INSAN TERPILIH

INSAN TERPILIH

AKU kini berada di kampung. Aku diminta oleh mak su untuk menjadi model perasmian butik pengantin kawannya di Kuala Kangsar. Memandangkan waktu itu aku aktif dalam bidang ini, jadi aku sememangnya bersetuju.

Rumah maksu bersebelahan dengan rumah opah aku. Pada petangnya, kami ke Lumut sekejap untuk tengok sunset.

“Malam ni kita tidur rumah opah ok” ujar Mak Su sambil mengawal stereng kereta. Aku terdiam dan jeda sebentar. Bukannya aku tak mahu tetapi…

“Kakak.. Opah nak minta tolong dari kakak.. Uhuk uhuk,” ujar Opah terbatuk- batuk. Aku menyoalnya kembali pertolongan apa sambil menggosok belakangnya yang makin membongkok. Percaya tak kalau aku cakap tiap kali aku memasuki bilik Opah, bulu romaku pasti menegak. Aku yang sengaja mengabaikannya.

“Opah .. Opah tahu Opah tak lama lagi..”

“Ish! Apa opah ni.. Kenapa cakap macamtu pula?”

Tangannya yang terketar- ketar mengambil tanganku lalu digenggam dengan erat. Aku pantas berpaling saat ada angin datang menyapa belakang leherku. Dadaku kian berdebar kini. Aku lihat tunakkan mata Opah agak berbeza dari tadi.

“Kakak.. Opah cakap begitu, sebab Opah memang dah tahu. Kakak.. Buka tingkap sekejap opah panas lah..”

“Tapi opah dah senja ni!”

“Kakak tak kesiankan opah ya?” Opah sengaja melirihkan suaranya. Aku pula terasa sayu dan bersalah. Aku letakkan tangan opah ke atas tilam dengan perlahan lalu aku menapak ke arah jendela. Daun jendela aku bukakan dan terpaparlah keadaan yang semakin ingin gelap. Dan ketika itu, azan dah pun berkumandang.

Aku tahu ada ‘sesuatu’ di luar jendela. Aku seakan terlihat kelibat sedang melintas dengan laju. Kalaulah waktu itu, hijab aku seaktif sewaktu aku masih remaja dahulu…

“Kakak.. Mari duduk dekat Opah. Opah ada sesuatu nak ‘bagi’ pada kakak..” kata Opah sangat lembut. Tangan kedutnya menepuk- nepuk tilam disebelahnya.

Tangan kedutnya menepuk- nepuk tilam disebelahnya. Sesekali aku perasan matanya melirik ke arah kiri.

Entah kenapa laju tangan kiriku menekan dada. Degup jantung aku laju pada masa itu. Angin senja pula bagaikan ingin memberitahu sesuatu sahaja. Opah memanggil lagi, kaki pula terasa berat.

Namun, aku seperti di hipnotis lantas aku laju melangkah ke arah katil. Senyuman Opah merekah. Setelah sampai tangan Opah menarik tubuhku supaya duduk. Aku langsung duduk di sebelahnya. Opah terbatuk sekali lagi malah kian kuat pula. Laju tanganku mengurut belakangnya.

“Kakak.. Kakak tahu tak kakak ni insan terpilih?”

“Apa maksud opah?” soalan aku itu dijawab dengan senyuman Opah yang kelihatan agak menyeringai. Aku tahu keadaan tidak begitu menyenangkan, tapi kenapa lidah aku kelu nak baca surah?

“Kakak.. Tapi janji dengan opah dahulu boleh?” Opah mulai menjalarkan tangannya ke bahagian atas tanganku.

“Kakak!!!” jeritan Mak Su telah menerbangkan segala momen – momen tempohari dan kini aku berada di dalam kereta Mak Su. Aku pandang keliling dan aku tahu sudah sampai ke pantai.

“Kakak ni kenapa? Dari tadi maksu tengok asyik mengelamun je?” Mak Su terasa pelik. Dia seakan mengesyaki sesuatu. Aku yang tersedar seraya tersenyum dan memberi dalih tiada apa- apa.

