Assalamualaikum wbt.. Apa khabar? Lama saya tak bersiaran. Bagi yang baru mengenali, selamat berkenalan, nama saya Càhàyà Yàng Utàmà. Kali ini saya ingin menceritakan tentang kisah suka duka dan mistik saya sewaktu mendaki Gunung Tebu. Cerita ini santai sahaja, tidaklah menakutkan, cuma terkandung pengajaran. Sebelum mulakan, saya nak ucap ribuan terima kasih buat admin yang menyiarkan cerita ini. Jadi… Ayuh kita mula..
*********************
Beberapa minggu lagi sekolah akan berkerjasama dengan agensi swasta yang aku kenali untuk mendaki gunung Tebu. Aku pada mulanya tidak dapat menyertai kerana baru 3 bulan membuat pembedahan membuang tumor di dada. Sebenarnya aku bleeding sebaik sahaja aku sedar dari bius lepas pembedahan. Sebab aku tak duduk diam atas katil. Sebab itu ibuku risau. Dah la baru lepas discaj dari fisioterapi (yang ni masalah tulang belakang pula), tapi disebabkan itulah aku nak pergi panjat juga, sebab aku dah lepaskan peluang mendaki ini beberapa kali kerana sakit aku.
Sebelum aku kena masalah tulang belakang, aku sangat aktif. Memanjat bukit dan pokok memang kebiasaan aku. Aku suka berinteraksi dengan alam. Dari kecil seumur 5 tahun aku dah ikut arwah tokkiku (datuk aku dialek Terengganu) ke mana-mana, ke kebun, ke bukit, ke sungai, ke pantai, ke tasik di dalam hutan untuk menjala dan memukat dan memikat burung dipinggir hutan.. Banyak yang aku belajar dengan arwah, tokki aku pergi kebun nak perangkap beruang pun aku ikut juga.. Aku cucu sulong arwah tokki, dari kecil dikenalkan dengan binatang liar yang dibawa balik dari hutan. Malah sampai sekarang parut dipatuk helang (namanya Tuma) belaan tokkiku masih wujud dilututku.. Dari situ aku minat kepada alam, sering ingin tahu dan sukakan cabaran walaupun aku perempuan. Sebab itu jugalah hobiku waktu itu berkhemah, ‘jungle tracking’ dan juga mendaki..
Oleh itu aku berkali- kali memujuk ibuku.. Agak lama memujuk dan meyakinkan ibuku, akhirnya ibuku memberi kebenaran. Itu pun kerana aku guna ayat guru sukanku setelah aku tanyakan kepadanya tentang keadaan aku yang ingin ke Gunung Tebu, “Otot ambik masa sekurangnya tiga bulan untuk sembuh kalau ia cedera, ada orang perlu masa yang lebih, kadi dalam keadaan ni, kalau awak yakin awak dapat panjat, ano problem pun sebenarnya”, aku guna ayat tu la pujuk mak.. hehe…
Setelah membuat latihan fizikal dua minggu dan diberi pelbagai nasihat dari fasilitator juga guru-guru pengiring, tibalah hari sebenar. Pagi itu kami (aku, rakan-rakan sekolah, rakan asrama, rakan kelab, malah sepupuku pun ada) menaiki bas beramai-ramai menuju ke daerah Besut di mana terletaknya Gunung Tebu. Dalam perjalanan, masing-masing sibuk bercerita tentang barang yang dibawa, pemandangan di sana, bentuk muka bumi, tak kurang yang bercakap tentang mistik.
Sampai sahaja di kaki gunung, kelihatan ramai pengunjung yang datang. Di situ juga merupakan kawasan berkelah, ada air terjun di situ, ramai yang datang untuk mandi manda. Sesudah semuanya sampai, kami diarahkan berkumpul di kaki gunung. Fasilitator memulakan tugas mereka, aku kenal semua muka-muka fasilitator itu kerana aku sering pergi berkhemah dengan mereka. Ketua fasilitator iaitu abang Li (bukan nama sebenar) memulakan bicara yang berbentuk nasihat dan teguran. Setelah itu, abang Man (bukan nama sebenar) iaitu adik kepada abg Li tadi memulakan regangan, aku ikuti regangannya bersungguh-sungguh, supaya tiada otot yang ‘cramp’ nanti.
