#Izul – Chalet Sutera Biru (Part 3, Akhir)

“Aaaaaaaaaaarrgghhhh….! Aku akan b***h budak ni!” sudah tidak terkawal lagi jin yang merasuk Ika.

Seperti biasa, aku pagarkan diri dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan meminta pertolongan dari Allah S.W.T sebelum aku mula merawat.

Aku duduk bersila di depan Ika dan aku mulakan dengan surah Al-Fatihah, diikuti pula dengan surah Al-Baqarah. Aku tak peduli langsung hilaian dan jeritan dari Ika. Aku teruskan dengan bacaan-bacaan bagi tujuan merawat sehinggalah Ika lemah dan diam. Segelas air suam aku ambil dan aku campurkan dengan sedikit garam. Aku bacakan ayat Kursi, sepuluh ayat pertama surah As-Saffat, Al-Falaq dan An-Nas. Aku hembus ke dalam air dan aku hulurkan pada Tirah.

“Tolong bagi Ika minum air ni. Pastikan dia teguk air ni sampai habis,” perlahan aku memberi arahan pada Tirah. Dalam waktu yang sama, aku mintak plastik dan mangkuk dari Fathin.

Plastik tu aku letakkan ke dalam mangkuk untuk dibuat alas.

“Tadah mangkuk ni bawah mulut Ika lepas dia dah habiskan air tu,” walaupun takut, Tirah dan Fathin tetap lakukan jugak apa yang aku minta.

Habis sahaja Ika minum, dia terus muntah ke dalam mangkuk yang Fathin pegang. Muntah bercampur dengan bau hanyir. Habis keluar semua makanan yang Ika makan masa BBQ tadi.
Aku tolong pagarkan kawasan bilik geng perempuan ni dan aku suruh diorang duduk je dalam bilik.

“Apa-apa bunyi yang korang dengar nanti jangan tegur. Jangan bukak pintu pun kalau ada orang ketuk melainkan kalau yang mengetuk tu bagi salam. Biarkan Ika rehat dan tidur. Kalau ada apa-apa, telefon aku cepat,” aku tinggalkan pesanan pada Fathin dan Tirah. Lepas tu, aku balik ke bilik aku.

Aku masuk bilik je aku dengar Ajib berdengkur. Kalau dunia terbalik pun, memang takkan sedar la si Ajib ni. Pa’an dengan Acai tak balik lagi dari tadi. Aku ingatkan diorang dah ada kat bilik. Aku pun keluar menjalankan misi mencari dua orang kawan aku ni.

Tempat pertama aku pergi, pondok pak guard. Aku tengok ada seorang pak cik tengah berkawal kat situ. Tertera nama Samad kat depan baju, di bahagian dada.

“Assalamualaikum pak cik,” salam tak aku lupa berikan pada pak cik Samad.

“Wa’alaikumussalam w.b.t,” lembut je pak cik Samad menjawab salam. Nampak kedut-kedut di wajah tua pak cik Samad.

“Pak cik ada nampak tak dua orang kawan saya tadi?” aku gambarkan serba sedikit bentuk fizikal Pa’an dan Acai.

“Haa..ada tadi dia hantar makanan kat pak cik. Lepas tu kawan kamu dua orang tu berdiri kat situ. Kemudian pak cik tak perasan dah diorang pergi ke arah mana,” pak cik Samad tunjuk ke arah papan tanda chalet.

“Terima kasih pak cik,” aku terus pergi ke arah papan tanda yang pak cik Samad tunjuk tadi.

Aku rasa pelik tengok papan tanda tu. Macam ada benda yang hilang. Aku cuba ingat balik apa yang tak ada kat situ yang aku mungkin dah terlepas pandang. Aku ambik telefon dalam poket. Aku scroll balik gambar-gambar yang budak-budak ni hanta kat group whatsapp. Diorang ni memang suka bergambar. Lepas bergambar je, terus diorang share dekat group whatsapp.

