#Gongpal : Tuntutan Berdarah (IV) – Pemberontakan yang Nyata

Pang!!! Pecah berderai cawan minuman di atas meja. Iskandar tidak sengaja menyiku air teh yang telah disediakan oleh pembantu rumah. Dia berasa tidak sedap hati. Meskipun hidup dalam persekitaran moden dan membangun di negara perantauan, asal usul melayunya tidak pernah luput. Kejadian sebegini baginya, mengundang nasib malang, atau sebagai petanda sesuatu telah berlaku, sebagaimana golongan tua mentafsirkannya.

Iskandar mengambil tempat di atas katil. Bersandar sambil menutup matanya. Semenjak ‘dibantu’ oleh Haji Jalal, dia juga mempunyai kelebihan yang tidak ada pada manusia lain. Dia dapat mengesan kehadiran ‘makhluk’ spesifik yang datang daripada kaum bunian yang menagih kehadirannya sebagai seorang raja baru. Malah, dia sering bermimpi melihat keadaan di Kampung Tinggal. Adam sebagai orang kuat yang gagal mengesan Iskandar, turut dikenalinya. Bezanya, Adam tidak dapat hadir sesuka hati dek kerana ilmu ‘lindungan’ daripada Haji Jalal, tetapi dia sendiri dapat melihat apa yang telah Adam lakukan dalam bentuk ‘flashback’, bila-bila masa yang dia kehendaki.

Iskandar baring, lalu bersiap-siap untuk tidur. Dalam hati didendangkan bait seruan, agar dapat dia ‘melayar’ ke dunia yang ingin dielakkan, tetapi tetap perlu diperhatikan. Sekadar ingin tahu, adakah perasaan buruk di hatinya berkaitan dengan sesuatu di Kampung Tinggal.

***
Kawasan berkumpul seperti dewan besar, penuh dengan penduduk Kampung Tinggal. Satu bangunan kayu yang lama, berdiri teguh dengan tiang seri, dihadiri rakyat-rakyat bunian tersebut usai berita kemangkatan raja mereka tersebar meluas. Raja Muzaffar diletakkan di atas pentas di dalam keranda pembaringan, siap berpakaian diraja, selesai dimandikan jasad kaku tersebut. Di samping jenazah, Pemaisuri Seroja bersama dua adinda puteri lain, menangis mengenangkan pemergian yang tercinta.

Adam berdiri ampuh bersama lima pahlawan lain di hadapan pentas. Memulakan bicara,” Wahai penduduk Kampung Tinggal yang dikasihi sekalian. Lihatlah! Lihatlah tubuh kaku raja yang kita cintai ini. Dua puluh tahun kita bernaung di bawah ehsan dan kurniaan tuanku. Lihatlah tubuh kaku baginda! Semua ini kerana pewaris baginda, enggan datang mewarisi nikmat kerajaan seterusnya!”

Salah seorang daripada ahli tertua di situ bangun, lalu menyoal,” Hai Adam, orang kanan baginda yang terhormat. Apakah bukti semua ini angkara manusia itu? Setahu aku, Yang Mulia Permaisuri menyebut kau yang terakhir bersama Yang Mulia Tuanku.”

Adam meningkah, sambil menunjukkan keris yang dibalut kemas, masih berdarah,” Lihat pada keris ini. Aku tidak pernah sepanjang hidup aku, menyentuh keris keramat milik raja kita. Tidak mahu aku ditimpa tulah menyentuh harta bukan milik keturunan aku! Siapa lagi kalau bukan manusia bernama Shahrin itu? Ketika aku keluar daripada tempat baginda bersemayam, aku rasakan satu aura kuat menyelubungi kawasan itu. Lihat sahaja ke dalam, nah! Baginda sudah terseksa dengan tusukan keris keramat ini.” Adam pandai bermain kata. Sedangkan, dia tahu bahawa tulah dan keramat harta-harta diraja hanya omongan kosong untuk menyatakan kesaktian waris-waris terdahulu. Bagi anak-anak lelaki diraja, semua ini diajar secara sulit. Malang, tidak kesampaian ilmu tersebut kepada puteri-puteri diraja. Semuanya diterima bulat-bulat tentang kesaktian itu.

