Iblis

Assalamualaikum warga FS.

Terima kasih andai kisah kali ini dipublish lagi di laman FS. Sekali lagi, aku AC. Tujuan berkongsi cerita di sini hanyalah sekadar berkongsi perkara yang aku anggap misteri buat diri aku. Mungkin belum tentu seram memandangkan aku kurang hebat dalam menyampaikan penceritaan dalam penulisan. Jadi sekali lagi, aku bukanlah tergolong dalam golongan mereka yang terbuka hijabnya, cuma melalui perkara aneh pelik dan misteri dalam kehidupan seharian itu bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam norma kehidupan aku.

Kali ini, aku akan menceritakan sedikit berkaitan mimpi dan juga penampakan ketika jaga. Aku seorang yang tidak pernah rehat dari bermimpi. Mimpi-mimpi yang memenatkan dan penuh dengan puzzles yang perlu dicari jawapannya. Atau mungkin tidak (?). Adakalanya mimpi-mimpi aku muncul seperti petanda kepada beberapa kejadian atau musibah yang bakal terjadi atau sedang terjadi pada timeline masa yang sama. Sejauh mana kebenaran itu, wallahualam. Aku sekadar mengatakan perkara yang seringkali terjadi. Itu sahaja. Tapi kali ini bukan berkenaan mimpi-mimpi itu yang ingin aku ceritakan. Tetapi satu mimpi yang penuh dengan debaran dan membawa kepada jaga yang mendebarkan.

Suatu hari, aku agak keletihan selepas pulang dari office. Tambahan pula, kerja aku yang melibatkan berurusan dengan ramai orang menyebabkan aku bertambah stres dan kepenatan yang teramat sangat. Hari itu aku pulang ke rumah agak lewat. Setibanya di rumah, aku menyiapkan apa yang patut. Membersihkan diri dan terus merebahkan diri di atas katil. Kepenatan. Mungkin terlalu penat aku agak tidak selesa. Sememangnya begitu kebiasaan. Aku sukar untuk tidur apabila terlalu penat. Jadi aku mengubah posisi dan kedudukan tempat pembaringan dari kepala menghala kepala katil kemudian kepada meletakkan kepala di hujung kaki katil. Apabila aku rasa sedikit selesa, lama-kelamaan aku tertidur.

Dan di sini aku bermimpi.

Dalam mimpi itu, aku melihat ramai orang di satu kawasan tanah lapang dan juga kawasan berair seperti laut atau sungai. Orang ramai kelihatannya seperti dalam keadaan siap siaga hendak bertempur. Aku berasa sedikit hairan melihat keadaan itu. Namun aku teruskan pemerhatian. Melihat beberapa wanita-wanita yang berbusana perang layaknya menambah minat aku untuk memerhati dengan lebih dekat. Hanya sedikit antara mereka golongan jejaka yang juga berpakaian seperti panglima perang dengan riak wajah penuh dengan siap siaga.

Aku sedikit takjub kerana tidak pernah melihat suasana seperti itu di hadapan mata. Mereka semua ada yang berdiri dan ada juga yang menunggang haiwan yang aku kira mungkin kuda. Lebih menakjubkan apabila ada yang menunggang kuda tersebut di atas permukaan air yang dalam tetapi tidak tenggelam. Keadaan sekeliling yang hingar bingar dengan persiapan untuk bertempur tidak sedikit pun menakutkan aku. Aku semakin berani mendekati salah seorang tentera wanita di situ.

”Apa yang kalian sedang lakukan?” tanyaku penuh dengan perasaan ingin tahu.

“Kita sedang menunggu musuh yang bakal tiba.” jawabnya dengan jelas.

“Siapa?” tanyaku lagi.

“Iblis dan pengikutnya.” aku terkejut akan jawapan yang diberikan.

Tiba-tiba rasa ketakutan menjalar ke dalam diri. Rasa panik yang entah datang dari mana. Sempat aku bermonolog sendirian di dalam mimpi. “Begini rupanya rasa berperang.”

Sesingkat itu juga, pertempuran berlaku. Golongan tentera yang aku kira dari golongan yang benar kerana aku mendengar mereka bertempur melaungkan nama Allah mengangkat senjata apabila digempur musuh yang nyata itu. Iblis. Aku terkejut kerana pelbagai jenis iblis syaitan dan pengikutnya muncul di hadapan mata. Ada yang berlari, berjalan, melompat malah ada yang terbang.

Dalam kekecohan itu, tiba-tiba aku ditarik seseorang. Wanita yang bercakap denganku awal tadi.

“Kita mesti lawan habis-habisan.” tegasnya kepadaku sambil memberikan satu senjata kepadaku.

“Aku tidak pandai berlawan dan berperang.” terkebil-kebil aku menyambut senjata yang asing di tanganku.

“Baca sahaja ini (aku dah lupa bacaan apa – tapi ayat al-quran), kemudian lontarkan sahaja kepada iblis durjana itu.” dia membuat demo di hadapanku.

Aku sekali lagi terkejut kerana senjata itu bukan seperti senapang atau pistol tetapi ia mengeluarkan cahaya biru, hijau dan kuning seperti pancaran yang membinasakan si iblis terkutuk. Aku sempat melihat keadaan sekeliling. Bermacam-macam jenis cahaya yang keluar dari senjata dan tangan tentera itu sewaktu melawan musuh. Dan lebih menakjubkan apabila sebaik sahaja terkena pancaran itu, iblis syaitan itu pecah menjadi debu.

