Halusinasi

Hari ini tidak seperti hari-hari yang lain, di mana pagi ini aku datang awal ke tempat kerja. Jam menunjukkan 7:15 pagi. Selesai thumbprint, aku terus menuju ke pantri.

Sebiji mug dicapai dan satu sachet nescafe dikeluarkan dari satu bekas yang terletak berhampiran. Paket itu dikoyak lalu aku masukkan serbuk nescafe bercampur krimer itu ke dalam mug. Air panas diisi sehingga tiga per empat mug. Aroma yang masuk ke rongga hidung memberikan ketenangan buat aku.

Aku bergerak ke meja lalu melabuhkan duduk di situ. Sepaket biskut high fibre yang sempat aku capai tadi aku koyakkan dan mengeluarkan sekeping biskut lalu mematahkan menjadi kepingan kecil. Kepingan biskut tadi aku rendam ke dalam air nescafe dan aku mula menjamahnya. Sambil itu, aku memeriksa email yang belum sempat dibuka petang semalam.

Sedang aku fokus membaca, ekor mata aku menangkap sesuatu melintasi di luar pantri. Aku panggung wajah.

“Siapa?” Aku melaung.

Senyap.

Aku menjungkitkan bahu. Mungkin aku silap. Aku menyambung kembali membaca email. Tapi buat kali kedua, ekor mata aku menangkap satu cahaya melintasi di luar pantri.

Aku berdebar. Aku tahu masih belum ada lagi yang sampai ke office pada waktu-waktu begini. Tanpa membuang masa, aku menghabiskan air dan keluar dari pantri.

Seperti yang aku jangka, tiada siapa yang berada di ruangan pejabat. Malah di tandas juga. Aku menarik nafas dalam, dan pantas menghantar isyarat kepada otak bahawa apa yang aku lihat tadi hanyalah sekadar ilusi.

Ya! Ianya cuma ilusi.

Jam menunjukkan pukul 7.35 pagi. Beberapa staf mula masuk ke dalam office. Dalam diam aku menghembus nafas lega.

××××××××××××××××

 

Malam itu, selepas makan malam dan solat isyak aku duduk di hadapan televisyen. Sambil itu mulut aku mengunyah popia cheese yang aku beli dari Cik Bam di hujung taman sana.

Sedang aku syok menonton cerita, ekor mata aku menangkap satu lintasan di dapur. Spontan aku berpaling dan bangun menuju ke sana. Sampai saja di dapur, aku mengintai di celah peti ais dan juga bawah meja.

“Tak ada apa-apa pun..” Aku bercakap sendiri.

Tiba-tiba telinga aku terdengar satu pergerakan yang amat pantas. Terus aku berpaling dan apa yang mengejutkan aku adalah… aku ternampak satu cahaya berbentuk manusia sedang berdiri di sebelah pintu tandas. Bekas popia cheese di tangan aku terlepas. Habis berterabur segala isi di dalam bekas.

Aku hanya diam dan kaku di situ. Kaki aku tak mampu bergerak. Yang aku dapat rasakan adalah tubuh aku yang sedang menggeletar. Peluh mula merenek di dahi. Tubuh aku juga mula terasa sejuk dan segala bulu roma mencanak naik.

Cahaya berbentuk manusia tadi masih lagi berdiri di situ. Seolah-seolah sedang memerhatikan aku. Walaupun aku tidak dapat melihat wajahnya, tapi aku tahu yang ‘matanya’ tajam merenung ke arah aku. Aku dapat rasakan nafas semakin sesak dan pandangan aku menjadi gelap.

×××××××××××××××××

 

Aku membuka mata perlahan-lahan, melihat bilik yang sedikit gelap. Dengan pandangan yang agak kabur, aku nampak satu sosok tubuh sedang berdiri di hujung katil menghadap ke arah aku.

