Baru sahaja aku selesai merapikan sejadah selepas solat Maghrib, telefon pintar di atas meja bergetar hebat. Aku sengaja biarkan seketika, kononnya mahu menjaga adab selepas beribadat, padahal hati sudah melonjak mahu melihat notifikasi. Aku masih menggunakan model lama yang skrinnya sudah retak seribu, namun nada deringnya aku setkan bunyi telefon paling mahal di pasaran. Biasalah, mahu menutup rasa rendah diri di hadapan rakan sekerja di pusat bandar Kuala Lumpur ini.
WhatsApp daripada Zaki, kawan baik sejak zaman matrikulasi.
“Pree tak? Jom dinner. Tempat biasa tutup malam ni sebab ada kenduri.”
Aku membalas pantas, “On. Kau cari port baru, aku gerak sekarang.”
Aku bersiap ringkas. Jersi bola, seluar sukan, dan sedikit semburan wangian murah sekadar mahu menutup bau peluh. Aku turun dari flat tingkat lima yang aku kongsi bersama empat penghuni lain. Motosikal kapcai kesayanganku yang lampu belakangnya kadangkala hidup kadangkala mati menjadi teman setia.
10 minit kemudian, Zaki menghantar lokasi. Sebuah restoran yang terletak di pinggir taman perumahan lama, berdekatan dengan deretan kedai tayar. Aku pelik, sudah setahun aku tinggal di kawasan ini, kenapa aku tidak pernah perasan ada restoran sebesar ini?
Restoran itu sangat meriah. Cahaya lampunya terang-benderang, penuh dengan pelanggan dari segenap lapisan umur. Aku meletakkan motosikal betul-betul di bawah lampu jalan supaya senang Zaki nampak.
Aku memilih meja di sudut luar yang agak tersisih sedikit. Meja itu masih kotor dengan sisa makanan. Aku memanggil seorang pelayan wanita mungkin baru belasan tahun untuk membersihkannya. Sementara menunggu Zaki, aku memesan Teh Tarik Kaw dan Mee Rebus.
Sambil menunggu, mataku meliar memerhatikan hiasan restoran tersebut. Ada skrin gergasi menayangkan perlawanan bola sepak ulangan. CCTV dipasang di setiap sudut. Di kaunter bayaran, berdiri seorang lelaki separuh umur yang memakai lilitan kepala. Matanya sangat tajam, memerhatikan setiap pelanggan seolah-olah sedang menghitung sesuatu.
Zaki sampai beberapa minit kemudian. Dia nampak sangat lapar. Tanpa bertanya, dia terus menyambar teh tarik aku yang baru sampai dan meneguknya separuh.
“Fuh, lega! Sedap air ni, Akmal. Lain macam rasa dia,” kata Zaki sambil tersenyum puas.
Tiba-tiba, kedengaran sayup-sayup suara azan dari surau berdekatan. Pada saat laungan “Allahuakbar” yang kedua berkumandang, satu bunyi yang sangat dahsyat menerpa telingaku.
“HARRRRGGGHHHHHH!!!!”
Satu jeritan wanita yang sangat kasar, garau dan penuh amarah bergema dari dalam restoran. Aku tersentak sehingga hampir terjatuh dari kerusi. Aku memandang ke arah punja bunyi di atas rak TV yang tinggi di dalam kedai.
Mataku terbeliak. Di atas rak itu, aku nampak satu lembaga hitam yang sangat besar, berbulu lebat, sedang duduk mencangkung dengan mata merah yang menyala. Ia seolah-olah sedang menutup telinganya daripada mendengar suara azan.
Peliknya, Zaki di depanku tetap tenang memesan makanan. Pelanggan lain juga bersikap seolah-olah tiada apa yang berlaku. Malah, tuan kedai di kaunter tadi tiba-tiba berpaling dan merenung aku dengan pandangan yang sangat benci, seolah-olah dia tahu aku “nampak” apa yang dia sorokkan. Tiba-tiba, volume TV dikuatkan dengan maksima, menenggelamkan terus sayup-sayup suara azan tadi.
Hati aku sudah tidak tenang. Aku tidak boleh duduk di situ walaupun sesaat lagi.
“Zaki, aku… aku sakit perut sangat ni. Tak tahan dah. Aku balik dulu, kau makanlah!”
Tanpa menunggu jawapan Zaki, aku terus menyambar kunci motor dan berlari. Badan aku menggigil. Peluh dingin mula membasahi dahi. Aku menghidupkan enjin motor dan memulas minyak sekuat hati.
Sewaktu aku menolak motor keluar, aku dapat rasakan lampu jalan di atas aku bergoyang hebat, seolah-olah ada sesuatu yang berat baru sahaja melompat ke atasnya. Aku tidak berani mendongak. Aku terus memecut.
Di tengah jalan, motor aku tiba-tiba menjadi sangat berat. Aku memulas throttle sehingga habis, tapi motor hanya bergerak perlahan seperti membawa beban 200kg. Melalui pantulan lampu jalan, aku ternampak bayang-bayang di atas jalan raya. Bayang motosikal aku bukan ditunggang seorang, tetapi ada satu lembaga yang sedang bertenggek di atas bahu aku, kepalanya besar dan tinggi.
Aku nekad. Aku tidak akan bawa benda ini balik ke rumah. Aku mencari arah suara azan tadi. Sebaik sahaja aku nampak pagar surau, aku terus membelok masuk dengan kasar. Sebaik kaki mencecah kawasan parkir surau, motor aku tiba-tiba terasa ringan semula.
Aku berlari ke arah kolah wuduk, mahu membasuh muka yang sudah pucat lesi. Seorang pakcik jemaah menegur aku dari belakang.
“Nak, kenapa pucat sangat ni? Kunci motor pun tak cabut lagi tu.”
Aku hanya mampu tersengih kelat. Sambil aku meraup air ke muka, aku tertanya-tanya kenapa hanya aku yang perasan gangguan di kedai tadi sedangkan Zaki dan orang lain nampak berselera sekali.
Esoknya barulah aku ceritakan semuanya kepada mereka tentang apa yang aku lihat dan apa yang aku lalui dengan gangguan yang aku kena. Alhamdulillah semuanya selamat dan tiada apa-apa yang berlaku.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit