#Nasa – Kembali (episode 3)

Akib tersentak dari tidur, tubuhnya berpeluh. Lenjun bajunya. Kipas angin yang dipasang langsung tidak terasa.

“Tolongggg……” satu suara memanggil mendayu. Namun apabila Akib menoleh, tidak ada sesiapa. Sejak akhir-akhir ini dia kerap mengamalkan cara nenek moyangnya. Memanggil dan menyeru alam roh. Maka tidak dinafikan perkara ghaib mudah mendampingi.

“Tolong cari aku…..” tiba-tiba bayangan seorang gadis muncul. Diikuti oleh beberapa lagi gadis lain yang menerpa. Jumlah mereka semakin bertambah sehingga menyesakkan pandangan di bilik Akib

“Pergi!! Aku tak tahu siapa kau…”

Kesemua gadis itu menghulur tangan. Jernih pandangan mereka semua memandang Akib.

“Tolonggg……” Tangisan mereka semakin menyesakkan telinga. Akib tidak takut kerana dia sudah biasa dulunya. Cuma, sekarang dia agak rimas.

Seorang wanita muncul berhadapan. Akib tersentak.

“Aku Aisyah…..”

Akib terdiam lagi. Dia tidak mengenali gadis itu. Namun gadis itu meminta agar Akib melepaskan rohnya. Bukan dia sahaja. Malah mereka semua. Tangisan sayu itu merimaskan.

“Pulanglahhh bukan aku orangnya yang buat kalian begini….”

“Tapi kau menyeru kami…..” Ujar Aisyah berwajah pucat.

“Aku tak sengaja.” Akib menafikan. Walhal dia sedar segala ayat jampi dan pemujaan itu adalah yang digunakan oleh warga Kampung Pencak Data untuk memanggil roh kembali.

“Lepaskan aku……”

Akib malas melayan. Dia berbaring semula lalu menutup wajah dengan selimut. Huh! Senyap-senyap tanpa pengetahuan ibunya Rida, Akib masih lagi mengamalkan ilmu lamanya sebelom berhijrah ke situ.

Mendengar suara itu tiada, barulah dia duduk. Segulung nafas dihela. Selimut tadi dilempar, bersepah di lantai. Akib meraup rambutnya kebelakang, mengusap wajah beberapa kali.

Dia teringat Kisya. Ya! Gadis itu datang malam semalam untuk memberitahu perihal Adarma dan Dierja. Akib tidak menyangka sampai ke sini kedua mereka mencari Rania.

“Matilah aku…..”


RAIF MENAPAK perlahan ke dalam rumah sewa Adarma. Entah kenapa lelaki itu mengajaknya ke rumah pada waktu tengah malam begini. Pukul 12 malam tepat pula tu

“Duduklah.” Pelawa Dierja sopan. Dia menghidangkan air kepada tetamu. Rumah itu sunyi. Sebuah bilik sebaris dengan pandangan matanya. Bilik belakang. Bilik itu nampak berasap dari luar

Raif menoleh sekeliling. Rumah itu nampak suram. Lampu pula sengaja tidak dipasang. Meremang pula bulu romanya. Raif meneguk air itu perlahan. Dierja masih memerhatikan lelaki itu tidak berkelip

“Errrr…. kenapa ya ajak saya ke sini?.”

“Bantu kami Raif…”

“Boleh, macam saya cakap, duitnya tu mest…..”

“Jangan risau… itu pastinya.” Cepat Adarma Memotong. Raif mengangguk faham. Dia tersenyum

“Jadii… apa yang saya boleh buat?.”

“Sanggup??.”

“Asalkan harganya lumayan, saya sanggup!.” Jujur Raif mengaku.

Adarma dan Dierja tersenyum puas. Kemudian barulah dia mendengar dengan teliti tentang rancangan yang dimahukan oleh kedua pasangan tadi. Terangguk-angguk, kejap menjeling, kejap berkerut. Ada masanya Raif terperanjat

“Ish! Ni kira jenayah ni pakcik! makcik!!.”

Adarma mengeluarkan sejumlah wang. Raif tertelan liur

“Err…. tapiii….”

Kali ini Dierja pula menambah.

“Errrr……..”

Dan Adarma mengeluarkan wang sekali lagi. Tidak susah baginya untuk membeli lelaki itu. Asalkan ada duit. Sikit atau banyak Raif tidak kisah sebenarnya.

Rambang matanya melihat duit banyak disediakan. Hairan dari mana dapatnya. Duit itu diambil. Malas pula dia bertanya. Maklumlah nanti kalau banyak soal tentu sahaja mereka tidak jadi mengupahnya

“Jadi esok hari terakhir kami di sini….boleh kau sediakan apa yang aku minta.” Tanya Adarma serius. Dia benar bersungguh

“Boleh… tapi sebelum tu boleh saya tanya?.”

“Silakan….”