“Wahai Tun Masyhoor, sudikah tuan berdiri di belakang aku, kita perlu tegakkan panji, menuntut bela atas kemangkatan berdarah ini!” Laungan Adam disambut dengan laungan sokongan daripada hadirin-hadirin di dewan tersebut. Tun Masyhoor, si tua bunian berusia 500 tahun itu, mengurut janggut putihnya, seraya duduk semula berfikir. Dia pasti, ada udang di sebalik batu. Laungan membara hadirin yang lain masih kedengaran bak guruh. Namun, tidak sedikitpun menjejaskan rasa hati Tun Masyhoor. Dia bangun, beredar daripada tempat itu sambil diiringi ahli-ahli keluarganya yang lain. Tanda pengunduran salah satu daripada keluarga berpengaruh kaum bunian itu dilihat sebagai bangkangan daripada keputusan Adam. Jelas, Adam cuba mempengaruhi kaum-kaum yang ada di situ. Pendirian Tun Masyhoor bukanlah boleh dibeli semudah itu.

***
“Salafus Salleh,” dipanggilnya cucu sulung Tun Masyhoor itu. “Ya, tok batin. Ada apa yang boleh saya bantu?” Tun Masyhoor berdehem, lalu menambah kata-kata,”Shahrin. Laki-laki yang dikejar Yang Mulia Tuanku dan Adam, kamu pernah bertemu dengan dia?”

Salafus Salleh menunduk sedikit, seraya berkata,”Tidak, tok batin. Aku hanya mendengar kata-kata orang sahaja, dan Adam berurusan sendirian apabila berjumpa dengan laki-laki itu.” Tun Masyhoor menyambung,”Kamu percaya kata-kata Adam sebentar tadi?”

“Sekiranya tiada ilmu luar yang membawa laki-laki itu, mustahil dia boleh sampai dan m******h secara sekilas masa, tok batin. Aku sependapat dengan tok batin, ada sesuatu yang disembunyikan si Adam.”

“Hmmmm….,” panjang Tun Masyhoor berfikir, seraya menyambung,”Hai cucu kesayanganku. Kamu sanggup gadaikan nyawa untuk maruah kaum kita?” Salafus Salleh menjawab tanpa ragu-ragu,” Sudah pasti, tok batin. Khidmat dan nyawa aku serahkan untuk kaum kita.”

“Kamu panggil Salafus Luqman, adik kamu. Tok mahu kamu berdua mengintip, secara berasingan. Kamu pergi hendap Adam, apa yang dilakukannya, apa yang dimahukannya. Kamu seru Salafus Luqman, pergi ke alam dunia mencari ‘waris sebenar’ yang dihebahkan dahulu. Pedulikan Shahrin. Laki-laki lama yang ‘terlindung’ itu lebih penting buat masa sekarang.”

“Tapi tok, aku khuatir. Sedangkan Adam gagal mencari, bagaimana Salafus Luqman boleh mencarinya.” “Carilah punca ‘lindungan’ laki-laki itu. Mulakan pencarian pada ibunya. Pasti ada jalannya.” Salafus Salleh mengundur, lalu berkata,”Baik, tok batin. Kami akan bertindak segera.”

***
“Nak ke mana tu, Ren?” Tegur Iskandar, melihatkan Ren sudah siap di ruang tamu, menunggu seseorang. ” Bukan urusan abang.” Ren masih bersikap dingin kepada Iskandar, memandangkan cara pelik, layanan mesra daripada kedua-dua ibu bapanya. Lebih tepat lagi, dia janggal. Sepanjang 33 tahun hidupnya sebagai anak tunggal, tiba-tiba dia dikhabarkan akan kehadiran lelaki sebagai abangnya. Sesuatu yang tidak dapat dia terima dengan mudah.

Iskandar hanya melihat adiknya pergi selepas datang rakannya di luar. Tiada sapaan atau salam daripada tetamu itu. Hanya sekilas pandang, lalu kereta berlalu pergi. Iskandar tertangkap sesuatu di hujung ekor matanya. Di kala Maghrib ini, kelibat itu seperti mengintai ke dalam rumah, mencari sesuatu dari semak di hadapan rumah.

