Hysteria

Assalamualaikum. Nama aku Ana.

Kisah ini berlaku semasa aku di tingkatan 1. Segalanya bermula apabila pihak sekolah mengadakan kem kepimpinan diri untuk para pengawas sekolah. Kem tersebut diadakan pada hari Jumaat sehingga pagi Ahad di sebuah tempat . Oleh itu, para pengawas juga tidak terkecuali untuk hadir ke sekolah pada hari Isnin. Pelajar-pelajar sesi petang akan berkumpul di dewan sementara menunggu giliran untuk ke kelas yang berkongsi dengan pelajar-pelajar sesi pagi.

Hari Pertama
Pukul 12 tengahhari, sedang aku khusyuk membuat kerja sekolah yang belum disiapkan, seisi dewan sekolah mendengar suara jeritan seorang pengawas bernama Zura. Aku yang tidak mengetahui apa-apa, terus berkata “gediknya perempuan tu”. Aku pandang sekilas ke arah suara itu, kelihatan ramai yang mengerumuni Zura. Aku tidak hiraukan. Setelah itu kawanku memberitahu bahawa Zura pengsan. Cikgu mengarahkan pelajar-pelajar untuk duduk di tempat masing-masing. Zura dipapah oleh rakan-rakannya ke bilik guru.

Setelah suasana menjadi agak tenang, kedengaran pula suara jeritan dari pengawas yang kecil molek, Izah yang berada di pintu dewan, keadaannya seperti teramat penat. Seperti Zura, dia juga dihantar ke bilik guru. Setelah itu, barulah rakan pengawasku menceritakan kejadian yang berlaku semasa hari terakhir di kem kepimpinan. Rupa-rupanya, Izah pengsan di hari terakhir di situ. Kenapa dia pengsan? Katanya dia nampak ada orang melambai-lambai ke arahnya di tepi pantai. Selepas itu, dia terus pengsan dan dia dibenarkan untuk pulang lebih awal berbanding pengawas lain.

Kaunselor sekolah yang digelar sebagai mami mencapai mikrofon dan mengarahkan pelajar lelaki untuk naik ke kelas dan pengawas senior untuk mengambil surah yaasiin dan juga air mineral. Kesemua pelajar perempuan membaca yaasiin kecuali yang uzur termasuklah aku. Disebabkan tidak dapat membaca yaasiin, aku hanya membaca ayat kursi. Semasa membaca yaasiin, seorang pelajar menjerit dan disahut lagi dengan pelajar lain termasuklah rakan aku, Aida dan jiranku, Ayu. Mami mengarah 4 orang pengawas lelaki untuk mengazankan setiap penjuru dewan itu. Pelajar-pelajar yang terkena histeria dihantar ke surau, dan juga rakanku Ira,Diba dan Tiha. Hari itu berlalu tanpa sesi pembelajaran sekaligus membuatkan aku merasakan rugi kerana terlalu sibuk dengan kerja sekolah.

Hari Kedua
Seperti biasanya, aku akan membuat kerja sekolah yang belum selesai. Aida hadir ke sekolah pada hari ini, tidak seperti mangsa histeria yang cuti untuk berubat, Aida duduk dihadapanku. Setelah beberapa belas minit, dia menangis dan meracau sambil berkata, “boleh tak jangan kacau aku, aku penat tahu tak”. Aku terkejut dengan sikapnya dan rakan-rakan aku yang lain pun memapahnya ke bilik guru. Ika merupakan salah seorang yang menolong untuk memapahnya. Selepas kembali ke dewan, Ika menceritakan kepada ku bahawa Aida sangat berat sewaktu itu sedangkan berat Aida hanyalah 45 kilogram. Dia juga bercerita bahawa cikgu mengatakan bahawa mata Aida lain macam tetapi dia tidak mempunyai keberanian untuk memandang walaupun sekilas dan terus keluar menuju ke dewan. Aku berasa agak kecewa kerana aku ingin tahu bagaimana rupa Aida. Seperti hari pertama, kami juga membuat bacaan yaasiin. Aku dan rakanku yang uzur, bersembang sakan sehinggalah satu ketika, Natasha melihat ke suatu tempat terus mendiamkan diri dan menunduk kepalanya. Kawan baiknya, Fia sudah menangis kerana tidak pernah melihat Natasha sebegitu rupa.

