Housemate Tanpa Jasad

Waktu bekerja sebuah pejabat normalnya dari pukul 9 sampai kul 6 petang bukan? Bila jam menunjukkan hampir ke pukul 6, dalam hati kebanyakkan kita ” yeay kejap lagi boleh balik rumah”. Betul? Tapi….tidak aku. Aku sangat takut nak balik rumah…

Tahun 2008-2010. Aku menyewa sebuah rumah flat dua bilik di penghujung jalan Genting Kelang, Ulu Kelang. Rumah tingkat paling atas dan kedua paling hujung, blok paling terkebelakang yang berhadapan dengan hutan kecil (sekarang telah dibangunkan menjadi kawasan perumahan mewah). Di sebelah blok aku adalah highway MRR2.

Setahun setengah aku duduk disini, kejadian menimpa aku memburuk dari sehari ke sehari. Dari permulannya aku duduk seorang kemudian bertukar teman serumah sebanyak 3 kali. Alhamdulillah yang terakhir kekal menjadi sahabat baik ku hingga kini. Mungkin kerana peristiwa kami tempuh dirumah ini. Kami bekerja bukan pada pada waktu operasi yang sama. Aku akan pulang awal sementara sahabat ku aku pulang paling awal pukul 10 malam. Dalam tempoh kurang 4 jam itu cukup untuk gangguan yang bersarang dirumah ini memberi tekanan pada aku.

Dari permulannya rumah ini sentiasa berasa suram. Dan terasa sunyi seakan aku seorang yang ada di blok itu walhal tingkat bawah dan sebelah kanan ada jirannya. Bila terbangun tengah malam aku terpaksa fikir banyak kali untuk nak ke tandas atau dapur. Ada masa sahabatku outstation aku akan berasa tidak selamat untuk berada didalam rumah aku sendiri. Aku cuba untuk buang perasaan itu dengan solat, berfikir positif atau apa pun sewaktu dengannya tapi semakin kuat pula rasa tidak selamat itu muncul. Hinggalah ke tahap aku takut untuk pulang ke rumah ku sendiri selepas kerja. Jujur aku jelaskan, hingga ke tahap aku sentiasa mencari alasan untuk berada di luar hingga sahabat ku tamat kerja.

Satu peristiwa dimana hari itu aku tiada pilihan, (mungkin sudah hujung bulan dan gaji belum masuk), terpaksa juga aku pulang petang itu. Sebaik terbuka pintu rumah aku tidak terus masuk sebaliknya tangan ku mengagau di dinding mencari suis lampu. Setelah terang semuanya aku berjalan masuk, cuba berkelakuan normal. Tapi sebaik melepasi ruang tamu terletak sofa, entah kenapa datang satu rasa yang aku sedang diperhati, oleh seseorang dari arah hujung sofa. Imej yang muncul diminda ku adalah seorang lelaki kurus kering, botak, berkulit pucat seluruhnya duduk mengcangkung dengan tangan dilututnya memerhati kan aku sambil tersengih selebar lebarnya, tanpa matanya berkelip.

Bayangkan watak Gollum dari filem Lord of the Ring. Entah dari mana bayangan itu datang aku sendiri tak tahu. Aku cuba berpaling tapi tiada siapa disitu tetapi kenapa perasaan itu terlalu kuat seakan dia ada. Aku terus ke bilik, cuba mengawal diri. Tanpa berlengah aku ke bilik Air bersiap untuk solat. Tapi bila mana aku cuba mengambil wuduk tunduk di hadapan paip Air, imej lelaki botak itu muncul lagi. Perasaan diperhati dari belakang aku dan sekarang seolah dia berada kurang sedepa dari aku. Subhanallah, wuduk aku bersepah jadinya. Berulang kali aku cuba berwuduk tapi ketakutan semakin memuncak. Imej bayangan itu sangat jelas dia menyangkung dibelakangku sambil tersengih. Bila aku berpaling, tapi sudah tentu dia tiada. Tapi masalahnya ketakutan aku semakin menebal, langsung tak berkurang. Seakan dia ada dihadapanku cuma aku tidak dapat melihatnya.

Aku lari ke bilik, bentangkan sejadah terus cuba dirikan solat margrib. Namun aku gagal untuk tumpuan perhatian. Paling parah bila terasa amat takut untuk bangkit dari sujud rakaat terakhir. Seolah dia ada depan tunggu untuk menyergah. Memang aku terlalu takut waktu itu. Sudah solat aku pasang ayat quran di komputer, aku tak berani keluar bilik, cuba mesej sahabat ku merayu dia balik segera. Menunggu sahabat aku sampai ke rumah pada malam itu merupakan tiga jam terpanjang dalam hidup aku.

Kejadian itu menjadi titik tolak pada aku untuk menyiasat perihal rumah ini. Satu malam aku bersama sahabat ku yang kebetulan cuti hari itu berjemaah disurau. Cuba berborak dengan orang yang kami sangka penduduk yang mungkin lama duduk di kawasan rumah flat tersebut.

Bila kami perkenalan diri dan juga beritahu dimana kami tinggal, salah seorang jiran terus mengeluh, tersenyum sinis sebaik kami jelaskan nombor unit dan blok kami. Katanya kami bukan orang pertama yang terkenai gangguan seperti ini. Sebab itu sewanya hanya 350 sebulan. Katanya gangguan berpunca dari sebatang pokok ara yang terletak di tepi highway MRR2 bersebelahan blok kami. Pokok ara itu telah ditebang berberapa tahun lebih awal dulu jadi ia seakan beralih mencari tempat baru. Apalah entitinya kami tidaklah dapat kami pastikan. Yang nyata gangguan itu benar berlaku dan kami bukan yang pertama.

Kini sudah lebih 10 tahun berlalu. Ada masa jika aku melintasi MRR2 dan kawasan rumah flat itu, aku boleh ternampak balkoni unit itu. Dan pengalaman akan terimbau kembali…aku hanya mampu mengimbau dan tersenyum bila teringatkannya

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Faizal Mamat

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 3.5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.