“Yakin sahaja. Letak keyakinan kepada Allah.” katanya lagi.

Sejurus itu wanita itu menolakku di tengah-tengah medan pertempuran. Mahu tidak mahu aku terpaksa mengangkat senjata aku dan ‘menembak’ seekor syaitan yang meluru ke arahku. Berdebar-debar di buatnya. Tapi timbul rasa puas apabila melihat iblis syaitan itu hancur hanya dengan kalimah Allah yang disebut di mulut semua.

Pertempuran berlalu dalam masa yang agak panjang. Aku semakin kepenatan.

“Pulanglah. Ingat, yakin kepada Allah. Itu sahaja yang mampu mengalahkan mereka.” Wanita tadi berpesan kepadaku.

Aku menganggukkan kepala tanda faham akan pesanannya. Aku sedar aku hanya bermimpi dan harus bangun dari tidur yang panjang.

Di saat aku ingin membuka mata, kepala terasa sangat berat. Dalam keadaan separuh jaga aku cuba untuk membuka mata. Sedikit silau dan payah. Dalam samar-samar aku ternampak ada seseorang sedang berdiri di hujung kepalaku. (memandangkan aku tidur menghalakan kepala di hujung kaki katil).

Dengan mata yang masih berat, tiba-tiba aku disergah dengan jeritan yang sangat kuat dan panjang. Suara jeritan yang garau itu datang dari lembaga yang sedang berdiri di hujung kepalaku. Mukanya yang betul-betul tepat di depan mukaku hampir mengenai batang hidungku membuatkan aku makin takut. Sergahan yang menakutkan diikuti dengan rasa bahang yang amat panas di depan muka. Dada aku semakin berdebar-debar. Terasa tubuh badan mulai basah dengan peluh.

Aku kuatkan diri untuk membuka mata luas-luas. Jantung serasa terhenti apabila melihat muka yang sama yang aku lihat di dalam mimpiku tadi. Tubuh badannya hitam kemerahan umpama bara api yang terbakar. Biji matanya juga merah menyala. Mulutnya yang terbuka menyergahku umpama lohong api yang panas. Sempatku melihat ekor di belakang badannya, panjang dan mempunyai serampang panah dihujungnya. Di tangannya dia memegang satu tombak panjang bermata serampang tiga yang tajam. Dunia seakan-akan terhenti tetapi sergahan panjang dan garau masih kedengaran.

Entah dari mana kekuatan datang. Aku menjerit Allahuakbar dan menghalakan tanganku seperti yang diajar semasa bertempur dalam mimpi tadi ke arah makhluk yang aku percaya iblis itu. Serta merta ia hilang dan aku terus bangun dari pembaringanku. Nafasku laju. Baju dibasahi peluh. Masih terasa panas api yang datang dari badan makhluk itu. Masih kedengaran bingit gema sergahan suaranya. Dada juga masih berdebar-debar. Aku beristighfar banyak kali. Cuba untuk mencerna apa yang baru terjadi sebentar tadi.

“Iblis? Mimpi tadi?” aku kebingungan dalam keadaan yang masih terkejut.

Rasa kurang enak muncul. Aku melihat ke arah jam di dinding. Dah setengah jam lewat Subuh. Aku terus bangun dan menunaikan solat Subuh.

Mimpi dan penampakan ketika jaga itu adalah salah satu kejadian yang menyeramkan yang aku pernah rasa. Sedikit trauma untuk beberapa hari. Namun, seperti kejadian yang lain aku cuba abaikan dan teruskan kehidupan seperti biasa. Seperti biasa aku simpulkan ini semua ujian dan dugaan buatku. Mungkin ada sesuatu yang aku silap atau alpa dalam kehidupan seharian. Allah jentik menegur. Walaupun agak menakutkan, tapi aku percaya Allah menghadirkan mimpi dan kejadian sebegitu dengan hikmah yang perlu aku fahami dan beramal kepada Nya. Wallahualam.

AC

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

AC

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 2.5]

8 thoughts on “Iblis”

  1. Anda salah seorang manusia terpilih. Percayalah, anda telah masuk dlm salah satu senarai pemerhatian iblis. Kuatkan semangat, tingkatkan amalan, teruskan istiqamah. Yang berperang tu ialah kaum jin. Mereka sentiasa berperang cuma kita manusia yang tak tahu sehinggalah tiba waktu kita kelak. Anda tidak keseorangan. Refer “kunci pertemuan cahaya -gongpal” “kembara alam asteral – denial” dan “ratna” antaranya. Semoga tuan sentiasa didlm rahmat Allah.

    Reply
  2. Jin iblis antara jin high level. Dlm cerita ahmad akhlaqeen dia ada bagi tahu ciri2 jin tu. jin2 ni bukan yg org selalu jumpa tepi2 jalan tu. jin2 high level ni yg jd ketua2. Kaum iblis & ifrit. Ada writer ifrit itu kawanku penah tulis.

    Reply
  3. Seram la gambar yang admin guna tu. Tukar la min.
    Letak gambar Sajat ke gambar Rozita Che Wan ke, tak pun guna je gambar Kak Yulie.
    Tak kisah la. Janji bukan gambar tu

    Reply
  4. mimpi akhir zaman… mmg sejak akhir2 ni, diseluruh dunia ramai yg bermimpi tentang akhir zaman. bersiap la semua. dialam ghaib, pertempuran sudah bermula…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.