HILANG

HILANG
Karya : DeeFen DF

3 Oktober 2018.

“Yahoooooo!!!”

“Yehaaaa arriba arriba!!!”

“Dindaaaa! Kandaaaa! Burung pun turut menyanyi!” 🎶🎶

Girang. Itulah yang tergambar pada wajah 4 orang sekawan, serumah, sekolej dan sekampung. Semuanya tersenyum lebar hingga ke telinga. Hidung masing-masing pula besar mengembang dan mengeras.

Hari ini merupakan tamatnya peperiksaan bagi pelajar semester akhir di sebuah kolej swasta di Perak. Bagi 4 sekawan iaitu Adli, Bobo, Daus dan Nazim; inilah hari yang paling menggembirakan sepanjang hidup mereka.

“Akhirnya berjaya aku habiskan degree. Bangga gila weh!” Ujar Adli separa menjerit.

“Jangan over confident sangat. Silap haribulan ada paper yang kena repeat. Hahahaha!” Daus memerli Adli yang kelihatan sangat yakin dia akan berjaya menamatkan pengajian. Adli membalas dengan mencebik bibir pada Daus.

“Apa plan kita malam ni? Esok? Lusa? Tulat?” soal Nazim sambil mengorek telinganya yang terasa gatal.

Masing-masing terdiam, memikirkan apa yang hendak dilakukan pada hari-hari terakhir mereka sebagai pelajar. Minggu depan mereka perlu meninggalkan rumah sewa dan mungkin tidak akan kembali lagi ke situ.

“Malam ni kita makan sedap-sedap sikit la. KFC ke, pizza ke, western food ke. Lepas makan kita pi karaoke se-round. Esok pula kita tengok wayang cerita IT. Amacam?” Cadang Bobo. Seorang yang berbadan gempal. Makanan dan Bobo memang tak dapat dipisahkan.

“Aku setuju cadangan Bobo tu. Apa kata kalau lusa pula kita pi hiking dengan camping. Bukit Dingin. Amacam? Nak?” Adli memberi cadangan.

“Baik gile weh idea tu. Aku setuju! Dah lama tak hiking. Gian!” Nazim mengangguk tanda setuju sambil mengusap penumbuknya kerana geram untuk melepaskan gian terhadap aktiviti lasak mendaki bukit.

“Lepas habis wayang esok kita terus prepare barang-barang hiking dengan camping,” sambung Nazim lagi.

Bobo termenung melihat ke arah pokok teja yang bergoyang ditiup angin yang sepoi-sepoi bahasa. Wajahnya kelihatan sedikit pudar berbanding tadi. Bungkam. Lantas dia bersuara.

“Weh, aku malas la nak pi hiking. Aku tak minat sangat aktiviti letih-letih, berlengas macam tu. Lagipun aku tak fit la. Melambatkan korang ja mendaki.”

“Ahhhh takde, takde! Kau kena ikut juga. Takpa, kita daki slow-slow. Kami tunggu. Ni hari-hari terakhir kita kat Perak ni. Lepas ni maybe dah kerja bawa haluan masing-masing,” ujar Adli sambil memicit bahu Bobo. Daus dan Nazim sekadar mengangguk tanda setuju akan kenyataan Adli.

Bobo terus diam dan termenung. Dahinya sekali-sekala berkerut tanda dia sedang memikirkan sesuatu hal yang berat.


5 Oktober 2018.

Setelah selesai melapor diri di pos renjer, mereka pun memulakan pendakian. Semuanya kelihatan bersemangat kecuali Bobo. Manakan tidak, dipaksa melakukan aktiviti yang tak digemarinya. Mencuka wajahnya sejak malam tadi.

Mengikut perancangan, mereka akan berkhemah selama dua malam di Bukit Dingin. Mereka telah diingatkan oleh renjer agar berhati-hati disebabkan trek agak licin.

Adli dan Nazim telah 3 kali menawan puncak Bukit Dingin ini sepanjang mereka belajar di kolej. Jadi selok-belok bukit ini sedikit sebanyak diketahui oleh mereka berdua.

Pendakian sepatutnya mengambil masa hanya 3 jam. Namun menjadi 4 jam 30 minit kerana banyak berhenti rehat disebabkan oleh kecergasan Bobo yang tidak begitu mengizinkan. Sekejap-sekejap minta berhenti. Kemudian lenguh itu, lenguh ini.


7 Oktober 2018.

Perkhemahan selama dua malam mereka berjalan lancar. Semuanya menggembirakan. Sesekali menikmati ketenangan alam di dalam hutan sangat mendamaikan jiwa setelah berbulan-bulan bertungkus-lumus dengan pelajaran di kolej.

“Weh korang! Dah siap kemas semua ke? Pastikan takda barang tertinggal,” ujar Nazim sambil mencekak pinggang dan memandang rakan-rakannya yang lain.

“Kita dah lewat 2 jam daripada jadual asal. Cepat! Cepat! Cepat! Jangan dok terhegeh-hegeh!” Tambah Nazim tegas. Lagak seperti seorang ketua komandan memberi arahan kepada platun-platunnya.

Daus dan Adli membuat gaya seperti mahu muntah – memerli tindak-tanduk Nazim yang perasan bagus. Bobo yang barangnya sudah siap dikemas hanya duduk sambil melukis pada tanah dengan menggunakan ranting.

“Aku rasa tak sedap hati la,” gumam Bobo perlahan.

Nazim yang terdengar kata-kata Bobo beralih mendekatinya.

“Tak sedap hati apanya? Dah, dah. Kita nak balik dah ni.”


Ketika sudah separuh perjalanan mereka turun, suasana hutan semakin bertukar gelap. Di celahan dedaunan kelihatan awan gelap mulai berarak. Cahaya yang turun menyinari bumi semakin malap dan suram.

Kegelisahan terpancar pada wajah 4 orang sekawan tersebut. Perjalanan turun dipercepatkan. Langkahan semakin laju. Suasana hutan menjadi senyap sunyi. Hanya kedengaran nafas mereka – kasar.

Mereka tahu jika hujan mulai turun, trek akan menjadi sangat licin. Ditambah dengan ada sesetengah bahagian trek yang curam. Sangat membahayakan jika tidak berhati-hati.

Ketika mereka melalui satu tebing yang sangat tinggi, semuanya cuba mengelak untuk memandang ke lembah di bawah. Tebing tersebut kira-kira 50 meter tinggi. Perasaan gayat mencengkam fikiran.

Masing-masing memegang tali keselamatan ketika bergerak meniti tebing curam tersebut. Sayup-sayup kedengaran bunyi guruh daripada arah puncak bukit. Guruh yang sangat panjang tanpa henti.

Mereka yang mulai berasa pelik dengan keadaan itu mula berhenti bergerak dan menoleh ke arah puncak bukit. Bunyi guruh itu semakin lama semakin kuat disertai dengan bunyi ranting patah.

Tiba-tiba, kelihatan kepala air turun dengan sangat laju menghala ke arah mereka membawa bersama tanah, ranting dan tunggul kayu. Adli, Daus, Nazim dan Bobo terpempan. Mereka hanya terbata di situ melihatkan kepala air yang kelihatannya seperti segerombolan kuda perang ingin melanggar benteng musuh.

Dalam sekelip mata mereka terus dihentam dan dibawa bersama jatuh ke lembah yang curam.


“Aduhhhhhhhh…”

“Tolong! Tolonggggg!”

Terdengar erangan dan suara minta tolong daripada bawah tebing. Dentuman guruh dan hujan yang mulai turun dengan lebat menenggelamkan terus suara mereka.

“Adli! Daus! Bobo!!!” Pekik Nazim.

“Ye aku kat sini!” Satu suara menjawab panggilan Nazim.

“Sapa tu? Adli ke? Aku datang kat kau sekarang.”

“Ye aku Adli. Cepat sikit! Kaki aku sangkut dalam tanah!”

Nazim menghampiri Adli. Separuh badannya telah tertimbus dalam selut. Dengan segera Nazim mengorek selut sehingga membolehkan Adli keluar. Nasib baik selut itu lembut, mudah untuk mengorek dan melepaskan Adli keluar.

“Erghhhhhh….”

Satu suara erangan kedengaran dari arah sebalik pohon besar. Nazim dan Adli berjalan laju ke arah suara itu dan lantas menemui Daus yang sedang berusaha mengangkat tunggul kayu yang menimpa pahanya. Daus yang terperasan kehadiran dua orang rakannya itu terus bersuara.

“Weh tolong aku angkat! Kaki aku tersepit ni!”

“Bobo mana?”

“Tak tahu.”

“Bobo! Bobo! Bobo! Bobo!”