“Ke.. Kakak takut tidur rumah Opah..” bisik Mak Su dengan perlahan. Aku dengari jua, aku tahu Mak Su tahu sesuatu tentang Opah. Aku mahu tahu tapi bagaimana ya?

Semilir angin menemani deruan ombak. Kicauan burung seakan mengiringi berlabuhnya tirai senja. Biasan berbentuk bulat kini terpapar di permukaan laut. Cahaya kian kekuningan menandakan mentari ingin membenamkan dirinya agar tirai malam pula berlabuh.

***
Sesaat aku berpaling wajah ke arah deretan kereta yang terparkir ditepian pokok- pokok rendang, mataku terpandang sesuatu. Dan sesuatu itu pula kini berada di dalam kereta Mak Su.

“Opah?”

“Apa kakak?” soal Mak Su yang juga melihat benda yang sama. Berkerut dahinya kini, sambil memandang aku dan keretanya.

“Opah?” kataku lagi. Mak Su memandang jam dipergelangan tangan seraya beristigfar. Senja kini. Dia mulai membaca beberapa potong ayat Al Quran lalu tanpa aku sedari dia menghembuskannya ke arah mukaku. Sebenarnya, aku sedar akan tingkah Mak Su itu.

“Kakak jom balik, kesian Opah tak makan lagi tu”

“Ba.. Baiklah,” aku menjawab agak menggeletar. Jika Opah di rumah, siapa pula yang dia nampak dalam kereta Mak Su?

“Kakak.. Tak mahu balik ke? Kita nak kena cari barang lagi ni..” ujar Mak Su sambil mencuit bahuku. Aku terkejut dan beristigfar sekejap sebelum kami sama – sama berpapasan untuk ke arah parkir.

Sengaja aku memperlahankan langkah apabila semakin hampir dengan kereta. Aku kini berada di belakang tubuh Mak Su dan sambil- sambil itu, aku mengintai ke arah kereta. Mujurlah Opah tiada!

***

“ALLAH!” pekik kami berdua tatkala kereta terpaksa diketepikan dengan secara tiba- tiba, apabila ada benda putih sedang laju melintas arah hadapan kereta kami.

“Ap.. Ap.. Apa tu mak su?” soalku terketar- ketar langsung memegang erat lengan Mak Su. Mak Su masih lagi bergumam mulutnya. Aku tahu ayat apa yang sedang Mak Su baca.

“Takde apa- apa. Dah lupakan”

Aku tahu niat Mak Su itu. Dia tak mahu aku teringat- ingat tentang perlanggaran tadi. Aku terus merenung jendela di sisi. Jalan untuk ke rumah sudah semakin hampir.

Mak Su terpaksa memasang lampu tinggi. Jalan tersebut gelap kerana tiada berlampu jalan. Mak Su meminta aku supaya memasangkan cd ayat- ayat Al Quran. Aku mencari cd tersebut dalam dashboard sebelum aku masukkan ke dalam pemainnya.

“Jangan ganggu dia.. Dia keturunan Nyah juga..” bisik Mak Su seperlahan mungkin sambil sesekali mengerling ke arahku. Aku nampak dari dalam cermin. Bulu roma aku naik mencanak semula.

‘Dengan siapa Mak Su bercakap? Apa semua ini? Sebulan yang lepas Opah minta aku..’ desis hatinya terhenti tatkala kereta telah pun berhenti. Mak Su sudah keluar dahulu aku pula baru membuka pintu kereta.

Hidung aku kembang- kempis. Aku tak tahu sama ada Mak Su juga terhidu bau yang sama ataupun tidak. Tapi, yang pasti aku terhidu bau air dari pelembah.

“Kakak marilah kita ke rumah Mak Su sahaja..” ujar Mak Su dengan melirik tajam ke arah halaman kosong depan rumah Opah. Aku yang sememangnya makin meremang akur dan menapak dahulu.

Ketika aku mahu masuk, aku terdengar Didi anak sulung Mak Su berkata sesuatu.

“Tadi.. Ada lima sahabat berpakaian pendekar duduk depan rumah Opah.. Kak Zana biarlah tidur di bilik Didi.. Didi dah ‘palang’.”

