu. Memerhati dari jauh. Mencari seseorang yang penting dalam perancangannya. Kelibat Salafus Salleh yang dicari, samar-samar dari jauh. Sedang bergerak pantas ke arah pintu gerbang, bersama segerombolan pahlawan lain.
“Pengumuman penting kepada semua! Aku datang hanya sebagai peringatan. Bersiap sedialah. Kami akan sampai dalam masa dua hari lagi. Kerahkan segala tenaga yang ada. Jika kamu gagal, anggap sahaja kampung ini sudah mati. Kami akan mengambil alih tempat ini. Jika kamu menang, terima sahaja kemenangan dengan rasa syukur kepada Tuhan kamu!”
Busroq melemparkan sesuatu ke arah Salafus Salleh yang sedang pantas menunggang kuda ke arah pintu gerbang. Lemparan cebisan sesuatu itu tepat mengenai kaki kuda tersebut. Tempang, kuda tersebut terus tergolek dan mengeluarkan bunyi dalam keadaan kesakitan. Salafus Salleh turut berpusing-pusing di atas tanah hasil daripada impak serangan itu. Hilang, Busroq telah pergi.
Salafus Salleh mengarahkan kesemua pahlawan pulang, dan beberapa daripada mereka menghantar pahlawan yang mati itu untuk diuruskan di dalam kawasan perkampungan. Kawalan ditingkatkan. Dilihatnya kuda yang ditunggangnya tadi. Juga mati akibat kehilangan banyak darah. Pada kaki yang terputus itu, dilihat ada secebis kertas yang diikat pada pisau kecil. Pisau berbisa, teka Salafus Salleh.
Dengan sarung tangan yang dipakainya, cebisan kertas itu dileraikan daripada pisau kecil. Terkandung suatu mesej penting. Salafus Salleh terkejut dengan apa yang dibacanya. Adakah satu muslihat, atau benar perancangan Busroq ini? Mengapa Busroq mahu kekalahan di pihaknya? Mengapa Busroq mahu kaum bunian percaya yang dia di pihak manusia? Apakah bukti kesetiaan makhluk penuh muslihat itu?
***
Busroq kembali ke gua milik Lipur Lara. Dia datang, seolah-olah mahu melaporkan sesuatu. ‘Kejayaan’ mendapatkan khidmat tambahan Raykal Danish.
“Tuan Lipur Lara, anak murid Wasir, bakal berkerjasama dengan kita untuk perang di sana. Dia akan bersama dengan tuan untuk melaksanakan kerja sihir dari jauh, di sini.” Busroq memaklumkan kepada Lipur Lara tentang Raykal Danish, yang bakal memilih pilihan ketiga iaitu bekerjasama dengan mereka, tetapi sabotaj di hujung pertarungan.
“Apa bukti yang dia akan bantu kita? Benarkah semua ini Wasir?” Lipur Lara ragu-ragu dengan perancangan Busroq. Wasir hanya mengangkatkan bahunya, tetapi menambah sesuatu untuk menguatkan barisan tentera mereka.
“Dia masih kecil, dan keupayaannya juga cetak. Tetapi, dia boleh menjadi aset buat kita, jika mahu gunakannya untuk melemahkan pahlawan di pihak bunian.” Lipur Lara kembali melihat kepada Busroq. Ada sesuatu yang lain daripada itu yang ingin dibincangkan.
“Kenapa kamu ke Kampung Tinggal, Busroq?”
“Hanya menyampaikan amaran kepada mereka. Biar mereka tahu, kita lebih berkuasa.”
“Jangan cuba membelot. Aku masak dengan perangai kamu.”
“Tuan, aku adalah kamu. Kamu bukanlah aku. HEHEHEHE!” Busroq mengingatkan Lipur Lara tentang muslihat, seolah-olah mengejek tuan sendiri. Kedua-duanya pendusta, tetapi dengan cara yang berbeza. Lipur Lara hanya memerhati, tanpa berbuat apa-apa.
***
Usai Maghrib, Khamis malam Jumaat. Semboyan berbunyi lagi. Salafus Salleh menghantar ‘signal’ kepada Ren bahawa perang sudah bermula. Pihak bunian telah membuat tembok ‘lutsinar’, untuk mengarah musuh ke medan arena peperangan. Binaan kukuh di padang yang luas itu, akan menjadi arena untuk mereka.
