Ini Tempat Kami!

Assalaamualaikum WBT dan salam sejahtera kepada admin dan para pembaca FS. Berikut aku kongsikan #KisahSiRabun siri ketiga. Terima kasih sekali lagi kepada admin kerana sudi menyiarkan perkongsian ini. Terima kasih juga kepada pembaca atas ulasan yang memberi semangat untuk aku menulis lagi. Ada lima cerita dalam siri kali ini. Buat pengetahuan, penulisan Kisah Si Rabun ini merupakan kali pertama aku menulis kembali selepas SPM 1990-an. Maka, mungkin penulisanku agak skema, masih terpengaruh dengan format SPM.

Mengenai ibuku pula, iya, memang beliau terlampau banyak berkorban untuk kami. Begitu juga dengan bapaku. Yang kuceritakan sedikit itu yang aku nampak. Yang aku tidak tahu sememangnya banyak lagi. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati ibubapaku. Aamiin.

Kali ini, aku akan berkongsikan pengalaman ketika aku belajar di sebuah universiti di utara Semenanjung Malaysia. Ketika itu, universiti ini agak baru dibuka dan fasiliti pun tidak begitu lengkap. Aku merupakan antara kelompok awal yang diterima masuk dan mengambil pengajian Kejuruteraan. Universiti ini mempunyai banyak tasik dan terletak berdekatan dengan sebuah hutan simpan. Kediaman kami sebuah bangunan pasang siap berdekatan dengan tasik.

Bangunan tersebut cuma dua tingkat — tingkat bawah dan tingkat satu. Tangganya terletak di tengah-tengah bangunan, membahagikan bangunan tersebut kepada dua sayap (wing). Tandas beserta tempat mandi terletak di kedua-dua hujung bangunan. Bilik terletak berdepan antara satu sama lain dan dilengkapkan dengan dua katil tingkat (double decker), almari dan meja belajar. Kami empat orang junior diletakkan sebilik di tingkat satu, sayap belakang. Bilik kami di kelilingi para senior.

Dalam perjalanan untuk mendaftar, aku berdoa dalam kereta semoga ditempatkan bersama orang-orang yang baik untukku. Alhamdulillah, doaku dimakbulkan. Teman sebilikku semuanya budak-budak baik. Akan tetapi, semuanya tidak mengambil jurusan Kejuruteraan, termasuklah mereka yang suka melepak di bilikku. Maka, aku jarang berjumpa dengan mereka, kecuali waktu malam dan hujung minggu.

Lantaran kawasan universiti kami ini terletak di tempat yang agak kurang membangun ketika itu, memang banyak kudengar kes orang kena kacau oleh kak Lang di tandas, terutamanya pelajar lelaki. Bagaimanapun, jarang kedengaran gangguan terhadap pelajar perempuan ketika itu.

Nota sendu

Salah satu tuntutan jam kredit untuk para pelajar jurusan Kejuruteraan adalah bengkel besi (metal workshop), kalau tidak silap ketika semester dua, tahun pertama. Jadi, ramai antara kami yang membuat keputusan untuk mengambil semester khas yang ditawarkan ketika itu, semata-mata untuk metal workshop, supaya tidak menggangu subjek lain. Semester khas ini diadakan pada waktu cuti semester. Bengkel ini pula dijalankan di sebuah sekolah teknik yang berdekatan kerana ketika itu fasiliti ini belum ada dalam kawasan universiti. Jadi, kami akan menaiki bas yang disediakan ke bengkel sekolah tersebut. Pergi pagi-pagi, balik hampir Maghrib.

Oleh kerana aku seorang sahaja yang mengambil kelas tersebut dalam kalangan teman sebilik, aku tinggal seorang apabila mereka beransur balik ke kampung. Sebenarnya, aku berseorangan di sayap bangunan itu pun, kerana tiada senior yang mengambil semester khas tersebut. Tetapi, aku pun tidak berfikir lebih-lebih. Sebab selalunya lepas balik, mandi dan solat Maghrb serta Isya’, aku akan tertidur kepenatan.