Aku mahu berpaling tetapi terpaksa meneruskan langkah, apabila Mak Su telah pun berada dibelakangku. Aku juga dengar apa kata Mak Su.

Didi yang baru sahaja pulang dari gelanggang silat mengangguk lantas keluar semula dan menuju ke arah belakang.

“Kakak tidur dulu ya.. Pergi masuk bilik Didi”

“Habis Didi tidur mana?”

“Didi ada kerja.. Tak balik katanya…”

“Herm baiklah. Kakak masuk dulu ya..”

“kakak..” Mak Su dengan pantas memegang pergelangan tangan. Aku terus berpaling sambil berkerut dahi.

“Mandi dengan solat dulu.. Tidur tu mengiring.. Tahukan..”

“Ya maksu ..” jawabku seraya tersenyum. Tapi berlainan pula pada tafsiran Mak Su. Aku dapat rasakan betapa eratnya tangan Mak Su mengenggam tanganku.

Setelah sampai ke muka pintu bilik Didi. Barulah Mak Su melepaskan tanganku yang telah dia pegang tadi. Dan dia meneruskan perjalanannya untuk ke dapur.

***

“SIAPA lima sahabat tu ya? Berpakaian pendekar pula tu? Ish, dah pukul berapa ni?” Aku masih lagi belum mahu lena. Mungkin penangan kopi kawkaw Kedai Pak Kulop. Mata membulat, tatkala melihat jarum panjang pada jam meja telah pun tepat pukul 12 tengahmalam.

Tiba- tiba, aku terdengar bunyi sosek- sosek. Bunyi daun kering dipijak. Aku cuba menelinga lagi malah kini aku mendekati dinding papan. Telinga aku dekatkan lagi pada dinding. Jendela sebelah atas kepalaku, boleh sahaja jika aku membukanya sekarang namun, mindaku melarang aku berbuat demikian.

Tadi aku terhidu bau busuk dan kini aku terhidu pula bau wangi dan juga bau kemenyan. Baru aku perasan ada lubang kecil. Dadaku yang berdebar- debar aku cuba abaikan. Aku ingin tahu juga apa yang ada diluar sana. Tambahan pula, waktu sebegini kebanyakkan orang sudah lena dibuai mimpi.

Peluh yang memenuhi pada dahi, aku seka sekali lagi sebelum aku mengintai dari balik lubang tersebut.

“Allah!” Aku terus terduduk. Degupan jantung bertambah laju. Aku kini diganggu pula dengan bunyi cakaran pada dinding yang sama aku mengintai tadi.

Tok tok tok!

“Kakak.. Kakak.. Kakak..” ujar suara ghaib itu. Berintonasikan nada penuh kesayuan. “Kakak.. Buka tingkap kakak… Opah ni kakak..”

Tok tok tok!

Tik tik tik!

Telinga aku kini telah dihiburkan dengan pelbagai bunyi. Bermula bunyi dedaun kering dipijak, cakaran, ketukan yang masih bertalu- talu dan detik jam.

“Kakak… Kakak.. Kakak..”

“Kakak! Kakak! kakak!”

“Kakak.. Kakak.. Kakak.. Hihihi”

“Kakak! Buka pintu ni!” Bentak Mak Su yang masih lagi gagal membuka pintu tersebut, sedangkan pintu itu tidak berkunci.

“Argh pergi jangan ganggu aku!” jerit aku lagi. Aku kini tak mampu nak bergerak apabila belakangku telah dihalangi katil. Suara Opah benar- benar menakutkanku. Kenapa Opah tak tidur dan kenapa pula perlu Opah berada diluar?

“Tak boleh Didi, mak dah cuba!” ujar Mak Su berwajah cuak. “Mak Su tolong kakak.. Opah Mak su.. Opah kacau kakak lagi..”

“Apa maksud kakak? kacau lagi?” soal Mak Su saling berpandangan dengan Didi. Berdentum- dentam bunyi periuk jatuh di dapur pula.

“Opah tu mak..”

