*Segala nama bagi watak di dalam cerita ini merupakan nama samaran kerana ingin menjaga identiti orang yang terlibat di dalam kisah ini. Merupakan kisah benar penulis sendiri.
Telefon aku bergetar menandakan masuknya pesanan baru. Aku buka telefon bimbit model iPhone 6 aku dan masukkan kata kunci disebabkan tangan aku yang basah dan pengesan cap jari tidak dapat mengesan cap jari aku. Aku baca pesanan yang dihantar oleh kawan aku, Iffah, yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp. “Kau hujung minggu ini free tak ?”. “Free je, ingat nak balik rumah sekejap. Kenapa ?”, balas aku melalui Whatsapp juga. “Aku nak masukkan nama kau dalam kem team building untuk COMP. Kau nak join tak. Ada dua kekosongan. Kalau kau nak ajak kawan kau seorang boleh. Suppose aku pergi, tapi aku dengan kawan aku ada hal lain.”, balas Iffah dengan cepatnya. “Oh, boleh je kut. Nanti aku tanya kawan aku. Kalau dia nak join, aku pun join. Kalau tak, sorry ye.”, aku awal-awal tidak memberi harapan kepada Iffah. Takut sudah berjanji, sekali kawan aku tak nak pergi, mahunya aku seorang diri pergi kem dengan senior-senior UiTM yang aku tak berapa kenal.
“Kau nak join tak kem team building hujung minggu ni, Nur ?”, ujar aku kepada Nur, kawan merangkap roommate aku di UiTM. “Kem team building apa?”, balasnya acuh tak acuh sambil mata memandang laptopnya yang terpampang anime kegemarannya. “Team building COMP. Kelab program kita.”. “Oh, kalau macam tu, boleh je. Bukan buat apa pun hujung minggu ni.”. “Ok, betul eh nak join. Aku nak inform kawan aku ni.”. “Iye, jom berkhemah.”.
Tibalah hari yang dinantikan. Kami bertolak dari UiTM ke tapak kem pada hari Khamis tengahari. Tapak kem tersebut terletak di Tasik Chin Chin, Jasin. Atuk aku mengatakan bahawa tapak kem tersebut merupakan bekas perlombongan dan arwah atuk abah aku pernah bekerja di situ. Perjalanan tidaklah berapa jauh kerana tempat tersebut berada betul-betul di sempadan Tangkak-Melaka.
Sampai sahaja di tempat kem, pensyarah kami mula mengarahkan kami untuk berkumpul di dewan terbuka bagi mendengar taklimat dari fasiliator-fasiliator yang akan mengendalikan kem tersebut. Hari pertama sahaja sudah kena masuk air. Aku ketika itu sedang datang bulan. Risau juga dengan situasi tersebut. Tetapi senior-senior perempuan yang ada menenangkan aku dan mengatakan bahawa darah tidak mengalir jika berada di dalam air. Itu adalah kali pertama aku mendengarnya. Ragu-ragu juga tapi aku ikutkan kerana senior tidak mahu ada orang yang terkecuali daripada aktiviti yang dianjurkan.
Dipendekkan cerita, tiba waktu malam. Sudah menjadi tradisi, mana-mana kem akan melakukan aktiviti burung hantu. Setelah fasiliator memberikan briefing, satu per satu kumpulan dilepaskan masuk ke dalam hutan. Kumpulan aku ketika itu terdiri daripada aku, Nur, Ain, dan Aini. Ketiga-tiga mereka seakan takut-takut. Ketika itu kami perlu menentukan kedudukan kerana kami perlu berjalan secara berbaris sambil memegang tali yang sudah diikat sepanjang trek burung hantu itu.
Tiada sebarang lampu dibekalkan dan kami perlu berjalan di dalam hutan dalam keadaan yang gelap dengan berbekalkan panduan tali. Mana tak tiga orang di dalam kumpulan aku takut. Aku akhirnya beralah dan memilih untuk berada di posisi hadapan. Tiba giliran, aku mulakan langkah aku dengan bismillah. Sungguh aku takut sebenarnya tapi kalau dah semua takut, siapa nak ketuai kumpulan tu. Ada yang tak dapat habiskan aktiviti burung hantu pula nanti. Memang seram. Tidak aku nafikan. Dan kadang-kadang aku merasa ada mata sedang memerhatikan kumpulan kami dari arah atas dan depan.
Ada juga aku ternampak dengan ekor mata aku, kain putih berterbangan. Tapi aku tak hiraukan kerana tidak mahu menambahkan ketakutan ahli kumpulan aku. Sampai sahaja ke checkpoint terakhir, aku menarik nafas lega kerana dapat melihat suluhan cahaya dari lampu jalan. Aku dapat lihat fasiliator dan kumpulan-kumpulan lain sedang berkumpul di tepi jalan raya yang sunyi ketika itu.
Sampai sahaja di situ, fasiliator yang dikenali sebagai abang Am mengarahkan kami untuk duduk sementara menunggu kumpulan lain selesai melakukan aktiviti tersebut. Sampai sahaja kumpulan yang terakhir, abang Am memulakan mukadimahnya. “Berikan tepukan gemuruh buat diri awak semua sebab masing-masing berjaya menghabiskan aktiviti tanpa ada sebarang masalah.”. Kami tepuk acuh tak acuh disebabkan terlalu penat dan kepala hanya memikirkan bantal sahaja ketika itu. “Sebelum tu, ada siapa-siapa alami benda pelik ke ketika di dalam hutan ?”, tanya abang Am. Aku tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan pelik jadi aku hanya diamkan diri.
“Sebenarnya hutan ni ada ‘benda’ yang duduk. Saya malas nak berkias, ‘benda’ tu pontianak. Masa saya dengan rakan-rakan fasi saya sedang periksa trek, pontianak tu terbang ke hulu ke hilir. Saya tak nak lah bagitahu sebab nanti korang takut pula. Awak semua diam ni, maksudnya tiada apa-apa yang berlakulah kan ?”, ujar abang Am.
Aku malas pula hendak kongsikan apa yang aku rasa memandangkan semua membatu tidak menjawab. Hanya bising seketika kerana tidak sangka kami berjalan di dalam hutan yang berpenghunikan pontianak. Sehingga sekarang aku pendam kerana tiada rasa hendak berkongsi disebabkan aku pun tidak pasti apa yang aku nampak. Bernasib baik juga aku ketika itu tidak diganggu kerana aku pada masa itu sudahlah ‘kotor’.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit