Homestay Pengkalan Balak

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat admin FS dan semua peminat setia FS. Terlebih dahulu aku ingin berterima kasih yang tidak terhingga kepada admin FS sekiranya kisahku ini disiarkan. Namaku Keylin. 3 tahun lepas iaitu pada tahun 2013, aku, Zita dan Alis membuat percutian yang kami rancang sendiri bertiga. Kami menaiki kereta yang dipandu oleh Zita. Sudah lama kami merancang untuk bercuti bertiga dan pada tahun itu, kami berjaya merealisasikannya.

Kami bergerak ke Melaka pada jam 01:00 tengahari. Kami bertiga half day petang pada hari Jumaat minggu itu. Kerja sudah siap, maka seronoklah kami bercuti hujung minggu itu. Kami bercuti selama 3 hari 2 malam dan telahpun menempah sebuah homestay di Pengkalan Balak, 2 minggu lepas. Kami singgah ke pantai Teluk Kemang dan bergambar di sekitar pantai tersebut sebelum kami meneruskan perjalanan ke Melaka. Kami merancang untuk bersolat di 3 masjid di Melaka iaitu Masjid Pengkalan Hulu, Masjid Kapitan Keling dan Masjid Tengkera sebelum kami check in ke homestay kami.

Sememangnya kami memang teringin bersolat di ketiga-tiga masjid tersebut dan kami berjaya sempurnakan solat fardhu dan solat sunat kecuali Alis, yang uzur hari itu. Hampa jugalah dia. Alhamdulillah. Aku suka sangat-sangat sebab hasrat tercapai. Terasa bermakna sangat perjalanan kami bertiga. Kami seterusnya menghala ke homestay di Pengkalan Balak pada kira-kira jam 6.00 petang. Sebenarnya agak lewat jugalah kami check in. Tetapi kami terlebih dahulu telah menghubungi pemilik homestay yang kami tempah itu dan menyatakan kelewatan kami tiba di sana.

Sesampai sahaja di homestay, Zita meletakkan keretanya di sebelah hadapan homestay yang kami menginap. Sementara aku dan Alis mengangkat beg pakaian kami masuk ke dalam homestay tersebut. Salam diberi sebelum memasuki homestay tersebut. Aku mencuci kaki sebelum berbaring di katilku. Katil kami disusun selari. 3 buah katil single dan disusun rapat-rapat. Zita katil yang paling hadapan dan dekat dengan pintu utama homestay, Alis katil tengah manakala aku di katil bersebelahan tandas. Pintu tandas di hujung kaki katilku. Homestay agak comel dan kecil tetapi dilengkapi dengan penghawa dingin. Amat selesa jugalah kami.

Malam itu, selepas aku selesai solat maghrib, kami bersiap-siap untuk makan malam di sekitar Pengkalan Balak. Zita mula datang uzur malam itu. Makanya, hanya aku sahaja yang boleh bersolat. Aku mula tidak sedap hati. Entah kenapa. Tetapi aku abaikan. Kami menaiki kereta memandangkan homestay kami agak jauh ke belakang dari medan selera di situ. Bukan kami sahaja pada malam itu, kawan-kawan Alis juga ada datang sertai kami dan juga seorang kawanku yang asal dari Melaka. Usai makan malam, kira-kira jam 11.45 malam, kami pun pulang ke homestay kami. Kereta kurang pada malam itu.

Aku lihat, cuma kereta Zita dan sebuah sahaja kereta yang diparkir di sekitar homestay. Lot parkir di homestay tuu boleh memuatkan sehingga kira-kira 12 buah kereta. Bermakna hanya kami sahaja dan tuan punya homestay yang ada di situ. Siang tadi kulihat, homestay sebelah homestay kami, penghuninya check out. Jadi, sunyi sikitlah kami malam itu. Tak mengapalah, lagipun kami sudah penat dan mahu tidur. Esok hari Sabtu, mungkin adalah tu pengunjung yang akan bermalam di situ.

Aku menyedapkan hatiku yang tiba-tiba resah tidak menentu. Kemudian, aku terus membersihkan diri dan berwuduk. Aku bersolat Isyak. Selesai solat, aku bersiap untuk tidur. Kulihat Alis berbaring seperti menggigil ketakutan. Aku bertanya padanya kenapa. Dia terketar-ketar seperti amat sukar untuk bersuara. Aku membaca surah Al-Ikhlas, An-Nas dan Ayatul Qursi. Berkali-kali dan kuat sambil memegang tangan Alis.

Aku melihat ke arah Zita. Dia diam ketakutan dan tidak mahu melihat Alis sebab takut. Maka, aku tidak boleh takut dalam situasi sekarang walaupun aku seorang penakut. Aku kena kuatkan semangat bagi mengendalikan masalah ini memandangkan hanya aku sahaja yang tidak uzur. Apabila Alis ok sikit, aku mula bertanyakannya mengapa dia menggigil ketakutan sebentar tadi. Alis memberitahuku bahawa semasa aku keluar dari bilik air tadi, dia nampak, pintu bilik air berubah kepada pintu lain.

Pintu bilik air yang asal adalah pintu plastik tetapi Alis lihat, pintu itu berubah menjadi pintu batu dan berkabus. Dinding homestay yang diperbuat daripada kayu juga berubah menjadi dinding batu. Dia langsung tidak nampak aku bersolat di situ. Aku akui, selepas aku keluar dari billik air tersebut, bulu romaku meremang tetapi aku terus bersiap-siap untuk solat Isyak. Alis juga nampak perempuan berambut panjang berbaju putih berjalan dari bilik air terus ke pintu utama homestay kami. Lepas itu perempuan itu hilang. Bila aku selesai solat, barulah Alis nampak aku yang terselindung di sebalik kabus-kabus itu.

Aku melanjutkan bacaan Ayatul Qursi. Makin lama makin kuat kubaca. Selepas itu kedengaran seperti batu-batu kecil sengaja dijatuhkan ke atas bumbung homestay kami. Terdengar juga cakaran kuku panjang di dinding homestay kami. Makin lama, makin galak batu-batu dijatuhkan di bumbung berserta cakaran-cakaran kuku tersebut. Entah macam mana, aku ada kekuatan untuk melawan gangguan itu. Aku menjerit marah dengan berkata, “kami datang sini sekejap sahaja, tolong jangan ganggu kami. Kami takkan ganggu kamu, kami bukan buat maksiat pun”. Sambil aku marah, aku tendang-tendang dinding bilik yang diperbuat daripada kayu itu. Geram juga kan. Pada masa yang sama aku akui takut juga sebenarnya.

Tidak lama kemudian, bunyi-bunyian itu hilang. Alis pun dah ok, Zita pun dah tak takut. Kami pun tidur dengan lampu bilik terpasang walaupun kami tidak selesa. Keesokan harinya kami pun bangun dan berjalan-jalan sekitar bandar Melaka. Malam kedua itu, agak meriah, homestay penuh dan kereta pun banyak. Alhamdulillah, tiada gangguan. Kami bersyukur sangat-sangat pada Allah SWT. Terima kasih kerana membaca kisah aku dan kawan-kawanku ini.

6 thoughts on “Homestay Pengkalan Balak”

  1. Berabi btol tuan tanah.. Terbaik.. Kalo takot mmg bnde tu lg kaco.. Tp kalo blh aku nk tau gak la pe name chalet tu sbb sejak aku kawen ngan org cni dah hmpir 6 taun, tiap2 ptg aku jln kt pntai pengkalan balak tu..

    Reply

Leave a Comment