“Belakang kita ni baru opah,” ujar Mak Su lalu berpaling. Didi seraya mengangguk, dan dia faham. Di dapur itu bukan ‘Opah’ tetapi belaannya.

“Itu balasan buat orang yang mengingkari kata- kata aku!”

“Mak.. Kenapa buat kakak begitu? Dia tak mampu mak .. Dia tak mampu nak ‘menjaga’.. Kalau Alang tahu mesti dia marah!”

Opah yang berdiri di hadapan Mak Su bukanlah Opah yang selalu dilihat hanya terbaring. Kini dia kelihatan sihat dan mampu berdiri tegak. Mak Su dan Didi dikejutkan pula dengan bau air pelembah dan kehadiran lima bersahabat dalam pakaian pendekar serba hitam.

“Tapi dia insan terpilih! Apa yang kau tahu! Puteri mahukan dia! Apa kau dah lupa pada perjanjian kita?” tengking Opah. Memeranjatkan mereka berdua.

“Mak..” Didi menarik tangan Mak Su supaya ke tepi. Pintu kini telah terbuka. Kakak keluar dari dalam bilik dengan tingkah yang pelik. Selimut kini dia jadikan tudung dikepalanya.

“Nyah.. Mana janji- janjimu itu? Aku lapar darah hahahaha..”

Mak Su mengarahkan Didi supaya pergi ke rumah Nyah Omar. Didi pada mulanya keberatan mahu meninggalkan mereka namun setelah dipaksa dia akur.

“Sudah tiba masanya mak… untuk…aku.. Argh!” kata- kata dari Mak Su terhenti apabila aku mencekik lehernya. Opah pula tersenyum.

“Kau telah mencabar aku!”

***

BEBERAPA TAHUN DAHULU,

KERAJAAN INDERAPURA telah lama bertapak dan membina penempatan mereka disepanjang persisiran Sungai Bota. Istana Pura yang selama ini hening telah mula berkocakan dengan berita kegeringan Puteri Sari.

***

NYAH RUBIAH terpaksa akur dengan permintaan tersebut jika tak mahu kampung mereka tidak aman. Perjanjian yang dimeterai dengan darahnya sendiri bakal ada pewaris pabila Nyah telah tiada.

Oleh kerana Nyah Rubiah anak perempuan sulung dalam keturunan. Leluhur Puteri mahu anak perempuan sulung dalam setiap generasi ‘menjaga’ nya.

“Jangan Biah, anak kamu aku tahu dia takkan mampu ..” ujar Nyah Omar sambil berpeluk tubuh. Dia mahu memutuskannya. Dia tak mahu ada antara ahli keluarga keturunan menuruti segala kehendak Puteri itu lagi.

“Habis tu kamu suka hidup aku porak- peranda? Rezeki aku putus?”

“Biah! Bukan saka itu yang memberi kamu rezeki! Dia siapa? Syaitan! Kamu tahu tak!”

“Biah.. Biah! Astagfirullahalazim!” Nyah Omar menunduk sambil mengepal tangan kanannya. Ayat- ayat suci Al Quran kedengaran. Setelah dia hembuskan pada kepalan tersebut.

Nyah Rubiah masih lagi memerhati ulah Nyah Omar. “Siapa kau mahu singkirkan beta!” herdik Nyah Rubiah juga membuka bunga silat.

“Allahuakbar!” Nyah Omar membaling sesuatu dari dalam tangan yang dia kepalkan.

“Argh…”

***

“SAMPAI bila- bila pun aku takkan mengizinkan kau ganggu keturunan kami lagi! Pulanglah ke asal mu!” Bentak Nyah Omar disamping Didi yang bersiaga dengan kekudanya.

Didi kelihatan berpeluh- peluh setelah bertarung dengan lima pemuda bergelar pendekar yang muncul dari dalam sungai belakang rumah Opah. Sungai itulah Sungai Bota di mana mengikut cerita, telah didirikan sebuah kerajaan lama.

“Dia milik aku!” tengking aku yang masih lagi dikuasai Puteri Sari. Aku baru dapat mengingati semula, aku ada membalas pantun yang Opah berikan. Selain Puteri Sari yang merupakan saka keturunan, Opah juga ada mengambil minyak hidup dan pendamping jembalang tanah. Patutlah zaman mudanya dahulu seorang yang berani.

