HANTU JERANGKUNG

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Nama saya Ariana(bukan nama sebenar) dan berumur dalam lingkungan 20-an. Peristiwa ini telah hampir setahun berlalu. Namun, ia masih lagi segar dalam ingatan aku sehinggalah ke hari ini. Aku telah mewarisi saka dari keluarga belah ibuku sejak umurku 15 tahun lagi. Mana aku tahu? Hal tersebut aku dapat tahu semasa aku pergi merawat dengan seorang ustaz. Tetapi, hal tersebut aku tidak mampu menafikan kerana segala gangguan yang aku terima telah bermula ketika aku berusia 15 juga.

Masih aku ingat lagi. Sewaktu aku melangkah keluar dari tandas, aku terasa seperti ada tangan sejuk yang memeluk aku dari arah belakang. Tubuhnya tak ubah seperti seorang manusia. Aku tergamam dan membiarkan sahaja. Maklumlah, usia aku masih terlalu mentah untuk berfikir yang bukan-bukan. Aku yang ketika itu dalam keadaan berwuduk hanya membiarkan sahaja sehinggalah tubuh itu pergi. Rupa-rupanya itu adalah detik permulaan kepada segala gangguan yang aku terima sehinggalah ke hari ini.

Setiap hari semasa maghrib menjelma, setiap kali aku ke tandas. Aku akan mendengar tapak kaki berderap kuat sedang mundar-mandir di luar tandas. Bukan tapak kaki biasa yang aku dengar. Seolah-olah tapak kaki tersebut milik seekor raksaksa besar. Mengapa aku berkata begitu. Kerana aku merasakan seolah-olah tandas yang aku gunakan bergegar sedikit seperti ada gempa bumi berskala kecil. Pada malam hari juga aku sering bermimpi benda-benda yang menakutkan. Orang kata jika kita bermimpi ular, maknanya dalam diam ada orang sukakan kita, kan. Tetapi, berbeza dengan aku. Itu adalah salah satu petunjuk bahawa ada gangguan dalam diri aku. Aku bermimpi menyeberangi sungai tetapi aku tidak lepas kerana telah dikelilingi oleh sang ular yang terlalu banyak. Aku juga bermimpi dikejar pontianak setiap malam sehingga aku terlalu takut tidur sendiri.

Disebabkan aku tidak tahan dengan gangguan tersebut, aku telah menceritakan hal tersebut kepada ibuku. Ibu terus menyuruh ayahku berjumpa dengan seorang perawat untuk meminta air. Perawat itu sekadar mengatakan ada benda yang telah mengekori aku. Ada jiran aku yang telah membela dan benda itu telah mengekori aku sekadar untuk mengusik. Oh, ya. Untuk pengetahuan semua. Aku mempunyai kebolehan untuk merasa kehadiran makhluk-makhluk halus. Tetapi, aku hanya tidak mampu melihat mereka sahaja. Syukur alhamdulillah. Merasainya sahaja sudah mampu membuat aku kecut-perut. Berbalik kepada cerita tadi. Aku telah diberi air yang telah dibaaca dengan ayat-ayat al-quran. Namun, mungkin Allah tidak mengizinkan untuk aku sembuh. Gangguan yang aku terima semakin teruk sehinggalah aku sambung belajar di kolej matrikulasi.

Boleh dikatakan setiap hari aku merasakan seperti diekori seseorang dari belakang. Bukan jauh tetapi terlalu dekat! Betul-betul benda itu berada di samping aku di sebelah kiri. Setiap masa. Setiap saat di sisi aku seperti seorang bodyguard. Dan aku pula terlalu naif kerana telah menganggap ia hanyalah sekadar mainan perasaan aku sahaja. Ada orang cakap tanda-tanda seseorang itu telah diganggu ialah tapak tangannya akan bergetar tanpa sebab sepanjang masa. Aku juga salah seorang dari orang itu. Aku sudah lali dengan ‘mata-mata’ yang mengawasi aku sepanjang masa. Tetapi, ada satu kejadian yang benar-benar menakutkan aku berlaku semasa aku sedang tidur.

Lebih kurang pukul 2.00 pagi, sewaktu semua orang termasuklah aku sedang terlena dibuai mimpi. Aku telah dikejutkan dengan suara orang ketawa mengilai. Terlalu kuat sehingga aku terus terjaga dari tidur dan berlari mendapatkan teman-temanku. Gangguan yang paling teruk aku terima adalah semasa aku berada di universiti. Pada malam terakhir minggu orientasi, para senior telah membuat majlis makan-makan untuk adik-adik juniornya sebagai salam ‘perpisahan’. Ketika aku dan rakan-rakan aku sedang ralit menonton persembahan nyanyian, tiba-tiba mataku terpaku melihat susuk tubuh seseorang yang sedang berdiri di balkoni tingkat dua asrama perempuan. Pada mulanya aku tidak mengesyaki apa-apa walaupun pakaian yang dipakai oleh orang itu berwarna putih dan berambut panjang. Dengan matanya yang terjojol keluar. Aku fikirkan orang tersebut sedang memakai kostum hantu.