Pada hari Ahad pertama, Rita kembali daripada kampungnya dan singgah di bilikku. Rita bukan teman sebilikku tetapi memang suka beramai-ramai di bilik kami. Kata Rita, dia bergaduh dengan neneknya dan malas mahu duduk rumah. Dia memang sangat manja dengan neneknya yang telah membelanya sedari kecil. Rita mahu duduk bersama-sama denganku ketika cuti semester tersebut.

Kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan. Ada juga teman aku di hari-hari sepi begini. Tetapi, aku memberitahu Rita yang kami hanya akan berjumpa waktu malam dan hujung minggu sahaja. Rita bersetuju dan mengambil katil bawah, berhadapan dengan katilku yang terletak di bawah juga.

Aku terbangun pada satu pagi Ahad, melihat Rita sedang duduk bersila di atas katil sambil memandangku dengan pelik.

“Haih, hang tak solat Subuh ka? Lambat sungguh bangun,” tanya Rita dengan dahi berkerut.

“Aku tak boleh solat le. Cuti,” terangku. Semakin dalam kerutan di dahinya.

“Habeh tu, awat hang bangun solat tengah-tengah pagi tadi? Dah la tak kejut aku pergi toilet sekali. Lepah tu sengih-sengih pulak bertelekung ngadap aku,” Rita meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya.

“Beb, manalah aku ada bangun pagi tadi. Kenapa pulak aku nak solat ngadap engkau. Kiblat kan arah sini,” aku menunjuk ke arah tepi katilku. “Solat mengadap engkau buat ape, membelakangkan kiblat,” sambungku lagi.

Pucat muka Rita,”Habeh, sapa senyum kat aku pagi tadi weh. Aku siap balaih balik.”

“Takde ape la. Kau mimpi kut,” pujukku. Rita cuma mengangguk perlahan. Daripada riak mukanya, aku tahu dia tidak termakan pujukanku.

Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sekembalinya aku daripada bengkel pada petang hari Isnin keesokan harinya, aku terjumpa nota yang Rita letakkan atas katilku. Nota tersebut berbunyi;
Cahaya, aku balik dulu. Aku takutla. Sorry ya.
Sendu betul.

Meleseh

Lebih kurang tahun ketiga, kami dipindahkan ke bangunan hostel baru. Kelompok bangunan baru ini dahulunya hutan, jauh ke dalam daripada kawasan penempatan kami yang sebelumnya. Seperti biasa, kalau kawasan hutan yang baru dibuka, banyaklah cerita pemindahan makhluk-makhluk halus. Akan tetapi, tidak dapat disahkan kebenarannya.

Kali ini, kami ditempatkan di sebuah bangunan lima tingkat. Satu tingkat ada empat buah rumah. Sebuah rumah ada enam bilik untuk dua belas orang pelajar. Seperti biasa, aku bagaikan seorang yang ‘forever alone’. Tiada seorang pun teman sekelasku dalam bangunan itu kecuali sebuah rumah di tingkat lima. Aku duduk di tingkat tiga bersama dengan pelajar bukan Kejuruteraan. Tiada masalah bagiku, asalkan kami semua gembira.

Cuti semester pun tiba. Seperti yang lain, aku mengemas baju dan beg dengan rasa penuh gembira. Tiba-tiba Rita yang menginap di bilik sebelah, datang ke bilikku. Katanya dia hendak menumpang tidur dikatilku ketika aku cuti. Dia tidak mahu balik ke kampung kerana bergaduh lagi dengan neneknya. Aku pelik, kenapa tidak dia tidur di biliknya yang terletak di penjuru. Kan lebih besar dan selesa? Tetapi, aku malas mahu bertanya lebih-lebih. Orang tengah sensitif, takut panjang rajuknya. Jadi, aku benarkan sahaja.

Sekembali daripada cuti, Rita menggamitku ke arahnya, dengan muka penuh konspirasi.

“Awat?” tanyaku.