“Untuk apa semua ni?.”

“Untuk kembalikan anak kami….” Dierja beriak serius

Raif mengangguk berkali-kali. “Errr… yelah selamat berjaya.” Duit itu diambil. “Kejap! Tapi kenapa Kisya?.” Masih juga dia ragu-ragu. Mana tidaknya Kisya bukan sembarangan gadis, sampai ke situ pula mereka mencari.

“Kerana apabila melihatnya, kami rasa dekat dengan Rania….”

Tercopong mulut Raif mendengar. “Errr… Rania???!.”

“Maaf kami lupa beritahu, arwah anak kami nama Rania…. Dia m**i atas perbuatan puak kami sendiri. Berdendam untuk mendapatkan takhta pimpinan.” Adarma jujur.

Berkerut dahi Raif. Dia pernah mendengar cerita yang sama juga sebelum ini.

“Sebab tu kami perlukan Kisya… untuk hidupkan roh Rania.” Dierja bersungguh

“Macam mana kalau Rania tu belum m**i?.”

Adarma dan Dierja berpandangan. Hampir bercantum kening mereka berkerut. Kemudian Raif ketawa. “Saya bergurau je. Errr…. esok saya uruskan apa yang pakcik dan mak cik nak.”

Selajur itu Raif meminta diri. Cepat betul dia melangkah meninggalkan rumah tersebut. Adarma dan Dierja memandang dari jauh. Mereka berdua tersenyum sinis, mudah benar Raif dibodohkan


Kawasan pembinaan Kampung Kencana Sakti

AKIB mengangkat batu bata lalu diletakkan ditepi. Berulang kali dia lakukan. Sebaik dia mengalihkan kayu untuk dibuat benteng simen, Dali cepat menerpa

“Ehhhh… tak apa aku buat.” Pantas dia membantu. Akib pula melakukan kerja yang lain, dia mengalihkan atap zink dan kapur agar kerja pembinaan itu bertambah mudah

“Eh! Tak payah Kib! Nanti aku buat.” Tingkah Dali meninggi suara. “Berat tu…. nanti aku buat.”

Beberapa orang yang berada di situ tercengang. Dari pagi tadi Dali tidak jenuh membantu Akib. Malah hanya Akib sahaja yang ditolong. Orang lain dibiarkan. Akib duduk keletihan. Walau dia kuat sekalipun, Kudratnya tetap terbatas.

“Kejap aku ambil air.” Dali menepuk belakang tubuh rakannya. Kemudian berlalu melintasi beberapa pekerja lain. Mereka semua tercengang melihat layanan istimewa Dali kepada Akib

“Nah!.” Hulur Dali sebaik tiba. Botol mineral itu siap dibuka dan dia memberi cawan kepada rakannya, kebiasaannya mereka sekadar menggogop tanpa cawan.

“Panas ni…” Ujar Dali sambil menyerahkan tisu. Akib pula mengambil tanpa memikirkan apa-apa. Memang dia penat.

“Kalau kau penat… rehatlah. Biar aku sambung.” Dali tersenyum manis

“Ohoooooo…. kau ingat ni drama kunyit ke??!!!.” Marah Sabri yang dari pagi tadi melihat. dia meluat melihat lelaki sama lelaki tidak beramadun di kampungnya.

“Apahal???!.” Dali bangun mendekati. Marah dituduh begitu.

“Sudahlah….. kau juga yang salah, layan aku macam perempuan….” Marah Akib menolak tubuh rakannya dan berlalu.

“Salah ke?? Weh! Kau baru baik demam kan Kib…”

Akib hanya mengerling dan terus berlalu. Memberi isyarat agar Dali tidak meneruskan pergaduhan. Malas dia melayan lagi. Terdengar Dali mendengus sebelum berlalu di belakang. kebaikannya disalah anggap. dia bengang!


“IYAAA kami pulang dulu. Terima kasih atas segalanya.” Ucap Adarma sambil bersalam

“Gunakanlah ilmu yang ditimba itu untuk kebaikan dunia dan akhirat.” Pesan Borhan. Dia selesa benar dengan kedua pasangan itu. Dierja dan Adarma mengangguk. Kemudian mereka menoleh ke arah Kisya yang masam mencuka

“Apa ni Kisya…” marah Borhan. Tidak suka cara Kisya melayan tetamu. Berlengah- lengah gadis itu bersalam. Dia mencium pipi Dierja apabila wanita itu yang mahu

Dierja memeluk Kisya perlahan. “Mak cik akan cari Kisya…” senyuman itu kelihatan sinis. Cepat-cepat Kisya melepaskan dan berundur menuju ke arah kedua ibu bapanya. Hatinya seram melihat tingkah kedua mereka. Dari awal pon dia tak suka

“Kami pulang dulu ya…” Adarma mengambil kesemua barangnya dan mereka berlalu. Raif yang menghantar kedua mereka. Itu juga atas persetujuan sebelum ini.

Kisya langsung tidak menoleh. Dari dalam kereta Dierja memerhati Kisya tajam. Dia rasa marah dengan layanan gadis itu. Adarma cepat menenangkan. Tahu dan perasan tingkah isterinya yang tidak berpuas hati.

“Sabarrr…. tak lama lagi je…” pujuk lelaki itu. Dan kereta mereka berlalu meninggalkan tempat tersebut.

Borhan menoleh ke arah anaknya. Biadap!

“Kenapa layan tetamu macam tu?.”

“Ayah tak perasan ke diaorg tu ada yang tak kena?.”

“Kisya…. ayah tak pernah ajar tau Kisya bersikap macam tu. Ayah malu dengan mak cik Dierja tadi!.”

“Kisya tak sedap hati dengn diaorang tu ayah…”

“Sudah jangan nak mengarut. Diaorg banyak membantu kampung semenjak tinggal di sini. Sentiasa di surau membantu malah, lima waktunya turut serta.”

“Munafik!!.”

Borhan membeliakkan biji matanya

“Munafik!! Orang munafik je yang boleh berpura-pura begitu!.”

“Kisya!!!!.” Tengking Borhan. “Siapa ajar kau bersikap begini??? Budak Akib tu?!!!”

Barulah kali ini Kisya berhenti. Dia terbayang Akib. Terasa bersalah pula dia. Tidak menyambung kata,Kisya berlalu pergi. Malas memanjangkan pergaduhan.

“Ayah tak nak tengok kau berjumpa budak tu lagi!!!” Namun Kisya telah pun masuk kebiliknya. Geramnya hati. Dari cara Dierja memandang, dia tidak sedap hati. Apatah lagi mendengar Penerangan dari Akib dulu tentang siapa Adarma dan Dierja. Walaupon hanya separuh, namun Akib telah melarang keras dirinya merapati kedua mereka.

“Aishhh!!!! Kenapa pula aku berkawan sengan orang yang mengamalkan ilmu hitam, sihir bagai ni!.”

Memang malam itu setelah nampak Akib di sungai, menyeru dengan membaca ayat yang tidak pernah didengar membuatkan Kisya marah betul. Tidak sangka jika Akib berperilaku yang sama. Namun Akib berjanji tidak akan mengulang

“Ah!! Boleh percaya ke???!” Bantal dibaling, kemudian Kisya berbaring di atas katil. Patutlah dia tidak pernah nampak Akib ke masjid apatah lagi sibuk dalam hal keagamaan. Ah! Masa tu dia buta! Masa tu dia cinta! Semua dia nampak sedap di mata!


RAIF mengira duitnya beberapa kali. Senyumnya sampai ke telinga. Hari ni ibunya Rida ke masjid ada ceramah agama. Duit itu ditabur di atas katil, penuh sehingga ke lantai.

“Kaya… pok cik kaya…” Beberapa kali Raif mencium wang kertas yang penuh. Dia bertekad untuk bekerja dengan pasangan tadi selepas habis tugas ini

Sekali lagi Raif mengulang kira. Dia sedang membayangkan kekayaannya jika bayaran lumayan ini diterima setiap kali.

“Raif!!! Raif….” pekik Akib sebaik masuk ke rumah. Tidak diberi salam, terus sahaja menjerit. Sesekali suaranya nyaring.

Akib membuka langsir bilik. Terperanjat melihat abangnya mengira-ngira di atas katil. Berkerut dahinya hairan

“Kau nampak ni??? Duit…” Raif ketawa bangga

“Errr…. mana kau dapat?.”

“Aku kerja!!!.”

“Raif aku serius. Mana kau dapat? Apa yang kau buat??.” Tanya Akib bersungguh.

“Aku jumpa orang tua yang menyuruh aku membantunya. Bila aku selesai kerja, dia bagi aku upah.”

Beberapa kali Akib melihat wajah Raif. Tidak percaya. Raif masih leka mengira wang dihadapannya walaupun sudah beberapa kali dia buat semikian.

“Raif…. kau sedar tak apa kau buat??.”

“Sedarlah!!!!.” Dia menolak Akib menjauh. “Aku dah malas nak bergaduh lagi dengan kau. Tolong tinggalkan aku sendiri.”

“Raif boleh aku tahu apa yang kedua mereka mahu?.” Tanya Akib bersungguh. Jika tidak masakan mereka memberi wang yang banyak kepada Raif.

“Adalah!!!! Sudah kau!.”

“Raif benda ni penting… aku perlu tahu…” Akib tidak mengalah. Masih lagi melihat Raif yang leka mengira daun yang disangkakan wang. Daun berwarna coklat itu penuh dia atas katil. Hanya dia sahaja yang dapat melihat itu adalah daun! Sebab dia punyai ilmu yang sama

Melihat Raif leka. Akib malas berlama-lama. Dia tidak tahu yang yang Adarma dan Dierja mahu. Pantas dia keluar dari bilik. Dia perlu jumpa Kisya

“Diaorang cari Rania….” balas Raif kasar. Langkah Akib terhenti, berpatah balik!