Mereka berterusan memanggil Bobo sambil mencari-carinya di sekeliling kawasan lembah itu. Namun panggilan mereka tidak bersahut. Perasaan risau dalam hati mereka semakin menggunung.

“Kita terus cari Bobo. Kalau tak jumpa, kita bermalam di sini dulu,” Nazim memberi arahan.

Sepanjang hari mereka mencari di sekitar lembah dan terus memanggil namanya. Sehinggalah malam menjelang mereka terpaksa menhentikan pencarian. Lagipun masing-masing terlalu kepenatan.

Semua beg mereka telah hilang ditimbus selut melainkan satu karung beg yang mengandungi makanan dalam tin. Itu pun tidak banyak kerana mereka telah makan sepanjang dua malam berkhemah.

“Aku rasa… Bobo… dah…” belum sempat Daus menghabiskan kata-katanya Adli telah menyampuk.

“Kau jangan fikir bukan-bukan! Esok sampai tengahari kita sambung cari dia.”

Akibat terlalu penat, mereka nyenyak – tidur mati tanpa menghiraukan kesejukan malam. Malam itu suasana lebih sejuk kerana hujan masih renyai-renyai tidak berhenti sejak tengahari tadi.


8 Oktober 2018.

Sejak awal pagi mereka telah memulakan pencarian Bobo. Setiap persekitaran kawasan lembah itu diteroka mereka. Sehinggalah waktu menjelang tengahari, mereka terpaksa membuat keputusan yang berat iaitu menghentikan pencarian Bobo dan meneruskan perjalanan untuk meminta bantuan.

“Aku rasa bersalah sangat sebab paksa Bobo ikut kita pergi berkhemah ni,” bergetar suara Adli. Air mata yang mengalir disekanya.

Masing-masing mendiamkan diri sepanjang mencari jalan pulang. Sekali-sekala terdengar sedu-sedan tangis kerana terkenangkan memori bersama rakan mereka itu. Manakan tidak, mereka berempat telah berkawan baik sejak daripada sekolah rendah sehinggalah sekarang.

“Kita kena cari makanan dah ni. Stok tinggal satu tin tuna ja. Sekali ja makan terus habis.” Nazim meluahkan kerisauannya. Perut masing-masing sudah lapar. Jika tak makan, pasti tiada tenaga untuk mencari jalan keluar.

Tatkala hari menjelang lewat petang, mereka tiba di suatu kawasan dusun yang terjaga rapi. Sangat bersih sehinggakan tiada satu pun daun kering di atas tanah. Pelbagai jenis pokok buah-buahan yang semuanya rendang-rendang belaka. Buahnya telah masak ranum menunggu masa sahaja untuk dipetik. Di sekeliling dusun pula dihiasi pepohon bunga yang berwarna-warni. Cantik. Bau harum sesekali menusuk hidung.

Mereka bertiga yang telah kelaparan mula memetik buah-buahan tersebut dan makan. Manakala sebahagian lagi dimasukkan di dalam karung beg sebagai bekalan.

“Aku rasa kita patut segera cari tuan dusun ini. Mungkin rumah dia ada kat sekitar sini. Boleh kita minta dia dapatkan bantuan untuk kita,” ujar Daus sambil mula berjalan laju. Dalam mindanya, cuma keselamatan Bobo yang paling dia risaukan.

“Kamu mencuri ya?”

Tiba-tiba mereka terdengar satu suara yang menegur daripada sisi kanan. Kelihatan pemuda berumur lingkungan 30-an berjalan ke arah mereka. Pakaiannya serba hijau beserta parang tersisip di pinggang. Juga membawa raga berisi buah.

“Sorry bang. Kami tak berniat nak curi. Kami lapar sangat. Lagipun kami nak minta bantuan. Kawan kami hilang masa hiking. Kami perlu menghubungi pihak pasukan keselamatan untuk bantuan.” Panjang lebar penerangan Daus terhadap pemuda itu.

“Hmmmm…” Pemuda itu memandang mereka berulang-kali dari atas ke bawah. Berkerut dahinya seolah-olah memikirkan sesuatu.

“Siapa bawa kamu semua masuk ke sini?”

“Takda siapa. Kami tengah cari jalan pulang. Lepas tu sampai ke dusun ni,” ujar Daus.

“Ini sangat pelik. Manusia tak mungkin dapat masuk ke sini tanpa jemputan daripada bangsa kami.”

“Errr… Kami tak faham.”

“Untuk pengetahuan kamu semua, ini kawasan perkampungan bunian. Manusia tak akan dapat masuk tanpa ada jemputan daripada pihak kami.”

Ketiga-tiga mereka berpandangan sesama sendiri dengan mata yang terbuntang. Seolah-olah tak percaya mereka telah termasuk ke alam bunian.

“Ma…ma…maafkan kami. Kami tak sengaja masuk sini. Ka…ka…kami tak tau pun yang kami dah masuk perkampungan abang.”

“Aku nak kamu keluar sekarang sebelum yang lain-lain tahu akan kehadiran kamu. Kampung kami langsung tidak pernah bertoleransi untuk menerima kehadiran manusia. Kalau mereka yang lain tahu, aku yakin kamu pasti ditangkap dan disoal siasat.”

“Ba…baiklah. Kami pergi sekarang. Tapi boleh tunjuk arah ke pos renjer? Kami perlu dapatkan bantuan kecemasan.”

“Kamu telah tersesat jauh. Patah balik sebanyak 500 langkah. Kemudian ikut arah matahari terbit. Kamu akan sampai dalam masa 5 hingga 6 jam perjalanan. Jangan berjalan waktu malam, laluan bahaya. Banyak cerun.”

“Terima kasih bang. Kami minta izin untuk ambil buah ini boleh? Sebagai bekalan perjalanan kami?”

“Boleh saja. Tapi pastinya buah itu akan ghaib sebaik saja kamu semua melangkah keluar daripada sempadan kampung kami.”

Adli, Nazim dan Daus segera berpatah balik dan mula mengira langkah sebagaimana tips yang diberikan oleh pemuda bunian itu. Langkahan pantas mereka kadangkala terbantut kerana terpaksa melalui belukar tebal dan sedikit berbukit.

“Okay dah cukup 500 langkah kan? Kita bermalam di sini dulu. Dah pukul 7 dah ni. Senja,” cadang Adli kepada rakannya. Nazim dan Daus hanya mengangguk.

“Eh Daus. Buah yang kita ambil tadi ada lagi?” Tanya Nazim beriya-iya.

Daus segera mengangkat karung beg yang mengandungi buah.

“Berat lagi! Jap aku buka check.”

Semua tersengih sebab bila karung itu dibuka masih kelihatan lagi pelbagai buah-buahan yang diambil tadi.

“Aku rasa abang tadi tu tipu kita la. Bunian la. Buah ghaib la. Puiiiii!!!” Radang Daus.

Kira-kira jam 8 malam ketika masing-masing berehat sambil menjamah buah yang diambil petang tadi, mereka dikejutkan dengan bunyi dengusan nafas yang kuat. Masing-masing menoleh mencari arah bunyi tersebut.

Perlahan-lahan dari sebalik belukar muncul seekor harimau berkepala manusia. Jarak hanya 3 meter sahaja daripada mereka. Segala rupa bentuknya dapat dilihat dengan jelas.

Mereka hanya membatu dengan tubuh masing-masing sudah menggeletar ketakutan. Ketika melintasi mereka, makhluk itu hanya memandang dengan wajah yang bengis.

Belum sempat habis ketakutan melihat harimau jadian, tiba-tiba bergema hilaian tawa yang sangat panjang. Mereka bertiga berpelukan sambil mata meliar mencari pemilik hilaian tersebut.

Menyusul, adalah bunyi kain seperti mengibas kuat dari arah atas. Mereka terlihat kain putih terbang dari satu pokok ke satu pokok. Kemudian kain itu turun dan berkibar di hadapan mereka.

Saat itu baru kelihatan bahawa itu bukanlah sekadar kain putih sahaja. Itu adalah seekor pontianak. Berwajah hitam buruk, rambut kusut mengerbang dan bermata merah saga.

Pontianak itu merenung mereka sebentar, kemudian mengilai ketawa dan terus terbang pergi menghilang di dalam kegelapan.

Tiga sekawan itu pula terus berhimpit dan berpelukan antara satu sama lain. Malam itu bermacam-macam bunyian yang mereka dengar. Bunyi mengilai, bunyi menangis, bunyi menyanyi yang mendayu dan pelbagai lagi bunyi yang sangat menyeramkan. Mereka memejamkan mata tidak mahu melihat sehinggalah tertidur.