“Weh, aku tidoq katil hang hari tu, tengah sedap-sedap tidoq tu aku rasa ada orang duduk then baring ataih katil. Aku pun kesotla tepi sikit. Tapi, orang tu kesot-kesot ke aku sampai aku tersepit ke dinding. Rasa macam nak marah la weh. Aku ingatkan hang. Awat mendengki sangat kat aku. Aku bangun cepat-cepat, ingat nak sound la. Sekali tengok kosong. Katil Nina pun kosong. Baru aku ingat korang semua dah balik. Pintu bilik, pintu rumah semua aku kunci. Lepaih tu siapa tadi. Rasa nak teghiaq semua ada,” bersungguh-sungguh Rita mengadu.

Kata Rita, selepas kejadian itu dia terus tidak tidur hingga ke pagi. Terbit sahaja mentari terus dia berkemas balik ke kampung. Kata teman sebilikku, Nina, mungkin itu balasan kerana asyik bergaduh dengan neneknya. Pada aku pula, tidak kisahlah apa-apa pun, itu katil aku, bilik aku. Aku pulak yang jadi seriau. Siapa pula sibuk meleseh dengan Rita. Hish.

Kertas terakhir

Kali ini berlaku ketika cuti semester juga. Waktu itu, pelajar yang bukan Kejuruteraan telah habis menjawab semua kertas peperiksaan. Tinggallah kami pelajar jurusan Kejuruteraan yang mempunyai satu lagi kertas yang perlu dijawab lebih kurang lima hari selepas itu. Maka, tinggallah diriku seorang diri sekali lagi. Aku masih di bilik yang sama. Kali ini, tiada lagi kedengaran hasrat Rita mahu menghabiskan cuti semester di univerisiti. Mungkin dia sudah serik.

Aku membuat keputusan untuk menabahkan diri dan duduk sahaja dalam rumah kami walaupun seorang diri. Malas mahu berpindah-randah. Buku-bukuku berat. Lagipun, aku perlukan computer untuk membuat simulasi. Zaman itu cuma ada monitor ‘CRT tube’ yang besar dan gemuk. Tiada skrin rata atau komputer riba seperti sekarang. Dua malam kulalui dengan tenang, tanpa sebarang gangguan. Lagipun aku memang selalu ‘stay up’ sehingga ke Subuh.

Pada malam ketiga, aku mengambil keputusan untuk melayan mata yang mengantuk dan tidur lebih awal, lebih kurang 10 malam. ‘Kringggggg!’ Aku dikejutkan dengan bunyi jam loceng Nina. Aku tersentak bangun, dalam keadaan mamai bergerak ke katil sebelah untuk menutup jam tersebut. Baru sahaja aku mencapai bantal tidur yang menutupi jam tersebut, bunyinya berhenti. Jadi, aku pun tidur kembali. “Kringggg!’ Jam berbunyi sekali lagi. Hai, sakit jantungku kerana terkejut bergitu. Sekali lagi jam berhenti berbunyi sebaik sahaja aku mahu mencapainya.

Aku merasa semakin pelik. Nina mempunyai sebuah jam loceng digital yang boleh disetkan untuk berbunyi pada waktu yang sama setiap hari. Akan tetapi, hanya satu masa sahaja yang boleh disetkan, bukan beberapa waktu seperti yang boleh dilakukan pada telefon bimbit pada hari ini. Lagipun, kalau mahu ‘snooze’ jam tersebut, aku perlu menekan butangnya. Jika tidak, jam tersebut akan berbunyi sangat lama. Lebih pelik lagi, kenapa baru malam ini jam berbunyi. Siapa yang boleh buat dajal, aku sudah mengunci semua pintu yang patut. Aku belek-belek jam Nina. Pukul 3 pagi. ‘Mungkin rosak,’ getusku dalam hati. Aku letakkannya kembali di tempat asal — bawah bantal tidur Nina.