Aku cari balik gambar kami bertujuh bergambar kat sini. Ya, sutera biru! Kain sutera yang berwarna biru dah tak ada. Kain tu diikat kat sebelah hujung papan tanda. Aku syak ada orang yang gatal tangan ambik kain tu. Sebab tu lah sekarang geng aku semua kena kacau. Tapi, siapa yang ambik? Aku syak Pa’an dengan Acai hilang sekarang ni ada kena mengena dengan kehilangan kain ni jugak.

Aku pergi semula ke pondok pak cik Samad dan mintak nombor telefon pemilik chalet. Dapat je nombor Encik Ikram, pemilik chalet, terus aku dial nombor dia.

“Yer, sape ni?” kedengaran masih segar suara di talian walaupun sekarang sudah pukul 1.30 pagi.

“Assalamualaikum Encik Ikram. Saya Izul, salah seorang penyewa di chalet encik. Maaflah mengganggu,” aku memperkenalkan diri.

“Wa’alaikumussalam Izul. Kamu yang baru check in petang tadi kan. Tak apa, tak mengganggu pun. Saya memang tak boleh lelap. Macam-macam bunyi yang saya dengar kat rumah ni. Ada apa ni Izul telefon saya lewat malam?” Encik Ikram bertanya dengan penuh kehairanan.

“Erm…boleh saya tahu tak sejarah kain sutera biru yang Encik Ikram ikat dekat papan tanda chalet tu? Sebab kawan saya dua orang dah hilang. Saya datang tengok kat papan tanda chalet, kain sutera tu pun dah tak ada.” aku berterus terang sahaja dengan Encik Ikram.

“Tak ada?? Kamu pasti kain tu tak ada? Saya cadangkan baik kamu cari kain tu balik dan letak semula kat tempat asal. Patutlah malam ni saya dapat gangguan yang pelik-pelik. Kain sutera biru tu asalnya dari nenek moyang saya. Bila nenek saya bina chalet tu dulu, nenek saya ikatkan kain sutera biru kat papan tanda chalet sebagai pelindung. Orang-orang zaman dulu kan percaya pada benda-benda karut macam tu. Sebelum nenek saya meninggal, dia dah pesan. Jangan ada sesiapa pun bukak kain sutera tu sebab perjanjian dah dibuat antara nenek saya dengan penunggu di situ. Mula-mula ayah saya ambik alih selepas nenek saya meninggal dunia, ayah saya bukak ikatan kain sutera tersebut dan simpan dalam almari. Dia tak nak percaya dengan benda-benda karut macam tu. Tiga bulan ayah saya menderita sakit. Mak saya hilang tak tahu ke mana sepanjang tiga bulan tu. Lepas saya ikat balik kain kat tempat asal, barulah semua gangguan hilang.” satu persatu cerita telah dirungkai.

Kini aku pasti, kain sutera biru tu lah penyebab segala masalah sekarang. Aku mengucapkan terima kasih kepada Encik Ikram sebelum memutuskan talian. Pening. Mana aku nak cari kain tu. Aku tak tahu pun siapa yang ambik. Pa’an dan Acai dah hilang, jadi memang tak ada peluang aku nak tanya diorang.

Aku telefon Fathin bertanyakan pasal kain sutera biru yang diikat kat papan tanda chalet ni. Kot-kot la kan antara diorang bertiga, mungkin ada yang terambil kain tu. Semua menafikan. Kain sutera tu pun dah lusuh, jadi diorang tak berminat nak ambik dan simpan.

Jadi, harapan yang tinggal sekarang ni hanyalah Ajib yang sekarang tengah sedap tidur kat bilik. Kalau telefon dia, confirm takkan angkat. Ajib ni stok tidur m**i. Aku berjalan laju balik ke bilik.

“Ajib! Woit Ajib! bangun lah,” aku gerakkan tubuh Ajib. Sah! Tidur m**i. Tak bergerak sikit pun aku kejut. Berdengkur je makin kuat.