Cahaya lampu dari luar tingkap membantu penglihatan aku walaupun hanya nampak samar-samar. Gaya sosok tubuh itu seperti seorang pahlawan wanita arab pada zaman dahulu kala. Seumpama gaya Khaulah Al-Azwar. Ya… dia perempuan, kerana dia berbaju dan bertudung labuh. Tangannya memegang busur yang besar dan dibelakangnya tersangkut bekas anak panah.

Aku menggosok mata. Mungkin aku tersalah tengok, atau aku sedang berhalusinasi. Setelah mengerdipkan mata beberapa kali, aku memandang semula ke arah gadis itu.

Hampir terlompat aku apabila muncul lagi satu sosok tubuh lelaki, berdiri di sebelah gadis memegang busur tadi. Aku mengesot dan bersandar di kepala katil. Aku menutup separuh muka dengan menggunakan bantal. Takut? Itu yang aku rasakan sekarang.

“Korang ni siapa?” Dalam berani bercampur takut aku cuba bertanya.

“Aku…” Gadis itu bersuara namun ditahan oleh lelaki disebelahnya.

“Kita tak sepatutnya di sini. Kita harus pulang.” lelaki di sebelah gadis itu berbisik. Namun gadis itu hanya diam membisu.

“Ianya semakin menuju ke penghujung, dan permulaan kepada sebuah pengakhiran…” bisik gadis itu. Halus, tapi cuping telinga aku mampu menangkap kata-katanya.

Aku yang berada di situ masih lagi blur, tapi keadaan bilik aku perlahan-lahan menjadi gelap. Aku tidak dapat melihat apa-apa, tapi dalam pada masa yang sama aku dapat mendengar suara seseorang sedang memanggil nama aku. Aku cuba bersuara namun hampa, seperti tersekat di kerongkong, tidak mahu terlepas keluar.

“Syer… ooo syer… bangun!”

Terasa pipi aku ditepuk perlahan. Perlahan-lahan mata aku terbuka. Aku lihat Umi, Abah dan adik bongsu aku sedang duduk mengelilingi aku yang sedang terbaring.

“Alhamdulillah…” Umi mengucap syukur. Aku mula mengerutkan dahi.

“Kenapa ni?” Aku mula bertanya. Aku mula mengeliat.

“Aih.. Takkan tak ingat yang kak ngah pengsan tadi?” Umi menjawab. Dahi yang tadi berkerut menjadi double kerut.

“Bila masa orang pengsan. Ni orang tengah tidur nyenyak lagi.”

“Astaghfirullahalazim. Kak ngah ni biar betul? Sudahlah pengsan, siap dengan pakej meracau lagi tadi.” sampuk adik bongsu aku, Puteri.

“Hah??” Aku melopong dalam beberapa minit. Cuba mencerna apa yang mereka bagitahu aku tadi.

“Dah.. dah… yang penting kak ngah dah okay.” Abah pula menyampuk.

“Yeke dah okay, bah? Kejap bagi adik test dulu.” adik bongsu aku duduk bersila di hadapan aku. Abah aku menggeleng kepala.

“Ni siapa?” Puteri tunjuk ke arah Abah.

“Abah…”

“Ni?” jari telunjuk dihala ke arah umi.

“Ni umi lah…”

“Ni pula?” jarinya menunjuk ke arah diri sendiri.

“Puteri lah.. eh kau ni kenapa?” Aku mula berang. Test jenis apakah ini? Baik bagi aku soalan matematik, atau suruh aku mewarna.

“Bila tengok adik, kak ngah nampak apa?” Aku mengerutkan dahi bila dia cuba membuat muka comel tak comel di hadapan aku.

“Monyet…” jawab aku spontan. Abah dan umi sudah gelak besar.

Puteri membuat muncung sepanjang seratus meter. Atlet pun boleh berlari di atas mulutnya. Tak perlukan trek di stadium lagi, sewa saja mulutnya. Hahaha…

“Sudahlah.. layan korang tak ke masjid abah subuh nanti…” Abah dan umi mula menapak keluar. Puteri masih lagi bersila di atas katil aku.

“Kak… nak tanya ni.”

“Apa dia? Orang nak sambung tidur la…” aku menjawab malas. Aku baring sambil memeluk bantal peluk.

“Siapa Nurhan dan Walid?”

“Siapa tu?”

“Orang tanya dia, dia tanya orang balik.” Puteri merengus.

“Manalah kak ngah tahu diorang siapa. Merepeklah kau ni. Pergi masuk tidur sana.” Aku melihat jam di telefon. Pukul 1.30 pagi.

“Habis tu kak ngah asyik sebut je nama diorang masa meracau tadi. Haaa… Skandal eh?” Puteri sengih jahat.

“Ah! Tak ada masa aku nak berskandal. Pergi tidur sana, budak kecil!” Aku menolaknya turun dari katil dengan menggunakan kaki.

“Eleh! Wekk..” Puteri menjelirkan lidah sebelum keluar dan menghempas pintu bilik aku. Aku hanya ketawa melihat tingkah dia.

Aku memandang kosong ke arah siling, dan mula mengelamun. Memikirkan semula apa yang adik bongsu aku bagitahu tadi. Macam mana aku boleh sebut kedua nama itu sedangkan aku bermimpi orang yang berlainan.

“Haa.. mungkin nama diorang kot.” Aku membuat andaian sendiri.

Malas mahu berfikir lagi, terus aku pejamkan mata.

××××××××××××××××

 

Pagi hujung minggu, aku dengan rasa rajinnya beriadah di taman berdekatan. Taman disitu agak besar dan luas, membolehkan penduduk taman datang untuk exercise. Kadang-kadang ada juga orang dari tempat lain datang ke sini untuk berjoging dan senam aerobik kerana kawasannya yang mengelilingi tasik, sangat sesuai untuk menenangkan minda sambil bersenam.

Aku hanya sekadar berjalan mengelilingi tasik sambil mengelamun, memikirkan mimpi yang beberapa kali muncul dalam tidur aku.

Zupp!!

Spontan aku menunduk. Aku ingatkan ada sesuatu yang jatuh dari atas, tapi tiada apa-apa yang hampir menghempap kepala aku. Lantas aku memandang ke atas.

Terpaku sekejap bila aku lihat ada satu anak panah sedang melekat pada salah satu batang pokok berhampiran dengan tempat aku berdiri. Aku menghampiri anak panah itu. Agakan aku mungkin bunyi tadi adalah dari pergerakan anak panah ni.

“Anak siapalah main archery kat sini. Karang tertembus kepala orang kat sini kang naya..” Aku membebel. Dalam pada masa yang sama, aku mencabut anak panah itu dan meniliknya.

“Wow.. cantiknya.” Jari aku mengusap anak panah itu.

Aku melihat anak panah itu dengan rasa kagum. Warnanya yang keemasan dan bersinar menarik perhatian aku. Termasuk dengan ukiran yang halus dari pangkal hingga ke hujung anak panah. Sangat cantik. Seperti ianya direka khas.

Aku memandang sekeliling, lalu mata aku menangkap seseorang yang seperti aku kenali sedang berdiri sejauh lima meter dari tempat aku dan memandang tajam ke arah aku. Dia gadis bertudung dan berjubah itu. Aku mengerling ke arah tangannya yang menggenggam busur. Mungkin anak panah ini miliknya.

“Err… Ini awak punya ke?” Aku menunjukkan anak panah di tangan. Gadis itu hanya diam dan merenung tajam ke arah aku.

Aku menelan air liur. Kemudian aku memandang ke belakang. Pelik pula rasa, kerana aku dapati tiada siapa pun yang lalu lalang di tempat aku berdiri sedangkan tadi bukan main ramai orang. Jalannya pula hanya satu itu saja.

“Apa nama awak?” soal aku ramah. Kaki aku melangkah mendekati gadis tu.

“Aku…”

Ktingg!!

Anak panah di tangan aku terlepas. Dengan segera aku mengutipnya. Tapi apabila aku mengangkat wajah, gadis itu sudah hilang dari pandangan. Anak panah di tangan juga sudah hilang.