“Kau cakap pada mereka siapa Rania??.”

Raif mendongak menoleh adik angkatnya. “Bodoh! Kalau aku beritahu,nanti aku tak dapatlah duit ni bodoh!!!.” Raif terus sambung mengira

“Dia orang nak buat apa dengan Rania?.” Tanya Akib cuak

“Ehhh…. kau tanya aku?? Kau lebih tahu tentang diri Rania kan??.” Raif mendengus kasar. Menyambung kira duit itu kembali. Sesekali dia ketawa gembira melihat duit yang banyak. Akib kemudian menggeleng dan pergi.


Rumah ketua Kampung Kencana Sakti

“KISYA!!! Kisya!!!.” Pekik Akib dari luar rumah. Melihat gadis itu keluar dia tersengih.

“Mana mak dan ayah kau?.”

“Masjid… kau tu kenapa tak pergi?.” Perli Kisya. Kemudian dia mengajak Akib masuk

“Tak apa ke ni aku masuk. Nanti jiran nampak apa pula dia kata.”

Kisya menoleh sekeliling. Melihat keadaan lengang, barulah dia mengajak rakannya masuk. Rumah tersebut besar sungguh. Mana tidaknya, Borhan memang kaya pon. Malah Kisya anak tunggal, tentu sahaja kesemua harta diwarisi olehnya

“Rugi pula aku tak dapat nak mengurat kau.” Tawa Akib

“Diamlah kau! Kau nak apa datang sini?.”

“Haaaa nak tanya pasal….”

“Mereka balik awal pagi tadi.” Pantas Kisya menyambung. Tahu tentang siapa yang dimaksudkan Akib

“Dia ada datang jumpa kau Kisya?.”

Kisya mengangguk perlahan.

“Diaorang ada cakap apa-apa?.”

“Dierja… dia mahu aku, mahu berjumpa dengan aku.” Jawab Kisya sambil mengenakan sedikit mask wajah untuk kecantikan. Perlahan-lahan gadis itu mengurut wajah dengan kedua mata terpejam, menikmati sejuknya pudina yang bertepek di muka.

“Apa tu??.” Tanya Akib hairan

“Mask..untuk ketegangan muka. Yang ini pula untuk memutihkan wajah.” Cecair itu diambil dan diperkenalkan olehnya satu persatu. Membebel memahamkan rakannya tadi

Akib mengangguk walaupun tidak berminat. Dia hanya memerhatikan Kisya bersiap wajah. Tidak dinafikan, walaupun dengan wajah berserabut, masih lagi terserlah keayuannya. Matanya dipejam beberapa kali, Akib berzikir perlahan di dalam hati.

“Kenapa kau tak ke masjid Kisya?.” Tanyanya

“Aku uzur…. kau pula??? Tak akan alasan yang sama!!.” Marah Kisya. Masih lagi terkesan dengan cara Akib pada malam di sungai tempoh hari

“Aku berterus terang ya Akib… aku tidak akan berkawan dengan mereka yang menyekutukan Allah, aku tidak akan berkawan dengan mereka yang sengaja berbuat dosa untuk kepentingan diri.”

“Kisya….”

“Apa pon alasan kau. Yang haram adalah haram. Kau menyeru mereka yang telah m**i. Menggunakan ayat dalam keterbalikan al-quran! Apa kau fikir???! Gila ke? Kau kata kau islam??!.”

Akib diam

“Apa pon yang kau nak cakap, matlamat tak menghalalkan cara. Aku tak suka apa kau buat!! Syirik!!!.”

“Depan kami kau bersama dengan mereka yang mengesakan Allah, dibelakang pula kau menyekutukan dengan sesuatu yang lainnya. Aku nasihat sebab aku anggap kau sahabat.”

“Aku minta maaf…”

“Bukan pada aku Akib. Pada Allah. Dosa kau dosa dengan Allah…” selesai sahaja wajahnya dihias, Kisya bangun dan duduk di sebelah rakannya

“Aku nasihat sebab aku tahu. Besar dosanya apa yang kau buat ni.”

Kisya menarik tangan rakannya agar bangun dan pergi. Malam sudah larut dia tidak mahu, orang tuanya pulang dan melihat mereka berduaan di situ.

“Nanti kau ajar aku solat ya Syaaa…”

“Eh!!! Mak cik Rida kan ada. Kenapa aku pula???!.”

“Sebab selama ini aku yang enggan….” balas Akib bermuram. Banyak kali juga ibunya Rida menasihati, namun dia sahaja yang degil. Dia yang tidak mahu mengikut. Dia masih lagi dengan cara lamanya. Boleh dikatakan tidak bersedia

“M**i tak tunggu kau bersedia lah! Dah! Sekarang balik rumah kau!.”

