Hantu di Bulan Puasa

Assalamualaikum dan hai semua! Terima kasih kat admin kalau approve cerita aku ni. Ni first time aku menulis di ruangan Fiksyen Shasha ni, sebelum ni hanya jadi silent reader saja.

Sedikit pengenalan tentang aku. Nama aku Ira. Aku ni bukanlah jenis orang yang selalu nampak hantu atau syaitan ni, jadi aku pun pelik kenapa kisah ni terjadi kat aku. Kisah ni berlaku semasa aku masih bergelar pelajar di sebuah matrikulasi di utara Malaysia, senang cerita di negeri Kedah. Haa mesti senang nak teka kan sebab kat Kedah hanya ada dua matrikulasi saja.

Aku ada 3 orang roommate, masing-masing berasal dari utara jugak, jadi bolehlah nak dikatakan sekepala. Aku namakan roommate aku tu Ami, Ana, dan Ani. Bilik kami di aras 3 Blok C, berhadapan dengan masjid. Oleh sebab matrikulasi kami tu dibina di lokasi yang agak terpencil, maka ramailah pelajar yang dah tahu akan keangkeran matrikulasi kami tu. Tapi aku tak pernah nak ambil tau tentang cerita-cerita angker tu, sebab aku rasa tak penting sangat pun (eleh cakap jela penakut, haha). Last-last aku pun terkena jugak gangguan ni, padan muka aku.

Kejadian ni berlaku masa aku sem 1 di matrikulasi tu. Macam biasa la zaman muda remaja, mesti la ada pakwe kan. Orang ada pakwe, hang pun nak ada pakwe. Lepas tu result teruk, hang salahkan lecturer, kata lecturer mengajar tak faham lah, macam-macam. Bila teringat balik zaman tu, terasa macam aku nak sorok muka bawah bantal. Nasib baik aku bukan jenis yang menggatal lebih sampai hari-hari nak jumpa. Yela nak jumpa macam mana, pakwe aku tu pelajar matrikulasi lain, haha! Jadi apa boleh buat, handphone lah peneman setia. Asyik-asyik bergayut, pantang free sikit bergayut, kadang-kadang sampai ke pagi pun tak habis lagi bergayut. Makkkkkk, tengok anak mak ni, “gatai meqhela” orang Kedah kata.

Ada satu malam tu, seingat aku malam tu malam minggu, dan dalam bulan Ramadhan. Aku dan 3 orang roommate aku tengah menyelesaikan tugasan yang lecturer bagi. Bila dah siap semua, aku pun apa lagi, mula la aktiviti bergayut aku tu. Aku mula bergayut pukul 11 malam, dan aku perasan masa tu roommate aku Ana dan Ani dah mula bersiap-siap nak tidur. Depa pun malas dah nak ambil tau tentang hobi tak berfaedah aku tu. Yang si Ami pulak, belum tidur lagi. Dia pakai earphone dan melayan lagu-lagu. Aku pun mula bersembang dengan pakwe aku, tak ingat dah topik apa yang disembangkan.

Aku bersembang sambil badan aku mengiring ke dinding, jadi aku tak nampak seluruh bilik aku tu. Pada masa tu hanya lampu study aku dengan Ami ja yang terpasang, lampu bilik semua dah ditutup. Lepas dua tiga jam bergayut, tiba-tiba aku ada dengar bunyi pintu bilik dibuka dan ditutup. Aku terus pusingkan badan aku untuk tengok sapa yang buka tutup pintu ni, curious jugak aku. Aku tengok Ami tak ada di katil, rupa-rupanya dia keluar. Dalam hati aku, oh mungkin dia pi toilet kut. Aku tengok jam di skrin handphone, oiii dah pukul 3 pagi dah woiii. Nanti nak bangun sahur pulak, jenuh aku. Pagi bulan puasa ni patut dipenuhkan dengan aktiviti keagamaan macam qiamullail ka, tahajud ka, tapi aku habiskan masa dengan bergayut. Macam ni ka nak jadi muslim sejati. Ya Allah, ampunkan hamba-Mu yang khilaf ini.

Tapi lepas tu aku teruskan bergayut, haha (masa ni tak insaf lagi). Tak lama, dalam 5 ke 10 minit macam tu, aku dengar bunyi pintu dibuka dan ditutup. Dalam hati aku ingat, ohh mungkin Ami dah balik dari membuang. Aku masih lagi membelakangkan pintu masa tu. Aku pun sambung bersembang dengan pakwe aku. Tiba-tiba, aku dapat rasa bahu aku digoncang-goncang. Dalam hati aku terkejut sangat dah, apa benda pulak dok goncang-goncang aku ni. Aku pusingkan badan, rupa-rupanya Ami yang panggil aku. Tapi yang aku pelik, pucatnya muka si Ami ni. Dah kenapa pulak. Ami cakap “Wei Ira tolong teman aku pi toilet sat. Aku nak kencing tak tahan dah ni. Aku takut”. Aku naik hairan. Sebelum ni si Ami ni la budak paling berani dalam bilik aku ni, tiba-tiba malam ni dia takut pulak. Takut apa benda pulak taktau.