“Adik, you okay ka?” Seorang makcik cina menegur aku dari belakang.

“Saya okay je. Kenapa aunty tanya saya macam tu?”

“Tadi saya nampak you bercakap sorang-sorang. Tu yang saya datang tegur. Mana tahu you tak sihat, atau kena sampuk.”

“Oh! Taklah… sebenarnya saya tengah praktis babak dalam teater. Tu yang aunty nampak saya cakap sorang-sorang tu.” Aku tersengih. Cuba untuk cover line.

“Oh yeke.. okaylah macam tu.” Aunty cina tu senyum dan berlalu. Aku menarik nafas lega.

Aku memandang sekeliling, mencari gadis misteri tu. Namun hampa, bayangnya tak dapat dikesan.

***********

 

Malam itu badan aku terasa penat sekali. Usai solat isyak, aku terus merebahkan badan ke atas katil. Mata semakin lama semakin layu. Bunyi kicauan burung menandakan ada satu pesanan dari Whatsapp aku tidak hiraukan, sebaliknya aku menutup data internet. Esok sajalah aku baca.

Dalam beberapa ketika, aku mula lena. Tapi lena aku tidaklah lena mana. Mata aku terpejam, tapi aku seolah-olah dapat melihat keadaan dalam bilik aku.

Tanpa aku sedari, muncul satu makhluk berbentuk musang berwarna hitam dari hujung katil. Giginya tajam, matanya pula hitam berkilat. Terpantul cahaya dari luar bilik ke matanya. Musang itu naik ke atas katil dan mendekati ke arah aku.

Tanpa sedar badan aku mula menggigil. Terasa sejuk hingga ke tulang. Aku cuba bergerak, namun hanya jari jemari saja yang berdaya. Tubuh aku terasa keras dan tidak boleh bergerak, seperti dihempap. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai ‘Sleep Paralyse’.

Mata aku jelas melihat musang hitam itu memberikan senyuman yang menakutkan. Dia mula menggesel kepalanya pada muka aku. Terasa lembut dan halus bulunya tatkala ia menyentuh kulit aku. Namun aku rasa tak selesa.

“Allahu Akbar…” Aku cuba menjerit. Walaupun tersekat-sekat, tapi aku cuba beberapa kali sehingga boleh.

“ALLAHUAKBAR!!” Aku menjerit sekuat hati. Tubuh aku tiba-tiba terasa ringan dan aku terbangun duduk.

Aku beristighfar banyak kali. Nafas yang berat mula terasa ringan kembali. Tangan meraup muka yang basah dengan peluh. Aku memandang ke sekeliling bilik. Senyap sunyi. Tiada bayang atau sebarang figura.

“Haih.. menakutkan betul.”

***************

 

“Syer, aku tengok sekarang ni kau asyik termenung je. Kau kenapa?” soal Fitri.

“Ha’ah beb. Hari tu pun aku nampak kau macam cakap sorang-sorang dalam stor fail.” sampuk Medi.

“Aku cakap sorang-sorang? Kau ni biar betul! Aku bukan gila la nak cakap sorang-sorang!” aku bengang.

“Tapi serius beb. Aku sendiri nampak kau cakap sorang-sorang sambil pejam mata. Bila aku tegur, kau pandang aku macam tak makan sebulan. Aku takut…” Medi memeluk tubuh.

“Kau ada masalah ke?” celah Fitri.

“Aku… aku tak tahu nak cakap macam mana.”

“Kenapa beb? Kau kena sampuk ke? Atau ada orang hantar santau kat kau?” soal Medi dengan penuh teruja. Macam biasalah. Kalau tak teruja tu bukan Medi namanya.

“Mukaddimah aku pun tak habis lagi kau dan menyampuk dulu.” aku bagi starlight sekali atas dahi Medi.

“Ouch.. Yelah. Yelah. Sambung cepat…” rajuknya sambil menggosok dahi yang mula memerah.

“Benda ni terjadi masa aku sampai office awal. Aku asyik nampak kelibat tak kira dekat office atau kat rumah. Mak aku cakap, tiap kali aku tidur aku akan meracau.”

“Kadang-kadang mak aku nampak aku bangun dalam keadaan pejam mata, berjalan ke meja kerja aku dan aku tulis satu nama berulang kali kat atas kertas.”

“Siapa?”

Aku menghembus nafas perlahan. Kertas kecil dan pen aku capai dan mula menulis nama yang aku sering tulis tiap kali aku dalam keadaan tidak sedar. Aku hulur kertas itu pada Medi dan Fitri.

“Aleya?” tanya mereka serentak. Aku sekadar mengangguk.

“Siapa Aleya ni?” tanya Fitri. Aku angkat bahu.

“Dia ada bagitahu tak dia tu siapa?” Fitri bertanya lagi.

“Tak. Benda yang dia asyik ulang cakap adalah… Ianya semakin menuju ke penghujung, dan permulaan kepada sebuah pengakhiran. Tengok, sampai aku pun hafal apa yang dia cakap.”

“Aku tak faham.” Medi menggaru kepala.

“Aku pun sebenarnya tak faham. Tapi aku rasa ada sesuatu yang dia nak bagitahu kau.” sampuk Fitri.

“Kau cubalah tanya dia beb.” gesa Medi.

“Kau ingat aku berani ke nak tanya? Cara dia muncul pun dah menakutkan aku. Huhuu..”

Masing-masing diam. Sedang kami melayan perasaan masing-masing, telefon aku tiba-tiba berdering. Tertera nama Nasa di skrin telefon pintar aku. Aku menekan butang hijau.

“Helo, Nasa.”

“Ye. Hoi. Hello… Eh kau kat mana?” tanya Nasa di dalam talian.

“Kat mana lagi. Kat office la. Kenapa?”

“Oh… Apesal kau hantar email kat aku? Kau ada buat cerita baru ke? Kau nak aku proofread untuk kau eh?” tanya Nasa seperti menembak peluru.

“Bila masa aku buat cerita baru?”

“Habis tu email yang aku dapat dari kau ni apa? Baik kau check email sekarang! Sekaranggg!!” Aku menjauhkan sedikit telefon dari telinga. Nasa ni kan… memanglah…

Setelah tamat perbualan aku dan Nasa, aku segera membuka email yang dikatakan aku ‘hantar’ padanya. Memang betul fail itu ada, tapi… cerita ni bukan aku yang tulis. Lagipun fail itu tidak bertajuk. Dengan segera aku capai telefon dan aku hantar WhatsApp pada Nasa.

Nasa : Aku dah baca cerita kau. Nice tapi kau kena detailkan lagi karakter dalam cerita tu. Siapa Aleya. Siapa Nurhan. Siapa Alauddin.

Aku tercengang. Nama-nama ni lagi???

Aku : Beb.. sumpah bukan aku yang tulis cerita tu.

Send.

Nasa : Habis tu siapa kalau bukan kau? Aku yakin kau yang tulis sebab aku kenal penulisan kau macam mana..

Aku mengurut dahi. Aku tak faham lagi mengerti. Aku sudah lama tak menulis tapi kenapa… kenapa cerita ni perlu wujud?

Nasa : Kau siapkan dulu cerita kau sampai habis. Banyak part pun tak apa.

Aku terhenyak. Sakit di kepala semakin mencengkam. Apa yang patut aku buat untuk tamatkan semua ni?

************

 

Malam itu aku langsung tidak dapat lelapkan mata, kerana aku takut. Aku bimbang kalau aku buat sesuatu yang luar biasa jika aku tidur. Jam pula sudah menunjukkan pukul 12 malam.

Masa berganti masa, aku mula hanyut. Tapi aku masih dalam keadaan sedar. Cuma yang membezakan adalah… keadaan bilik aku perlahan-lahan berubah menjadi rumah kayu kampung. Mata aku yang layu tadi menjadi segar semula. Tapi keadaan tadi tetap sama, seperti aku berada di dalam rumah orang lain.