Sehabis itu, kami mulakan perjalanan. Pada permulaan jalan, tanah hanya sedikit berbukit, kami berjalan dengan santai. Hampir setengah jam berlalu, aku perasan sesuatu, lalu ku khabarkan kepada rakanku. “Eh, Ema (bukan nama sebenar), perasan tak kita lalu tempat sama?” Tanyaku.
“Esh.. Mana ada.. Mungkin sebab dalam hutan, sebab tu nampak sama” Ema membalas. Dia memang sering bersangka baik. Aku pula kerana sudah selalu masuk hutan, kebun dan sebagainya, memang jenis aku akan ‘mark’ kawasan yang mudah aku ingat. Lalu kami teruskan perjalanan dan tempat yang sama lagi kami lalui, aku ingat kawasan itu kerana akar tempat kami berpijak itu satu-satunya jalan untuk dilalui di situ, akar pokok itu menjalar dari tanah ke pinggir bukit, kalau tergelincir dari akar, jatuhkah kami ke dalam sungai, sungainya nampak seperti jernih, tapi kalau pendek macam aku mungkin tenggelam juga. Jalan seterusnya juga ku ingat kerana kiri kanannya diapit bukit kecil, jalan itu seperti denai. “Eh betullah kita dah lalu banyak kali ni” kataku.. Ema diam membisu, aku pun menutup mulutku juga dari terus bersuara. Setelah beberapa ketika, kami diarahkan supaya berhenti dan berkumpul, abang Li berdiri di depan kami di tanah yang sedikit berbukit.
“Kau orang perasan apa-apa tak?” Abang Li bertanya. Aku diam sahaja melihat orang terpinga-pinga, aku dapat agak apa yang akan abang Li katakan, tapi aku cuma diam. “Kau orang perasan tak tempat ini?” Abang Li bertanya lagi.. Bermula bunyi bisik-bisik yang resah. “Kita dah lalu banyak kali di sini, perasan tak? Dah dekat sejam kita berpusing di kaki bukit sahaja.” Kata abang Li, dan bunyi bisikan cemas perserta kian kedengaran, abang Li kelihatan berbincang sekejap dan kembali bersuara. “Maaf ya, tak tau kenapa terlupa nak baca doa, selama ini elok saja kami naik berkali-kali, minggu lepas pun kami datang, elok saja naik baca doa, jalan pun lancar.. Oleh itu, saya harap masing-masing jaga diri lepas ni. Dah ada ‘salam perkenalan’ dah tu.. Jom baca doa” Lebih kurang macam tu lah kata-kata abang Li kepada kami dan doa dibaca. Kami pun meneruskan perjalanan, mengharapkan hari tidak malam sebelum kami sampai ke puncak. Gunung Tebu ambil masa 6 jam untuk ke puncak. Jika sedikit jumlah orangnya mungkin lebih cepat, tapi kami ramai.
Tiba di cek point pertama, kami berhenti rehat dan rawat seketika. Aku, sepupuku dan beberapa orang rakan pergi mengambil air di alur kecil. Tak ramai yang turun kerana tebing alurnya tinggi melebihi paras dada. Walaupun tebing tinggi, airnya cetek separas buku lali sahaja. Aku pun turun, dan menadah air ke dalam botol. Tiba-tiba terdengar suara perlahan memanggil namaku, aku mendongak mencari rakanku, dia yang memanggilku, dimuncungkan mulutnya menunjuk ke arah belakangku. Saat aku berpusing, aku hampir rebah terkejut. Ada seorang lelaki tanpa baju, berseluar pendek di belakangku, hampir luruh jantungku dibuatnya. Di belakangnya tergalas bakul rotan yang besar dengan pokok-pokok yang berdaun kecil. Sudahlah kedatangannya itu tiba-tiba tanpa sebarang bunyi, matanya pula tajam menikam. Aku tak sedar rakan-rakanku sudah memanjat tebing alur satu persatu. Aku yang gugup susah nak naik ni, tiba-tiba gatal bertanya, padahal aku bukan jenis ‘friendly’, tapi mungkin kerana takut, jadi aku buat-buat sembang.
“Eh.. Pak cik dari mana?” Tanyaku.. Hanya bunyi cengkerik dan unggas yang sudi menjawab soalanku. Dia diam sambil matanya tidak beralih dariku. Lalu perlahan dia melintasi aku. Terperosok aku di pinggir tebing untuk memberi laluan padanya. Rakanku pun menghulur tangannya padaku, aku panjat tebing. Patutlah tak ramai perempuan turun ambil air, yang turun pun tinggi-tinggi, aku pula pendek tapi perasan panjang, mujurlah kurus waktu itu, mudah memanjat. Naik ke atas, aku pandang balik pak cik itu, sudah tiada… Entah bila perginya, cepat dan senyap benar. Becak air yang dipijak pun tak kedengaran, misteri betul, mungkin orang asli yang dah fasih kawasan itu. Setelah berehat, bersembang itu ini termasuklah peristiwa tadi, kami pun meneruskan perjalanan.
Tiba di cek point kedua. Kami diberi rehat dan rawat selama 15 minit sahaja. Ada rakan-rakan yang minum air, ada yang mencabut pacat, ada yang mengambil air dijeram. Aku juga pada mulanya ingin menambah bekalan air kerana dipuncak tiada air, nak air kena turun balik sedikit nanti. Namun disebabkan jeram itu pun tinggi tebingnya, aku pun membatalkan hajat, lagi pun aku masih ada baki air yang tadi. Lebih baik berehat sahaja. Sedang aku berehat sambil makan coklat, abang Li pun bersuara.
“Siapa ambil air dekat jeram tadi?” Tanya beliau.
Ada beberapa orang yang mengangkat tangan. Abang Li pun bersuara lagi.
“Dah minum ke? Abang Li lupa nak bagitau. Masa kami datang minggu lepas, ada orang jumpa mayat budak perempuan lebih kurang umur korang juga. Jumpa dalam jeram tu lah, dia lemas. Tak tau lah b***h diri atau sebab apa”
Serentak itu tersemburlah air dari mulut mereka yang sedang minum air dari jeram tersebut, yang dah telan cuba muntahkan balik. Abang Li dan yang lain tersenyum.
“Ala, rilekslah, air tu kan mengalir..” kata abang Li dan kami pun meneruskan lagi perjalanan. Tak tahulah aku abang Li ni bergurau atau sungguh ceritanya.
Tiba ke cek point seterusnya. Di situlah kami berhujan, nak buka khemah takut payah pula nak tutup dan bawa naik lepas ni. Jadi kami berhujan sahaja sambil makan nasi lauk sardin yang aku pasti tak sempat gelegak pun kuah sardinnya. Makan sedikit sahaja supaya badan tak berat semasa mendaki, kerana selepas cek point ini, tracknya adalah track yang paling mencabar. Bak kata abang Li, lutut cecah ke dada.
Semasa pendakian diteruskan, ada yang berhempas pulas dengan tali yang disediakan kerana kecerunan yang hampir 90 darjah itu, ditambah lagi licin sebab hujan. Mereka ke kiri dan ke kanan, berlipat, terpusing dan sebagainya menyebabkan situasi yang sepatutnya menyebalkan itu menjadi bahan ketawa kami beramai-ramai, tapi tidaklah kami ketawa sampai lupa diri, perlu ingat kita ditempat ‘orang’. Setelah melewati masa sukar, kami mula melewati kawasan berkabus yang sejuk. Remang senja bermula. Kawasan sekitar kami kian suram dan kabur… Kami yang kelelahan hanya berjalan dalam diam. Oleh kerana tracknya kecil, kami berjalan seorang-seorang tanpa putuskan komunikasi mata dengan orang di hadapan dan di belakang masing-masing.