Aku azan kuat-kuat kat telinga dia. “Allahuakbar, Allahuakbar!…”

“Dah subuh ke ni,” Ajib jawab tapi mata rapat lagi pejam. Parah budak ni, azan kat telinga baru sedar tu pun mata berat lagi. Banyak betuk syaitan bergayut-gayut kat mata si Ajib.

“Weh, bangunlah. Kau ada amek tak kain sutera biru kat papan tanda chalet kita duduk ni?” aku tengok Ajib anggukkan kepala. Okay, aku istighfar banyak-banyak. Rasa macam nak ketuk-ketuk je kepala dia ni.

“Mana ko letak kain tu?” aku tanya lagi. Ajib tunjukkan ke arah beg baju dia tapi mata dia masih lagi terpejam rapat. Penat memasak la tu kononnya.

Aku cepat-cepat geledah beg Ajib. Dekat poket depan beg dia, aku jumpa segumpal kain sutera berwarna biru. Aku ambik kain tu dan aku azankan dan aku bacakan ayat-ayat Ruqyah.

Laju aku lari ke papan tanda chalet tu balik dan aku ikatkan kat tempat yang sama. Aku ambik garam dan lada hitam yang aku dah baca, campakkan ke arah kain. Selesai!

Terduduk aku kat situ sebab kepenatan. Aku ke hulu ke hilir sorang-sorang cari kain ni. Tak lama lepas tu, aku nampak Pa’an dengan Acai. Betul-betul kat bawah pokok sebelah papan tanda ni.

Dua-dua pengsan dan menyandar kat pokok tu. Aku mintak air masak sikit dengan pak cik Samad. Aku tawarkan air tu dan renjis ke muka diorang. Bukak-bukak mata je terus diorang peluk aku.

Aku suruh diorang minum air yang aku tawarkan tu bagi pulih semangat. Kesian aku tengok budak dua orang ni. Baju lencun dengan peluh.

“Izul! Terima kasih selamatkan kiteorang. Aku ingatkan aku dah m**i dah. Tak boleh nak jumpa mak dengan abah aku buat kali terakhir. Alhamdulillah aku masih hidup,” menangis-nangis Acai dekat depan aku.

Aku dengar cerita diorang. Dalam alam yang berbeza dengan manusia, diorang dikejar dengan makhluk yang mengerikan. Dipaksa makan dan minum benda-benda yang kotor.

Menurut Pa’an, diorang macam dipukau bila diorang berjalan ke arah papan tanda chalet tu dan tiba-tiba dah berada kat alam lain.

“Aku taubat tak nak dah pergi ‘sana’. Ngeri weh. Macam-macam yang aku jumpa. Aku nampak kau lalu tapi bila aku jerit, kau tak dengar,” Pa’an bercerita sambil menggelengkan kepala tanda serik. Nampak jelas diorang ni trauma.

Aku ajak balik ke bilik. Dalam perjalanan tu, aku ceritakan serba sedikit apa yang jadi, pasal kain sutera biru yang Ajib ambik punca segala masalah ni dan juga pasal Ika yang kena rasuk.

Pa’an dengan Acai memang dah angin satu badan. Rasa macam nak tendang-tendang perut Ajib tu. Aku suruh diorang mandi dan tunaikan solat sunat dua rakaat sebelum tidur. Ajib yang tengah lena tu masih tak tahu apa nasib dia esok.

Keesokan paginya, semasa sarapan kat ruang makan chalet, Ajib dengan muka berseri-seri tegur semua orang dekat meja makan. Dia tak tahu pun apa yang kami semua kena lalui semalam disebabkan dia.

“Kenapa ni muka sorang-sorang macam kena kejar hantu,” boleh pulak dia bahan orang lain.

“Bukak mulut kau tu. Meh sini kau,” Pa’an masukkan cili dalam mulut Ajib. Acai pulak pegang tangan Ajib, tak bagi melawan. Disekeh-sekehnya kepala Ajib dengan muka geram. Aku tergelak je tengok perangai budak-budak ni.