Aku nampak perempuan bertudung labuh dan berjubah keluar dari bilik dalam keadaan terjengket-jengket. Ya… gadis yang sama. Dia adalah Aleya!

Tidak lama lepas itu, Alauddin pula keluar dari bilik. Mereka berdua bercakap dalam keadaan berbisik, tapi masih boleh didengari oleh aku. Mereka langsung tidak perasan akan kehadiran aku.

Keadaan tiba-tiba berubah lagi, di mana aku berada di dalam hutan. Aku berada di belakang Aleya dan seorang lelaki bernama Nurhan, sedang menyorok di belakang pokok, memerhati satu kumpulan berkuda. Namun keberadaan kami diketahui oleh ketua di situ. Perlahan-lahan Aleya dan Nurhan keluar dari tempat persembunyian. Aku hanya berdiri kaku di situ.

Keadaan yang sunyi dan aman tiba-tiba bertukar menjadi riuh. Lembaga-lembaga hitam bersayap datang dari segenap pelusuk. Aku kaget dan jatuh terduduk. Sedaya upaya aku menyorok untuk melindungi diri dari diserang lembaga-lembaga itu.

Semuanya berlaku dengan sangat pantas. Dalam keriuhan, muncul seorang yang bergerak pantas dan bercahaya. Dan juga… musang tu. Bukan! Aku silap. Dia bukan musang, tapi serigala jadian.

Keadaan berubah semula. Aku berada di satu tempat yang cantik dan tenang. Dari jauh aku ternampak mereka berlima berada di bawah khemah kecil. Yang peliknya, mereka berempat duduk bersila mengelilingi Aleya yang sedang terbaring. Mulut mereka terkumat-kamit membaca sesuatu.

Aku lihat keadaan Aleya seperti tenat. Kemudian badannya tidak lagi bergerak. Nurhan dan seorang lelaki tua berpelukan sambil menangis meratapi. Lelaki serigala tadi keluar meninggalkan tempat itu. Aku di situ sekadar memerhati. Bagai menghidu keberadaan aku, lelaki serigala itu memandang tempat aku berdiri. Segera aku menyorok. Jantung mula berdegup kencang, risau jika aku diapa-apakan.

Tak lama lepas tu, aku terdengar jeritan. Aku mengintai sedikit. Rupanya Aleya sudah sedar. Tanpa sedar aku melepaskan nafas lega dan tersenyum.

~Kak ngah…~

Aku dengar satu suara halus memanggil aku. Spontan aku memejam mata dan membuka semula. Aku nampak Umi berdiri di hadapan aku.

“Bangun solat subuh.” arah umi lantas keluar dari bilik.

“Ohh… okay.” Aku membuka telefon. Alarm aku telah snooze beberapa kali. Macam mana aku boleh tak dengar?

Usai solat subuh, aku menyambung kembali tidur aku yang lena tak lena. Sebab apa yang aku mimpikan tadi seolah-olah benar. Badan aku juga menjadi penat setelah bangun dari tidur. Nasib baik hari ni dah masuk hari cuti. Tak sampai beberapa minit, aku sudah terlena.

**********

 

Aku menghempas fail yang diberikan oleh bos sebentar tadi ke atas meja. Stres!

“Oii.. ko kenapa?” Fitri mengusap dada. Hampir tersedak maggi yang baru disuap ke dalam mulut.

“Bos marah aku…” Aku mengeluh.

“Sebab?”

“Sebab aku tak perform. Dia kata kerja aku makin merosot.”

“Haaa… yang tu aku perasan. Kau banyak sangat termenung. Aku rasa… baik kau pergi holiday. Annual Leave kau ada seminggu lagi kan?”

Aku mengangguk malas. Kepala diletakkan ke atas meja. Terasa mengantuk pula.

“Aku cadangkan kau pergi bercuti dekat bla bla bla….”