Semasa perjalanan itu, aku terpandangkan sekuntum bunga di depanku. Aku tertarik kerana hanya itu satu-satunya bunga di kawasan itu, tiada bunga lain lagi. Lagi pun aku cukup pelik, bunganya seperti bunga kantan, tetapi berwarna merah d***h, batangnya tidak berdaun dan keras seperti pokok kayu yang lain, tetapi ia halus dan meninggi ke atas. Aku menjadi sedikit hairan, kenapa pokok yang tinggi sebegitu, perlu tumbuhkan bunganya di laluan orang juga dan pada paras mata manusia. Tak habis berfikir, datang seekor burung hinggap di dahan sebelah bunga merah itu, burung itu berwarna hijau kekuningan. Ia melihat ke arahku, dan ke arah bunga tersebut berulang-ulang sambil kepalanya diteleng-telengnya. Saat itulah aku teringat bahasa tubuh si Tuma, helang yang diselamatkan dan dibesarkan oleh tokkiku. Bahasa tubuhnya sama seperti Tuma. Aku dipatuk dahulu kerana tidak faham bahasa tubuh si Tuma yang cuba menyuruhku meletak kembali anak kucing yang ku ambil ke dalam sarang. Jangan terkejut, Tuma memang helang, tetapi oleh kerana dia tiada keluarga, ayam dan kucing menjadi keluarganya, Tuma sayang sangat keluarganya itu, sampai aku main anak kucing pun dia marah, suruh letak balik. Tuma diselamatkan oleh tokkiku kerana semasa ia masih bayi (bulu pun belum tumbuh) kaki dan sayapnya patah kerana pokok di mana sarangnya berada ditebang. Dia telah ditinggalkan oleh pihak perhilitan yang mengambil ibu dan adik beradiknya, mungkin Tuma pengsan semasa perhilitan kutip ibu dan adik beradiknya.
Kembali ke cerita sebenar. Oleh kerana burung hijau kekuningan itu seoalah memintaku untuk menyentuh bunga, aku semakin tertarik pada bunga tersebut. Lalu tangan kanan ku hulurkan, cuba menyentuh bunga tersebut dan mencium baunya. Belum pun tanganku menyentuh si bunga, tiba-tiba aku melayang ke belakang. Rupanya beg aku disentap kuat oleh seseorang, disebabkan aku ini kurus, aku turut melayang.
“Awak buat apa ni, Yàng Utàmà ?!”
Nama belakangku disebut olehnya. Nampaknya orang ini mengenaliku, bisik hati aku sambil mengamatinya yang sedang memandangku dengan bengis. Harap muka je hensem tapi marah orang tanpa sebab, kataku dalam hati. Aku amati, dan aku yakin tidak mengenalinya. Oleh kerana itu diriku yakin orang ini adalah guru sekolahku yang tidak aku kenali, kerana biasanya guru sahaja yang memanggil nama belakangku, mungkin sahaja dia baru berpindah ke sekolahku. Rakan-rakanku dan ahli fasilitator di situ semuanya memanggil namaku dengan nama hadapanku, iaitu Càhàyà.
“Saya nak tengok dan cium bunga itu sahaja cikgu, saya tak petik..” kataku cuba menghormati.
“Mana bunga? Saya tak nampak pun?!” Katanya dengan bengis lagi. Hatiku mula meruap.. Tak bolehkah dia ini bercakap dengan lembut pada aku? Dah lah baru kenal.. Tahulah d***h muda (umurnya seperti awal 30-an), tapi tahu pula dia namaku, aku pun tak pernah kenal dia, anak murid apalah aku ni. Hatiku menggerutu marah pada guru lelaki itu, sambil menyalahkan diri sendiri. Burung hijau tadi sudah hilang entah ke mana.