Iskandar keluar menjenguk dari pintu utama. Masih kabur-kabur dari jauh. Dia melangkah lebih dekat lagi, sehinggalah sampai ke pintu pagar. Jarak dia dengan kelibat tersebut hanyalah 100 meter. Anehnya, kelibat itu tidak menghilangkan diri. Hanya berdiri memerhatikannya.

“Siapa kamu? Apa urusan kamu di sini?” Laung Iskandar, seraya melihat makhluk berupa manusia itu tidak berganjak. Selangkah ke hadapan manusia aneh itu. Senyuman terukir, bagaikan sudah berjumpa sesuatu yang dicari.

“Assalamualaikum, manusia di sana. Boleh kita berkenalan?” “Waalaikumussalam. Maaf, aku tidak berkenalan dengan ‘sesuatu’ yang asing.” Sambil meneruskan senyuman, manusia aneh itu melangkah ke hadapan lagi. Tidak semena-mena, sudah berdiri tegak di hadapan Iskandar, berhadangkan pintu pagar. Iskandar tidak melatah, dia tahu dengan apa dia sedang berhadapan.

“Aku pasti kamu tidak takut m**i. Jangan disangka aku tidak mampu berbuat sesuatu kepada kamu.”Iskandar mula berkasar dalam kata-kata. Makhluk di hadapannya tidak berganjak. Lalu, disambut dengan kata-kata lembut,”Saya datang berhajat. Nama saya Salafus Luqman, salah seorang daripada cucu aliran Tun Masyhoor, cabang kaum dari Kampung Tinggal. Saudara sudi mendengar cerita saya?” Iskandar mendengar nama kampung tersebut. Sah, ‘lindungan’ yang dibuat oleh Haji Jalal ada ‘bocor’nya.

“Saya Iskandar. Kamu datang ingin menceritakan pergolakan di ‘dunia’ kamu? Kemangkatan bapa saudara aku yang ingin kamu khabarkan? Aku sudah tahu semua itu. Aku sudah lihat dengan mataku sendiri, ucapan-ucapan dusta orang kanan kepercayaan kamu itu. Kami di sini tidak perlu jelaskan apa-apa. Biar kamu semua di sana datang ke sini, jika perlu. Tuntutlah sesuatu yang sia-sia. Sedangkan bapa saudara kami ‘diambil’ begitu sahaja, sekarang mahu menuntut atas sesuatu yang tidak adil?”

Salafus Luqman kagum dengan manusia di hadapannya. Sungguh, pasti ada ilmu Tuhan yang dimilikinya, sehinggakan semua itu dapat ‘dilihat’ tanpa diundang dari jauh. Salafus Luqman mengangguk, lalu menambah,”Saudara perlu tolong bangsa kami. Bangkit ke sana, menjadi ketuanan yang baru. Sangat penting menamatkan perbalahan di sana secepat mungkin. Saya khuatir, Adam akan bertindak keterlaluan. Pengaruhnya kuat. Shahrin bakal jadi mangsa.”

Iskandar memandang kosong ke arah Salafus Luqman. Kemudian, pandangannya terarah ke laluan kereta berlalu pergi sebentar tadi. Kereta rakan Ren. Sambil menggaru lengan yang tidak gatal, Iskandar berkata,”Aku sememangnya menunggu masa yang sesuai, makhluk yang betul-betul hebat, untuk datang kepadaku. Aku ingin tahu kehidupan di sana. Sepanjang hayat aku, aku tidak faham kenapa perlunya perlindungan daripada ancaman bangsa kamu. Jadi, apa yang perlu aku lakukan untuk kamu?”

Bagaikan tidak percaya, Salafus Luqman pula ragu-ragu dengan kenyataan Iskandar. Manusia yang cuba dijejaki selama ini, dengan mudah menyerah diri untuk ke ‘sana’. Bagaikan tertunggu-tunggu akan peluang untuk menjadi raja. Namun, dia masih berbaik sangka. Dikatakan kepada Iskandar,” Kalau begitu, mampirlah ke kampung kami. Akan saya bawa saudara ke sana nanti. Pastikan ‘kehilangan’ saudara tidak mencurigakan ahli keluarga saudara.” Iskandar tersenyum. Dia mengangguk, lalu mengusulkan cadangan kepada Salafus Luqman,”Tetaplah hampir dengan aku. Aku takkan lama di sini. Tiga hari lagi, aku akan dijadualkan pergi meninggalkan tempat ini. Datanglah ambil aku nanti. Aku bersedia untuk ke sana.”

Salafus Luqman mengangguk setuju. Meskipun ragu-ragu, tugasannya sudah hampir selesai. Unduran sedikit demi sedikit membawa kepada kehilangannya daripada pandangan kasar manusia. Iskandar menghela nafas panjang. Apakah yang menjadi percaturan lelaki ini? Benarkah Iskandar redha dengan ketentuan untuk menghuni Kampung Tinggal begitu sahaja?

***
Adam tiba di kawasan tandus oasis itu. Dilihatnya Busroq masih bersenang-senang di kedudukannya, berehat sambil memandang ‘hasil tangkapan’ mereka. Di pohon kurma itu, satu susuk tubuh kecil diikat rapi, tergantung betul-betul di atas lopak oasis tersebut. Entah dari mana datangnya. Dilihat ikatan yang mengikat mangsa mereka, tidak lain dan tidak bukan, ular berbisa. ‘Memeluk’ kejap badan Raykal Danish, anak Munsyi dan Natrah itu. Senyap tidak bersuara. Tertutup rapat, ‘dibalut’ oleh badan ular yang menakutkan. Tidak sedarkan diri.

“Pandai kau mencetus pergolakan di dunia kau.Hahahaha!” ujar Busroq, merujuk kepada cubaan pemberontakan kaum bunian terhadap ‘pembunuh’ raja mereka. Adam hanya mendiamkan diri. Janji perlu dikotakan. Matlamat menghalalkan segalanya bagi Adam.

“Mereka akan tiba bila-bila masa, Busroq. Nyatakan tindakan yang akan kamu buat.” Busroq tertawa, lalu berkata,”Kau bimbang, bunian? Apa kau risaukan ancaman dua makhluk lemah itu? Di mana kekuatan kau? Makhluk yang tiada apa-apa itu kau risaukan?”

“Mereka ada iman, mereka ada pegangan kuat. Dengan kuasa yang dibantu ‘ahli ilmu’ yang akan menghantar mereka itu, mereka mampu buat apa sahaja. Kamu perlu bersedia, makhluk ular. Memiliki tebusan tidak menjamin apa-apa,” Adam menyatakan kerisauannya.

“Hahahaha! Kamu tahu potensi mereka lebih daripada aku. Aku tidak risaukan mereka. Mereka berdua boleh datang kepada aku bila-bila masa sahaja! Tapi, aku masih tidak yakin dengan kau! Kau seperti ada sesuatu yang cuba sembunyikan. Apa yang kau cuba buat, bunian jahanam?!”

Adam menggelengkan kepalanya, seraya berkata,”Aku sudah buat segalanya mengikut apa yang kamu mahu. Kamu masih ragukan aku, bangsat? Aku sanggup gadaikan maruah dan kuasa aku di tempat aku, untuk bersetongkol dengan kamu. Masih kamu mahu ragukan aku? Kau mahu aku tarik diri begitu sahajakah?!”

Makhluk berjubah ketawa terbahak-bahak. Dia puas hati memainkan perasaan bunian yang memberontak itu. Dia puas hati, kerana bunian itu adalah salah satu rancangan pembalasan dendamnya. Kerana Adam, semua ini berlaku. Kerana bantuan Adam, dia hilang ‘tuan’ yang kuat pada Suri. Kerana kuasa Adam, datang dua makhluk ciptaan Tuhan yang terang-terangan merosakkan rancangan Suri, dan kebergantungannya kepada ‘tuan’ yang diseru itu. Dia puas, semuanya mengikut rancangan.

“Kau jangan risau. Sekarang, kau pulang ke tempat kau. Bawalah bala tentera datang ke mari. Kita bersama-sama gunakan peluang yang ada. Biar makhluk tak guna berdua itu bertarung dengan bala tentera bunian kau di sini! Hahahahaha!”

