Tidak seperti biasa. Malam itu keadaan agak sunyi dan lengang. Jalan Selekoh Simpang Tiga selalunya tidak pernah putus dengan kenderaan yang lalu-lalang. Pelik! Kebiasaannya, masih ada lagi beberapa buah kenderaan yang melalui jalan itu pada waktu-waktu begini. Hanya kelihatan sebuah Jeep berwarna hitam sahaja melalui kawasan tersebut.
Sempena cuti Tahun Baru Cina, dua orang pemuda yang bekerja satu syarikat itu mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman mereka. “Hei, Razi? Jeep ni ada problem, ke? Tadi elok aje laju. Tiba-tiba jadi perlahan pula?” Tegur Zainal. Dia sebenarnya tidak sabar untuk sampai ke kampung mereka. Supaya dia segera mendapatkan biliknya dan merehatkan diri secukupnya. Sudahlah kerja di pejabat tadi bertimbun-timbun hendak diselesaikan. Duduk pula berjam-jam dalam kenderaan hingga lewat malam. Semakin letih dan penat sangat tubuhnya dirasakan.
“Saja aku perlahankan. Ini Jalan Selekoh Simpang Tiga, kut? Bahaya tahu tak, kalau kita bawa laju-laju? Buatnya kita tak sampai kampung macam mana?” Tukas Razi. Sengaja dia memperlahankan pemanduannya. Sudah terlalu kerap perkara buruk dan kemalangan berlaku di kawasan Jalan Selekoh Simpang Tiga itu. Dia sekadar mahu berhati-hati sahaja. “Masalahnya, tak ada kenderaan lain yang lalu pun. Apa salahnya kalau kau pandu laju sikit?” Zainal mendengus tidak puas hati. “Memang tak ada kenderaan lain yang lalu. Tapi bagi aku kawasan ni tetap bahaya. Takkan kau tak pernah dengar? Banyak kejadian buruk, aneh, misteri berlaku dekat kawasan ni.”
“Pernahlah dengar juga. Ada banyak kemalangan berlaku dekat sini. Habis tu, kau nak percaya, ke? Apa yang berlaku itu semua takdir, kan? Aku rasa tak ada kena mengena pun dengan apa yang diaorang nampak.” Ujar Zainal dengan nada suara dan riak wajah yang agak sinis. Razi hanya menggelengkan kepala. Zainal memang jenis yang susah sikit hendak percaya dengan kewujudan makhluk halus. Dia selalu menganggap perkara tersebut hanya mengarut dan tidak masuk akal di zaman serba canggih ini. Mungkin kerana perkara sebegitu belum pernah berlaku lagi di hadapan matanya. “Belum kena batang hidung sendiri, bolehlah kau cakap macam tu. Cuba kalau dia muncul betul-betul depan mata kau nanti. Tak cukup tanah kau nak lari!” Sindir Razi, selamba. Zainal hanya tersenyum sumbing. Tidak ambil pusing dengan sindiran itu. ************
Mereka kini sedang melalui ke satu simpang. Zainal dan Razi memerhatikan ke sekeliling kawasan itu yang agak menggerunkan juga. Tidak semena-mena bulu roma di tengkuk mereka terasa meremang. Ada sesuatu yang membuatkan mereka berasa seram sejuk dengan tiba-tiba. Terbeliak mata Zainal bila dia terlihat satu lembaga melintas di hadapan jalan menuju ke kawasan semak dan terus ghaib. Zainal tidak pasti makhluk itu manusia ataupun haiwan. Namun, dia mengabaikan sahaja. Mungkin dia seorang sahaja yang melihatnya. Razi pula hanya diam dan fokus memandu.
