HANTU RAYA.

HANTU RAYA.

BERKEPUL-kepul asap yang keluar dari hisapan rokok tembakau tersebut. Kaki kanan masih lagi didaratkan atas papan pangkin.

Kelopak mata terkadang terkejip-kejip dalam menikmati rokok tembakau tersebut.

Rokok yang diperbuat daripada gulungan daun tembakau sudah tinggal separuh itu terus dibalingkan ke tanah dan kaki kiri yang berpijak pada bumi terus menghempapnya dan melenyek-lenyeknya.

Panjang helaan nafasnya saat mata terpanah pada kehadiran Usin Kerbau dan juga Nasir Joren. Dia tahu sangat apakah tujuan kedua-dua lelaki sekampung dengan dirinya itu.

“Hah! Kamu berdua ni kalau datang ke kebun aku ni, tak lainlah tu. Mesti nak minta buah durian free. Kamu berdua ingat baja-baja yang aku pakai tu free?” Tegur Tok Mamat sedikit bengkeng.

Tersengih-sengih kedua-duanya kala disergah sebegitu. Tok Mamat tetap duduk dengan kaki sebelah ternaik atas pangkin.

“Alah, tok. Apa salahnya sesekali bersedekah. Buat amal jariah,” sahut Usin Kerbau pula. Nasir Joren terangguk-angguk sambil menyengih, mengiyakan kata-kata rakannya itu.

“Sesekali? Sesekali kamu kata?” Tok Mamat mempersoal semula. Makin lebarlah sengihan sumbing Usin Kerbau dan Nasir Joren.

Dalam masa berlawan cakap dengan orang tua yang suka memakai topi petani itu. Mata Usin Kerbau sesekali pasti akan terjatuh pada bungkusan plastik berisi kulit-kulit telur. Ada yang sudah naik bau pun.

Sesekali orang tua terbatuk-batuk sambil memegang dadanya. Bila Tok Mamat terperasan pada peralihan pandangan dari mukanya ke arah plastik, barulah Usin Kerbau mengadap wajah Tok Mamat kembali.

Lalu orang tua itu pun bangun. Dia menapak ke arah bakul-bakul rotan besar berisi buah durian yang baru ‘si dia’ mengutipnya malam tadi.

“Kamu nampakkan apa yang aku nampak?” Soal Nasir Joren secara berbisik pada Usin Kerbau. Dengan mata kedua-duanya terjatuh pada kulit-kulit telur tersebut.

Usin Kerbau laju mengangguk namun bila Tok Mamat sudah mendekati mereka berdua dengan guni berisi tiga biji durian baru gugur.

Usin Kerbau dan juga Nasir Joren tersengih-sengih.

“Nah!” Ujar Tok Mamat seraya menyerahkan seguni untuk Usin Kerbau dan seguni lagi untuk Nasir Joren.

Walaupun mereka terpaksa menahan hidu dengan bau asap dan juga kulit telur yang kian membusuk, guni-guni tetap diambil.

“Terima kasihlah tok sebab sudi jugak bagi buah durian percuma pada kami berdua ni,” ucap Usin Kerbau.

“Kalau ada nak pakai orang p****g-p****g lalang. Panggillah kami. Tak pun tolong angkut durian ke dalam lori pun boleh jugak,” sahut Nasir Joren pula.

“Memang nak pakai kamu berdua jugak pun nanti bila lori Ah Hock dah balik dari Seremban. Tapi buat masa ini, kalau takat nak angkut ke lori aku. Aku masih berkudrat lagi,” jawab Tok Mamat tersenyum.

“Ouh! Kalau begitu. Kami beransurlah dahululah ya, tok. Terima kasih banyak-banyak,” ucap Usin Kerbau mewakili Nasir Joren sekali. Tok Mamat sekadar mengangguk.

Dan bila mereka berdua sudah menjauh. Dia mendongak lalu merenung langit. Dari jauh, sudah kedengaran beduk dipalu menandakan sedikit masa lagi akan masuknya waktu Asar.

