Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.
Kami semua diam dan hanya menanti kata-kata dari Pak Seli. Tidak terluah sebarang perkataan, hanya resah berbumbungkan rumah yang bahang. Walaupun diluar cuaca sebenarnya sejuk, jam didinding juga dah menghenyak ke pukul 11 malam.
“Hurmmm… Panjang ceritanya kalau aku cuba nak bantu ni..” Keluh Pak Seli kecil.
“Tolonglah pak.. Kesian suami saya ni.. Kami suami isteri hilang punca pendapatan lepas dia jatuh sakit.. Tolonglah kami pakk…” Suara Kamilah merayu-rayu meminta simpati, air mata diseka dengan lengan baju panjang yang dipakainya.
“Aku tahu.. Hurmmmm…” Pak Seli menjentik-jentik jari telunjuk dilantai papan, dan hanya merenung kebawah. Dalam benar fikirannya kali ni, seperti diganggu sesuatu.
Didepan kami terbaring Sam atau Samir, kegelisahan berpaling ke kiri dan ke kanan. Sesekali Sam merepek-repek memarahi kami dalam bahasa Cina. Entah apa yang dituturkannya tak pula siapa-siapa yang tahu.
“Laki kamu ada buat benda tak elok ni..” Antara dengar dan tidak suara Pak Seli bercakap, ditingkah bunyi suara Sam yang sesekali melolong-lolong seperti bunyi anjing.
Wuuuuuuuuuuu…..
Wuuuuuuuuuuu….
Wuuuuuuuuuuu….
Suara Sam melolong bagaikan anjing yang menyalakkan bukit. Kamilah bangun tanpa disuruh sesiapa, hilang disebalik tirai yang memisahkan ruang tamu dan ruang dapur. Bapak mula menghimpit Pak Seli dan mencuit peha Pak Seli. Mereka kelihatan berbisik.
“Aku tahu… Tapi si Sam ni dah pergi mengangkung kat jirat Cina.. Entah apa jampi serapah dia dah pakai sampai jadi macam ni..” Aku dengar Pak Seli membalas bisikan bapak tanpa berselindung. Bapak kelihatan berbisik lagi seketika. Pak Seli mengangguk-angguk seperti memberi tanda setuju.
“Beginilah.. Kita balik dulu, malam Jemahat kita singgah lagi.. Aku nak kena tahu apa punca sampai jadi macam ni..” Bapak mengangguk mempersetujui ayat Pak Seli, Kamilah keluar dari dapur bersama dulang berisi cawan, teko dan biskut dalam piring.
“Macam ni Kamilah.. Aku datang lagi malam Jemahat ni, kita cuba lah apa yang termampu.. Berjaya atau tidak, bukan atas tangan aku, tapi ketentuan Allah.. Kalau tak berjaya, aku cadangkan kamu usaha lagi..” Pak Seli mengukir senyum dibibir. Kamilah kelihatan sedikit hampa. Mungkin dia berhajat benar agar Samir disembuhkan malam ini juga.
Hati isteri mana yang tak risau melihat suami terbaring dengan kelakuan yang luar biasa. Panggilan tak dijawab, malah melolong-lolong seperti bunyi haiwan.
“Jamahlah dulu air dan biskut buat alas perut..” Kamilah dengan tenang mula mempelawa kami menjamu makanan.
“Maaflah, aku terpaksa tolak.. Ada pantang larang dan tertib yang perlu dijaga jika aku dah berniat nak membantu kamu sekeluarga.. Bukan aku sombong, tapi inilah pantang larang kami.. Aku harap kamu faham..” Pak Seli menolak pelawaan pencuci mulut dari Kamilah.
“Hurmmm.. Saya faham.. Tak mengapalah..” Kamilah membalas dan menundukkan wajah.
“Khamis malam Jemahat, aku datang lagi.. Tak perlu sediakan apa-apa.. Mandikan dia dulu sebelum rembang petang.. Air mandiannya jangan dibuang..” Pak Seli memberi arahan lagi, berdiri dan mengamit aku dan bapak untuk keluar. Kamilah mengangguk tanda faham dengan arahan Pak Seli, dan mengiringi kami hingga ke muka pintu. Tangan dilambai-lambai menghantar kami pulang.
Aku menoleh beberapa kali, dan membalas lambaian Kamilah. Bapak tiba-tiba berdehem beberapa kali disebelah. Memberi sindiran dalam dehem yang dibuat-buat. Motorkar dihidupkan dan kami mula meninggalkan perkarangan rumah Samir.