Tiba-tiba, Razi memberhentikan kenderaannya secara mengejut. Dia mengurut dada dan beristighfar beberapa kali. “Woi? Kau apa hal?!” Zainal agak terkejut dengan tindakan Razi. Riak di wajah rakannya itu dilihat agak pucat dengan mulutnya terkumat-kamit seperti membaca sesuatu. “Kau rasa, kita patut teruskan perjalanan atau, berhenti dan bermalam dekat mana-mana dulu? Sebab aku rasa tak sedap hati.” Cemas suara dan riak di wajah Razi. “Kenapa pula?” Soal Zainal dengan dahi berkerut. “Aku nampak sesuatu dekat depan Jeep tadi. Benda tu bertenggek dekat situ.” Razi menundingkan jari telunjuknya ke arah tempat yang dimaksudkan. “Benda apa? Aku tak nampak apa-apa pun?” Tadi dia ada melihat sesuatu melintas. Tetapi apa yang diberitahu Razi, memang jelas dia tidak melihatnya. “Aku tak tahu makhluk apa yang muncul tadi. Mungkin jelmaan makhluk halus? Bentuknya sangat mengerikan!” Ujar Razi. Dia tidak dapat melihat dengan jelas namun, bentuk tubuh makhluk itu cukup menggerunkan walaupun dilihat dengan sekali imbas.
“Aku rasa kita patut teruskan saja perjalanan. Kalau kita berhenti, mungkin ada benda lain pula yang akan muncul. Lagipun, kita dah nak dekat sampai, kan?” Zainal tidak mahu menangguhkan perjalanan mereka. Dalam setengah jam lagi, mereka akan tiba di kampung halaman. “Setengah jam lagi, kau kata dekat? Suka hati kau lah.” Razi ikutkan sahaja. Bimbang juga kalau ada makhluk lain yang akan muncul. Alamatnya, tak sampai ke kampunglah mereka jawabnya nanti. Beberapa kali Razi cuba menghidupkan enjin Jeepnya semula tetapi, tetap gagal. Tidak tahu apa yang tidak kena. ‘Dalam keadaan macam ni, dia buat hal pula!’ Bentak Razi dalam hati. Zainal terdiam sambil matanya tidak berkelip-kelip memandang keadaan sekeliling. Kepalanya didongakkan. Hatinya bertambah berdebar. “Ya, Allah! Apa benda pula tu?” Dia melihat ada sesuatu di atas pokok. Makhluk yang sukar dilihat dengan jelas itu, kelihatan seperti sedang menjamah sesuatu. Seperti ketulan daging. Dan mulutnya pula berlumuran dengan d***h.
Tiba-tiba sahaja makhluk itu berhenti menjamah. Dia menunduk dan memandang ke bawah. “Razi, cepatlah sikit?!” Zainal cemas. Seolah-olah makhluk itu cuba hendak turun daripada pokok yang tegak meninggi itu. Setelah enjin berjaya dihidupkan, mereka bergegas meninggalkan tempat itu. **************Keadaan sangat gelap gelita ketika mereka tiba di satu simpang lagi. Hanya cahaya lampu Jeep sahaja yang membantu menerangi perjalanan mereka. Razi dan Zainal saling berpandangan. Ada seorang wanita berdiri di tepi jalan sambil menggendong bayi kecil. Tubuhnya kurus kering dan wajahnya pucat lesi. Dia melambaikan tangan seolah-olah cuba menahan kenderaan yang dinaiki oleh Razi dan Zainal. “Biarkan saja dia. Abaikan. Aku yakin, itu bukan manusia.” Kata Razi dengan suara yang perlahan.
Secara logiknya dan memang tidak masuk akal. Mana ada manusia membawa bayi kecil pada waktu-waktu begini. Pada jam menunjukkan tepat pukul dua belas tengah malam. Zainal percaya dengan apa yang dikatakan Razi. Wanita yang sedang menggendong bayi itu tidak kelihatan seperti manusia biasa. Walaupun dilihat dengan mata kasar. Sekali lagi Razi terpaksa memberhentikan kenderaan yang dipandunya. “Aduh! Apa pula kali ni?” Zainal mendengus geram. Inilah masalahnya! Bila pulang ke kampung sampai lewat malam. Macam-macam musibah yang boleh terjadi. Buat seketika Zainal dan Razi memerhatikan gelagat seorang wanita tua lewat tujuh puluhan, sedang mencangkung di tengah-tengah jalan. “Apa hal pula perempuan tua tu? Jom, kita pergi tengok?” Ajak Zainal. Mungkin dia perlu membantu apa yang patut. Kasihan pula melihat warga emas yang tidak berdaya itu. “Nak pergi tengok dia? Kau biar betul, Zainal? Entah orang ke, hantu tu?” Razi tidak berapa yakin.
Secara logiknya juga, mana ada warga emas yang uzur macam tu, merayau tengah-tengah malam macam ini. “Kita pergilah tengok dulu. Kau tak kesian ke, tengok nenek tu? Mungkin dia perlukan pertolongan? Lagipun macam mana kita nak teruskan perjalanan kalau dia ada dekat tengah jalan macam tu? Takkan kau nak rempuh dia? Kalau dia manusia macam mana? Nanti tak pasal-pasal kau jadi pembunuh…. “”Yalah, yalah! Tapi, kalau apa-apa jadi nanti, semua salah kau.” Razi tidak berpuas hati. Zainal mudah sangat terpedaya. Itu semua taktik makhluk halus cuba mengaburi mata manusia. Firasatnya tetap mengatakan wanita tua itu bukan seperti apa yang difikirkan Zainal.
Mereka menghampiri ke arah wanita tua yang masih mencangkung itu. Sekali sekala terdengar dengusan yang kasar dari suaranya. “Boleh kami bantu nenek?” Tegur Zainal. Razi hanya memerhatikan. Mana tahu tiba-tiba sahaja mereka diterkam wanita tua misteri itu, dia sudah bersedia untuk membuka langkah seribu. Wanita tua itu mengangkat muka. Memandang ke arah Zainal dan Razi silih berganti. “Tolong nenek cu….? Nenek tak daya nak berjalan. Tolong pimpinkan tangan nenek?” Pinta wanita tua itu dengan suara menggeletar. Tubuhnya turut menggigil dan kelihatan terlalu kurus. Seolah-olah hanya tinggal tulang serta kulit yang berkedut-kedut sahaja menyeliputi tubuh itu. Rambutnya yang beruban disanggul tinggi bersama selitan sekuntum bunga kemboja putih. “Nenek nak ke mana?” Tanya Zainal. Terketar-ketar tangan dan kaki wanita tua itu ketika dia cuba hendak berdiri. “Nenek nak ke depan sana saja. Tolong ya, cu?” Wanita tua itu menundingkan jari.
Kemudian, tersengih memandang Razi dan Zainal. Wajahnya sedikit menyeringai dengan menampakkan barisan giginya yang kehitaman dan telah reput. Zainal dan Razi segera memimpin tangan wanita tua itu. Namun, mereka agak terkejut. Tangan itu sejuknya seperti ais batu. Tetapi, mereka abaikan sahaja. Wanita tua itu terus dihantar ke tempat yang dimaksudkan. Usai wanita tua itu mengucapkan terima kasih, Razi dan Zainal dikejutkan dengan kejadian mengerikan apabila wanita itu berubah watak. Dia mula mengilai-ngilai tanpa henti. Rambutnya yang bersanggul juga mengerbang ditiup angin yang kencang. Kedua-dua belah kakinya tidak jejak ke tanah lagi. Matanya turut bertukar warna. Merah menyala seperti biji saga. “Astaghfirullahalazim….!!!” Serentak ucapan itu keluar daripada mulut mereka, Razi dan Zainal terus berlari ke arah Jeep. Enjin Jeep segera dihidupkan. Mereka meninggalkan tempat itu dengan perasaan cemas.
Razi memecut kenderaannya dengan laju. Mujur, mereka tidak terbabas ketika terlanggar lopak air di hadapan jalan. “Aku dah agak dari tadi lagi. Perempuan tua tu bukan manusia! Tapi kau tak nak dengar cakap aku!” Bentak Razi.Sepatutnya, tadi mereka teruskan sahaja perjalanan tanpa mempedulikan wanita tua itu. Zainal tidak bersuara. Dia sedar semua yang berlaku adalah kerana kesalahannya. Menyesal dia tidak mendengar kata-kata Razi tadi. **************Kedua-dua sahabat itu kembali berasa tenang semula. Tiba di satu simpang, Razi memperlahankan pemanduannya. Kenderaan itu menuju ke arah perkampungan orang asli.
“Kita nak buat apa dekat sini?” Soal Zainal sambil memandang pelik ke arah sekeliling kawasan itu. “Mungkin mereka boleh bantu kita. Dulu masa kecil, aku pernah sesat dalam hutan. Tok Batin yang tolong aku. Jadi, aku rasa dia boleh bantu kita keluar dari tempat berpenunggu ni. Tok Batin tu, dah lama masuk Islam. Dia pandai baca ayat-ayat AL-QURAN untuk menghalau makhluk-makhluk halus.” Terang Razi. Usai mereka keluar dari kenderaan itu, ada seseorang menyapa dari arah belakang. Lelaki dalam lingkungan tiga puluhan, berambut kerinting dan berkulit gelap itu menghampiri mereka. “Kamu berdua ni nak cari siapa?” Tanya lelaki keturunan orang asli itu.
“Sebenarnya, kami nak jumpa ketua kampung di sini.” Kata Razi. Sempat lagi matanya melihat sekeliling kawasan itu. Banyak perubahan yang sudah berlaku. Nampak lebih maju daripada dahulu. “Oh, nak jumpa Tok Batin? Kalau macam tu, marilah. Saya bawa kamu berdua jumpa dia.””Terima kasih.” Ucap Razi dan Zainal. Mereka mengekori langkah orang asli itu hingga tiba di rumah Tok Batin. Kedatangan Razi dan Zainal disambut baik oleh Tok Batin dan keluarganya.
Setelah menceritakan apa yang berlaku, Tok Batin dan orang-orang kampung asli sedia membantu mereka. Bacaan ayat-ayat suci AL-QURAN dilaungkan oleh Tok Batin di kawasan yang dianggap paling banyak dihuni makhluk-makhluk halus. Setelah selesai semuanya, seketika kemudian Razi dan Zainal meminta diri. “Terima kasih, Tok Batin. Dan semua yang membantu.” Razi menghulurkan tangan bersalaman dengan Tok Batin. “Sama-sama. Tapi ingat? Semua pertolongan ini datangnya daripada Allah. Tok hanya membantu apa yang perlu.”Ujar Tok Batin. Dia mendoakan agar perjalanan Razi dan Zainal tidak menghadapi sebarang halangan lagi. Mereka akhirnya berjaya melepasi Jalan Selekoh Simpang Tiga dan selamat tiba di kampung halaman.
Zainal dan Razi mengucapkan rasa syukur kepada Allah kerana mereka terselamat dari perkara yang lebih dahsyat. Namun, ada satu lagi kejadian aneh berlaku ketika enjin Jeep dimatikan. Haruman semerbak memenuhi segenap ruang di dalam kenderaan itu. Razi dan Zainal sama-sama menoleh ke arah tempat duduk belakang Jeep itu. Terdapat beberapa kuntum bunga kemboja putih berselerakkan di atas tempat duduk itu. Lantas, mereka saling berpandangan. “Siapa yang letak?” Soal Zainal sambil menggaru-garu kepala. Razi tidak menjawab. Dia sekadar mengangkat bahu. Rasa gerun tiba-tiba. -TAMATThank you!
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit