Hantu Dalam Badan Maktok

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua pembaca Fiksyen Shasha. Nama aku Aireen. Selama ni aku hanya jadi pembaca yang setia. Aku tak berapa pandai menulis sebenarnya. Tapi hari ini aku rasa macam nak share satu kisah yang akan aku ingat sampai bila-bila. Kisah kejadian yang aku tak pernah tengok dan alami pun sebelum ni. Kisah ni agak panjang dan aku cuba untuk pendekkan….

Kisah ni terjadi beberapa tahun yang lepas semasa arwah maktok aku sedang sakit dan berada di rumah. Maktok tu bermaksud nenek. Kami orang Penang ada yang panggil maktok. Pada satu petang, mak aku call bagitau aku yang maktok aku ni nampak macam dah nazak. Untuk pengetahuan semua, maktok aku ni dah 3 minggu terlantar atas katil sebab sakit tua. Yelah, umur pun dah cecah 80 tahun. Mak dan abah aku yang uruskan sepanjang 3 minggu terlantar.

Lepas je aku dapat call dari mak, aku terus ajak suami aku pi tengok maktok. Sebelum aku sampai, ada la dua tiga orang jiran datang dan bacakan Yassin. Aku sampai rumah mak lebih kurang pukul 11.30 malam. Aku tengok maktok tak ada apa yang pelik, boleh lagi bercakap cuma matanya pejam rapat. Sebelumnya, mak aku bagitau yang nafas maktok dah mula rasa tersekat dan nampak sebijik macam orang yang tengah nazak. Pada malam tu aku teman maktok aku sampai pukul 2,3 pagi dan memang takda apa pun yang pelik dan seram.

Keesokan harinya, macam biasa keadaan maktok. Matanya pejam rapat, badannya sebelah panas sebelah sejuk. Apa pun tak boleh makan dah. Pagi tu mertua aku datang rumah mak aku nak tengok maktok, tiba-tiba dia cakap yang maktok aku ni tak boleh dah duduk dalam bilik ni. Kena keluarkan dari bilik yang dia duduk ni. Aku dengan abah aku pun cepat-cepatlah siapkan katil dan kami bawak maktok ni keluar letak dekat ruang tamu. Mertua aku ni dapat rasa ada benda tak kena sebenarnya masa dia masuk dalam bilik tadi tapi dia diamkan jer. Lepas solat Zohor, abah aku ada panggil orang masjid datang baca Yassin. Selesai Yassin lebih kurang pukul 3.30 petang, semua jemaah masjid dah balik. Tinggal kami anak beranak jer dengan mak mertua aku ni.

Maktok aku ni masih macam biasa, tak ada apa yang pelik pun. Sebelah kanan sejuk, sebelah kiri panas. Tiba-tiba aku terpandang ada benda bergerak dalam lengan kiri dia. Benda tu berjalan dalam urat, macam ada benjolan kecik yang sedang berjalan naik ke atas bahu terus naik ke pipi dan hilang. Sesekali tangan kiri maktok bergerak-gerak macam tak selesa. Kalau bahasa utara ni orang panggil macam sedang ‘kelepiaq’ sesuatu. Banyak kali pulak tu. Dan aku dapat rasa ada yang pelik dengan maktok aku ni. Apa lagi, aku terus panggil abah untuk tengok maktok. Abah aku pun keluar dari bilik dan renung maktok aku lama-lama. Abah aku ni sebenarnya orang yang pandai dalam bab-bab mistik ni tapi dalam hal ni dia seolah-olah terleka dan macam tak perasan tentang benda ni. Abah pegang kaki kiri dan kaki kanan dan bagitahu kami ada sesuatu dalam badan maktok. Ada yang mengganggu ‘proses pulang’ maktok.

Lepas je Maghrib lebih kurang 7.30 mlm, mula lah proses nak keluarkan si menumpang ni. Abah aku minta mak mertua aku bacakan Yassin kuat-kuat dekat tepi telinga maktok. Dalam hati aku, alamak…dah terkantoi yang abah aku ni pandai dalam bab-bab ni. Aku tak pernah cerita pun kat sesiapa termasuklah suami aku. Nasib suami aku tak ada time ni sebab kena kerja. So, dia tak dapat tengok live apa yang berlaku.

Abah ambik 7 batang paku size sedang dengan buah epal 6 biji. Nasib baik masa tu ada stok buah epal kat rumah. Sambil baca ayat-ayat Al-Quran, abah lurut paku ke seluruh badan maktok, dari kanan ke kiri. Dan paku tu abah tekan masuk ke dalam epal. Paku yang pertama berjaya di tekan masuk. Ulang proses yang sama dengan paku yang kedua dan ketiga dan berjaya di tekan masuk. Sebijik epal boleh masuk 3 paku. Masa ni maktok takdak respon pun. Cuma nampak perut dia macam bernafas turun naik.

Sampai paku ke empat, aku tengok abah dah macam susah nak tekan masuk dalam epal. Berapa kali ulang nak tekan masuk tapi tak berjaya. Abah kata yang ni jenis ‘ketegaq takmau keluaq’. Kebetulan paksu aku baru sampai. Abah mintak tolong dia yang terpinga-pinga tak tau apa pun tolong abah tekan paku tu masuk.

Sama jugak dengan paku keempat, kelima dan keenam. Punyalah susah nak tekan masuk dalam epal. Berpeluh dahi depa dua. Ni lah kali pertama aku tengok benda yang tajam tapi tak boleh dicucuk atas permukaan lembut. Macam magik pun ada. Aku dah mula rasa seram dah time ni. Mak mertua aku ulang-ulang baca Yassin kuat-kuat. Dekat 2 jam jugak lah nak habiskan benda ni. Lepas je habis semua paku dah cucuk dalam epal, maktok aku tiba-tiba buang air besar. Padahal dah 3 hari tak makan minum. Mungkin maktok rasa sakit masa buang benda-benda tu tadi secara paksa. Kesian maktok. Paksu tolong bersihkan najis maktok dan ganti kain maktok.

Dekat jam 9.30 malam, ramai dah anak menantu dan cucu memenuhi ruang tamu rumah. Masa ni abah aku bagitau kalau ada yang keluar pi beli barang ke, ambil anak ke, call depa suruh cepat-cepat balik sebab abah nk buat ‘pagar’ untuk semua orang. Taknak ada yang tertinggal. Nanti susah kalo benda tu ikut balik rumah nanti. Bila semua dah balik, kami berhimpit-himpit duduk buat mcm satu bulatan. Abah suruh kami semua baca Al-Fatihah seberapa banyak yang boleh sambil tunduk kepala. Masa abah tengah baca-baca ayat Quran, aku sengaja dongak kepala sikit nak tengok abah buat apa. Haha, nak jugak ambil tahu. Abah macam buat lukisan guna isyarat tangan, aku memang tak paham apa maksud setiap pergerakan tangan dia. Macam menulis atas angin. Dia berjalan sekeliling bulatan kecik yang kami berhimpit tu sambil menulis di ruang udara. Lebih kurang 10 minit barulah kami semua boleh bangun. Abah pesan bila dah sampai dirumah, kena terbalikkan kasut. So, kalo ada yang ikut pun, sampai luar rumah saja.

Buah epal yang ada paku tadi, abah bungkus ketat-ketat dan paksu tolong pergi campak kat dalam laut tepi highway Jambatan Pulau Pinang. Masa ni aku nampak nafas maktok perlahan diperut dah makin laju. Kaki dia dah mula sejuk. Abah bagitau kami semua yang maktok akan start nazak dalam pukul 11 malam, dan akan tinggalkan kami semua lebih kurang jam 1 pagi nanti. Aku pun siap-siap nak hantar mak mertua dan anak aku balik. Sampai rumah lebih kurang jam 10.45 malam. Sempat mandi dan solat, adik aku call pukul 11.10 malam bagitahu yang maktok dah nazak. Nafas pun kuat dan dah naik ke dada. Aku siap-siap dan balik semula ke rumah mak sorang-sorang drive dalam 20 minit.

Betul ramalan abah, tepat jam 1.05 minit pagi, maktok menghembuskan nafas terakhirnya di samping anak, menantu dan cucu-cucunya. Maktok pergi dengan tenang. Dari kecik, maktok yang jaga aku selaku cucu sulung, memang aku rasa kehilangan sangat. Maktok dikebumikan pada keesokkannya jam 10 pagi. Al-Fatihah untuk maktok.

Lepas semuanya selesai, aku tanya abah apa yang dibuat macam pagar tu. Abah tulis apa atas angin, haha sibuk nak tahu sebenarnya. Abah bagitau yang tu sebenarnya “Rajah Lam Alif Jalallah”. Kalau nak tahu lebih lanjut, pembaca boleh google je, nanti jumpa lah yang di maksudkan. Abah bagitau jugak, semalam ada 4 ekor hantu syaitan yang tumpang badan maktok. Ada yang berbadan besar, ada yang berambut panjang, ada yang mencari tuan dan ada yang macam angin. Seram weh…

Bila aku tengok kejadian ni di depan mata aku, baru aku sedar dan percaya yang hantu setan ni memang wujud untuk sesatkan manusia dan suka ambil kesempatan pada yang lemah tak berdaya. Semoga kita semua dijauhi dari tipu helah syaitan yang dilaknat. Terima kasih kerana sudi membaca cerita aku. Maaf kalo cerita ni panjang dan membosankan. Semoga berjumpa lagi di lain cerita.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Aireen

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 19 Average: 4.7]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.