Barisan syaitan, tidak lain dan tidak bukan adalah Busroq, Adam, Suri, Wasir, Salafus Luqman, dan pahlawan pembelot kampung bunian, ditemani pontianak dan jembalang kelas bawahan di bawah kawalan Lipur Lara dari jauh. Saka Minji, makhluk besar berbulu, turut serta.
Barisan kampung bunian pula, Tun Masyhoor (cabang Mustafa), Tun Lestari (cabang Lestari), Tun Mawar (cabang Angsana), Tun Bazaar (cabang Raksara), Laksanamana Putih (cabang Perpatih), Tok Sorok (cabang Unjuran). Mereka semua ketua keluarga kepada cabang masing-masing, yang bakal ditugaskan untuk menyekat kemaraan Busroq, Adam, Suri, dan Wasir. Salafus Luqman bakal berdepan dengan abangnya sendiri, Salafus Salleh. Pahlawan-pahlawan lain bakal menghadapi pahlawan pembelot, dan syaitan-syaitan seruan Lipur Lara.
Barisan pahlawan berdiri ampuh di hadapan barisan syaitan. Perang bakal bermula. Siapakah pemenangnya? Hilaian yang nyaring dari pihak syaitan, sedikit sebanyak meruntuhkan semangat pahlawan-pahlawan kecil di situ. Malah, pahlawan bersepuluh pembelot itu juga kelihatan lain. Mata putih sahaja kelihatan.
“Busroq, Adam, Suri, Wasir. Hati-hati dengan Tun Masyhoor. Makhluk tua itu ada ilmu yang membahayakan. Jangan bertempur seorang diri dengannya. Mereka ada bilangan yang lebih daripada kamu berempat. Selamat Berjaya.” Lipur Lara memberi kata-kata akhir dari jauh.
“Mulakan.” Seraya arahan Lipur Lara kedengaran, Suri memulakan langkah dengan jeritan bergema sekuat-kuat hati, memberi arahan kepada semua untuk menyerang. Tun Masyhoor, di pihak bunian, menjerit laungan Allahuakbar, lalu disertai dengan laungan pahlawan-pahlawan bunian. Mereka juga maju ke hadapan.
Wasir hanya berdiam diri. Dia memerhati Permaisuri Seroja dari jauh. Jelas, ada bacaan dimulakan oleh wanita kesayangan Muzaffar itu. Seperti ketika pertarungan dahulu. Wasir berang. Pihak syaitan perlu berhadapan secara 3 lawan 6. Wasir tidak turut serta.
***
Aneh. Rokok yang cuba dicucuh Ren tidak berjaya dibakar. Kelihatan wujud ketulan ais di hujungnya. Sudah dua batang rugi. Alamat apakah ini? Difikirkan dalam-dalam, barulah dia percaya ini signal daripada Salafus Salleh. Perang sudah bermula. Dia mencapai telefon bimbit, menghantar mesej kepada Minji. Minji kini di Korea, bersama Fahmi sedang ‘melancong’. Mungkin mereka sedang beristirahat, jam menunjukkan pukul 8 di sini, pukul 9 maksudnya di sana. Panggilan kedua, ditujukan kepada Munsyi.
“Assalamualaikum. Munsyi, mari ‘ke sana’. Perang sudah bermula.” Munsyi menjawab dengan persoalan baru.
“Plan A, atau Plan B?”
“Plan A. Plan B hanya perlu, jika Minji di sini. Dia tiada.”
“Baik. Kita jumpa di ‘sana’.”
Ren duduk bertafakur. Nafas ditarik dalam-dalam. Segala ilmu ajaran Haji Jalal, akan digunakan sebaik-baiknya. Mereka berdua hanya akan berjumpa di tempat yang dipersetujui, tidak bertemu di alam nyata. Plan agar jasad mereka tidak diserang hendap oleh syaitan yang gila.
***
Munsyi bersalaman dengan Natrah. Memohon Natrah agar banyakkan berdoa. Mereka sudah memastikan Raykal tidur, sebelum Munsyi pergi. Khuatir sesuatu berlaku kepada anak ‘pelik’ mereka itu. Mereka tidak sedar, itu hanyalah bayangan sahaja. Raykal sudah berada di hutan simpan, di gua bersama dengan Lipur Lara. Melafazkan mentera, melaksanakan tugas di pihak lawan. Semua ini dilakukan untuk memastikan bahawa kedua-dua ibu bapanya kekal hidup, jika benar Busroq mengotakan janjinya.
Munsyi pejam di pembaringan. Plan A bermula.
***
Tiga bekas kemenyan menjadi kawalan Lipur Lara. Satu khas untuk semangat Suri, satu khas untuk pahlawan dengan kekebalannya, satu lagi khas untuk pontianak dan jembalang yang dihantar ke Kampung Tinggal. Sibuk dia di situ. Di satu sudut kecil gua itu, kelibat Raykal Danish turut memulakan mentera. Disebut-sebut perkataan syirik, seolah-olah membantu manusia di hadapannya. Tugasnya mudah, memastikan Adam kebal. Adakah benar dia kebal, hasil bantuan Raykal Danish?
Tiba-tiba, datang dua kelibat di hadapan pintu gua. Manusia berdua, Ren dan Munsyi tiba! Kedatangan yang tidak disangka-sangka. Inilah Plan A mereka. Menyerang berdua di gua itu, atas dasar mereka tidak cukup kekuatan kudrat di pihak sendiri. Dengan kedatangan ke sini, sedikit sebanyak melemahkan dalang di gua itu.
Lipur Lara menghentikan mentera. Dia ketawa terbahak-bahak. Tepukan kuat kedua-dua tangannya, tidak disangkakan manusia berani bertarung di sini, bukan bersama-sama berseteru di Kampung Tinggal.
“Tempah maut kamu di sini, ya? Marilah!”
“Kal? Kenapa kamu di sini?” Munsyi terkejut. Raykal Danish hanya memberikan isyarat jari telunjuk ke mulut. Seolah-olah memberi maksud yang tersirat.
Ren dan Munsyi mara ke hadapan. Lipur Lara menjulang tinggi kedua-dua tangannya, lalu dihempapnya kedua-dua tangannya ke atas lantai gua dengan kuat. Gua bergegar, seraya mentera kuat dijerit oleh Lipur Lara. Gua, dengan segala isinya, hilang.
***
Arena pertempuran itu bergegar secara tiba-tiba. Bukan akibat impak pertarungan yang telah bermula. Namun, suatu keajaiban telah berlaku. Gua di hutan simpan itu, muncul di Kampung Tinggal! Ren, Munsyi, Lipur Lara, Raykal Danish, bahkan Natrah, ada di Kampung Tinggal secara serentak. Munsyi kaget. Dua kesayangannya ada di medan tempur. Bertambah bebannya nanti.
“Natrah, apa yang kamu buat di sini?” Jeritan Munsyi kepada isterinya, yang berada di tengah-tengah medan pertarungan. Suri menggigit leher pahlawan bunian, lalu berhenti menghisap darah bunian tersebut. Jeritan Munsyi, disedarinya. Natrah, di sini? Dicari-carinya susuk tubuh mangsanya itu.
“Maafkan aku kerana mengecewakan kalian, Shahrin, Munsyi. Selamat datang ke medan perang. AHAHAHAHHA!” Lipur Lara sungguh hebat. Dia bukan sahaja mampu membawa banyak jasa ke tempat lain, malah keseluruhan gua ‘diangkatnya’
“Suri, aku hentikan bacaan mentera kamu. Kini, kamu tidak lagi kebal. Bertahanlah, dan terimalah hadiah daripada aku. Natrah di sana!” Lipur Lara menambah, memberi isyarat di mana letaknya Natrah kepada Suri. Suri tidak berlengah-lengah lagi. Terbang pantas ke tengah-tengah arena.
“Papa, teruskan bertarung bersama Uncle Ren. Lawan makhluk bernama Lipur Lara ini. Jangan risau. Mama ada cincin Raykal di jari. Mama kebal,” Raykal memberi isyarat telepati kepada bapanya. Lalu, dia menyambung bacaan mentera, melemahkan Adam yang sedang bertarung bersama Busroq, menghadapi Tun Masyhoor dan ketua cabang yang lain. Wasir?
Wasir mengeluarkan aura berupa asap dari badannya. Asap it terus terbang tinggi, ke arah tempat penonton, di mana duduknya Permaisuri Seroja, Raja Iskandar, dan Permaisuri Salju. Asap itu kemudiannya membentuk jasad makhluk hitam, mencekik leher Permaisuri Seroja. Bacaan terhenti. Kini, Wasir kembali kebal. Raja Iskandar terperanjat, tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya jeritan Permaisuri Salju mengiringi serangan ‘pendamping’ Wasir.
“Salju, pergi dari sini. Bahaya untuk adinda!” Salju tidak sanggup melihat keadaan sepupunya, Permaisuri Seroja diperlakukan begitu.
“Sekarang! Pergi!” Arahan Raja Iskandar diterima. Salju berlari-lari anak pergi. Raja Iskandar menghunus kerisnya, cuba meleraikan cekikan makhluk hitam itu. Gagal. Makhluk itu kemudiaannya membaling jasad Permaisuri Seroja yang tercungap-cungap kea rah Wasir. Wasir mengeluarkan pisau rambonya. Menunggu kedatangan jasad itu ke arahnya. Tepat. Jantung Permaisuri Seroja ditusuk kuat dengan pisau itu. Darah terhambur keluar dari mulutnya.
“Tidak!!!” Jeritan Raja Iskandar tiada gunanya lagi. Tiada siapa yang dapat menghalang lagi perbuatan Wasir. Maut satu watak besar di Kampung Tinggal. Wasir tersenyum puas. Manusia bunian yang pernah membelotnya, akan dibunuh satu persatu.
“Selamat pergi ke alam barzakh, si cantik. Jumpalah dengan kekasihmu di syurga. Hahahaah!” Wasir ketawa besar, lalu membaling tubuh kaku Permaisuri Seroja ke tepi. Tiba-tiba, Wasir hilang. Posisinya kini bertukar. Dia kini sudah berada sekelip mata di sebelah Raja Iskandar, di posisi makhluk asap hitam tadi. Kini, anaknya pula menjadi sasaran.
“Bajingan! Ayah tak guna!” Raja Iskandar menikam Wasir di perut. Darah mengalir. Wasir terkejut. Dia merasa kesakitannya. Di manakah ilmu kebalnya? Wasir lalu menumbuk Raja Iskandar ke tepi, mencari-cari sesuatu. Nafasnya mula mencungap. Angkara siapa? Dilihat hanya satu kebarangkalian. Raykal!
“Celaka, anak kecil! Celaka, Busroq!”
***
Suri menerkam Natrah. Natrah menjerit kesakitan di atas tanah. Diangkat tinggi Natrah ke atas, kaki Natrah tidak menjejak tanah. Leher dicekik kejap. Suri menyeringai.
“Hai, sayangku. Masih ingat akan aku?” Hilaian menyeramkan kedengaran. Suri lantas menggigit leher Natrah. Darah menghambur kuat. Munsyi tidak dapat menolong. Dia dan Ren sedang sibuk bertarung dengan Lipur Lara. Lipur Lara menyeru semua jembalangnya tadi masuk ke dalam dirinya sendiri. Dia seolah-olah kebal, malah serangannya tidak kelihatan oleh mata kasar Ren dan Munsyi. Mereka juga buntu.
“Sayang, tidurlah sayang. Tiba masanya untuk kita bersama di neraka.” Dibisikkan kata-kata sebegitu ke telinga Natrah yang sedari tadi hanya terpaku. Dia masih bingung kenapa dia di sini. Kini, hamper maut di tangan Suri. Dihisap puas-puas darah Natrah, penuh bersemangat. Dendam dan laparnya, kini sudah terjawab. Hampir dua minit, sesuatu yang tidak disangka berlaku. Suri rasakan dia ditusuk sesuatu di hati.
“Maafkan aku, Suri. Atas apa yang pernah aku lakukan. Tetapi, aku tidak boleh mati di sini. Ada tanggungjawab yang perlu aku pikul. Anak-anak, perlukan aku. Aku datang bersedia. Walaupun aku dipanggil datang oleh tuanmu, aku bersedia. Inilah plan kami, manusia biasa.”
Pisau dapur tepat di hati Suri. Ditikam oleh Natrah. Suri dan Natrah, rebah bersama. Suri cuba mencapai cincin kebal kepunyaan Raykal di jari Natrah. Tidak kesampaian. Lalu, langkah terakhir diambil. Diserahkan paku panjang ke tangan natrah, berserta penukul yang dicapai berdekatan, milik pahlawan yang telah tumbang.
“Bantu aku, Natrah. Aku enggan mati dengan kehodohan ini. Pakukan kepala aku. Benarkan aku mati dalam kecantikan.”
Natrah, dengan kudrat yang tinggal, mencapai paku itu, lalu ditusuk dalam-dalam ke dalam kepala Suri. Hajat terakhir Suri, rakan karibnya suatu masa dahulu. Maka, berubahlah Suri, menjadi wanita cantik, berkebaya sedondon. Jasad kaku dalam kecantikan yang tersendiri. Tersenyum, mati di situ. Natrah memejamkan mata, dalam tangisan air matanya. Segala perbuatan Suri, dimaafkan dalam hati.