Tok Mamat terus mengangkat plastik-plastik yang sudah dia ikat dengan ketat untuk membuangnya.

“Lebih baik aku singgah ke pekan sebentar. Selain telur, ada beberapa lagi barang aku dah nak dekat habis,” ujarnya yang tidak ingin berjemaah.

Tok Mamat berjalan dahulu ke arah belukar belakang pondok. Berselang beberapa minit, dia pun keluar sambil mengibas agas-agas yang mengikuti tubuhnya itu.

Tanpa mengenakan helmet. Kaki terus terangkat tinggi untuk naik ke pelantar motor berspan sedikit rabak. Kali ini asap dari eksos pula naik ke dada langit sore.

Sewaktu motor yang ditunggangi Tok Mamat melewati depan warung kopi Che Senah dan Pak Mehat. Banyaklah mata-mata yang memandang ke arahnya tanpa dia sedari.

Ini termasuklah Haji Dorani dan Haji Seleman namun tetap berbuat membaca suratkhabar. Walau telinga mereka dengar juga sosek-sosek di meja belakang mereka.

“Sampai bilalah agaknya ya?” Soal satu suara dari meja belakang.

“Bila apanya Bang Kasem?” Satu suara lagi mencelah.

“Itulah. Yang lalu depan warung ni tadi lah!” Sahut Pak Daud pula kemudian menyambung kunyahan karipap buatan Janda Seha itu. Rangup saja bunyinya.

“Tak apalah. Dia kan kuat lagi. Kau tengok sajalah kebun dia tu. Sikit punya luas tapi dia mampu mengusahakannya seorang diri. Kadang-kadang je dia panggil si Usin dan Nasir bantu dia.”

“Ye ker dia seorang? Dah ramai tahu dia tu ada ‘membela’. Sebab tu, dia tak kisah usahakan kebun durian dia itu seorang diri pun. Malam-malam ada ‘dia’ yang lain,” sampuk Bang Kasem.

Pak Daud menyengih. Dia pun bersetuju. Semua orang kampung dah tahu yang Tok Mamat tu ada ‘belaan’. Dia membela hantu raya.

“Tok Aji? Tak ada ke sebarang cara nak musnahkan belaan Tok Mamat tu. Anak aku selalu nampak. Dia dahlah suka menyerupai Tok Mamat bila anak aku dekat, mata terus bertukar ke merah padam. Manalah tak terkencing si Rehan tu. Sampai terdemam-demam lah dibuatnya!”

Haji Dorani dan Haji Seleman berpandangan. Mereka tahu soalan itu diajukan pada mereka.

“Ada tu ada. Tapi tetap kena ada tuannya jugak,” sahut Pak Mehat dari kaunter. Membuatkan ketiga-tiga orang yang rancak bersembang tadi teralih pandangan padanya.

“Dia dah buat perjanjian!”

***

“ABANG nak keluar kejap. Kemudian abang nak tengok-tengok kebun sama. Tengah musim ni, aku takut ada yang panjang tangan,” ujar Tok Mamat yang berselang-selikan dengan batuk.

“Hah, yelah abangnya. Abangnya, esok Haikal nak balik. Alang-alang tu bawalah sekali durian mengkar boleh buat sambal tempoyak dan masak lemak cili padi. Ikan patin ada tu, tadi Gayah bagi,” sahut Timah isteri pertama Tok Mamat.

“Hah, karang abang bawa. Abang keluar dulu. Tutup pintu ni sebelum tidur. Kang ada pencuri masuk pula, aniaya saja. Abang tak nak peristiwa di rumah madu kamu tu terjadi pula,” ujar Tok Mamat sekali dengan pesanan bila kejadian rumah kena pecah masuk beberapa hari sudah, di rumah isteri keduanya terjadi pula di teratak ini.

Itu pun nasib baiklah ada si Jabar. Kalau tidak, lagi susah. Tersenyum-senyum sendirian Tok Mamat yang di kala itu sedang menuruni takah-takah tangga, mengenangkan mencicit perompak berdua itu berlari bila mereka nampak si Jabar yang menjelma wujud asalnya itu.

Jejak saja kakinya ke tanah. Tok Mamat terbatuk-batuk. Agak kuat pula kali ini. Dia tertepuk-tepuk dadanya.

“Haikal, masa ayah dah nak dekat ni…” Tok Mamat bergumam. Terkekeh-kekeh batuknya sebelum berkahak.

Ptuih!

Selalunya yang selepat di tanah cecair kekuningan dan berbuih-buih tetapi kali ini, d***h pula. Biar pun tidak berwarna pekat, perasaan gelisah itu tetap ada.

Setelah puas berkahak, barulah Tok Mamat menyarungkan selipar Jepun dan menapak ke bawah rumah untuk mengeluarkan motor Honda nya itu.

Timah terdongak saat telinganya baru mendengar bunyi enjin motor.

“Hai, baru nak pergi ke orang tua ini? Hmm…” Omelnya yang masih lagi melipat kain. Timah jarang nak menonton tivi melainkan Tok Mamat ada mahupun Haikal dan keluarganya ada sama barulah dia ingin menonton bersama.

Jikalau tidak, Timah lebih menggemari mengait dan menjahit jika tiada kain-kain baju yang ingin dilipatnya.

Sementara itu, Tok Mamat masih lagi di atas motor. Dia kini sudah pun memasuki ke lorong gelap di mana kiri kanannya pula ladang getah untuk ke kebun.

Kebun miliknya terletak jauh ke dalam kerana ada sebab-sebabnya. Pun begitu, masih mudah untuk kenderaan seperti lori Ah Hock untuk sampai ke situ.

Jabar yang bermata semerah delima, nampak ‘tuannya’ itu dari balik pokok-pokok hanya tersenyum menyeringai sebelum dia ghaib.

Sebenarnya, dia sudah lama tidak menikmati keindahan tubuh Fatimah isteri kepada Tok Mamat. Walau wanita itu sudah berada di lewat empat puluh an namun tubuhnya, masih ‘bergetah’ lagi.

Dan kini Jabar sudah pun muncul di depan pintu rumah Tok Mamat. Manakala Tok Mamat pula baru saja sampai dengan plastik berisi tujuh biji telur ayam kampungnya.

Makanan kegemaran Jabar’ belaannya’.

Jabar menolak pintu dari arah bawah saja. Berdentuman pintu terbuka. Berkilauan mata merah Jabar yang sedang menyeringai itu.

Dalam sekelip mata saja kini sudah pun berada di sebelah dalam rumah ‘tuannya’ berpaling dan pintu terkatup dengan rapat semula.

Kembang hidungnya menarik haruman tubuh dambaannya itu. Dia lesap. Muncul semula dalam kamar peraduan Fatimah atau mesra di panggil Timah oleh penduduk kampung.

Timah terbangun dalam keadaan mamai-mamai pabila terasa bahunya disentuh dan ditarik agar berpusing mengadap pintu.

“Awal pula abang balik?” Namun Timah terdiam bila melihat keadaan suaminya itu. Timah turut sama teruja tatkala tangan Tok Mamat semakin menjalar ke bawah.

“Ke mana pula si Jabar ni pergi? Buah dahlah asyik gugur je ni!” Rungut Tok Mamat terpaksa terbongkok-bongkok, mengutip buah-buah durian yang baru gugur ke bumi itu.

Telur untuk jamuannya masih tidak berusik. Sedang Tok Mamat berfikir-fikir sambil terbatuk-batuk itu. Barulah dia teringatkan sesuatu.

“Aku lupa pula. Nampak gayanya terpaksa pula aku menunggunya di sini. Kalau aku balik, pasti Timah pengsan nampak suaminya ada dua,” ujar Tok Mamat ada ketikanya terasa menyesal mengikat janji dengan Jabar.

Tapi apakan dayanya. Dia juga sudah tua dan memerlukan pembantu yang benar-benar kuat dalam membantunya di kebun.

