JANGAN SENDIRIAN

Atiqah menekan alat kawalan jauh. Dia sendirian tanpa sesiapa. Sejak tadi, tiada langsung siaran televisyen yang mampu menarik perhatiannya. Jam di dinding dilihatnya. Sudah hampir tengah malam. Dia menghela nafas berat.

“Manalah laki aku ni, dah nak tengah malam tak balik lagi,” keluh Atiqah sambil memandang inai yang masih merah di jari. Sesekali dia bangun mengintai di tingkap apabila mendengar bunyi kereta. Manalah tahu jika suami kesayangannya sudah pulang. Namun, bayang suaminya masih belum muncul lagi.

“Tidur dululah, nanti kalau abang balik, aku bangunlah,” kata Atiqah lalu menutup televisyen seraya menuju ke bilik. Katil bersaiz besar ini ditepuk-tepuknya dahulu sebelum mendaratkan tubuhnya ke tilam empuk itu. Sunnah menepuk perbaringan sebelum tidur, itu pesan suami yang baru dinikahinya sebulan lalu.

Atiqah tidur dalam keadaan mengiring ke kanan. Matanya dilelapkan. Sayangnya, biarpun matanya sudah memberat, namun mindanya masih belum sedia untuk tidur. Pelbagai perkara menujah-nujah ruang mindanya sehingga membuatkan dia mengeluh.

“Kenapalah tak boleh tidur ni,” kata Atiqah sambil cuba memejamkan matanya rapat-rapat. Dia menghela nafas lalu cuba untuk tidur. Tiba-tiba…

Atiqah merasakan ada sesuatu yang berbaring di sebelahnya. Dia tidak sedap hati. Perasaan inilah yang cukup dia benci tatkala tidur seorang diri.

“Argh, perasaan akulah tu,” kata Atiqah lalu buat tidak endah. Namun, bulu romanya tiba-tiba meremang sendiri apabila rasa aneh itu masih wujud lagi. Di sebelahnya benar-benar ada sesuatu! Takkanlah suaminya, sedangkan suaminya itu belum pulang. Siapakah itu atau apakah itu? Berbekalkan keberanian senipis kulit bawang, Atiqah menoleh.

Kosong.

“Sah, perasaan aku lah ni,” monolog Atiqah cuba positifkan diri. Dia menukar posisi dengan berbaring mengiring di sebelah kanan pula. Kali ni dia benar-benar mengantuk. Matanya sudah memberat meminta-minta untuk tidur. Tiba-tiba dia merasakan ada yang memandangnya dari belakang. Benar, tiada satu perkataan pun yang dapat mengungkapkan rasa takutnya kini. Matanya cuba dipejamkan serapat mungkin sambil menarik selimut ke kepala. Kaki yang terjuntai di katil digerak-gerakkan. Tindakan refleks apabila dia ketakutan.

“Aduh,” Atiqah mengaduh. Kakinya disentuh sesuatu yang tajam. Ya, tajam seakan-akan kuku. Atiqah sudah tidak mampu bertahan, dia mengerekot di dalam selimut. Pada masa yang sama, dia berdoa supaya suaminya segera pulang.

“Abang, cepatlah pulang. Atiqah takut, sangat-sangat takut,” pinta Atiqah sendirian.

Tanpa disangka-sangka, dia mendengar orang menangis.

“Ya Allah, ujian apa lagi ni?” adu Atiqah lemah. Ternyata benar kata orang bahawa rumah ini berpuaka! Kali ini Atiqah memberanikan diri. Dia merancang untuk bangun membuka lampu dan menunggu suaminya di laman rumah. Dia sudah tidak tahan lagi untuk terus pegun di dalam bilik tidur ini.

“Apa nak jadi, jadilah,” nekad Atiqah lalu bangun.

“Abang!” jerit Atiqah terkejut tatkala melihat suaminya sedang menangis di bucu katil.

“Abang, bila abang balik? Kenapa abang menangis ni? soal Atiqah kehairanan.

Lelaki itu hanya diam.

“Abang,” panggil Atiqah.

Masih lagi diam.

Tiba-tiba dia dibelenggu ketakutan. Adakah di hadapannya ini benar-benar suaminya?

“Sayang…” tiba-tiba lelaki itu bersuara meskipun sedang membelakanginya.

“Ya, ya abang?” jawab Atiqah lalu memberanikan diri memandang ke arah empunya suara.

“Fuh, Tiqah ingatkan siapalah tadi,” Atiqah menghela nafas lega tatkala melihat wajah suami kesayangannya itu betul-betul di hadapannya. Ya, itu suaminya. Tangannya pantas mengusap pipi lelaki itu dengan penuh kasih.

“Abang, kenapa menangis ni?” soal Atiqah yang turut sama dirundung pilu biarpun suaminya tidak membalas usapan tangannya.

“Abang sunyi. Abang rindukan suara sayang. Abang rindukan semuanya tentang sayang,” ucap lelaki itu dalam keadaan tersedu-sedan sambil mengusap gambar arwah isterinya yang sudah pulang dijemput Pencipta.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

FIKRI FIQ

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 92 Average: 4.3]

3 thoughts on “JANGAN SENDIRIAN”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.