Mata aku semakin layu. Apa yang dibebel oleh Fitri juga hanya masuk di telinga kanan, keluar telinga kiri. Semakin lama aku semakin hanyut ke alam mimpi.

Pantas aku membuka mata. Aku panggung kepala dan memandang sekeliling. Keadaan di situ senyap sunyi. Kelihatan seperti aku berada di dalam satu istana besar. Buruk dan usang. Gelap dan berbau busuk.

Suasana tiba-tiba menjadi hingar. Bayang-bayang hitam mula menyerbu ke satu arah. Aku yang berada di sudut bangunan itu cuba melihat apa yang berlaku. Keadaan yang gelap sukar untuk aku fokus. Yang aku dapat dengar hanya bunyi jeritan dan bunyi pedang.

Tanpa disedari, salah satu bayang hitam terpelanting ke arah aku.

“Arghhhh!!!!!” Aku menutup muka.

“Syer!” Fitri menggoncang bahu aku. Aku masih lagi menutup muka.

“Syer, kau okay tak?” Fitri cuba menarik tangan aku dari menutupi muka.

Perlahan-lahan aku turunkan tangan. Aku pandang sekeliling. Suasana berubah menjadi dalam keadaan asal.

“Kau kenapa, beb? Tadi termenung, lepas tu tiba-tiba menjerit. Kau okay ke tak ni?” Fitri memegang kedua belah pipi aku.

“Aku… aku nak balik.” Aku bangun dan mencapai handbag di bawah meja. Aku meninggalkan ruangan pejabat tanpa menghiraukan Medi dan Fitri yang memanggil aku.

***********

 

Malam itu aku hanya duduk termenung memandang siling. Badan aku sandarkan di kepala katil. Jujur sekarang aku rasakan yang diri aku adalah bukan diri aku. Aku seperti dikawal sesuatu.

Terasa hujung jari kaki aku dicuit. Hampir terlompat aku bila gadis itu muncul lagi. Busur dan anak panahnya setia di sisi. Kemudian muncul pula beberapa orang lagi berdiri di sebelah gadis itu. Orang sama yang aku nampak setiap kali aku bermimpi. Atau mungkin lebih tepat lagi… berhalusinasi.

“Aku Aleya…”

“Ini Nurhan, Aluddin dan Walid…” tangannya menunjuk ke arah kanan.

“Mihar dan Adam…” tangannya beralih kepada dua pemuda yang berdiri di sebelah kiri.

“Ya, aku tahu. Koranglah yang memporak-perandakan hidup aku.”

“Aku tak berniat apa-apa. Aku hanya ingin meminta tolong darimu…”. balasnya. Suaranya halus, tapi bergema.

“Sebab koranglah hidup aku tak macam dulu!” Aku menempik.

“Aku datang hanya ingin berikan peringatan…”

“Huh! Peringatan, my foot…” Aku mendengus.

Aleya mengibas perlahan tangannya. Keadaan dalam balik aku perlahan-lahan berubah. Bilik aku berubah menjadi satu kawasan kampung kecil. Aku menggosok mata. Aku harus percaya yang aku sedang bermimpi.

“Ini adalah benar. Sepertimana yang kau nampak sebelum ini, semuanya adalah benar.” katanya seperti tahu apa yang bermain di fikiran aku.

Aku tercengang. “Jadi selama ni aku bukan bermimpi?”

“Kau berada dalam keadaan separa sedar.” sampuk Nurhan.

“Oookey… patutlah mereka semua bagitahu aku yang aku selalu bercakap sorang-sorang, selalu termenung.”

“Syer… tolong aku.” pinta Aleya.

“Tolong apa?”

“Tolong khabarkan pada semua, bahawa dunia ini semakin ke penghujung.”

Aku berdebar. “Maksud kau… kiamat?”

Aleya mengangguk. Dia menghayunkan tangannya lagi. Keadaan berubah lagi.

“Kampung-kampung kami sudah hampir musnah sepenuhnya. Begitu juga dengan kerajaan yang lain. Semuanya sudah dimusnahkan oleh mereka. Mereka semakin kuat dan kuat.”