***
Ketibaan Minji dan Fahmi di ke arena pertempuran. Minji dan Fahmi melanggar perjanjian saka yang dimeterai bersama Lipur Lara. Kini, saka Minji kembali mencari tuannya. Pertarungan bermula. Pertarungan terpencil, dalam perang tiga sudut itu.
Minji, berbekalkan pisau bertatahkan emas, berkembar, menangkis serangan saka kecil yang cuba memeluknya. Fahmi pula, dengan belati imaginasinya, menyerang saka besar berbulu yang menjadi gangguan Minji selama ini. Mereka ke Korea bukanlah untuk melancong, tetapi untuk menjarakkan diri daripada serangan hendap syaitan terhadap jasad masing-masing, seperti yang telah Ren dan Munsyi lakukan. Kini, pertarung menjadi 50-50. Lipur Lara mati akal. Adam juga kelihatan penat, tanpa bantuan menentang pahlawan ketua cabang bunian. Meskipun dua daripadanya telah mati, Tun Masyhoor, Laksamana Putih, Tok Sorok, dan Tun Bestari, masih ampuh menentang. Terutamanya Tun Masyhoor, yang telah mengabdikan diri untuk membantu Raja Iskandar dalam perang itu.
Busroq pula, membantu Adam sedaya upaya. Dia sudah maklum, dia bakal mati. Sumpahan Lipur Lara sudah bersedia, untuk mengambil nyawanya. Hanya menunggu masa, kerana Busroq masih bertarung untuk pihak Lipur Lara. Kini, Tun Masyhoor dan Laksamana Putih menentang Adam. Tun Sorok dan Tun Bestari, menyekat kemaraan Busroq.
Wasir mengangkat Raja Iskandar masuk ke dalam gua. Membaling jasad lemah itu ke arah Raykal. Raykal turut sama terpelanting.
“Biadap, anak bajingan. Kau gunakan ilmu aku untuk membelot? Celaka kamu!” Raykal diangkat, lalu ditusuk dengan pisau rambonya. Raykal terpaku, terkejut diperlakukan begitu. Namun, dia sempat mencabut cincin kebal Wasir. Kini, Wasir benar-benar terbuka. Dipeluknya Wasir kuat-kuat.
“Tuan Raja! Sekaranglah masanya. Tusuk dia dengan senjata yang ada!” Kata-kata akhir Raykal, dengan kudrat yang menipis. Raja Iskandar bingkas bangun, menurut arahan. Tusukan keris panjang miliknya, tepat ke jantung Wasir, dari belakang. Malang, keris panjang itu turut menusuk badan Raykal. Raykal, tidak bernyawa lagi.
***
Lipur Lara menendang Ren dan Munsyi jauh ke tengah arena. Dia terbang ke udara, lalu hinggap ke atas gua. Busroq dan Adam sahaja yang masih tinggal. Saka milik Minji juga mati dipenggal. Salafus Salleh dan Salafus Luqman masih bertarung. Lipur Lara mati akal. Pertarungan yang disangka dimenangi, kini sudah hampir berakhir. Busroq bajingan telah membelot. Raykal penentu segalanya setakat ini. Dia perlu berbuat sesuatu.
“Makhluk pencabut nyawa, hukum Busroq atas pembelotan ini! Celaka kamu!” Dua daripada makhluk berjubah yang hidup daripada perjanjian berdarah tersebut, muncul di medan perang. Satunya membelah badan Busroq, yang sedang sibuk bertarung dengan bunian. Tidak cukup dengan itu, satu lagi makhluk berjubah pencabut nyawa itu menuju ke arah Natrah, lalu memotong jari Natrah. Cincin kebal berpisah daripada jasad. Natrah menjerit kesakitan. Satu lagi belah sabit tepat di muka Natrah. Maut. Natrah jatuh di sisi Suri. Kematian dua sahabat, yang terpesong akibat percintaan tiga segi. Munsyi menjerit kesedihan. Natrah dan Raykal, telah pergi menghadap Ilahi.
“Celakalah kamu!” Munsyi mengambil tukul lalu melompat ke arah Lipur Lara. Gagal. Satu makhluk baru tiba, menangkis serangan Munsyi. Munsyi jatuh semula ke tanah. Makhluk jijik sebagai kenderaan Lipur Lara sudah tiba. Makhluk yang pernah timbul ke dunia, ketika tawaran janji diberikan kepada Fahmi sebelum ini. Lipur Lara berlalu pergi, meninggalkan medan pertarungan. Perang hampir tamat. Hanya Adam yang tinggal di situ.
“Bangsat, aku telah dipermainkan. Celaka!” Adam menangkis serangan Tun Masyhoor, lalu berlari ke gua. Dia mencari Raja Iskandar, lalu dicekik manusia raja itu.
“Meskipun aku mati, aku akan bawa kau sekali, manusia lemah!” Kayu cemeti menusuk jantung Raja Iskandar. Mati, turut sama mati dalam perang itu. Satu lagi raja mangkat di tangan Adam. Adam kemudiannya, mengangkat tinggi kedua-dua tangannya ke atas. Tanda mengalah. Siapakah sebenarnya pemenang dalam perang ini? Buniankah? Atau manusia? Munsyi, dalam tangisnya, sedang menunggu nasib manusia, bersama-sama Minji dan Fahmi. Mereka tidak terus bertarung dengan bunian. Masakan mereka akan menang. Ren pula, hanya bersiap sedia. Kebarangkalian mereka akan terus bertarung, masih ada. Hanya menunggu respon daripada bunian-bunian itu.
Dengan matinya segala sihir, maka pahlawan-pahlawan kebal turut tumpas. Perang tamat. Kesudahan bakal diketahui, tidak lama lagi. Apakah yang akan berlaku?
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Lawati laman facebook penulis: https://www.facebook.com/gongpal.hakbon.7
best sangat.tak sabar nak tunggu apa yang bakal terjadi seterusnya ~
?????
Yang dekat FB penulis full story eh? 7 siri ke cerita ni? Arghhhhh apa ending dia?
rasa macam ada sambungn lagi je nie.. btw gud job bro gongpal.. tahniah dapat bb.. 🙂
bestttttt
uh….sgt mendebarkan…nice….
Cepat sambung ,gongpal. Tak sabar nak tau penghujung cerita.
Wow tak sangka plak peperangan ni melibatkan nyawa Natrah dan Raykal, kesian Munsyi.. Kehilangan isteri dan anak tercinta.. Sedih about this part..
Yang part lain, WOWW AMAZING STORY!!!!! tak dapat nak teka apa ending dia..
#Penantian1Penyeksaan
#Gongpal~ Tahniah dapat baby~
Sekali lalu baca Gongpal punya cerita. Teringat pada Ramlee Awang Mursyid punya Laksama Sunan Series.
ada sambungan atau dah habis? kalau dah habis kat fb ada full story ke?
weh faz sambungan bila … ?
#faz bila nk smbung.. Cpt ckit #faz nk thu kesudahan cerita rashid..
Go go go gongpall (#sila baca dgn bunyi muzik power rangers) hehe
Aku da baca ngan rentak power rangers tu.. Tp kena tambah 1 go lg..
*go go go go gongpal..
haha yala ..ada jugak otak katun cam aku nuh
Pergghh… Kli ni mema baca dgn fokus… Tak sangka plot twist gler… Dgn natrah and raykal mati… Raja iskandar skli.. Nk tentukn pemenang pun susah… Nsib ren, minji n fahmi pun tak thu… Munsyi yg sedih… #gongpal cpt submit chapter bru..
Kan.. Dia twist abis setori kali ni..
Aku ada satu masalah je dgn penulisan gongpal ni.. Sebelum tu aku nak rate dulu 9/10..aku nak bagi 10/10 td tp aku tolak 1 point tu untuk 1 je kesalahan dlm setori bro gongpal.. Aku rasa selamanya aku akan rate 9/10 kot selagi setori tu x abis.. Kesalah tu simple je.. **setori yg d tulis terasa macam tak cukup panjang.. Bak kata pepatah orang jawagerman Never get enough.. So to bro gongpal.. Kipidap bro.. U always da best..
kesian #gongpal asyik bg 9 mark jer… hihihi
apa pun #gongpal teruskan menulis mana thu bro #Singkong&keju bg 10 mark.. hihihi
cikbambam tambah 1/10..utk jadikan perfect 10..
awat skeri sgt muka singkong ni??tukar dp plisss..haha
minta2 esok la sambungannya.. huhu
best sangat cerita ni..terbayang-bayang perang sambil khalifah nyanyi lagu satu kalimah..terbaik, boleh buat novel ni.
Tidakkk!!!
Raykal????