“Panjang cerita kalau nak dibantu budak Samir ni..” Keluh Pak Seli memulakan perbualan. Bapak hanya diam dan menumpukan pandangan pada jalan raya.
“Kenapa Pak?” Aku tanya dalam keadaan sepontan, teruja nak tahu titik dan tolak perkara yang dah berlaku pada Samir.
“Yang aku nampak, dia ni bukan pergi mengangkung je.. Dia ada puja semangat.. Seru jin tanah, seru semangat-semangat hutan, supaya dapat memberi dia nombor atau kekayaan yang dia nak.. Dia tolak kekuasaan al-Malikul Mulk sebagai yang teratas dari segalanya..” Pak Seli membalas ayat aku. Aku mengangguk-angguk, tak hairanlah kalau rumah dia paling besar dalam kampung ni.
“Kamu tahu, Rip?” Pak Seli menoleh kebelakang dan melihat muka aku.
“Tahu apa pak?”
“Kalau mata kamu telus seperti apa yang aku nampak.. Badan dia dah macam segumpal kain yang dah terlalu banyak lubang.. Merata jin duduk dalam badan.. Nyawa dah dihujung tanduk!” Aku cuba bayangkan kata-kata Pak Seli, mungkin Pak Seli maksudkan sepan pencuci pinggan mangkuk. Banyak lubang terpelohong disana sini. Benda kecil je ni, buang jelah semua jin-jin tu. Selesai masalah!
“Tak semudah yang kamu fikirkan, Rip..” Pak Seli dapat membaca fikiran aku, berderau d***h aku dibuatnya.
“Kalau semua dibuang, ada akibat yang lain pulak yang mungkin berlaku.. Bergantung pada semangatnya untuk hidup.. Kalau kuat semangatnya untuk hidup, hiduplah dia.. Kalau tidak.. Hurmmmmm..”
“Kalau tak, jadi apa pak?” Polos pertanyaan aku.
“Kalau tak m**i, dia jadi gila!” Pendek dan ringkas jawapan Pak Seli, menjawab segala yang bersarang dalam benak aku.
Pak Seli diturunkan didepan rumahnya. Dan kami beransur pulang, menjamah tangga rumah menjelang tengah malam. Bapak kedalam dan mengaji malam seperti selalu, meninggalkan aku yang terbuai-buai dengan alunan tarranum bapak sebelum tidur.
Menjelang pukul tiga pagi, saat tidur dah menjadi nyenyak, tingkap bilik aku digegar. Punyalah kuat gegaran, sampaikan jam dinding yang aku gantung, jatuh ke lantai. Aku tersentak dan bangun, bingkas menyalakan lampu dan tertegun melihat tingkap bilik aku yang masih lagi bergegar-gegar.
Pintu bilik aku diterpa dari luar, dan bapak yang muncul juga terpaku melihat keadaan tingkap bilik aku.
“Arip, kau ambil keris yang aku selit kat alang dapur, lekas!” Bapak bagi arahan. Berlari aku ke dapur mencapai keris yang dikatakan bapak. Dalam keadaan yang masih gelap, aku kembali semula ke bilik. Bapak sudah bersedia dengan kuda-kuda, Kesepuluh jari kakinya dibuka, dan mencengkam lantai papan rumah.
Keris bertukar tangan. Pantas bapak tolak aku ke sisi dengan tangan kiri, aku berundur lagi beberapa tapak ke belakang, risau jika dilibas dengan keris, kalau bapak mengamuk.
“Kalau baik yang datang, baiklah aku sambut. Tapi kalau geruh yang muncul, aku tak lari!” Keris digenggam kejab dengan tangan kanan. Diulir kiri ke kanan sebelum disisip dibahagian kanan pinggang, bagaikan akan meradak cula sesiapa yang berada didepan.
Tiba-tiba tingkap terkuak sendiri bersama serbuan angin yang masuk menerpa muka. Terbang kertas-kertas lirik lagu yang aku letak diatas meja. Bekas menampung pen dan pensel tumbang, kalender didinding juga melayang.
Angin yang masuk seakan-akan pergerakan puting beliung berskala kecil. Hanya berpusar-pusar dan statik didalam bilik aku. Tidak bergerak keluar, atau menambah masuk.
Bunyi angin bersiul-siul memenuhi segenap bilik aku. Dan lampu bilik mula berkelip-kelip, seperti berlaku gangguan mahluk halus.
“Innahu min sulaiman, wa innahu Bismillahirohmanir rohim… Alla taklu alayya wa’ tu nii musliminnnn…” Bergentar hati aku mendengar sebutan jelas bapak.