“Itu yang kamu mahu? Kamu ingat, mereka akan suka memihak kepada kamu? Kamu ingat mereka tahu kewujudan kamu dalam rancangan ini?” Busroq ketawa, lalu berkata,”Inilah peluang untuk kita lagakan mana yang boleh! Aku akan pergi. Kau bawa mereka ke mari, bawa pulang budak hingusan tergantung ini ke tempat kau sekali. Biar mereka tidak syak apa-apa. Berterima kasihlah, tempat aku ini aku hadiahkan untuk peperangan yang hebat ini! Hahahah!”

Dari sudut jauh, kehadirannya tidak disedari oleh Busroq dan Adam. Salafus Salleh bagaikan tidak percaya dengan apa yang dia lihat dan dengar. Adam sanggup mengetepikan kaum sendiri, semata-mata untuk mendapatkan Shahrin sebagai waris terbaru, dengan segera. Dia bingung. Jika pemberontakan ini ditujukan kepada Shahrin, bagaimana makhluk itu dapat mengepalai kaum bunian ini? Atau, Adam ada perancangan lain?

Adam berpusing ke belakang, melihat ke sudut hujung kawasan itu. Dia seperti mengesan sesuatu dari jauh sebentar tadi. Namun, hanya angin pasir kelihatan. Nyaris, kehadiran Salafus Salleh diketahui. Cukup setakat itu pengintipannya. Dia perlu melaporkan semua ini kepada Tun Masyhoor.

***
Adam pulang ke Kampung Tinggal. Raykal Danish dibawa di dalam guni, melintasi penjara bawah tanah yang gelap. Hanya ditemani lampu pelita di setiap tiang penjara itu. Dengan pangkat yang ada, tiada tempat di dalam Kampung Tinggal yang tidak boleh dilalui Adam, melainkan kawasan suci diraja. Adam berdiri di hadapan penjara paling hujung. Kelihatan satu susuk tubuh sedang berbaring di situ. Kehadiran Adam tidak diendahkan.

Adam membuka pintu penjara. Masih tidak bergerak tubuh itu. Lalu, Adam meletakkan Raykal yang sedang tidak sedarkan diri itu di atas lantai penjara. Ditutup kembali pintu penjara, lalu dikunci. Adam melihat kepada tubuh tidak bergerak, penghuni tetap penjara paling hujung di Kampung Tinggal. Masih tiada respon.

“Jangan diusik teman baru kamu di dalam, Wasir! Dia bukan ‘mainan’ kamu. Jika aku tahu kamu menyentuh dia, akan aku cantas tangan kotor kamu itu!” Amaran jelas kedengaran di telinga. Masih tiada respon daripada manusia di hadapannya. Wasir, bapa kepada Iskandar, masih hidup! Cumanya, saki baki kehidupannya hanya dapat diteruskan di ruang sempit itu, selepas dia gagal dalam tugasan merebut takhta terdahulu. Siapa kalah, nasibnya tidak baik. Begitu juga Ren, dia bakal berhadapan nasib yang sama, jika benar rancangan Adam ini menjadi.

Adam berlalu pergi. Di pintu penjara, seseorang telah menunggu. Seorang lagi kaum bunian yang dipercayai Adam, melaporkan sesuatu yang ingin didengarinya.

“Iskandar namanya, Tuan Adam. Seperti yang dirancang, dia setuju untuk ke mari. Mungkin peluang untuk melihat raja baru dari susur galur Raja Muzaffar kesampaian. Kita hanya perlu tunggu dan lihat.”

Adam mengangguk, lalu tersenyum. Tun Masyhoor sudah termakan jerat. Tidak semua daripada ahli keluarganya dipercayai. Laporan akan kedatangan Iskandar, diberi oleh Salafus Luqman. Salafus Luqman adalah salah seorang daripada pengikut Adam.

“Baik. Kamu teruskan memerhati. Bawa dia ke mari. Pastikan dia memihak kepada kita. Biar perang ini diperkenankan oleh bakal raja baru kita itu, dengan izin Tuhan, insyaAllah.” Salafus Luqman mengangguk setuju. Dia bakal berangkat untuk menjadi ‘double agent’ kepada Adam sekali lagi. Arahan daripada Tun Masyhoor digunakan sebaik-baiknya. Adam tidak peduli. Hilangnya sokongan bani Masyhoor, tidak bermakna perancangan akan tamat begitu sahaja. Dia hanya perlu memberi ‘nasihat’ supaya semuanya dapat berjalan dengan lancar.