Aku hampir terlena bila tiba-tiba…. ‘Kringgggg!’. Terlompat aku daripada katil. Pening kepala. Kali ini aku biarkan sahaja buat beberapa lama. Aku mahu melihat sekiranya jam itu memang berbunyi sekejap-sekejap. Kalau iya, maksudnya memang betul rosak. Malangnya, kali ini jam tersebut tidak berhenti berbunyi sehingga aku menutupnya sendiri. “Aku datang sini nak belajar. Tolong jangan kacau aku,” aku bermonolog di dalam bilik. Mana tahu ada yang mendengar, semoga memahami. Mahu lari keluar, kakiku sudah terasa macam jeli. Lagipun aku mahu lari mana. Rumah terdekat di tingkat lima, macam-macam aku boleh terjumpa dalam perjalanan ke sana. Tak pasal-pasal.

Sudahnya, aku terus bangun dan sambung belajar. Apabila hari siang tiba, aku menghantar SMS kepada Nina, bertanyakan tentang jam locengnya itu. Menurut Nina, tidak pernah lagi jam locengnya jadi sepelik itu. Dia pun tidak pernah kunci jam untuk bangun pukul 3 pagi, apatah lagi bila dia sendiri tidak ada. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, selepas itu aku tidak lagi diganggu dan selamat menjawab soalan kertas terakhir semester tersebut.

Lain kali tutup tingkap

Pada semester dua dalam tahun ketiga, pelajar bukan Kejuruteraan pergi latihan industri. Maka, kali ini aku duduk serumah dengan pelajar Kejuruteraan yang lain, termasuk seorang teman serumah asalku, Dira. Dira dahulunya teman sebilik Rita dan menginap di bilik penjuru yang padaku lebih lapang. Jadi, apabila Dira mempelawaku supaya tinggal bersama, aku terus setuju. Bilik asalku diduduki oleh Rini dan Wawa, yang jugak rakan sekelasku. Kiranya, rumah yang kududuki masih sama, cuma teman serumah dan di bilik yang berlainan.

Benar kata orang, kita tidak mengenal seseorang sebenar-benarnya sehingga kita tinggal bersama orang tersebut dalam satu rumah. Disebalik penampilan normal Rini dan teman baiknya Wawa, rupa-rupanya mereka banyak berahsia.

Satu hari, ketika dalam bilik air, aku dan Dira terserempak dengan Rini dan Wawa di sudut, sedang bertengkar. Lebih tepat lagi, Rini sedang membebel dan Wawa menggaru-garu kepalanya sambil berkata, “Sorry. Sorry.”

“Kenapa ni?” tanya Dira, cuba menenangkan keadaan.

Rini dan Wawa berpandangan sesama sendiri sebelum Wawa berkata,”Takpa, kita masuk bilik dulu. Cerita sana.”

Kami berempat duduk di bilikku. Wawa menghela nafas dan memulakan cerita, sambil melirik matanya kepada Rini, “Rini ni…dia nampak.” Rini nampak serba-salah.

“Semalam aku nak tidur awal. Wawa nak ‘stay-up’. Dia ni kalau ‘stay-up’ mesti buka tingkap luas-luas. Jadi, aku ingatkan dia tutup tingkap sebelum tidur. Tapi, aku terbangun tengah-tengah malam tu, aku tengok dia dah berdengkur kat katil, tingkap ternganga. Kau tau ape aku nampak? Ada perempuan rambut panjang, muka hodoh tengah merangkak masuk tingkap tu. Aku cepat-cepat buat-buat tidur. Tapi, dia perasan kut aku sebenarnya tak tidur. Dia berdiri tepi katil, perhatikan aku sampai azan Subuh. Keras tau tak aku atas katil. Wawa yang tak tutup tingkap, sedap tidur, aku yang kena. Siapa yang tak hangin,” bebel Rini.

Patutlah. Rupa-rupanya Rini seorang yang hijabnya terbuka. Kebanyakan teman serumahku semuanya mengetahui hal ini kerana mereka semua berkawan baik sejak di bangku sekolah lagi. Cuma aku dan Dira yang tahu sekarang. Sekiranya mereka balik kampung berdua pada waktu malam, hanya Wawa yang akan memandu kerana Rini akan nampak macam-macam benda sepanjang perjalanan.

“Lain kali, kalau Rini suruh buat apa-apa — dia suruh senyap ke, pergi tidur ke, korang ikut je dulu ya. Jangan tanya-tanya,” ujar Wawa. Kami berdua mengangguk.

Pada satu malam di hujung minggu, kami serumah bergosip dan bergelak ketawa sambil makan kudap-kudapan di bilikku. Biasalah bila dah ramai-ramai, memang haruk-pikuk. Rini bangun untuk pergi ke dapur minum air. Tiba-tiba, dia masuk ke bilikku dan duduk perlahan-lahan di tepi Wawa, sambil memandang kami. “Korang, pergi tidur sekarang,” bisik Rini.
Apabila melihatkan kami tidak bergerak, diulangnya lagi, “Pergilah tidur sekarang. Kunci pintu.” Mukanya makin pucat. Seorang demi seorang mengundur diri ke bilik masing-masing. Malam jadi sepi.

Esoknya, aku bertanyakan kepada Rini tentang kelakuannya malam semalam. Kata Rini, dalam perjalanan ke dapur, ketika melintasi bilik air, dia ternampak seorang wanita berambut panjang berdiri di tepi pintu bilik air. Wanita itu memakai baju yang berdarah, sedang menggengam pisau sambil memandang tajam ke arah kami yang sedang berkumpul. Itu sebabnya dia suruh kami masuk tidur, supaya kami tidak bising-bising lagi.

Tolong kejutkan aku

Aku memang seorang yang tidak suka belajar di perpustakaan. Perhatianku cepat teralih, sangat tidak sesuai belajar beramai-ramai. Aku juga suka mendengar lagu dan menyanyi ketika belajar. Oleh itu, apabila musim peperiksaan, di kala ramai memilih perpustakaan termasuk Dira, aku masih selesa dengan bilikku.

Hari itu, Dira pergi ke perpustakaan seperti biasa untuk belajar bersama rakan sekelasnya. Aku dan Dira tidak sama kelas dan tidak sama ‘batch’. Dah duduk seorang diri, terasa bosan pula. Jadi, aku mengambil keputusan untuk mengamalkan Sunnah tidur sebentar sebelum masuk waktu Zuhur.

Sedang sedap tidur, aku bagaikan terenjat dan terbangun, dalam keaadan terlentang. Kebiasaannya, aku tidur mengiring. Mengikut pengalamanku, bila bangun dalam keadaan begini, sesuatu yang tidak baik akan berlaku. Dalam keadaan masih terbaring dan terpinga-pinga, aku melihat seorang lelaki tua di tepi katilku mahu melabuhkan punggungnya di atas badanku. Dia seperti menganggap aku sebahagian daripada tilam dan mahu berbaring.

‘Hah, sudah,’ fikirku. ‘Nak menindih orangla ni.’ Aku terkenangkan teman dormku ketika zaman sekolah dulu, Jaja yang hijabnya terbuka, pernah menceritakan apa yang dilihatnya sebelum ketindihan. Bezanya dia nampak lembaga hitam. Aku nampak lelaki tua.
‘Ini tak boleh jadi,’ fikirku lagi.

Menurut ilmu psikologi, manusia mempunyai ‘acute stress reponse’ atau tindak balas tekanan akut – ‘fight or flight’ atau ‘lawan atau lari’ — ketika dalam keadaan tertekan. Pada waktu itu, tubuh badanku memilih ‘lawan’. Jadi, aku menerajang orang tua tersebut. Bergolek dia ke lantai. Badanku masih dipembaringan, kaki sahaja yang bergerak. Tidak tahu daripada mana, muncul seorang lelaki yang lebih muda, memarahiku, “Kenapa kau tendang ayahku begitu, ini tempat kami. Kami sudah lama duduk di sini!”

“Ini katil akulah. Aku yang duduk sini dulu. Ini rumah perempuan. Kenapa kau ada kat sini?” aku naik angin pula.