“Siapa ‘mereka’?” Aku menyampuk.

“Mereka itu adalah tentera-tentera Masih Al-Dajjal.”

“Dalam kita tidak sedar, tentera mereka semakin lama semakin bertambah. Sebab itu aku meminta tolong darimu, supaya khabarkan perkara ini ke sekelilingmu.”

Aku menggaru dagu. “Apa kata… aku karang cerita pasal kau? Tapi aku selitkan sedikit info-info yang berkaitan dengan apa yang kau cuba sampaikan.”

“Tak perlu. Kau hanya perlu mengkhabarkan sahaja. Suruhlah manusia di sekelilingmu supaya beramal dan berjaga-jaga.”

“Tapi kau tak kisah kan? Kalau aku kongsikan cerita tentang diri kau?”

Aleya mengeluh. Lama dia menunduk dan berdiam. Kemudian dia mengangkat kepala dan mengangguk perlahan.

“Tapi ingat… ianya semakin menuju ke penghujung, dan permulaan kepada sebuah pengakhiran…” katanya perlahan kemudian perlahan-lahan mereka hilang dari pandangan.

Aku segera mencapai laptop di atas meja kecil di sebelah katil. Microsoft Office aku buka dan mula menaip. Dari hari pertama aku mendapat ilusi itu sehinggalah sekarang aku coretkan di situ.

***********

 

“Part last… done!” Aku post part yang ke sepuluh cerita aku yang bertajuk Aleya – Srikandi Islam ke dalam facebook.

“Dah habis dah cerita kau? Panjang betul. Jenuh aku nak tunggu siap.” rungut Fitri. Dalam rungutan ada perlian.

“Kau ingat senang nak aturkan balik jalan cerita?” aku memerli balik.

“Yelah… Yelah… Tapi kan, macam mana kau boleh cerita sampai detail macam tu ye? Bukan kau kata apa yang kau nampak tu hanya separuh darinya?”

Aku menongkat dagu sambil memberikan senyuman penuh makna. “Kalau aku nak tahu jalan cerita yang lebih detail, aku akan ‘seru’ dia.”

“Seru? Hish… seramlah kau ni.”

“Hahaha… mana ada seram. Tapi kan, hanya yang betul-betul memahami jalan cerita saja akan dapat tahu apa maksud tersirat disebalik cerita tu.”

Masing-masing diam. Aku lega sebab aku tidak lagi mengalami sebarang mimpi atau berhalusinasi. Tidak termenung dan bercakap sorang-sorang lagi. Bagi aku, ianya realiti bercampur ilusi.

‘HALUSinasi.’ desis hati aku.

“Eh.. jomlah pergi lunch. Aku lapar.” Fitri menarik tangan aku. Dengan malas aku bangun dan mencapai tas tangan di bawah meja.

Sebelum aku masuk ke dalam perut lif, aku ternampak figura yang amat aku kenali. Ya… Aleya!

Aku memberikan senyuman kecil kepada Aleya. Dia mengangguk sedikit dan membalas senyuman lalu sekelip mata hilang dari tempat itu.

‘Betul. Segalanya semakin menuju ke penghujung, iaitu permulaan kepada sebuah pengakhiran…’ bisik hati aku.

-TAMAT-

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

10 thoughts on “Halusinasi”

  1. Oklhh not bad👍.. At the beginning dh blh guessing mksd sgalany smakin mnuju ke pnghujung, iaitu prmulaan kpd sebuah pngakhiran… Bumi pn dh makin tenat mnusia pn kian lalai…

    Reply
    • Thanks unknown.. Btul… manusia akhir zaman tak sedar akan itu.. kcuali hanya org yg betul2 beriman akn stiasa ingt pd kiamat..

      Reply
  2. Slalu org kaitkan ilusi nie dgn pnyakit mental skizoprenia.. Tpi siapa sngka, ada yg real.. Apa2pn critanya bleh tahan juga..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.