“Niiii.. takkanlah cikgu kat nampak. Depan jari saya je ni bunga merah ni” kataku mula geram dimalukan. Yalah, pasti ada antara rakanku terlihat adegan aku kena marah ni. Rakan-rakan yang di belakang ada yang sudah melintasiku, tidak pula mereka singgah.
“Dah, tak payah sentuh-sentuh. Dah lewat ni. Dah, jalan!” arahnya padaku sambil menolak beg galasku. Aku terdorong ke depan. Aku pun berlalu dengan cepat, mengejar orang di hadapanku, sungguh aku tak betah berada berlama-lama dengan cikgu itu. Takut aku terbesar suara.
Zassss.. tercampak lagi aku ke belakang, kali ini lebih kuat. Gagah benar cikgu ini sampai boleh mengangkat aku dengan sebelah tangan, atau memang dia terlampau marah?
Beg aku ditarik ke belakang lagi. Hati aku mula tidak sabar, suaraku mula meninggi.
“Apa lagi cikgu? Tadi suruh saya jalan!” Bentakku.
“Saya suruh kamu jalan sahaja saya tak suruh kamu berlari.” Katanya.
Aku ternganga di situ, tidak percaya. Padahal dia pun nampak orang di depan sudah semakin jauh, tinggal bajunya sahaja yang nampak dari celah pokok.
“Saya berlari sebab nak kejar orang depan nanti hilang pula kita tak nampak, mereka dah jauh tadi” kataku. Memang betul aku berniat mengejar mereka yang sudah hampir tidak nampak di depanku, tetapi aku juga berniat untuk menjauhi cikgu itu.
“Habis tu orang belakang bagaimana?!” Marahnya lagi..
“Laa.. kan cikgu ada, cikgu la tengokkan orang belakang cikgu. Saya bukan nak lari jauh sampai cikgu tak nampak saya.” penat aku terangkan pada cikgu itu.
Hairan aku, takkan dia tak boleh tolong, atau dia memang marah sangat pada aku, tapi takkan silap itu sahaja marah sampai begitu?
“Ikut awaklah, Yàng Utàmà. Saya malas nak layan awak. Dah nak cepat sangat biar saya pergi dulu. Pandai-pandai awaklah!” Cikgu itu benar-benar meninggalkan aku dan melintasi pelajar di depanku juga.
Aku sangat terkejut dengan tindakannya. Geram nak marah pun ada, seperti tiada tanggungjawab. Aku pun teruskan perjalanan sambil memanggil-manggil peserta di depanku supaya perlahankan perjalanan supaya aku sempat menunggu rakan-rakan yang masih di belakang.
Sesampainya di puncak, sungguh aku lupa peristiwa aku bergaduh dengan cikgu tadi. Aku sangat kagum melihat pemandangan senja dan pemandangan awan yang berada rendah dari puncak yang kami berada, sangat cantik. Mereka yang sudah sampai ke puncak membuat pelbagai aktiviti sementara menunggu peserta yang belum sampai, ada yang berehat, ada yang solat jamak dan masing-masing mula dirikan khemah. Tepat pukul tujuh, kami semua sudah berkumpul di puncak menanti azan maghrib dilaungkan. Pada malamnya, kami tidur nyenyak ditemani bunyi unggas dan rintik hujan. Pagi itu aku bangun awal, rasa segar dan nyaman seluruh badan.
Aku teringatkan kisah aku bergaduh dengan cikgu itu pada hari sebelum. Aku terus mencari cikgu itu untuk meminta maaf, tapi hampa. Tidak kelihatan walaupun setelah agak lama aku berkumpul dengan guru-guruku yang lain. Guru-guruku yang lain mengenaliku kerana mereka adalah guru asmaraku dan guru kelasku. Hendak bertanyakan guru lain, aku malu kerana tidak tahu nama. Lalu aku diamkan sehinggalah kami turun, aku berasa pelik, bunga merah d***h itu tiada di tempatnya, sedangkan track turun dan naik gunung Tebu itu adalah track yang sama.