Tok Mamat akhirnya melabuhkan duduknya di pangkin pondok. Rokok gulungnya dibawa keluar dari dalam plastik lalu mancis dinyalakan.

Semerbak bau asap tembakau naik ke udara. Dia menariknya dengan sedalam yang mungkin lalu rokok berapi itu ditarik keluar dari kebaman bibir.

Asap berbentuk ‘O’ pun terbentuk hasil hembusan nafasnya. Lama mata kuyu serta lebam bawah mata milik Tok Mamat merenungi langit malam.

Kaki kanan yang tertanggal seliparnya dinaikkan ke atas lalu dia tersandar ke tiang pondok. Dalam masa yang sama, dia dapat dengar bunyi buah-buah durian yang jatuh.

Bedepap!

“Jatuh lagi tu. Aish, tak boleh jadi. Di buatnya ada yang panjang tangan habis dicurinya durian aku tu nanti,” omelnya yang laju turun dari atas pangkinnya.

Rokok gulung dikebam dengan dirinya mencari torchlight dalam raga. Membukanya lalu menapak ke arah bunyi.

“Assalamualaikum!” Sapaan dari Haji Dorani membenjatkan niat Tok Mamat.

Sudahlah dia ingin cepat. Lambat nanti orang curi durian gugurnya itu lainlah kalau ada si Jabar. Dia memang cekap buat kerja.

“Hah, ada apa kamu ke mari? Bukankah masih di surau?” Tok Mamat tetap berbasa-basi. Walau di pendengaran Haji Dorani, seperti acuh tak acuh sahaja.

“Dah pukul berapa pun. Habis dahlah jemaahnya. Kamu yang lama tak datang berjemaah, Mamat…” Jawab Haji Dorani dari atas motor dengan suara tenangnya.

“Kamu pun nampakkan yang aku ni sibuk. Kebun aku ni tengah berbuat lebat. Kalau aku tak jenguk, dah tentu-tentu habislah nanti dicuri dek orang. Budak-budak dalam kampung ini pun bukan semuanya boleh percaya,” sahut Tok Mamat.

Haji Dorani hanya tersenyum. Mata sesekali meliar ke seluruh arah. Matanya mampu menembus sesuatu yang mata kasar tidak nampak.

Bukan semuanya orang yang dapat keistimewaan itu. Tetapi benda yang dicari tiada pula selalunya memang kerapkali dia terserempak.

Dia tahu itu bukanlah Tok Mamat yang sebenar. Benda itu pun takut dengannya yang seringkali membasahi bibirnya dengan zikrullah.

“Apa yang kamu cari? Kenapa tiba-tiba saja kamu datang ke mari? Jemputan doa selamat siapa pula kali ini? Atau kamu nak beli durian aku? Berapa biji?”

“Bukan itu tujuan aku kemari, Mamat. Tapi aku rasa kau pun tahu. Malah lebih arif dari aku,” jawab Haji Dorani dan Tok Mamat terasa tersindir.

Kuat cengkaman jari-jemarinya ada badan lampu suluh yang menerangi mereka itu selain remang cahaya purnama di dada langit kermizi.

“Sudah aku katakan banyak kali kan? Kenapa ingin ditanya lagi? Lagipun dia tak kacau orang kampung pun kan? Apa yang kamu semua tak puas hati?” Tok Mamat berpaling lantas mata Haji Dorani dilawannya.

“Siapa kata dia tak kacau, Mamat. Dia kacau budak-budak balik dari surau. Gadis-gadis yang sedang tunggu bas kilang,” sahut Haji Dorani tetap tenangkan nada suaranya biarpun Tok Mamat sudah naik oktafnya.

Tok Mamat mendengus. Hal ini, tidak pula dia ketahui. Selama ini, dia sangkakan si Jabar duduk di sini saja selain ke rumahnya.

“Kau pasti ke? Jangan-jangan kerja anak-anak muda kampung. Kamu semua kalau sekali tak memburukkan aku, memanglah tak sah. Entah apa salah aku, aku pun tak tahulah…” Jawab Tok Mamat cuba menyangkal.

Haji Dorani juga menggeleng setelah mendengar penafian Tok Mamat lelaki sebaya dia itu. Malahan seperguruan pun cuma yang membezakan mereka berdua adalah ilmunya.

“Mata budak tak pernah menipu. Tambah-tambah lagi anak si Deris dengan Pak Mehat. Mata mereka dahlah macam kita,” sangkal Haji Dorani tersenyum nipis saja kerana dia tahu, Tok Mamat lebih mengetahui lagi.

“Habis tu, kamu nak buat apa? Halau aku keluar dari tempat tumpahnya d***h aku ini?” Soal Tok Mamat mulai ingin meninggikan suaranya.

“Bukanlah begitu. Aku tak berniat pun nak halau kau. Aku pun tahu, ni kampung kau jugak. Cuma aku minta kau ‘buang’ lah dia. Sampai bila Mamat? Tergamak kamu nak perturunkan ia pada Haikal? Kamu tak kasihankan dia ke? Anak bininya lagi…” Ujar Haji Dorani yang perasan pada perubahan airmuka Tok Mamat.

Tok Mamat terbatuk lagi. Sungguh dia di saat itu, sedang menahan kerengsaan di dadanya. Nafasnya juga makin sukar namun dia cuba menyembunyikan agar tidak ketahuan.

Uhuk! Uhuk! Uhuk! Uhuk!

“Tak payahlah kamu nak mencampuri urusan aku, Dorani. Kamu jaga sahajalah anak bini kamu tu. Jangan sampai ‘dia’ menyamar sebagai kamu pula nanti,” sahut Tok Mamat berbunyi ancaman.

Tapi tidak sedikit pun meresahkan Haji Dorani. Kenapa dia perlu takut sedangkan taraf dia sebagai manusia jauh lebih tinggi darjatnya daripada ‘belaan’ Tok Mamat yang asalnya seekor mawas!

Tok Mamat semakin teruk bunyi batuknya membuatkan Haji Dorani berasa kasihan pula.

“Kamu mengapa? Kalau dah tahu tak sihat kenapa berembun? Baliklah. Dah pukul berapa ni, kalaupun kamu nak bagi …” Kata Haji Dorani tergantung kerana dia malas mahu menyebut tentang ‘belaan’ orang tua itu.

Dia bukannya tidak nampak akan bungkusan plastik berisi telur ayam kampung di atas pangkin.

“Marilah aku hantarkan kau pulang. Motor kau biarkan saja di sini bukannya kau tak ada motor lain kan? Soal apa yang aku cakapkan tadi tu, kau fikir-fikirkanlah. Ini demi keluarga dan kau jugak Mamat. Umur kita pun dah senja dan bila-bila masa saja mata ini boleh tertutup buat selamanya…” Haji Dorani cuba memberi pesanan ikhlas dari hatinya sambil enjin motor dihidupkan.

“Terima kasih sajalah. Aku boleh balik sendiri. Kau tu yang pulang sekarang. Uhuk! Uhuk!” Sahut Tok Mamat lalu terus membuka langkah berpandukan lampu suluhnya.

Menggeleng Haji Dorani dibuatnya. Semua penduduk Kampung Seroja Hitam tahu sangat dengan sikap keras kepala Tok Mamat.

“Mamat. Mamat,” ujarnya yang menggeleng dan memusingkan motornya untuk keluar dari kawasan sunyi-sepi itu.

Dalam perjalanan, Haji Dorani menerima gangguan demi gangguan namun dia tetap membawa motornya dengan berhemah.

Tangisan mendayu-dayu kian menyepi pabila motornya sudah berada di laluan mula-mula dia tempuh tadi.

Sementara itu, Tok Mamat dikejutkan pula dengan kemunculan Jabar.

“Kamu dah makan? Atau kamu nak buat kerja dahulu?” Soal Tok Mamat pada Jabar berwajah seiras dengan dirinya itu. Membezakan mereka tatapan mata merah itu saja.