Sebaik sampai di depan pintu rumah, kedua mereka tercengang. Borhan dan isteri sudah ada di depan. Terperanjat ya amat dia melihat anaknya berduaan antara lelaki dan perempuan.

“Astagfirullahhhhhhh….. Kisya!!!!!.” Tengking Borhan. Tidak bertanya banyak dia menghampiri, menarik kolar baju Akib. Merapatkan wajahnya. Tangannya mengepal penumbuk

“Errrr ayah… kejap… kejap Kisya boleh terangkan.”

“Nak terangkan apa????!”

“Ye pakcik saya terangkan kejap… sabar dulu, sabar….” masing-masing mereka berwajah ketakutan

“Kurang ajar betullah kau ni!!!.” Wajah Akib ditumbuk sehingga tersungkur

“Ayah!!!.” Kisya berlari mendapatkan Akib, memegang wajah rakannya. Mengusap perlahan. Tingkahnya menambah kemarahan Borhan. Bersentuhan selamba di depannya???

“Adeehhh nasib baik bapak kau yang tumbuk aku ni Kisya… kalau tak…” marah Akib terduduk

“Kalau tak, apa!!!.” Sekali lagi Borhan datang menerpa. Kedua Kisya dan Akib menutup wajah. Tidak sempat isterinya menghalang, Borhan menarik kolar baju lelaki itu. Penumbuknya diangkat tinggi….

“Ayah!!!! Akib ni perempuan!! Akib perempuan!!!.” Jerit Kisya berdiri menghalang, mendepa tangan agar ayahnya tidak tersilap langkah.

Kesemua mereka senyap, berkali-kali Borhan dan isteri menoleh mereka. Tidak ada patah kata. Hanya diam menyelubungi suasana. Kisya masih duduk bersebelahan dengan Akib. Kasihan melihat rakannya

Borhan termati kata. Namun dia tidak percaya!


Kampung Kencana Sakti

Inspektor Yusuf menghentikan keretanya di kampung tersebut. Betul-betul berhadapan dengan rumah ketua kampung. Sebaik pintu ditutup, kelihatan Borhan sudahpun berada di depan pintu.

“Tuan…. ada apa yang boleh saya bantu?.” Hairan juga dia melihat anggota polis sudah berada di depan rumahnya.

“Assalamualaikum….” Sapa Shah pembuka bicara. Agak terkesima Borhan. Mana tidaknya. Dia lupa mengucapkan kalimah suci itu.

“Waalaikumsalam tuan…” tergaru-garu kepala Borhan mendapatkan mereka. Bagaimana dia boleh lupa memulakan salam tadi.

“Maaf kan saya… ni, Encik Borhan ya?.” Tanya Yusuf sopan.

Borhan mengangguk tersenyum. “Ada apa yang saya boleh bantu?.”

Yusuf mengeluarkan sekeping gambar. Kedua pasangan itu amat dikenali. Borhan meneliti gambaran tersebut. “Kenapa ya?.”

“Errr…. ada kedua pasangan ni di kampung ni tempoh hari?.”

“Ya.” Borhan mengangguk perlahan. Masih tidak mengerti.

“Boleh saya tahu di mana mereka menyewa?.”

Borhan menerangkan tentang keberangkatan pasangan itu pagi semalam. Dan dia hanya tahu bahawa kedua mereka tinggal di kampung Pencak Data. Maklumat yang sangat sedikit!

“Kenapa ya tuan?.”

“Ada kenal ahli keluarganya yang lain?.” Tanya Shah serius dan Borhan termati kata. Dia tidak tahulah jika maklumat yang diterima itu betul atau tidak lagipun rasa bersalah pula untuk dia bercakap hal ini tanpa Akib di sisi.

“Encik Borhan….”

“Ye.. ye…” barulah lelaki itu tersedar dari mengelamun

“Boleh kita berbual sekejap?.” Tambah Yusuf. Dia perlu bertanya beberapa soalan

“Silakan…” Borhan mengajak kedua pegawai itu masuk


“HUISHHHH!!! Lebam pipi kau noq.” Dali meletakkan kain yang dituam dengan air panas. Perlahan-lahan dia menekap di wajah Akib

“Sakitnya hoiiiii…. kau buat lah perlahan-lahan Li.”

“Perlahan lah ni sayang oiiiii…” kain tadi direndam dengan air panas lantas ditekap semula

Akib mengulum senyum. Wajahnya tersipu-sipu merah

“Kau kenapa?.” Tanya Dali hairan. Akib nampak tidak seperti biasanya. Malah wanita itu tersenyum-senyum

“Tak yah lah panggil aku sayang….” dia kemudian tergelak. Dali tidak melayan. Dia terus melakukan tugasnya

“Bengkak pipi kau, tak comel dah ni Kib….”