Menoreh, berkebun dan berkolek ke Teluk Intansari seorang diri untuk menjual buluh- buluh. Dan kesemua ini, dia mahu perturunkan pada aku.

“Didi, kau tahu mana minyak hidup itu? Aku mahu putuskan segala- galanya pada malam ini juga!” arahan dari Nyah Omar yang sedang melilit kain dastar berwarna hitam pada dahinya telah pun lelaki itu keluarkan, sambil mengambil tempat untuk dia bersila.

Biarpun dirinya kini sedang bertarung dengan tiga ekor saka yang Nyah Rubiah miliki. Opah atau Nyah Rubiah kini terbaring atas lantai sambil mengerang kesakitan.

Mak Su masih lagi berusaha untuk melepaskan dirinya. Dia juga tetap mahu membaca segala ayat yang dia tahu walaupun suaranya seakan disekat. Aku pula masih lagi berkongsi jasad dengan puteri yang entah dari mana asalnya itu.

Opah makin mengerang kesakitan. Suaranya yang berlainan tadi kini seperti biasa kembali. Terbatuk- batuk dan lemah sahaja.

“Jangan O… Omar..” lirihnya ketika botol yang berisikan minyak ‘hidup’ itu, Nyah Omar bukakan penutupnya lalu dituangkan ke dalam dupa.

Jeritan Opah kini berselang- seli dengan jeritan ‘belaannya’ dan tubuh aku juga gementar secara tiba- tiba.

Berbahang aku rasakan kini. Rengkuhan pada dagu Mak Su tak sengaja aku lepaskan. Mak Su mengambil kesempatan tersebut dengan memeluk tubuhku dari belakang.

“Lepaskan beta! Hei manusia yang lemah kamu semua takkan dapat menandingi kuasa ampuh beta!” ujarku bongkak sekali. Ke depan ke belakang tubuhku kerana meronta mahu dilepaskan.

“Zilah! Baca sama!” arah Nyah Omar yang kini sedang memerah limau purut setelah keris tersebut dia lumurkan dengan garam. “Zilah.. Izinkan aku.. Aku bukan menikam Zana …” ujar Nyah Omar lalu bangun dan menapak ke arah aku. Mulutnya sedari mula tiada henti dari bacaan surah – surah serta ayat ruqyah.

“Lepaskan beta! Jangan berani- berani menyentuh beta wahai manusia bodoh! Ingat perjanjian kamu semua..” ujar aku lagi dengan wajah yang masih menyinga. Aku dapat rasakan bahawa ‘sesuatu’ yang berada di dalam tubuhku kini makin gementar apabila bau limau purut semakin kuat.

“Dengan nama Allah Swt.. Aku arahkan akan dikau terputus hubungan dan segalanya bermula dari saat ini! Allahuakbar!” ujar Nyah Omar tanpa pamitan terus menikam perutku.

Kepelikan melanda apabila tiada rasa kesakitan walaupun keris tersebut telah terpacak pada perut. Tiada juga darah yang mengalir walaupun memang ya keris itu dapat aku rasakan berada dalam perutku. Aku yang meronta- ronta kini terdiam.

“Ya Allah makkk!” teriak Mak Su seraya melepaskan aku. Aku terus rebah nasiblah Didi sempat memaut tubuhku dari terus jatuh. Opah kelihatan nazak dipangkuan Mak Su.

Menurut Nyah Omar, Opah memang sudah lama pergi. Sehelai kertas bertulisan jawi lama melayang secara tiba- tiba. Nyah Omar menangkapnya.

Dan itulah kertas berisi pantun yang Opah berikan pada aku tiga bulan sudah dan masa ini Opah masih lagi ada.

Baru aku sedar, selama ini memang aku dah menerima ‘saka Opah’ secara tidak sedar kerana aku telah menjawab pantun empat kerat tersebut.

tamat

PENGALAMAN SEBENAR PENULIS & SEPARUH FIKSYEN.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

DHIA AMIRA

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.