Jabar menyeringai dan terus membuat kerja-kerjanya. Dia sudah ‘kenyang’ dengan keenakan tubuh isteri Tok Mamat.

Tok Mamat terbatuk-batuk membuka langkah untuk kembali ke arah pangkin. Dia pula mahu pulang sebelum isterinya banyak soal pula, keesokan paginya.

***

HAIKAL masih lagi ralit merenung dada langit malam tatkala Tok Mamat muncul dengan rokok tembakau di bibirnya.

“Sudah tiba masanya, Haikal,” ujar Tok Mamat secara tiba-tiba. Haikal yang terkejut dengan kehadiran bapanya itu memusingkan tubuhnya. Dahi pula berkedutan.

Haikal terus merenung ke dalam. Nasiblah Sarina, anaknya Rica masih bersembang dengan Timah. Haikal meneguk liurnya. Dia teramat memahaminya.

Kerana itulah dia berasa malas mahu balik ke kampung. Jika tak kerana Rica dan pujukan Sarina, tidak mahunya dia ke teratak pusaka ini.

“Kau dengar tak apa yang bapak katakan ni, Kal? Bapa dapat rasakan yang masa bapak ni tak berapa lama saja lagi. Siapa lagi yang aku ada selain kamu, Kal. Kamu saja pewaris yang aku ada.”

“Tapi pak, bukankah Haikal dah bagi jawapan. Haikal tak mahu, pak. Syirik semua tu. Syirik!” Haikal terpaksa bertegas. Memang dia sudah beri jawapan, Tok Mamat saja yang cuba menidakkan.

“Yang kamu kata syirik nilah yang dapat membesarkan kamu. Menyekolahkan kamu. Membina rumah ini. Jika tidak, daripada mana bapak nak dapat duit jika takde yang membantu bapak di kebun. Kamu pun ada kerja di bandar. Kamu jangan menghina bapak, Haikal. Kamu anak bapak. Pewaris bapak!” Tok Mamat juga tidak kurang tegasnya juga.

Apatah lagi, di saat itu matanya sudah pun ternampak kemunculan Jabar. Jabar sedang tunak merenung Haikal dari bawah beranda mereka sedang berada itu.

“Atau kamu mahu dia ganggu keluarga kamu dahulu? Baru kamu nak ‘membela’nya?” Soalan Tok Mamat kedengaran seperti mengugut.

Sesekali, dia pasti akan terbatuk-batuk. Bukannya Haikal tidak kasihan dan tahu akan keadaan kesihatan si bapanya itu namun untuk menerima ‘Jabar’ mana mungkin!

Dek rasa simpatinya, laju saja tangannya menepuk-nepuk perlahan belakang dada bapanya itu.

Uhuk!

Dengan sekali dia meneran batuknya itu. Bersemburan d***h tercurah ke lantai papan berjurang itu.

Batuk Tok Mamat semakin keras.

“Ya Allah, bapak!” Menjerit Haikal bila orang tua itu secara tiba-tiba rebah ke lantai.

“Abang!!!” Timah juga memekik setelah membaling kain yang ingin dilipat. Sarina dan Rica terpaksa memimpinnya yang juga mahu rebah.

“Innalillahiwannarojiun…” Ucapan perlahan Haikal memekikkan Timah. Rica pula sudah nampak sesuatu yang menggentarkan dia sewaktu sama-sama terduduk di tepi jasad kaku atuknya itu.

Rica yang ketakutan itu dalam teragak-agak tetap berpaling lagi melalui palang-palang kayu beranda. Jabar menyeringai padanya membuatkan laju saja dia memeluk tubuh Sarina.

Sarina perasan pada tingkah Rica serta gementar tubuh itu. Tetapi rasa sedih pada kehilangan bapa mertuanya itu mengatasi segalanya.

“Abang… sampai hati tinggalkan Mah. Pada siapa Mah nak mengadu?” Timah masih lagi bersuara lirih. Dia belum boleh menerima pemergian tersebut.

“Mama…mama, Rica… Rica nampak atuk. Atuk hidup lagilah. Tapi kenapa atuk tidur pula?” Rica terpaksa mengadu secara bisikan pabila Jabar sudah pun muncul di depan jasad kaku ‘tuannya’ itu.

Mata Tok Mamat masih lagi terbeliak. Dia nampak kehadiran Jabar tetapi kekakuan tubuhnya membatasi.

“Kau masih belum wariskan aku pada dia. Aku suka dia. Aku juga sukakan anak dia. Anak dia macam kau, Mamat!” Jabar berkata-kata sambil menyeringai geram pada lelehan d***h di dagu Tok Mamat.

“Biar abang panggil Haji Dorani. Minta bantuan dia uruskan apa yang patut,” ujar Haikal lalu bangun dan berlari menuruni tangga.

Timah masih lagi meratapi pemergian suaminya itu walau jenuh Sarina memujuknya.

“Abang!!!” Ratap Timah masih lagi memeluk tubuh kaku, Tok Mamat.

“Mak… seksa bapak mak. Tak baik mak meratap macam ini. Relakan saja mak. Rina tahu mak sayangkan dia tapi mak pun tahukan Allah Swt lagi menyayangi dia,” pujuk Rina terpaksa bersuara sebegitu.

Mereka sudahlah tinggal bertiga saja sekarang ini. Barulah Timah memperlahankan tangisnya hanya sedu-sedan masih kedengaran.

“Mama, Rica nampak atuk ni mama. Atuk hidup. Tapi Rica pelik kenapa atuk tidur…” Rica pula masih lagi dengan aduannya itu.

“Ish… Rica tak baik cakap macam itu kat atuk. Atuk Rica dah tak ada kat bumi ni, tau. Shh… diam,” pujuk Sarina sesekali merasa meremang sambil menepuk-nepuk paha Rica agar tidur dahulu.

Tangan Tok Mamat secara tiba-tiba menyentuh tangan Rica tanpa ada sesiapa pun yang perasan. Dia harus ‘turunkan’ juga, dia sudah tidak dapat menanggung seksanya lagi.

Terketar-ketar tangannya menarik cincin untuk dimasukkan ke dalam ibu jari tangan cucu tunggalnya itu, tanpa Rica yang kian terlena itu sedari.

“Sarungkan! Sarungkan!” Jabar menyeringai kegarangan pada Tok Mamat yang berlinangan airmatanya.

“Maafkan atuk. Maafkan atuk. Atuk terpaksa. Atuk…” Suara batin Tok Mamat terdiam bila cincin itu sudah berjaya dia sarungkan dan Jabar semakin menyeringai.

Kini dia berada di sebelah Sarina dan Timah. Timah sehingga ke saat itu masih lagi tidak tahu akan rahsia suaminya yang satu itu. Pandai sungguh Tok Mamat menyimpannya selama bertahun-tahun.

Bunyi motor kedengaran membuatkan Sarina dengan Timah memanjangkan leher. Haikal dengan motor Haji Dorani. Di belakang mereka motor Pak Mehat membawa Haji Seleman.

“Assalamualaikum…” Sapa Haji Dorani setelah dia naik dahulu. Dia mendekati jasad kaku itu lalu melutut.

“Innalillahiwainnarojiun…” Ungkapnya lalu sambil membaca doa dia cuba menutup kelopak mata terbeliak jasad kaku tersebut.

Haji Dorani membuat isyarat ludah ke sebelah kirinya. Dia nampak kesemuanya yang cuba menduga dan memperlewatkan kerja dia nanti.

“Nak tanam malam ni juga. Nasiblah tak lewat sangat lagi. Mehat pergi cari Pak Kidol minta dia gali lubang. Kejap lagi pihak surau datang dengan membawa kelengkapan mandi dan mengkafankan jenazah.”

Haji Dorani tidak mahu melewatkannya. Haikal, Sarina dan Timah juga menyetujuinya. Sarina sebenarnya semakin terasa merinding tetapi dia tak mampu nak bersuara pada tika itu.