Ketika itu, aku cuma ada rasa marah. Rasa takut tidak ada. Kami bertengkar, tapi aku sudah tidak ingat butir pertengkaran kami selanjutnya. Tidak lama kemudian, kedengaran azan Zuhur dan Dira kembali bersama makanan tengah hari yang aku pesan daripadanya. Aku duduk terpinga-pinga di atas katil. Rasa letih sekali.

“Engkau ni kenapa serabai sangat. Dah pergi ambil wudhu’, kita solat then makan”, tegur Dira. Aku ikutkan sahaja. Aku mahu bercerita pada Dira, tapi lidahku kelu ketika itu.

Malam itu, aku tidur awal kerana masih berasa sangat letih. Tiba-tiba, aku terbangun sekali lagi. Keadaanku terlentang lagi. Aku cuba menggerakkan badanku tapi kaku. Cuma leher dan kepala sahaja yang boleh bergerak. Aku nampak Dira sedang lena tidur di katil tepi dan cuba memanggilnya tetapi tidak keluar suara. Bilaku alihkan pandangan ke depan, kulihat ada seorang budak perempuan sedang duduk di atas badanku. Lebih tepat lagi, dia sedang mencelapak dadaku. Sesak nafas rasanya. Dengan bantuan cahaya samar, aku lihat budak tersebut seperti memakai gaun putih dengan rambut lurus seperti china doll. Rupanya tidak berapa jelas.

Aku cuba membaca Ayatul Kursi dan bertakbir, tetapi tiada apa yang keluar. Budak itu mencengkam jarinya di lenganku, kiri dan kanan dan melorotkan dirinya kearah kakiku. Dengan penglihatan yang terbatas, lantaran hanya leher dan kepalaku sahaja yang boleh kugerakkan, kulihat dia akhirnya hilang dihujung kaki. Setelah itu barulah aku boleh membaca Ayatul Kursi dengan jelas.

“Cahaya,” tegur Dira, dalam gelap. “Kenapa tu?”

“Takde apa, tidurlah. Esok aku cerita,” ujarku. Alang-alang Dira sudah sedar, keberanianku datang sedikit. Lalu, aku menjenguk hujung kaki katil. Tidak ada apa-apa.

Aku mengambil keputusan untuk ‘stay-up’ sahaja malam itu. Mataku sudah tidak boleh lelap lagi. Dira ikut bersamaku. Menurut Dira keesokan harinya, dia mendengar bunyi orang berkeruh-keruh beberapa kali, tetapi takut untuk menegur. Mungkin, bunyi itu datang daripadaku yang cuba membaca Ayatul Kursi. Aku menceritakan segalanya kepada Dira. Pesanku kepadanya, lain kali kalau nampak atau dengar macam bunyi pelik daripada aku, tegurlah. Kalau takut sangat, balinglah bantal. Tolong kejutkan aku.

Nota: Alhamdulillah, cerita yang akhir ini merupakan kali terakhir aku benar-benar diganggu ketika di universiti. Yang lain-lain tu, cuma bunyi-bunyi dan kelibat sahaja. Apapun, padaku kita perlu memahami bahawa bukan makhluk nyata sahaja yanga ada di muka bumi. Paling penting sekali, kita jangan terlampau takut dan jangan terlampau berani. Selalu ingat Allah SWT yang Maha Berkuasa di atas segalanya.

.

Cahaya

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

8 comments

  1. aku memang suka penulisan #KisahSiRabun ni….jelas, terang je cerita dia….seram ada, nasihat ada…pastu siap ada penerangan saintifik lagi….aku harap penulis kalau ada cerita lagi, tulis dan hantar jer….

    penulis2 lain yang nak hantar ke FS ni,boleh belajar camne nak menulis dengan penulis ni..setakat ni,semua cerita dia tak mengecewakan aku…bukan cam sesetengah tuuu, cerita syok sendiri, nak tunjuk dia hero jerrr (-_-)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.