Tapi bila tengok muka dia yang pucat tu, kesian pulak aku. Maka aku pun dengan budimannya meletakkan handphone di tepi, dan terus berlalu ke pintu untuk teman dia ke toilet. Sebelum tu aku nak cerita sikit berkenaan lokasi toilet kami. Bangunan asrama kat matrikulasi ni semuanya berbentuk petak, dan di setiap penjuru asrama ada tangga turun ke bawah. Di setiap sisi ada beberapa bilik, dan toilet pula di tengah-tengah antara tangga dan bilik. Bilik aku ni nak ke toilet ada selang dua bilik.

Berbalik kepada cerita, maka aku pun temanlah si Ami ke toilet. Pada mula perjalanan ke toilet tu macam biasa saja. Ami pun masuk ke salah satu jamban yang ada dalam toilet tu untuk melepaskan hajat dia. Aku pulak tunggu di sinki. Bila dah siap hajat dia tu, kami pun berjalan nak balik ke bilik. Keluar ja dari toilet tu, sepatutnya kami kena membelok ke kanan untuk balik ke bilik kami. Tapi nak dijadikan cerita, mata aku ni sibuk nak menoleh ke kiri. Bila aku toleh ke kiri ja, di hujung blok kami berhampiran tangga, aku nampak ada seseorang memakai telekung sambil badan dia menghadap ke arah aku. Tapi masalahnya, sesesorang tu berdiri tegak di belakang pemegang balkoni, maknanya dia terapung-apung. Yang aku perasan, mata dia hitam legam, dan tangan dia tersembunyi dalam telekung dalam kedudukan macam orang perempuan tengah sembahyang. Dia betul-betul berdiri menghadap aku yang baru keluar dari toilet ni.

Aku yang pada mulanya pi toilet untuk menemankan si Ami ja, terus rasa nak terkencing time tu jugak. Menyesal aku tak masuk toilet kencing sekali dengan si Ami tadi. Kaki aku dah terkunci kat situ, yang peliknya mata ni dok tengok lagi lembaga tu. Selang 2 saat lepas tu aku mengorak kaki aku lari sekuat-kuatnya ke bilik sambil mulut menjerit “makkkkk, hantuuuuuuuuuuuuuuuu!”, tinggalkan si Ami yang terpinga-pinga tengok aku lari tinggalkan dia. Selipar aku pulak putus, adoi time tu jugak dia nak putus pun. Makanya aku lari sambil buang selipar. Yang aku perasan selipar aku tu dah melayang ke bawah blok.

Sampai ja di bilik, aku terus lari dan melompat ke atas katil si Ana. Ana yang tengah sedap tidur terkejut sambil terbangun. Mulanya muka dia macam nak marah, tapi melihatkan muka aku yang pucat serupa tepung gomak, dia terus kejut si Ani yang tengah tidur. Pada masa tu si Ami dah sampai ke bilik, dan dia terus cakap “ woi Ira, kuaajaqqqq hang tinggai akuuuuuu!”. Nasib baik si Ana ni macam alim sikit orangnya, dia dengan tenangnya pi tutup pintu bilik dan biarkan kami bertenang. Dia macam dah dapat agak apa yang jadi sebab dia terus ambil handphone dan pasang surah Yaasin.

Lepas dah agak bertenang sikit, aku pun menceritakan apa yang terjadi. Habis saja cerita, si Ami ni terus menyampuk. Rupa-rupanya masa dia ke toilet sorang-sorang tu, dia dah nampak seseorang bertudung putih mengendap dia di sebalik dinding tangga. Tapi dia cuma nampak kepala lembaga tu saja, dan apa yang dia nampak tu sama sebijik macam apa yang aku nampak, cuma aku nampak yang versi penuh punya. Yang peliknya, masa kali kedua dia ke toilet bertemankan aku tu, dia tak nampak pun lembaga versi penuh yang aku nampak tu.

Kami pun masing-masing terus berselubung dalam selimut, menunggu waktu sahur. Masing-masing diam membisu, mungkin terkejut dengan apa yang terjadi. Esoknya, si Ana teman aku kutip selipar di bawah blok, risau pulak aku kalau makcik cleaner pi pakai selipar aku tu. Lepas tu aku pi kelas macam biasa, nasib baik tak demam!

Lepas pada kejadian tu aku berfikir, mungkin kehadiran lembaga tu nak mengingatkan aku supaya jangan terleka sangat dengan pakwe makwe ni, sebab menghabiskan masa saja. Dan lepas dari kejadian tu jugak aku dah tak berani nak bergayut sampai ke pagi buta. Ada jugak hikmahnya, haha.

Itu saja kisah dari aku, sekian.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Ira

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 2.5]

1 thought on “Hantu di Bulan Puasa”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.