Berselang beberapa minit, kain bidai bagi menutup sedikit ruang mandi jenazah pun sudah tersedia. Beberapa orang terpaksa menahan hidung tanpa mahu bersuara.

Pun terpaksa menapak secara perlahan-lahan mengangkat jenazah untuk dimandikan dari beranda tempat mula-mula jasad kakunya itu, terdampar.

Yang perempuan membantu Timah dan Sarina buat apa yang patut. Rica pula tidur dalam kamar ditemani kakak-kakak saudara yang baru tiba dari Kl dan Ipoh.

“Allah!” Terkebelakang Haikal kerana terkejut bila mata terkatup arwah bapanya itu boleh terbuka lalu terjegil semula.

Haji Seleman membantu menutupinya semula. Haji Dorani menegur sosek-sosek yang sedang membuka aib si m**i agar jangan berbuat demikian. Kasihanilah si m**i.

Haikal dan Haji Dorani berpandangan saat mereka ingin mencebok daerah larangan arwah. Penuh dengan ulat-ulat kecil umpama berengga saja.

Cuba menyucinya walau ia akan ada lagi dan lagi. Namun Haikal pasrah dan tetap mengulangi cebokkannya sehinggalah tiada lagi kemunculan ulat-ulat tersebut.

Tidak ada siapa yang tahu apakah arwah masih mempunyai rahsia ataupun tidak…

Selesai urusan mandi. Kini urusan mengkafan dan solat jenazah sebelum diangkat beramai-ramai ke tanah perkuburan kampung.

***

Setelah usai majlis kenduri malam tahlil pertama dan juga selesai mengemas dan membasuh.

Haikal tidak dapat tidur lena. Apatah lagi, mengenangkan bagaimana cincin itu boleh berada di jari Rica malah boleh mengecil pula. Sesuatu yang mustahil bagi logik akal Haikal.

“Rina dah tahu ke? Kalaulah dia tahu cincin itu ‘berisi’ tentu dia marahkan aku. Aku kena tanya Haji Dorani…” ujarnya lantas terus bangun.

Berpaling seketika dan Sarina masih lagi lena. Haikal pun bangun dari atas toto dan dia ingin ke dapur.

Setibanya dia di muka pintu dapur. Keadaan dapur tidaklah terlalu gelap sangat memandangkan ada gasolin lalu dia terus menuruni tangga.

Haikal berasa dahaga.

“Buka pintu ini… buka pintu ini… Kal… Kal… bapak ni, Kal… bapak nak masuk…”

Tersentak. Terbejat rasa ingin minumnya lalu dengan perlahan-lahan, Haikal memalingkan wajah berhiaskan kedutan pada dahi dan juga lelehan peluh ke arah pintu yang rapat tertutup.

Suara itu dia kenali. Suara itu hadir dari arah pintu.

“Haikal… Haikal… bapak sejuk nak… Kal… bukak pintu… bapak lapar… kasihanilah bapak Kal… Kal… Kal…” Suara lirih mendayu-dayu malah agak menyeramkan, berjaya membuatkan kaki Haikal makin maju ke depan dan ingin membuka pintu.

“Haikal…” Ujar Tok Mamat yang hadir dengan kafan berbau tanah campur bau busuk, menegur Haikal tatkala daun pintu sudah terlapang dengan luas.

Wajah berulat-ulat itu benar-benar memeranjatkan Haikal. Lutut Haikal langsung lemah longlai sebelum dia jatuh pengsan di muka pintu.

Susuk tubuh berkafan itu kini berubah ke Jabar. Kemudian ke Tok Mamat dengan wajah bermata merah menyalanya sedang menyeringai kelaparan.

Dalam sekelip mata saja ia sudah pun bercangkung atas meja dan makan apa yang ada di meja. Haikal pula tadi memang ada membuka tudung saji dek rasa laparnya juga.

Tamat.

Hantar kisah anda ; fiksyenshasha.com/submit

CHE SENJA MERAH

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 20 Average: 4.5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.