“Aku comel ke?.” Tanya Akib masih lagi tersipu-sipu

“Comellah jugaaaa.” Dali duduk disebelah. Meletakkan kain tadi di dalam bekasnya semula. Sesekali memandang Akib yang masih merenungnya

“Kau kenapa pandang aku macam tu?.” Tanya Dali hairan. Melihat Akib menunduk, dia memegang dagu sahabatnya.

“Kau malu ehhhhh Kib….”

“Mana ada!!.” Marah Akib

“Kau malu ni…..” Dali ketawa galak. Dia menampar manja pipi rakannya. “Aku tahu kau malu…..”

“Dah! Dah! Sekarang ni kita settle hal kampung Pencak Data.”

Dali terdiam, baru sahaja dia hendak bergurau, cepat pula Akib perasan.

“Kib… kenapa kau tak kasi aku panggil nama sebenar kau?.”

“Aku belom biasa…” Akib bangun dari duduknya. Dia berjalan ke hadapan. Hari ini dia tidak nampak Kisya langsung. Hatinya hairan. Selalunya gadis itu akan datang walaupun sekejap

“Ada kau perasan Kisya tak Dali?.”

Dali menggeleng. “Kau kata kau tak ada apa-apa perasaan pada Kisya.”

Cepat Akib menoleh. Wajahnya marah. “Kau gila ke?!.”

“Aku ingatkan je… kau perempuan, Kisya tu perempuan juga.”

“Sudahlah kau! Mari kita cari dia.” Selajur Akib turun dari beranda rumah. Dali pula  mengikut dari belakang


“MANA Akibnya?.” Tanya Kisya tegas. Sudah lebih sepuluh minit Raif menyatakan tempat untuk berjumpa namun sampai sekarang masih lagi mereka tidak sampai

“Adalah dekat depan tu…”

“Sudahlah turun kan aku di sini.”

“Nanti lah!!!.” Raif meninggi suara. Dia telah dibayar, dan apa pon dia perlu bawa Kisya kepada kedua pasangan tempoh hari. Walaupon hakikatnya Raif sedar usaha mereka untuk mendapatkan Rania gagal sebenarnya.

“Raif turunkan aku! Kalau tidak aku jerit!”

“Jeritlah!!!.” Raif ketawa galak. Dia terus memandu keretanya laju. Kereta mereka keluar dari situ. Kisya menjerit kuat. Beberapa kali dia mengetuk kepala lelaki di hadapannya.

“Tak guna!!!! Lepaskan aku lah Raifff!!!!!.”

Raif berhentikan keretanya di tepi. Dia menampar Kisya sekuatnya sehingga wanita itu pengsan. Sesudah itu barulah Raif memandu semula.

PEMANDUANNYA mengambil masa hampir dua jam menuju ke destinasi. Sebuah kawasan hutan, mengikut alamat yang telah diberikan. Raif terpinga-pinga. Dia tidak melihat sebarang kampung tu di situ. Wajahnya terjengah-jengah. Sekejap-sekejap dia menunggu. Hampir setengah jam pon masih lagi tidak ada sesiapa yang datang.

Tidak lama, Raif melihat satu bayang-bayang menjelma. Bayang-bayang itu semakin terang dan akhirnya barulah Raif melihat sebuah perkampungan.

“Huishhh bunian ke?.” Tanya Raif hairan

“Bukan…” jawab Adarma yang tiba-tiba muncul dibelakang. “ kami bukan bunian. Dah lama dah tempat kami ni sebenarnya, tapi kami tutup pandangan orang luar.”

Raif mengangguk. Dia menjengah ke dalam kereta. Perkara yang sama turut dilakukan oleh Adarma

“Tuuu saya dah bawa dia…” Muncung Raif menjurus ke dalam tempat duduk belakang.

“Wang lebihnya nanti aku kasi.”

“Errr… ada kerja lagi ke?.” Tanya Raif gembira.

“Yaaa…. tugas kau mudah, cari gadis untuk kami.” Adarma segera duduk di tempat penumpang.

Raif tersenyum kemudian dia masuk ke dalam kereta semula, memandu ke dalam kawasan kampung yang baru menjelma. Tidak lama, Adarma menutup kawasan itu dari pandangan orang luar.


BORHAN tercengang mendengar kata-kata kedua pegawai tadi. Matanya tidak berkelip

“Betul ke ni tuan?.”

“Ikut maklumat, itulah yang kami terima, kampung tu memang wujud, cuma kita tak nampak.” Jawab Shah tidak bersungguh

Yusuf tersenyum mendengar kata-kata itu keluar dari rakannya sendiri. Shah tahu dia diperli lantas dia menyiku pinggang rakannya.

“Saya bukan apa… saya tak percaya benda-benda karut ni.” Borhan cuba menafikan.