“Laqod jaaaaa akum rosullun, min an fusikum..” Dengan nafas ditahan, bapak lepaskan penerajang kaki kanan kedepan menendang diangin yang masih lagi menerpa masuk.
BRAKKKKKKKKK!!!!
Bunyi benda terkopak!
Habislah.. Terkopak lagi tingkap bilik aku.. Untuk kali kedua tingkap bilik aku tertanggal, kalau tertanggal lagi malam ni! Dulu tertanggal dilempar b**i hutan, semasa serangan mawas. Kali ni terkopak lagi diserang angin yang entah dari mana.
Angin berhenti secara tiba-tiba. Kertas yang tadi melayang-layang ditiup angin, berulir-ulir sebelum jatuh ke lantai.
Aneh!
Tingkap bilik aku tak terkopak, dan masih kekal seperti sebelum dirempuh angin. Bapak menerpa ke tingkap dan menjengah keluar. Suara terkekeh-kekeh mula ke dengaran. Aku beranikan diri menjengah disisi bapak.
Nun jauh dihujung kegelapan, aku nampak susuk berbaju seperti pakaian tradisional yang dipakaikan pada mayat bangsa Cina dizaman Dinasti Cing. Dalam sekelip mata, dia melompat dan hilang dari pandangan. Hilang bersama satu raungan panjang jauh dihujung kampung.
“Sudah! Dipermainkan syaitan, malam ni!” Bapak mendengus kasar. Aku ditolak ke tepi daripada terjengah-jengah. Bapak kembali merapatkan dan menutup tingkap.
“Baca apa-apa yang patut sebelum kau masuk rumah, sebelum kau nak tidur.. Takdelah benda merepek-repek macam ni, ikut balik!” Bapak memalang tingkap bilik aku menggunakan keris beberapa kali sebelum keluar meninggalkan aku.
***
Khamis malam Jumaat tiba dua hari kemudian, malam yang aku kira istimewa, kerana Uda juga turut serta setelah diberikan keizinan.
Kami sampai ke perkarangan rumah Samir menjelang Maghrib, perintah Pak Seli mudah, Maghrib dan Isyak perlu berjemaah dirumah Samir. Rumahnya besar tetapi gelap kerana sudah lama tak didendangkan bacaan ayat suci. Turun motorkar dalam keadaan masing-masing ‘mesti’ sudah berwuduk.
Rumah Samir mesti dipijak dengan langkah kanan. Agak banyak juga petua yang perlu diturut, kali ni. Contohnya macam pakaian, harus bawa satu persalinan, baju yang kedua disimpan dengan tetulang menghadap keluar, ada yang pelik, ada juga yang lucu, kami tak dibenarkan untuk memakai minyak pada rambut. Rambut Uda ‘kembang setaman’ sebab tak dikenakan minyak. Dua tiga kali aku ketawakan rupa rambut Uda.
Kamilah menyambut kedatangan kami dengan wajah yang cemas. Dari yang aku faham, katanya Samir sudah mula menghempas-hempas badan sebaik sahaja sebelum dimandikan. Katanya lagi air tadahan mandian juga cuma dapat ditadah separuh sahaja. Pak Seli mengangguk-angguk mendengar penerangan Kamilah dan memerintahkan Kamilah untuk menyediakan tikar untuk kami berjemaah diruang tamu.
Bersambung gais.. Relax gais.. Lama lagi nih.. Agaknya seminggu baru habis.. hihi.. Esok aku sambung haaa…
Dapatkan E-book Pusaka 2 gais. DM aku untuk tahu lebih lanjut, ‘dengan pantas’ aku reply (kalau aku tak sibuk ler.. hihi)
Link untuk DM aku ada dibahagian komen, klik pautan dan tekan ‘mesej’.
Terima kasih. Xoxo
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Sila sambung lagi, menarik…
Wah, menari kisah seram ni.
Terima kasih En Arif Yahya…msh sudi luangkan masa di Fiksyen Shasa ni.
Akak berminat utk dapatkan E-book Pusaka 2.
Terima kasih En Arif.
Bagaimana saya boleh hubungi kak mimi?
Nak e-book pusaka 2
Nape aku tak jumpa pautan hmmmmmmmmmmmm
karya si dia semestinya tak pernah mengecewakan
Macam mana nak beli e book tu..Tq
En Arif,
Mcm mana saya nk dapatkan E-book pusaka 2? boleh contact saya di [email protected]
En arif mcm mana saya nak dpt kan e-book pusaka 2
Boleh contact di [email protected]
Nak e-book pusaka 2