Hari ketiga dan keempat
Keadaan sudah sedikit tenang dan kami belajar seperti biasa. Tetapi ada sesuatu yang membuat aku tertanya-tanya, iaitu mengenai teman lelaki Ika bernama Mika. Sejak hari pertama histeria berlaku, dia tidak pernah melangkahkan kaki ke dalam dewan. Aku pun mengambil keputusan untuk bertanya kepadanya. Dia mengatakan bahawa dia mempunyai keistimewaan iaitu deria keenam, boleh melihat ‘benda’ tersebut. Menurutnya, di dalam dewan itu masih ada banyak yang berkeliaran dan bertenggek.

Hari Kelima
Kami berkumpul seperti biasa. Selepas membaca doa dan selawat. Tepat jam 12:35, kami beransur bergerak ke kelas. Setibanya di kelas, seorang rakanku yang bernama Ila jatuh pengsan di kerusinya. Kebetulan pula rakannya tidak hadir ke sekolah ketika itu.

Selepas dari kejadian tersebut, kes histeria semakin berkurangan. Seminggu selepas kejadian tersebut, dengan sikap seperti “minah kepoh”, aku pun pergi bertanya kepada setiap rakanku yang menjadi mangsa histeria.

-Izah menceritakan kepadaku bahawa pada hari dia terkena itu, dia merasakan dirinya telah berlari mengelilingi sekolah beberapa pusingan. Sebab itulah aku melihatnya seperti kepenatan.
-Zura melihat ada benda yang mengekorinya dan berada di kakinya.
-Aida pula bercerita, semasa dia turun ke sekolah, dia terlihat ‘benda’ itu duduk di tangga sekolah dengan pakaian lusuh, rambut panjang dan kusut masai. Kemudian semasa Zura menjerit, dia melihat banyak ‘benda’ yang keluar dari mulut Zura. Dan pada waktu dia menangis pula, dia nampak benda tu nak masuk dalam skirt sekolahnya.
-Ayu menceritakan kepadaku bahawa, selepas pulang dari sekolah, bahunya berasa berat. Apabila sampai ke rumah, anak asuhan ibunya mengatakan bahawa ada ‘benda’ yang bertenggek dibahunya.
-Semasa Ira dan rakannya di dalam surau, Ira menceritakan bahawa dia melihat lembaga itu samar-samar di luar surau.
-Natasha yang tiba-tiba senyap pula berkata bahawa ‘benda’ itu melihat kearahnya.
-Kisah yang paling mengejutkan ialah perkara yang diceritakan oleh Ila. Dia pengsan semasa di dalam kelas kerana semasa di dewan, dia melihat seorang orang tua senyum kepadanya, tanpa berfikir negatif, dia pun membalas senyuman itu. Orang tua itu membawa gelas yang berisi lilin. Semasa kami diarah naik ke kelas, dia mendapati bahawa orang tua itu mengekorinya dan duduk di sebelahnya didalam kelas.

Rakan-rakan aku mengatakan bahawa punca kejadian itu adalah ada seorang pengawas tidak mencuci ‘pad’ yang telah dipakai semasa kem.
Pengajarannya ialah jagalah kebersihan di tempat yang baru, jaga solat untuk lindung diri.

Sekian itu sahaja daripada saya. Terima kasih.
Sorry cara penulisan aku formal. Haha.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit.

Hakak Comel
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

19 comments

  1. Cun. Mmg mantap. Tak dinafikan lagi kalau kes histeria mmg berlaku atas asbab kebersihan diri. Mantapkan cara penulisan kamu lagi ya dik. Pilihlah pemimpin yg bagus. SELAMAT mengundi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.