Fathin, Ika dan Tirah bangun, ambik selipar masing-masing, tepuk belakang badan Ajib. Diorang pun geram sekali dengan Ajib.

Aku cerita semua yang jadi malam semalam dekat Ajib. Ternganga mulut dia tak percaya.

“Kau dah kenapa gatal sangat tangan tu pergi cabut kain sutera kat situ. Dah la cabut, boleh tidur lena pulak semalam. Aku dengar kau siap berdengkur sampai satu chalet boleh dengar. Aku dengan Acai dah separuh m**i tahu tak. Ingatkan aku kat alam kubur dah,” beria Pa’an marah Ajib.

“Sorry la kawan-kawan. Aku tengok kain tu koyak-koyak kat bahagian hujung. Aku bawak la balik bilik. Ingatkan nak jahit bahagian yang koyak tu tapi penat sangat malam semalam sampai terlelap,” Ajib buat muka sedih mintak simpati.

“Apa kau kata? Nak tolong jahitkan? Ya Allah. Aku tak tahu la ni nak nangis ke nak gelak. Seluar dalam aku kat rumah yang koyak tu tak nak pulak kau jahit, sibuk nak jahit kain orang kat sini,” Acai sekeh-sekeh lagi kepala Ajib. Geram.

“Kan aku dah pesan masa kat hentian. Kita nak pergi mana-mana, ingat satu perkara. Jangan sesekali ambik barang yang bukan hak kita. Nak pulak dalam kawasan yang macam ni,” aku bersuara lepas masing-masing dah reda sikit marahkan Ajib.

“Tula budak ni. Masa orang bagi nasihat, kau makan tak berenti. Telinga tu walaupun masa makan, bagi bukak luas-luas,” tergelak kami semua kat meja makan dengar Ika membebel sambil suruh Acai tarik-tarik telinga Ajib.

Lepas makan, kami semua bersiap-siap untuk pulang. Semua dah tak ada hati nak tinggal lama-lama kat chalet ni. Takut kejadian sama berulang.

Barang-barang semua dah dimasukkan dalam boot van. Sebelum naik van, lagi sekali aku nampak nenek yang muncul dalam mimpi aku tu, berdiri tak jauh dari tempat kami parkir van. Aku senyum memandang nenek tu. Tanda terima kasih atas peringatan. Aku tak pasti identiti nenek tersebut tapi aku harap kejadian macam ni tak berulang lagi.

Aku yakin bahawa kawan-kawan aku dah belajar dari pengalaman percutian kali ni. Jangan sesekali mengambil barang yang bukan milik kita.

Mujurlah kami pergi bertujuh balik pun bertujuh. Alhamdulillah, semuanya selamat. Kami semua bergerak pulang tanpa menoleh ke belakang lagi. Kenangan di Chalet Sutera Biru ni biarlah jadi pengalaman yang berguna untuk aku dan kawan-kawan aku yang lain.

“Ia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi; dan Ia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan; dan Allah sentiasa Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.”
Surah At-Taghabun, Ayat 4.

===TAMAT===

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Izul

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]

12 thoughts on “#Izul – Chalet Sutera Biru (Part 3, Akhir)”

  1. Lawak part kne bantai ramai2 tu.. Padan muka ajib.. Hahahaha
    Kalo sy bukan stakat pakai selipar, siap bg highkick lagi… Rajin bebenorr nak menjahit.. Mentang2laa rajin memasak smpi pakej mjahit skali ko nak tunjuk skill.. Kihkihkih..

    Reply
  2. hahahhah. ending kelakar. tak terfikir ajib nak ambik sebab nak jahit. saye suke cara penulisan awak. tersusun, nak bace elok je sebab jalan cerita tersusun rapi. setiap kali perenggan dan ayat yang ade musibah mesti ade peringatan dan nasihat.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.