“Apa tu?” soal rakanku sambil menunjuk ke arah ‘orang’ tersebut.

“Entah,” balasku acuh tak acuh sahaja. Namun, mata aku semakin galak melihat benda tersebut. Sehinggalah… Benda tersebut berdesup hilang dari pandangan mata aku! Segala-galanya berlaku terlalu pantas dan aku sendiri tidak menyedarinya.

Lepas majlis tu tamat, aku terus tidur dekat atas katil sebab terlalu penat. Nasib baiklah esok hari Sabtu. Dapatlah aku tdur sampai ke siang. Hehehe… Roomate aku pula kalau tidur memang suka tutup lampu. Dalam gelap, aku tersedar tatkala merasakan tangan aku seakan-akan digomol oleh seseorang. Sewaktu aku buka mata, aku terus ternampak satu makhluk bertubuh panjang dan berangka sedang memasukkan tangan aku ke mulutnya. Dia terus mengaum setelah menyedari aku telah terjaga dari tidur. Walau pun gelap, aku masih dapat melihat wajahnya dengan jelas. Ya, itu jerangkung! Cepat-cepat aku memejamkan mata semula dengan harapan makhluk tersebut akan pergi. Alhamdulilah, harapan aku tertunai dan aku terus berlari mendapatkan roomate aku yang tidur m**i. Nasib baiklah dia sudi tumpangkan aku dekat atas katilnya. Lenalah aku tidur sampai ke pagi. Esoknya aku terus demam tiga hari.

Meja belajar akukan menghadap ke arah dinding bilik. Aku kalau makan atau buat assignment memang akan duduk dekat situ. Masa itulah aku akan rasa seperti ada benda terbang dekat syiling bilik. Bila aku toleh, benda tu terus hilang. Aku nak sambung buat kerja, benda tu muncul kembali! Sampaikan aku rasa lelah dan membiarkan sahaja. Seperti kebiasaan, aku hanya akan menganggapnya sebagai mainan perasaan. Ya, aku terlalu naif. Aku benar-benar terseksa kerana terpaksa menumpang di bilik orang sekiranya roomate aku tak balik bilik. Tetapi, benda itu tetap mengekori aku walau ke mana jua aku pergi. Bukan satu. Tetapi, dua! Satu sedang berdiri di sebelahku sambil memerhati aku tidur. Satu lagi sedang berdiri di pintu. Seolah-olah ia tidak boleh mendekatiku kerana aku sedang dijaga oleh benda yang satu lagi.

Kerana terlalu takut, aku tidur di atas lantai tanpa sebarang alas hampir setiap malam supaya dekat dengan kawan aku. Sampai tulang belakang aku sakit dan hampir tak boleh berjalan. Tak sampai hati nak tidur berhimpit dengan dia tiap-tiap malam. Disebabkan aku sudah tidak mampu menahan gangguan tersebut, akhirnya aku dibawa ke perawat yang aku namakan Cik A. Dia sendiri telah mengesahkan ada saka yang sedang mengekori aku.

Dia telah meminta tempoh seminggu untuk menyiapkan segala-galanya. Kebetulan aku sedang cuti sem, maka ia tidak menjadi masalah buat aku. Namun, aku ingatkan tidak ada apa-apa yang berlaku sepanjang tempon tersebut. Ternyata aku silap! Ketika aku terjaga dari tidur, aku terasa ingin menoleh ke sebelah. Ketika itulah aku ternampak wajah kakak aku berubah menjadi nenek tua. ‘Nenek tua’ itu tersenyum menyeringai ke arah aku. Aku menjerit kuat. Kelam-kabut kakak aku tolong sapukan air yang sudah dibaca ke muka aku. Sewaktu aku meneguk segelas air, gelas tersebut tiba-tiba sahaja retak! Emak aku sendiri terkejut kerana emak akulah orang yang membawakan gelas tersebut pada aku. Mula-mula cawan tersebut elok sahaja.

Proses rawatan aku telah berjalan dengan lancar. Aku ingatkan boleh hidup normal seperti pelajar lain. Rupa-rupanya tidak. Benda satu lagi yang memang berminat dengan aku terus menggantikan posisi saka aku yang telah dibuang sebelum ini. Dia pula yang mengekori aku sepanjang masa sehinggalah tidur aku menjadi tidak lena semula. Ada satu malam kelas aku habis pada lewat malam, terpaksalah aku dengan seorang lagi kawan berjalan kaki berduaan pulang ke asrama. Ketika itulah kawan aku tiba-tiba sahaja berubah. Dia berjalan pantas meninggalkan aku seorang diri di belakang tanpa sepatah kata. Aku yang sudah mampu mengagak turut melajukan langkah. Keesokan harinya, aku terus bertanya apa yang telah terjadi. Rupa-rupanya ada satu makhluk berbadan manusia tanpa kepala sedang memerhatikan kami dari atas pokok. Nasiblah aku tak nampak.