***
Di kejauhan, kelibat dua manusia masuk ke kawasan larangan. Munsyi dan Ren sudah tiba. Menebus kembali apa yang mereka perlukan. Raykal Danish, papamu sudah datang. Uncle Ren juga datang untuk kamu. Busroq, di tempat duduknya, menepuk tangan gembira. Masa sudah tiba.

Ren dan Munsyi berjalan seiring ke arah pohon kurma itu. Dilihat dari jauh, segerombolan manusia di belakang ‘takhta’ makhluk berjubah. Lagak pahlawan melayu. Mereka bingung. Mengapa ada manusia lain di situ? Bagaikan sudah bersedia untuk berperang.

“Teguhkan hati, kuatkan iman. Kamu berdua boleh lakukannya. Ingat, dunia di sana adalah imaginasi kamu. Gunakan imaginasi dan kekuatan iman kamu, bentuklah apa sahaja sebagai bantuan. Dengan izin Allah, angkatlah senjata. Capat kembali apa yang hilang. Jangan dirisaukan orang di sini. Jika gagal, kami akan datang kemudian. Munsyi, ingatlah kesayangan kamu. Tuntut kembali daripada keparat itu. Natrah akan menyusul, jika perlu nanti. Tutur bicara seiring langkah. Zikirkan langkah kalian. Haji di sini ucapkan salam maju jaya. Teguhlah anak muda. Demi Allah.”

Laungan di telinga Munsyi dan Ren menguatkan semangat. Haji Jalal membuka jalan untuk mereka, maka hendaklah digunakan sebaik-baiknya. Dicapainya pasir di tanah, lalu dibacakan ayat kursi bersama ibu segala Surah. Dibentuknya sesuatu daripada itu, melalui imaginasi minda. Pedang besar, bersedia untuk berkhidmat. Di tangan Munsyi, terhasillah pengetuk ‘hammer’ lagak Thor. Bersedia mereka menghadapi apa sahaja di hadapan. Kaum bunian di belakang Busroq mula mengambil langkah ke hadapan. Maju untuk menuntut bela atas kematian raja mereka. Busroq masih duduk di situ di sebalik jubah hitamnya, menutup cela agar tidak disyaki sebagai dalang. Adam? Adam menjadi penonton, jauh di atas langit. Hanya melihat dari jauh permulaan pertumpahan d***h kaum sendiri. Penuh sabar.

Nota Kaki: Kisah ini tiada kaitan dengan hidup atau yang telah m**i. Sekiranya ada persamaan dari segi penceritaan dengan mana-mana kisah, maklumlah ini hanyalah olahan penulis, dengan niat untuk mengisi hiburan kepada pembaca sekalian. Moga-moga kita dipelihara daripada perkara keji dan mungkar, hendaknya. Ameen.

Kongsi kisah anda: https://fiksyenshasha.com/submit.

Gongpal
Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

23 comments

  1. pengkhianat di mana mana, huarghh makin tension aku baca citer ni sbb banyak plot twist weh. tp plot twist tu la yang best. hehe

    sambung lagi yaaa ~

  2. dah lama xbuka..dah byk siri gongpal publish..semuanya menarik dan best..
    teruskan dgn karya..x sabar nk tunggu sambungan seterusnya

  3. Terbaik #Gongpal, tak sabar menanti sambungan cerita. Twisted story, tak sangka semakin best!~ Chayoq2 cepat sambunggggggg

  4. cerita yang sangat menarik mr.gongpal..teruskan bekarya..
    sokong 100%..laen dari yang laen!!
    cepat2 sambung yea..abang gongpal

  5. terima kasih ya kepada semua pembaca. atas dorongan dan semangat kalian. Alhamdulillah, kuatlah watak2 ren, munsyi, adam, atas dorongan semangat pembaca-pembaca. InsyaAllah,buah tangan last #tuntutanberdarah bakal menyusul, menutup tirai dengan izin admin, malam ini atau esok sahaja.

    #Gongpal nak rehat dulu. hiatus sebentar. Next projek pn tak fikir lagi. Kita sama-sama doakan sejahtera hendaknya hidup kita ya, bebas sihir bebas kebergantungan kepada selain daripada Yang Satu.

    Sekian, terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.