9 Oktober 2018.

Selepas hampir 6 jam berjalan akhirnya mereka tiba di pos renjer. Kegembiraan jelas tergambar di wajah mereka. Air mata mengalir deras apabila mereka telah selamat tiba di destinasi.

Namun apabila ditinjau pos renjer tersebut, langsung tiada renjer yang bertugas. Dicari kawasan sekeliling tetap tiada sesiapa.

“Renjer tengah rehat kot? Sekarang pukul 12:50 tengahari,” ujar Nazim sambil melirik pada jam tangannya.

“Tak mungkin. Selalunya pos renjer ni 24 jam sentiasa ada yang bertugas. Takpa kita tunggu sekejap.” Adli mencelah.

Tatkala mereka sedang duduk berehat di luar pos renjer tersebut, mata Daus tertarik untuk membaca surat khabar semalam iaitu bertarikh 8 Oktober 2018.

Muka depannya bertajuk “Tragedi Bukit Dingin”. Daus mengajak Adli dan Nazim turut sama membaca.


PERAK, Bukit Dingin – Kegembiraan empat orang sekawan untuk meraikan tamatnya peperiksaaan semester akhir dengan berkhemah di sini bertukar tragedi apabila tiga orang daripadanya maut.

Mereka yang maut dikenali sebagai Adli bin Azman, Firdaus bin Jaafar dan Nazim bin Daud kesemuanya berusia 23 tahun berasal daripada Kampung Segantang, Sepang, Selangor. Manakala seorang yang terselamat adalah Azrul bin Mokhtar, 23.

Menurut Azrul bin Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Bobo, ketika sedang menuruni bukit, mereka telah dilanda kepala air yang tiba-tiba turun dari arah puncak. Beliau sempat berpaut pada tali keselamatan manakala tiga orang lagi rakannya hanyut dan di bawa jatuh ke bawah tebing yang tinggi. Tebing itu berketinggian 50 meter.

Sebaik menerima laporan, operasi mencari dan menyelamat terus diaktifkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan berjaya menemui ketiga-tiga mayat mangsa di bawah tebing curam pada jam 12 tengah malam. Mayat mangsa terus dibawa turun dan dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.

Kesemua mayat mangsa dijangka akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Kampung Segantang, Sepang kira-kira jam 1 petang esok.


Adli, Daus dan Nazim berpandangan sesama sendiri. Tiada sebarang kata yang terungkap. Adli melirik jam tangannya – pukul 1 petang!

Sayup-sayup bergema talqin sedang dibacakan.

Perlahan-lahan jasad mereka pun menghilang…….

-TAMAT-

Dijemput untuk ‘follow’ Facebook penulis untuk membaca kemaskini kisah seram terbaru. Sila tekan ‘link’ berikut :-

https://www.facebook.com/deefen.df

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

19 thoughts on “HILANG”

  1. MashaAllah, terkejut aku endingnya! Tak sangka dorang bertiga sebenarnya sudah tak ada. Apapun, cerita ni memang besttt👍🔥 cantik & kemas. Syabas & teruskan menulis. Ku nantikan kisah selanjutnya.

    Reply
  2. Daebak . Yg mcm ni lah aku cari nk baca . Dalam pada baca pengalaman pengalaman seram , boleh aku skip sikit sikit dgn karya fiksyen . Aku kagum dgn penulis . Moga terus berkarya untuk orang mcm aku . Yang tak pernah kenal erti puas dlm membaca cerita seram , yang tak pernah kenyang dalam meneroka dunia mambang .

    Reply
  3. Dari dulu mmg tak berkenan utk hiking ke berkhemah ke di bukit gunung atau tepi pantai (bermalam dlm khemah) Sebab risiko tinggi dgn alam ghaib.. binatang dan cuaca.. Mmg ajal x kira masa dan tempat.. Tapi jika boleh elak.. Elakkanlah.. Byk cara lain utk release tension..

    Reply
  4. Cerita padu tapi siapa yang jemput diorang masuk dalam alam bunian tu eh sebab abang tu cakap nak masuk by invitation je? Anyone?

    Reply
    • maksudnya kalau manusia tu masih hidup diorg cuma blh msuk ke alm bunian jika dijemput sahaja. tapi bila dah mati automatik dh berada di alm ghaib & tak perlu dijemput diorg dh blh msuk ke alm sana

      Reply

Leave a Comment