“Yaaa kalau ikut kemodenan fikiran saya ni pon, saya tak percaya… cuma ada orang kata dengan saya, makluk halus ni wujud, mereka sentiasa ada.” Sekali lagi Shah menjeling ke arah rakannya Yusuf. Terpaksa juga dia mengalah apabila semua yang berlaku tidak ada bukti secara nyata. Malah dia juga meminta pendapat ustaz dan mereka juga tidak menafikan kewujudan ilmu-ilmu yang mensyirikkan Allah.

Shah menggeleng kepala apabila terpaksa menyatakan hal itu setelah beberapa kali dia menolak kemungkinan tentang perkara yang di luar logik akal berkaitan kes ini.

Perbualan mereka terhenti sebaik melihat Akib dan Dali sudah ada di depan rumah. Borhan berdiri menyambut mereka.

“Pak cik mana Kisya…” tanya Akib tanpa sempat memberi salam

“Ke kedai.” Borhan memandang wajah Akib yang masih merah di pipi. Terasa bersalah pula. Akib menoleh memandang kedua anggota polis tersebut. Dia mengangkat tangan tanda hormat

“Dari mana bang?.” Tanya Yusuf kepada Akib.

“Dari rumah..” Akib memandang Dali dan Borhan silih berganti. Malu pula rasa apabila dirinya telah diketahui

“Kami lalu kedai tak nampak pon Kisya…” terus Akib menukar topik. kepalanya beralih menoleh Borhan

“Tak akan lah… dia memang ke kedai…..”

“Kami kan dari rumah dan dah lalu kedai. Memang cari Kisya pon….” Jawab Dali keras. Kali ini mereka tidak main-main. Memang dia sendiri risau.

Akib kemudian termenung seketika. Wajahnya berkerut. Dan tiba-tiba, dia segera berlari pulang ke rumah. Sudah tentu abangnya Raif tahu. Dia teringat tentang wang yang dibawa pulang oleh Raif malam tempoh hari. Tentu ada perjanjian yang dibuat

“Eh!!!! Akib!!! Hoiiii!!!!.” Jerit Dali.

“Biasalah encik Borhan, orang muda kalau bercinta memang macam tu… kejap lagi dia pujuklah Kisya tu….” Shah menepuk bahu ketua kampung itu cuba menenangkan. Borhan dan Dali berpandangan, pegawai polis itu tidak tahu apa-apa. Jadi mereka tersenyum sahaja

AKIB tiba di rumah, dia menolak pintu bilik abangnya, selimut ditarik namun hanya bantal sahaja yang disusun berbentuk tubuh.

“Mak.. mana Raif??.”

“Di bilik dia nak… kan dia kata tak sihat??.” Rida muncul di muka pintu

Tidak membuang masa Akib terus berlari keluar. Dia mencari sahabat-sahabat di mana abangnya selalu melepak, namun tidak ada satu kelibat pon antara mereka.

“Mana ni!!!.” Jerit Akib. Dia mula rasa tidak sedap hati. Dia tahu tentu sahaja Kisya dibawa oleh Raif ke Kampung Pencak Data. Hanya itu saja tempat yang digunakan oleh Dierja dan Adarma dalam upacara mengembalikan roh


Kampung Pencak Data

Kisya dibaringkan di atas papan kayu. Lilin siap dipasang mengelilingi gadis itu. Manakala gambar anaknya Rania diletak di sebelah gadis itu

“Errrr…. Rania boleh kembali ke kalau buat macam ni?.” Tanya Raif

“Shuhhhhhhh…..” Dierja meletakkan jari telunjuknya di bibir.

Sejenak kesemua mereka diam. Seperti biasa kayu itu Adarma bawa dan letak di tengah gelanggang pemujaan. Api dipasang mengelilingi. Malam ini Adarma tidak berbaju. Hanya mengenakan ikatan di kepala yang berwarna merah. Malah wanita kampung yang lain pula berkumpul menari dalam satu irama yang tetap. Mereka berdiri, menunduk. Terkumat kamit membaca beberapa ayat yang tidak difahami.

Adarma mengangkat kedua tangannya ke atasnya. Kisya diikat. Malah sebatang kayu tinggi dipacak! Diletak kepala tengkorak lambang kebanggaan.

“Si romo menyang solo, oleh-oleh’e payung muntho, Mak adomo lo-lo lobah, wong m**i ora obah, Yen obah medheni bocah…!!!” Kedua tapak tangan Adarma diangkat lagi, mendepa tinggi. Kesemua warga yang lain bersorak sorai

Kisya membuka matanya perlahan-lahan. Dia pejam dan celik beberapa kali. Batuk beberapa kali. Melihat tangannya terikat, Kisya meronta ronta minta dilepaskan. Dia menjerit namun suaranya tenggelam oleh sorak sorai orang ramai.

“Tolong!!!!!!!!!.”

