GULA-GULA NAIK BASIKAL

TEMAU, Pahang. Sekitar lewat tahun 1950an. Emak saya waktu itu kira muda remaja lagi. Dia ada bercerita satu kejadian yang berlaku di kampungnya lamaa dulu.

Kalau waktu malam suasana kampung Temau memang amat sunyi. Lampu jalan pun jarang-jarang baru ada terpacak satu dua tiang. Di kampung mak dulu terjadinya satu kematian. Tak dapat dipastikan siapakah yang meninggal. Cuma jika ada kematian pastinya orang kampung akan sama-sama bergotong royong membantu apa yang patut. Termasuk juga sekiranya keluarga si m**i ingin membuat tahlil, orang kampung akan ringan tangan membantu..

Selepas berlakunya kematian itu, kampung Temau kecoh dengan cerita penampakan gula-gula berbungkus putih. (Encik Cong)

Gangguan demi gangguan berlaku, ramai yang mengatakan entiti itu sering kelihatan muncul di kawasan tanah kubur dan kawasan-kawasan sekitarnya. Ada yang pernah terserempak ada yang tidak pernah hanya sering terdengar dari mulut ke mulut sahaja.

Di kampung mak ada seorang lelaki ini, dia seorang yang terkenal dengan keberaniannya. Malangnya sikapnya itu telah mengundang rasa taksub ke dalam diri.

Latif bukan nama sebenar, menepuk meja kopi di hujung kampung Temau sehingga bergegar cawan teh dan kopi kawan-kawan sekampung. Dia berkata sambil meletakkan kaki di atas bangku kayu.

“Benda itu tak jumpa dengan aku lagi! Ini Latif la… Aku tau camana nak selesaikan hal hantu bungkus itu. Kau lepaskan ikatan bunjut atas kepalanya, habislah. Selesai. Itulah korang, masa tanam arwah hari tu tak perhati betul-betul kain kafannya. Dah terurai ke tidak ikatan. Ini tidak, nak tanam cepat-cepat. Kan dah kena gangguan.”

Bebel Latif panjang lebar. Orang kampung hanya diam tanpa mahu menyampuk walau sedikit pun. Orang kampung amat kenal perangai si Latif itu. Kalau nak berdebat dengannya jangan haraplah boleh menang. Semua perkara dia boleh ulas. Semua benda dia tahu.

Kedai kopi di hujung kampung Temau itu selalunya ramai orang, tapi disebabkan gangguan yang berterusan, tidak ramai yang mahu singgah. Malam itu ada dua tiga orang sahaja. Sebelum masuk pukul 9 malam tutuplah kedai kopi berbumbung daun nipah itu.

Latif pulang ke rumah dengan berbasikal tuanya. Melaluo jalan kampung yang tidak berturap sudah betah buatnya. Malah gelap malam langsung tidak menjadi halangan buat dirinya.

Cuma entah kenapa, ketika dia sedang berkayuh dia berasa basikalnya menjadi berat. Berat seberatnya, seperti tayar pancit, atau mungkin rantai basikalnya seperti tersangkut sesuatu. Latif terhidu sesuatu yang… Yang pernah dia terbau.

“Kapur barus?” Getusnya.

Terus bulu romanya meremang kasar, terasa rambutnya juga berdiri menegak. Dia berasa ada sesuatu sedang menumpang di belakang basikal tuanya. Latif tidak berhenti berkayuh tetapi dia melirik matanya ke belakang perlahan-lahan.

Pada pandangannya dia melihat seperti ada kain berwarna putih sedang ikut sama menumpang basikalnya.

Latif menjerit. Dia hilang kawalan, basikalnya terlanggar tunggul kayu sehingga menyebabkan dia dan basikalnya tersembam. Lekas-lekas dia menoleh ke belakang. Sudah tidak kelihatan kain putih itu. Namun apabila dia menoleh ke satu arah, arah di mana dia datang, Latif melihat ada seseorang sedang berdiri tegak. Dia mengamati lama-lama sebelum hatinya menjerit meminta agar dia segera angkat kaki.

Apa yang dia pandang itu bukanlah orang, tetapi makhluk berbungkus putih, berdiri di tengah-tengah jalan di laluan yang telah dia lalui sebentar tadi.

“Po… Pocong!!!”

Jerit Latif, dan tanpa berfikir panjang dia mengangkat basikalnya itu dan mengayuh sepantas yang mungkin. Dia tidak mahu berlama-lama di situ, dia perlu cepat lari dari dihantui hantu bungkus.

Latif tidak menoleh ke belakang lagi, dia mengayuh sepantas mungkin. Namun anak telinganya mendengar seperti ada sebatang kayu sedang bergolek dari arah belakang.

Mana mungkin ada kayu balak bergolek-golek, datang dari mana kayu balak di tengah-tengah kampungnya itu? Latif kehairanan.

Dalam kalut dia berkayuh, dia sempat menoleh. Latif terkejut bukan kepalang. Kayu balak yang disangkanya bergolek sebenarnya bukan, dan ianya lebih seram daripada kayu balak. Benda yang disangka kayu balak itu sebenarnya adalah pocong yang berkain kafan sedang bergolek mengejarnya!

Latif menjerit, dia menjadi tidak keruan. Sehabis kudrat dia berkayuh tanpa memikirkan lagi lenguh betisnya atau tidak, Latif mesti menyelamatkan dirinya.

Sedar tidak sedar dia tiba di perkarangan rumahnya. Bunyi benda bergolek mengejarnya sudah tidak kedengaran. Mengah bertakung di dada tak usah nak cakaplah… Ini adalah kali pertama di dalam hidupnya dia terserempak dengan pocong. Dan kali pertama dia melihat pocong itu bergolek seperti sebatang kayu balak mengejarnya.

Keesokan harinya Latif demam tidak kebah kebah berminggu-minggu lamanya.

Maka kecohlah orang kampung Latif dikejar pocong.

“Aku ingat benda tu melompat aje, tak sangka benda tu boleh bergolek laju. Aku menyesal cabar benda tu.” Ujar Latif sesal.

Itu cerita yang diceritakan oleh emak saya. Lebih tiga kali dia bercerita plot dan jalan cerita yang sama. Katanya kecoh jugalah kampung Temau waktu itu.

Ya, benda itu bukan sahaja berdiri tegak, melompat, berguling atau bergolek. Tetapi ia mampu ghaib dan muncul dari satu tempat ke satu tempat.

Saya pernah tersua dengan benda ini dulu. Alhamdulillah tidak ada apa-apa yang berlaku. Cuma timbul rasa kasihan kepada makhluk ini. Mungkin sewaktu hayatnya dia mungkin alpa dan lupa akan kewajipannya kepada ALLAH.

Wallahualam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 24 Average: 4.2]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.