Aku bertanya beberapa orang rakanku sama ada terlihat bunga itu, mereka semuanya tidak nampak. Maka betullah kata guru itu, sebenarnya bunga itu tidak wujud, aku sahaja yang terlihatnya. Aku semakin rasa bersalah dan berazam mencarinya ketika kami berkumpul di kaki gunung. Anehnya, cikgu itu tiada. Sampai di asrama aku mencari dan bertanyakan rakan tentang guru itu. Guru baru, guru kacak tapi garang, guru kurus tinggi, pelbagai gelaran aku tanyakan kepada rakanku, tiada yang tahu.
Setelah beberapa hari bercuti, maka sekolah dimulakan, aku masih lagi mencari guru itu. Daripada rasa ingin minta maaf, hatiku jadi rasa ingin tahu sama ada guru itu wujud atau tidak. Ternyata tiada seorang pun yang tahu.
Tibalah waktu cikgu Izam (guru kelasku yang menyertai aktiviti di gunung Tebu) memasuki kelas. Aku meyakinkan diri untuk bertanyakan cikgu Izam tentang guru yang ku cari itu. Tiba-tiba ada rakanku bertanyakan cikgu Izam,
“Cikgu, cikgukan yang nampak tempat bunian tu? Cer cerita cikgu..” pintanya pada cikgu, kami agak rapat dengan cikgu Izam, kerana cikgu Izam baik dan selalu ambil tahu tentang muridnya. Cikgu Izam dah tua, tapi orangnya masih sihat, sebab itu boleh mendaki. Cikgu Izam tersenyum dan berkata, dia boleh cerita sedikit sahaja dari kisahnya. Katanya dia terlihat ada satu padang yang luas serta bersih. Dia juga terlihat satu batu besar yang rata di situ lalu pergi berehat, waktu berehat dia tercium bau yang sangat harum lalu dia berlalu pergi. Kami yang mendengar kehairanan, setahu kami tiada padang dan batu rata sepanjang kami mendaki atau menuruni gunung tersebut. Kata cikgu Izam lagi, dia tahu ada pelajar yang juga mengalami perkara mistik sewaktu mendaki. Kami tertanya-tanya siapa orangnya sambil memandang satu sama lain, memandangkan memang tiada di antara sesiapa yang mengaku waktu itu, baru aku terlintas peristiwa yang aku alami. Baru otak-otak dibenakku berhubung, waktu cikgu Izam nampak padang, kami tidak nampak. Begitu juga kisah aku, tiada yang nampak bunga seperti yang aku nampak, dan tiada yang nampak ‘cikgu bengis’ yang aku marahkan. Setelah sedar, baharu juga aku perasan, ‘cikgu bengis’ itu dari awal perjalanan, dari latihan beramai-ramai di sekolah itu lagi memang tak pernah wujud, lagi pun takkan cikgu berambut panjang hampir mencecah bahu? Itu pun, aku baru perasan… Maka tak jadilah aku bertanya cikgu Izam tentang guru misteri itu..
Apa pun aku bersyukur, siapa pun ‘dia’, Allah hantarkan untuk selamatkan aku dari memasuki dunia lain… Sebab, dewasa ni baru aku tahu, banyak juga orang hilang atau histeria setelah memetik atau menyentuh bunga pelik, malah aku pernah terbaca cerita sebegini di FS juga, salah satu yang aku ingat tentang bunga dan beruk (lupa pula tajuknya). Moralnya, berhati-hatilah, di mana jua kita berada, sentiasa beringat, dan janganlah kita menyangka hanya yang kita nampak sahaja yang wujud di dunia ini.. Sebenarnya lebih banyak yang kita tidak tahu dari tahu.. Ada yang sentiasa memerhati sama ada yang baik, atau yang berniat jahat..
Sekian…
********************
Maaf panjang ceritanya, jumpa lagi..
Assalamualaikum dan terima kasih yang sudi membaca..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
guru asmaraku?…ini sudah lebey…isk isk isk…
Nur Fadhilah ke.. sedap nama.