Jangan Buka Pintu

Salam. Kali ini aku nak bercerita mengenai kisah seram berkaitan tetamu. Seperti yang kita semua sedia maklum, tetamu adalah seseorang yang datang bertandang ke rumah atas tujuan tertentu. Selalunya tetamu sering dikaitkan dengan saudara-mara dan juga jiran tetangga yang datang ke rumah kita dan kehadiran tetamu juga selalunya dikaitkan dengan masa kedatangan. Ini kerana waktu bertandang ke rumah seseorang juga sering menjadi isu yang tidaklah begitu hangat diperkatakan tetapi ianya cukup sensitif dalam kalangan masyarakat kita sendiri kerana ianya berkaitan dengan isu adab menziarah seperti yang diajarkan oleh agama kita, iaitu Islam.

Kisah ini sebenarnya dialami oleh rakan aku sendiri dan aku ceritakannya semula melalui versi cerpen. Pengalaman di mana dia didatangi tetamu pada jam tiga pagi semasa sedang menuntut di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

Kejadian bermula kira-kira tiga tahun yang lepas, semasa minggu ulangkaji atau sering disebut ‘study week’. Ketika itu ramai pelajar lebih memilih untuk pulang ke rumah dan meluangkan masa untuk belajar di rumah atas alasan lebih privasi. Meskipun pada hakikatnya, ramai juga pelajar yang pulang ke rumah pada minggu study week kerana mengambil kesempatan sebagai ‘cuti’ sebelum minggu peperiksaan.

Berbalik kepada kisah tadi. Malam itu, Faridah (kawan aku. Bukan nama sebenar) sedang sibuk mengulangkaji subjek fizik disamping cuba membantu rakan sebiliknya mengenai subjek tersebut. Keadaan pada malam itu seperti biasa. Tiada apa kejadian pelik yang berlaku sehinggalah waktu mula berganjak pada jam 3.00 pagi.

Tuk! Tuk! Tuk!

Tiba-tiba sahaja seseorang mengetuk pintu bilik mereka. Disebabkan mereka berdua memang jenis yang agak penakut dan lebih berhati-hati, mereka memilih untuk tidak membuka pintu. Yalah, siapa yang datang ke bilik jam 3 pagi begini? Jika benar itu rakan mereka, mereka yakin bahawa rakan mereka akan memanggil nama mereka selepas mengetuk pintu ataupun jika rakan mereka itu sudah memberitahunya lebih awal untuk datang ke bilik. Namun, kali ini berbeza.

Bunyi ketukan itu agak perlahan dan tetamu itu hanya mengetuk pintu sebanyak tiga kali dan kemudiannya diam tanpa sebarang bunyi. Kedua-dua Faridah dan Afrina mendiamkan diri dan saling berpandangan antara satu sama lain.

Setelah itu, mereka berdua kembali menghadap helaian nota kuliah dan nota pendek karya kreatif sendiri untuk mengulangkaji. Selang dua minit kemudian, nada dering telefon Faridah berbunyi. Dia lantas menoleh melihat nama pemanggil pada skrin telefon dan ianya tertera nama pelajar bilik sebelah yang menghubunginya.

“Errr…. Kau kat mana?” soalnya dengan suara yang terketar-ketar.

“Aku ada dekat biliklah. Kenapa?” Soal Faridah kembali.

Melalui suara panggilan telefon itu, Faridah sepertinya mendengar bahawa Aina (pelajar bilik sebelah) dalam keresahan atau juga boleh dikatakan seperti dalam ketakutan. Faridah mula risau akan apa yang sedang berlaku di bilik sebelah memandangkan Faridah juga memegang sebagai jawatan ketua aras dan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mengetahui keadaan pelajar yang tinggal di bilik yang sama aras dengannya.

“Boleh datang bilik aku tak? Tapi jangan datang sorang-sorang. Bawa roommate kau skali.”

Faridah masih kebingungan akan permintaan Aina itu. Mungkin ada sesuatu yang berlaku dan Aina perlukan bantuan dia dan Afrina. Aku dengan suruhan Aina, Faridah pun mengajak rommatenya untuk ke bilik sebelah. Setibanya di sana, Faridah mengetuk pintu bilik tersebut.

Tiada respon.

Faridah cuba mengetuk pintu sekali lagi dan kali ini disertakan dengan salam dan memperkenalkan dirinya sebagai Faridah. “Assalamualaikum, Aina. Ini aku ni. Faridah.”

Tak sampai seminit, pintu dibuka dari dalam oleh Aina.

Sebelum aku meneruskan cerita, ada baiknya jika aku jelaskan keadaan situasi ketika itu terlebih dahulu untuk lebih memudahkan kalina (pembaca) untuk memahami situasi yang berlaku. Menurut Faridah, biliknya terletak di alamat B2.4.9. (Kompel B, blok 2, aras 4, bilik nombor 9). Setiap bilik menempatkan empat orang pelajar tetapi disebabkan ketika itu sedang minggu study week, hanya Faridah dan Afrina sahaja yang tidak pulang ke rumah manakala lagi dua rommates mereka pulang ke rumah. Begitu juga bilik sebelah. Hanya Aina dan Farisha sahaja yang masih ada di kolej memandangkan lagi dua pelajar memilih untuk menggunakan minggu study week untuk pulang ke rumah.

Sebaik sahaja Aina membuka pintu biliknya, Faridah melihat Farisha sedang duduk berpeluk di sebelah locker sambil wajahnya tertunduk memandang lantai. Farisha berada dalam posisi begitu untuk beberapa saat sebelum dia mula menganggukkan kepala perlahan-lahan secara berulang kali. Seakan-akan sedang meratip.

Keadaan bertambah mengerikan apabila mata Farisha seakan-akan tiada anak mata hitam. Matanya putih secara keseluruhan.

Faridah beristighfar dek terlalu terkejut melihatkan keadaan Farisha. Afrina pula secara spontan merapatkan tubuhnya kepada Faridah dan merangkul lengan Faridah yang ketika itu cuba beraksi tenang untuk mengelakkan panik.

Mereka berdua mengambil tindakan yang boleh dikatakan agak berani untuk situasi ketika itu. Faridah dan Afrina melangkah masuk ke dalam bilik tersebut dan sekali lagi aksi Farisha membuatkan jantung mereka berderau.

Farisha tersengih menyeringai memandang ke arah Faridah.

“Aku rasa dia tak ok.” ujar Afrina yang juga merupakan ahli persatuan surau.

Faridah memandang ke arah Afrina dan Aina sebelum kembali menoleh ke arah Farisha apabila mereka mendengar suara Farisha mula menangis.
“Hmmm… Hmmm… takut…” suara Farisha kedengaran perlahan dan perkataan ‘takut’ itu disebut oleh Farisha beberapa kali sambil menangis.

Risau akan keadaan Farisha yang dirasakan semakin memburuk, Faridah terus menghubungi felo yang bertugas. Alhamdulillah, apabila felo tidak mengambil masa yang lama untuk menjawab panggilan kecemasan itu. Faridah mengkhabarkan kejadian tersebut kepada felo dan dia meminta mereka semua tetap berada di situ sementara dia tiba. Mereka juga diminta untuk membaca surah-surah lazim agar dijauhkan dari sebarang kejadian buruk yang bakal menimpa.

“Hehehe….” Farisha berubah emosi dari menangis kepada ketawa.

Ketiga-tiga mereka, Faridah, Aina dan Afrina terkejut. Serentak mereka bertiga memandang ke arah Farisha yang secara tiba-tiba mengangkat jari telunjuknya dan membuat pergerakan jari membentukkan gambaran bentuk bulatan. Menurut Faridah lagi, saat itu perasaan takut yang dialami sehingga membuatkan dirinya ingin terkencing. Ingin sahaja dia berlari balik ke rumah dan menjerit. Inilah kali pertama Faridah melihat sendiri di depan matanya seorang dirasuk histeria. Bulu romanya merinding.

Aina yang turut ketakutan lantas memeluk Afrina. Mereka berdua terlalu takut untuk melakukan sebarang tindakan selain hanya mampu melafazkan bacaan surah lazim seperti ayat qursi.

“Assalamualaikum.” Felo yang bertugas, iaitu Puan Hayati pun muncul.

Sepantas kilat Farisha mengangkat wajah dan merenung tajam ke arah Puan Hayati. Mata Farisha membuntang luas bersama deruan nafas yang kian laju.

“Lahaulawala. Allahuakbar!” Puan Hayati beristighfar sebaik sahaja melihatkan keadaan Farisha.

“Ughhhhhh!!!!!” Farisha mendengus kuat seperti marahkan sesuatu dan kemudiannya kembali tertunduk ke bawah.
Puan Hayati menoleh ke arah mereka bertiga. “Pergi masuk bilik, pakai tudung. Sekejap lagi ustaz sampai.”

Aku akan arahan itu, Faridah dan Afrina masuk ke bilik dan menyarungkan tudung menutup kepala. Aina mengikut mereka berdua dan meminjam tudung daripada Faridah untuk menutup kepalanya akibat tidak berani untuk mengambil tudung di dalam lockernya. Ini kerana locker Aina berada tidak jauh dari Farisha ketika itu. Bimbang jika dia teruskan juga untuk mengambil tudung dari lockernya akan mengakibatkan sesuatu yang diluar kawalan. Tak mustahil juga Farisha akan menerkamnya dan mencekik lehernya jika dia tetap masuk mendekati Farisha yang ketika itu dirasuk.

