Hanuman Gunung Bahagian 5

Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.

Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan episod 4

“Huh! Kau tak tahu.. Berapa kali aku terkentut.. Belum kira melatah lagi.. Eh! Itu belum kira lagi, masa nak kopek tu.. Ayam nak berkokok bagai kat reban belakang rumah.. Naik hangin jadinya!” Uda nampak terganggu semasa bercerita.

“Ohhhh.. Sebab tulah kau hambat ayam Pak Seli pakai penyapu? Sebab kau masih marah? HAHAHAHA…”

“Semalam, apa pulak jadi kat bawah? Siap ada bunyi petir sampai tiga kali.. Bunyi langsuir mengaruk, segala macam bunyi keluar..”

“Mana ada bunyi-bunyi tu.. Aku tak dengar apa pun..” Aku kemudian menceritakan segala kejadian pada Uda, terkekeh-kekeh dia ketawa bila sampai ke bahagian ekor yang dicabut bapak.

“Ohhh.. Patutlah aku nampak bapak kau bawak benda naik, aku ingatkan tali kapal ke apa.. Mengerutu warna coklat macam tali kapal.. Hahaha..” Bapak mula menjengah kami dibelakang, diarahkan untuk mandi dan bersiap untuk Maghrib berjemaah. Kami diarahkan untuk tidak bergerak terlalu jauh dari rumah, bimbang jika berlaku insiden buruk dan kami sendirian.

Sepanjang malam dihabiskan dengan bacaan ayat suci, diteruskan hingga sahur sebelum tahrim Subuh dan bersolat Subuh berjemaah dirumah Pak Seli. Entah berapa kali aku nampak Uda tersengguk-sengguk mengantuk. Aku sendiri berperang dengan mengantuk yang berkunjung sekitar jam empat ke lima pagi.

Pintu depan tidak ditutup seperti sengaja ‘mengundang’ tetamu datang. Dan kami berempat menghabiskan bacaan Quran diruang tamu rumah Pak Seli.

Ini, kalau takde pengajaran yang ‘hebat’ dari insiden ni. Tak tahulah.. Gumam aku sendiri dalam hati.

Aku fikir mengantuk disebelah malam sudah hebat, rupanya mengantuk disebelah pagi, saat ayam sudah berhenti berkokok jauh lebih hebat. Berdiri sebentar tak buat apa-apa pun boleh terlelap. Sudah dua malam kalau campur malam pertama dirumah arwah Samir, hidup dalam keadaan macam ni. Nasib baik puasa putih tiga hari sahaja, kalau seminggu. Reput juga badan aku!

Masuk hari kedua, aku perasan Uda dah mula bercakap sendirian dengan cangkul, pencakar tanah, pongkes, unggun api, dan macam-macam lagi. Adakalanya lucu, adakalanya membimbangkan juga kelakuan Uda. Macam pesakit jiwa, tapi aku faham.. Uda cuma nak mengelakkan mengantuk sahaja.

***

Azan Maghrib hampir berkumandang, kami dah bersiap-siap untuk bersantap nasi putih sekepal dan air kosong secawan, sementara menunggu masuknya waktu berbuka.

“Hah, Rip.. Mana kawan kau?”

“Ada.. Tadi dia kata nak ke tandas belakang, sakit perut agaknya..”

“Hurmmmm..” Bapak berpuas hati dengan jawapan aku dan mengangguk-angguk.

ALLAHU AKHBAR..

ALLAHHHHHHU AKHBAR..

Azan Maghrib sudah dilaungkan, tapi bayang Uda masih tak kunjung tiba. Kemana pula budak si Uda ni pergi?

“Arip, kamu pergi jengah kawan kamu tu.. Lama sungguh dia berak.. Sakit perut betul tu agaknya..” Pak Seli yang bersila didepan juadah berbuka, mula memberi arahan pada aku.

‘Leceh betullah dia ni.. Kita ni dah lah lapar..’ Gumam aku sendirian, sambil bangun dan ke belakang tanpa banyak soal.

“Udaaaaaaa….”

Takde respon

“Udaaaaaaaaa….. Mana kau?”

Pintu jamban yang terletak diluar aku kuak, kosong! Selipar Uda ada diluar, jamban Pak Seli disediakan terompah didalam. Haruslah tinggalkan selipar diluar.

Mana pula budak Uda ni. Tak berpuas hati aku berpusing sekeliling, cari Uda. Uda ni bukan betul sangat, kalau dia dah takut. Lari keliling jamban dengan tuala saja pun dia sanggup!

Lima minit terpusing-pusing, aku masuk semula kedalam dan maklumkan pada bapak. Sepontan bapak aku dan Pak Seli bingkas bangun.

“Mari kita ke belakang!” Pantas Pak Seli bagi arahan. Aku capai nasi kepal dan suap ke mulut, aku teguk air barang menghilangkan haus ditekak, dan aku capai lagi sekepal, bungkus dengan suratkhabar Utusan Zaman yang ada dalam lingkungan dan simpan dalam saku baju Melayu yang aku pakai.

Hujan tiba-tiba menderu-deru datang bersama angin bagaikan nak ribut. Bergetar-getar atap zink rumah Pak Seli macam nak tercabut dek kerana kuatnya tiupan angin.

Bapak capai keris peninggalan tok dan disisip didepan pinggang. Aku juga capai keris hadiah Cikgu Jakpar dan sisip dibelakang. Kami berjalan hingga ke dapur, dan Pak Seli berhenti diruang antara dapur dan laluan ke ruang tamu.

Pak Seli selak kayu galah yang disorok diantara alang rumah.

Tombak!

Ya! Inilah tombak hadiah pemberian Panglima Beting Beras Basah, kepada Pak Seli, selepas mereka bertarung semasa muda dulu. Kami berjalan hingga ke muka pintu belakang. Pak Seli berdiri dan diam, menghadap hujan dan ribut yang sedang ‘mengamuk’ diluar.

Tangannya ditadah sebelah manakala sebelah lagi mengenggam tombak.Apa biji butir doa yang dibaca, tak dapat aku dengar ditingkah bunyi ribut dari luar. Basah baju kami dek tempiasnya hujan.

Doa diaminkan, tangan diruap ke muka dan dengan sekali hentakan tombak ke lantai bersama satu bunyi seretan yang panjang, HUJAN BERHENTI!

“Mari! Usah ditunggu lagi!” Bapak dan Pak Seli melangkah serentak dengan kaki kanan, bersama selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar.

Kami berdiri dilaman belakang, berhadapan jamban empat segi yang disimen lantai luarnya. Entah apa yang ditunggu, tak dapat pula aku pastikan. Agak lama kami disitu, bapak dan Pak Seli hanya berdiri diam dan bertafakur. Hinggalah sekonyong-konyongnya, kabus yang sama seperti kelmarin datang menutupi kami lagi, ‘kabus puaka’ dari selatan.

Dua tiga kali aku terbatuk-batuk, dek tebalnya kabus. Kabus hilang dibawa angin, dan kami kembali lagi ke pokok tunggal yang ganjil berlatar belakangkan dua buah bukit besar.

Uda menyambut kedatangan kami dengan pemandangan yang menyedihkan, dia sedang diikat didepan pokok. Hampir sahaja aku berlari dan mendapatkan Uda, tapi ditegah bapak.

Pak Seli membongkok, mengambil dan mengenggam pasir dihujung kaki kanan. Dibawa ke mulut, dibacakan sesuatu sebelum dilontar kedepan.

Bermacam rupa mahluk kacukan jin dan haiwan mula kelihatan. Badak sumbu bertanduk dua, harimau, kuda separuh manusia, manusia berkepala serigala juga ada. Jika dihitung, tak kurang dari 40 jenis, ada yang serupa ada juga berbeza.

“Nampak tu? Memang dia umpan kita masuk sini, untuk dihabiskan.. Tapi mereka lupa.. Soalnya tiada kekuasaan yang lebih besar dari kekuasaan Allah..” Bapak bercakap pada aku, aku kerling pada bapak. Bapak sudah berpakaian perang seperti tempoh hari! Entah bila dia bertukar pakaian.

“HAHAHAHA… KAU SUDAH DATANGGGGG!!” Pekikan suara seperti guntur dari arah bukit, mula bergema!

“Kau takkan mampu mengalahkan aku! Disini.. Akulah yang berkuasa diudara, didarat dan diair!” Sekali lagi dia mendabik dada, angkuh dengan ‘kedewaan’ diri.

Pak Seli sekali lagi mengangkat tangan dan berdoa..

“Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah, “Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung”

Fa in tawwalau, faqul hasbiAllahu la illa ha illa hu, tawwakaltu wahu wa robbul arsyil adzimm..

Bergentar hati kecil mendengar bacaan Pak Seli.

***

Tamat bacaan ayat, bahu aku ditepuk dua kali dari belakang. Sepontan aku menoleh.

PANGLIMA BETING BERAS BASAH!

“Apa khabar, Arif?” Tangan dihulurkan menjadi salam.

“Khabar baik, Panglima..” Kami saling berjabat tangan, dia juga menghulurkan salam pada bapak.

“Ada tugasankah hari ini?” Aku hanya tersenyum memandang Panglima gagah berwajah mirip Allahyarham Mahmood June yang setinggi tujuh kaki, didepan aku. Dia bergerak menghampiri Pak Seli. Meremang-remang rasa yang naik dengan aura Panglima.

“Serahkan pada hamba tombak tuan hamba..” Tuturnya berhemah pada Pak Seli, tombak kemudian bertukar tangan.

“Salamun qawlan min robbi rohim!” Panglima mula mengambil tombak, tombak ditimang beberapa kali dengan tangan kanan, perlahan-lahan bertukar dan bercahaya warna kuning keemasan, sebelum direjam meluncur diudara.

ZUPPPPPP!

Tombak meradak didada, tembus tak kurang tujuh atau lapan jin berwajah kacukan. Bersama meluncurnya tombak diudara, Panglima Beting Beras Basah juga hilang.

‘Hilang dan muncul’ dibeberapa tempat, dua kali tertangkap dek pandangan mata aku, jin sudah dijulang dan dicengkam hingga pecah tengkorak dengan tangan kanannya.

“Arip, dengar baik-baik.. Aku nak kamu azan tiga kali.. Habis azan ketiga, jangan tunggu aku dengan bapak kamu, pergi selamatkan Uda.. Kemudian aku nak kamu berpatah balik dan bertahan dirumah aku!”

Belum sempat aku nak tanya, macam mana nak balik.. Bapak dan Pak Seli dah melangkah dan hilang dalam keributan perang didepan.

“Arippppppp… AZANNNN!!” Aku dengar suara Pak Seli melaung dari jauh.

Bismillahirohman nirohim

Lillahi ta’ala..

ALLAHU AKHBAR..

ALLAHHHHUUU AKHBAR!

Azan sebanyak tiga kali aku tamatkan dalam perang yang tingkah meningkah, busar panah bersimpang siur dan suasana ribut didepan. Suasana yang sungguh luar biasa dan ‘luar binasa’.

Beberapa kali pancaran kilat dilepaskan Pak Seli. Sesungguhnya pada malam ini, dua orang yang aku kenali ni, langsung tak sama dengan mereka yang aku kenal sepanjang hayat aku sebelum ni, atau mungkin sahaja ini ‘pertemuan batin’ sama seperti tempoh hari, apa-apa sahaja boleh berlaku. Bertuahnya aku dapat turut serta menyaksikan dengan ‘mata kepala’ aku sendiri!

Uda berlari kepada aku saat azan tamat untuk kali ketiga. Entah macam mana dia terlepas, kira bernasib baik juga. Sebab kalau dikira-kira didepan pokok tempat mengikat Uda, masih ada dua lagi jin dengan rupa ganjil masih mengawal pokok.

“Uda, kita kena keluar dari sini..”

“Ya.. Ya.. Tapi macam mana?”

“Macam mana kita datang, macam tulah kita balik!”

“Yelah.. Macam mana?”

Macam mano pun, kono keluar jugak yo.. sobab coghito kono bosambung.. koghang diskas la samo sendighi, koghangkan ghamai.. Sementagho den nak poie makan-makan.. Lotih nengok an Udo puaso mutih..

Eh, semalam koghang komen polik-polik, den kono bising dongan bontagho guru.. komen la kando adindo ko, baghulah nampak macam Panglimo.. kahkahkahkah.. esok den sambung yo? Maaplaaa..

Muahciked!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Dapatkan E-book Pusaka 2 gais. DM aku untuk tahu lebih lanjut, ‘dengan pantas’ aku reply (kalau aku tak sibuk ler.. hihi)
Link untuk DM aku ada dibawah, klik pautan dan tekan ‘mesej’.

Terima kasih. Xoxo!

#Pusaka2 #Arifyahya

Leave a Comment