Kali ini, aku benda yang mengekori aku terlalu besar juga berada di posisi sebelah kiri. Aku sendiri tak tahu kenapa benda-benda yang bertenggek dekat badan aku suka berada di posisi itu. Sekali lagi aku berjumpa dengan perawat tersebut. Dia mengatakan disebabkan badan aku pernah dihinggap saka, maka senanglah benda lain nak masuk. So, aku kena banyakkan berzikir kepada Allah. Patutlah masa aku naik bas, aku macam rasa ada orang duduk dekat sebelah aku. Padahal, tempat sebelah memang kosong. Aku dah buat zikir-zikir semua tu. Mungkin Allah masih lagi tak izinkan untuk aku sembuh sepenuhnya. Sampaikan aku dituduh malas hendak berzikir. Masa tu, aku betul-betul terasa. Selalai aku pun masih lagi ingat Tuhan!

Benda terus berlarutan sampailah aku habis belajar. Dan malam pertama aku tidur di rumah, aku bermimpi yang aku sedang menarik beg baju masuk ke bangunan asrama. Ketika itu, aku telah disambut oleh wajh-wajah ngeri. Dia laluan tangga, ada satu makhluk sedang memerhati aku tajam. Di sepanjang laluan nak ke bilik pula ada lagi makhluk-makhluk yang telah menanti aku di situ. Keadaan bilik aku jangan cakaplah. Suram semacam.

Akhirnya, aku bertemu dengan perawat lain pula. Aku benar-benar tidak tahan diganggu bunyi setiap malam. Ada bunyi guli bergolek dekat bumbung rumah aku. Bunyi orang tabur pasirlah. Nasi dekat rumah aku juga tiap-tiap hari cepat basi. Rupa-rupanya saka nenek aku yang lain pula yang ikut. Patutlah hidup aku tak pernah aman. Dia sendiri telah mengesahkan yang ada hantu bunian yang menemani aku sepanjang aku belajar. Dia berpakaian putih dan berambut panjang. Ya, aku pernah nampak sekali sewaktu aku ke tandas. Itupun aku ternampak dia yang sedang berdiri di bawah tangga melalui ekor mata. Berbaju putih! Sama seperti gambaran perawat itu. Setiap malam dia duduk dekat atas katil menemani aku belajar dan tidur. Alhamdulillah, dengan izin Allah aku sembuh.

Disebabkan aku masih lagi diganggu oleh ‘benda-benda’ luar, akhirnya perawat tersebut mengambil keputusan untuk mengunci badan aku dengan zikir-zikir Allah. Aku selalu merasakan benda-benda tersebut memerhati aku dari jauh. Untuk mendekati tidak boleh. Tetapi, ada pula benda lain yang kepanasa. Sementara aku menanti pekerjaan lain, aku telah bekerja di sebuah kilang di Johor. Patutlah aku bermimpi pocong. Rupa-rupanya benda itu marah sebab badan aku ada pendinding. Dia kepanasan dan mahu aku pergi. Setelah perawat itu berunding dengan makhluk tersebut, akhirnya aku dilepaskan. Lagipun, aku tidak menganggu mereka.

Dan ada satu lagi masalah yang membelenggu keluarga aku. Ayah aku memang suka simpan benda-benda yang susah nak dapat. Macam keris. Emak aku pula tak tahu keris tu dah dibaca. Dia terus simpan dekat bawah katil aku. Rupa-rupanya benda tu pun kepanasan sebab badan aku ada pendindingkan. Tiap-tiap malam aku mengingau berlari keluar bilik. Sekali lagi aku berubat. Keris tersebut terus dibuang ke sungai Muar. Perawat tu kata, bukan senang nak buang keris tu. Sebab penjaga keris tu marah dengan dia dan semalaman mereka berlawan secara batin. Akhirnya benda tu mengalah dan proses membuang keris tersebut berjalan dengan lancar.

Sekian sahaja kisah daripada aku. Oh, ya. Tumpang promote sikit. Just nak bagitau yang novel pertama aku dah berjaya diterbitkan. Kalau rajin, silakan tengok facebook karnadya x…hehehe… Genre mix iaitu seram + thriller + cinta.
p/s: gaya bahasa tulisan aku kat atas tak sama dengan gaya penulisan novel aku. Sila jangan bandingkan, ya. ^-^.

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 4.7]
Cikwriter

10 thoughts on “HANTU JERANGKUNG”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.