Raif hanya tersenyum. Dia malas mengambil peduli. Yang penting dia dapat duit. Berpusing-pusing kepala Kisya menoleh. Dia tidak mengenali sesiapa pon di situ.

Dierja datang berdekatan membelai wajah Kisya. Lain benar sikap Dierja kali ini. Wajah itu bengis. Tidak langsung tersengih

“Korang ni apani??? Korang ni siapa!!?”

Dierja tidak menjawab. Dia menyapu minyak dan merenjis air mengikut adat mereka sekian lama. Diikuti bacaan rasmi mereka.

“Mak cik…. kenapa buat Sya macam ni….” tangis Kisya tidak dilayan kerana mereka semua bising. Bersorak sorai. Namun tidak lama kemudian semua senyap. …

Kesemua mereka berhenti dan menunduk. Seolah-olah bertafakur. Hanya kepala sahaja yang ternagguk-angguk. Seluruh tubuh Kisya menggigil. Dia tidak tahu dia di mana. Tubuhnya tidak dapat bergerak. lain benar cara mereka semua melakukan upacara ini. melihat pisau di sebelah, Kisya menjerit meminta tolong.

Suaranya kuat namun tidak ada siapa peduli… Kisya menangis dan meraung minta dilepaskan.

Bacaan mantera mereka tetap diteruskan, bingit dan bertindih-tindih seperti langau, tidak jelas dalam berbicara, tidak nampak paras rupa, semua menunduk ke bumi, menghadap tanah.


“Jadi kita kena pergi ke kampung Pencak Data tu?.” Shah bertanya. Dari tadi dia bercakap namun kesemua mereka senyap

“Saya dah pergi dulu, tapi tempat tu kosong, tidak ada penghuni.” Masih lagi Shah bercakap sendirian. Ya! Dia memang langsung tidak percaya yang mereka akan pergi ke sebuah kampung yang dihuni oleh pengamal ilmu hitam.

“Are we serious??.”

“Shah boleh tak senyap…” tegur Yusuf

“Kita tak bawa backup ke? Beb! Mereka mungkin ada senjata?.”

Yusuf mengangguk faham. Mereka telah diberitahu dari awal pon. Malah anggota lain telah diberitahu jugs. Apabila operasi kali ini melibatkan antara kes moden dan mistik, Susah untuk dia mengagak apa akan berlaku. Kerja mereka termaktub perkara realiti. Namun sekarang, dia terpaksa berdepan dengan hal aneh seperti ini

“Ini bukan main-main. Alam ini wujud.” Ujar Akib memintas

“Bang… dah berapa lama abang terlibat dengan main silap mata ni?.” Tanya Shah memerli

“Saya nampak tua dari tuan ke?.” Tanya Akib minta kepastian. Perkataan abang tidak sesuai untuknya. Melihat pegawai itu, sudah tentu sahaja umur mereka jauh berbeza! Shah terdiam. Dia sekadar memanggil atas dasar hormat.

“Berapa lama Lagi nak sampai bro?.” Tanya Yusuf, tidak mahu kekecohan berlaku.

“Kejap lagi. Tak jauh….” ujar Akib bersahaja.

Tiba-tiba Dali ketawa. Dari awal dia menahan. Tidak sepatutnya dia bertingkah begitu dalam waktu genting, namun menganggap Akib lelaki adalah sesuatu yang sangat melucukan.

Akib menyiku lengan lelaki itu

“Apahal kau ni? Kene sampuk?.” Marah Shah. Dali menggeleng. Kemudian mereka semua senyap.


Adarma menghiris lengan Kisya sedikit. D***h yang mengalir ditadah. Dia mencampurkan dengan sedikit air lantas diminum dan dihembus ke arah Kisya semula.

“Kau akan menghidupkan Rania semula….”

Tangisan Kisya semakin kuat kedengaran namun tidak diendahkan oleh kesemua mereka. Masing- masing terkumat kamit membaca sesuatu. Kisya meronta-ronta minta dilepaskan. Dierja memeluk sisi belakang suaminya. Dia melihat Kisya tajam. Bibirnya mengulum senyuman

Pisau panjang diangkat tinggi. Adarma mendongak membaca beberapa p****g ayat. Dia tenggelam dalam ritual itu. Gayanya seperti orang yang disampuk.

“Kau akan kembalikan Rania!!!!!!” Adarma menunduk. Wajahnya menyeringai. Dia bersedia untuk menikam gadis itu….

lantas pisau itu dijunam ke tubuh wanita di baringan tadi….

Nasa Yusuf – 22.1.2018 / 17.18 – Khamis

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

14 thoughts on “#Nasa – Kembali (episode 3)”

  1. Allah… Aku ingat akib tu supersaiyan.. Akib adalah rania..
    ai kenot bren.. ai kenot eksep..
    Tasabar nak tunggu next part..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.