Faridah kembali ke bilik sebelah dan ketika itu ustaz sudahpun tiba. Faridah melihat ustaz tersebut sedang memegang ibu jari Farisha.

Farisha menggeliat tubuh dan menjerit seperti sedang mengalami rasa sakit yang teramat.

Semasa proses rawatan itu, Faridah tidak berani untuk terus menyaksikannya dan lebih memilih untuk berada di luar sahaja. Namun, apa yang dia ingat, dia mampu mendengar Farisha menjerit dengan kuat sekali. “Jangan sampai aku bunuh korang semua!! Bodoh! Sakit…!!!”

Faridah mendengar lagi ustaz membaca beberapa ayat suci alquran dan diselang bunyi teriakan Farisha. Faridah cuba bertenang meskipun di dalam hatinya sudah bercampur dengan bermacam perasaan. Takut. Risau. Penat. Sedih. Tertanya-tanya. Yalah, apa yang membuatkan Farisha histeria? Ada sesuatu yang berlakukah?

Nekad untuk mengetahui jawapan, Faridah bertanyakan hal ini kepada Aina.

“Sebenarnya, semasa kitorang tengah study, ada orang ketuk pintu bilik kitorang. Dia ketuk tiga kali. Perlahan je dia ketuk pintu tu. Awalnya aku dah rasa macam tak sedap hati. Aku sebenarnya taknak buka pintu sebab takut tapi Farisha buka pintu sebab katanya hormat orang nak datang. Mana tahu kalau ada hal penting ke apa, kan?

Jadi, aku biarkanlah dia buka pintu dan sambung study. Lepas tu, aku dengar Farisha cakap…

‘Tak apalah, makcik. Saya taknak.’

…Lepas tu dia tutup pintu. Aku tanya Farisha siapa yang datang. Then, dia cakap ada makcik datang jual. Aku makin tambah rasa pelik sebab siapa yang datang menjual pukul tiga pagi macam ni, kan?”

“Ada orang datang ketuk pintu bilik korang?” soal Faridah yang inginkan kepastian.

“Ha’ah.”

“Tiga kali?”

“Ya.”

Faridah dan Afrina serentak memandang ke arah satu sama lain. Berderau rasanya jantung saat itu. Rasanya seperti mahu pengsan dek kerana terlalu seram bila memikirkan kenyataan bahawa seseorang juga mengetuk pintu biliknya sebanyak tiga kali dan pintunya diketuk secara perlahan saja. “Lepas tu, apa jadi?”

“Lepas Farisha tutup pintu. Aku dengar bunyi macam ada benda yang langgar pintu bilik. Kuat gila. So, masa tulah Farisha macam nak pengsan. Dia jatuh terduduk dekat locker dia. Aku risau masa tu. So, aku tanya dia kenapa tapi Farisha tak jawab. Dia diam sambil pandang pintu bilik. Dia macam orang hilang jiwa dan tak ada perasaan. Even bila aku tolak bahu dia, dia tak respond apa-apa.

Sebab tu lah aku makin takut. So, aku tak pikir panjang dan tak tahu nak buat apa, aku terus call kau sebab aku tahu kau stay kolej untuk study week ni.” jelas Aina.

Faridah menelan air liur. Dia mula terfikir, apa akan jadi jika ketika itu dia dan Afrina memilih untuk buka pintu semasa seseorang itu sedang mengetuk pintu?
Keesokan harinya, semasa sedang bersarapan bersama Afrina, telefon Faridah menerima panggilan daripada seseorang. Farisha.

Melalui perbualan dalam talian itu (kerana Farisha sudah dibawa pulang berehat dirumah selepas dia sedarkan diri semalam.), Farisha berterima kasih kepada mereka bertiga kerana membantunya dan meminta Faridah untuk menyampaikan salamnya kepada Puan Hayati. Faridah sempat bertanyakan keadaan Farisha dan Farisha juga sempat memberitahu bahawa ketika dia membuka pintu semalam, dia melihat sosok tubuh seorang wanita tua bongkok sambil wajahnya ditundukkan kebawah. Wanita tua itu langsung tidak memandang wajahnya dan berkata sesuatu dengan nada suara yang perlahan seakan-akan sedang berbisik.

“Dik, nak beli roti sosej tak?”

Sekian terima kasih..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

4 thoughts on “Jangan Buka Pintu”

  1. Cerita kau dah best tapi patutlah ada 2 part yg aku tak berapa faham bila AKUR ditaip AKU.

    AKU dengan AKUR perkataan yg berbeza dik..

    Reply

Leave a Comment