Jasad Terseksa: Aetiology

Assalamualaikum, aku SenyumanPerantau. Alhamdulillah, pertama sekali aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang telah menolong Fiya tempoh hari. Hari ni aku akan sambung cerita Fiya hari tu. Tajuk yang aku pilih tu, nanti korang cari ye maksud apa, saja pilih tajuk tu, hehe?

Cerita perenggan bawah ni, macam biasa “aku” merujuk kepada Safiya atau Fiya. Pada sesiapa yang tak baca lagi episod pertama, episod pertama bertajuk Jasad Terseksa: Keliru.

Cerita Fiya

Lepas peristiwa aku berubat kat Darussyifa’ Bangi, aku pun sambung pelajaran aku untuk persediaan dan Alhamdulillah berjaya dihabiskan. Ayah, mak dan pakcik aku semua sentiasa bagi nasihat dan sokongan untuk aku terus kuat melawan semua benda yang mendatang kepada ku.

Semuanya berjalan lancar dan aku terus kuat melawan. Tetapi segalanya berubah apabila aku ditawarkan pengajian untuk peringkat ijazah. Aku pun masuk belajar balik. Minggu pertama semuanya ok. Menginjak masuk minggu kedua, hati aku mula tak sedap. Tak selesa. Rasa semacam. Aku nak gambarkan dalam ni pun tak pandai, tapi bukan rasa panas atau gatal macam sesetengah orang kena sihir. Aku pun hubungi ayah aku, mengadu pasal ni. Ayah aku cakap jangan dilayan, terus melawan perasaan tu, fokus belajar dan kuatkan diri hubungan dengan Pencipta.

Tapi AKU GAGAL. Benda yang dihantarkan kali ini lebih kuat. Mula-mula, aku jadi tak fokus dalam pelajaran, kuat berangan, fikiran melayang-layang. Tapi masa ni, aku tak rindu pada Zakrul lagi, yang aku tahu diri dan sifat aku berubah. Jadi malas belajar, ponteng kelas, memanjang tidur je kat kolej, aku rimas dan marah semua orang. Sampai satu tahap, aku jadi macam orang gila terjerit-jerit seorang diri.

Selepas gangguan minggu pertama, gangguan kedua berkunjung tiba. Perasaan rindu dan teringat-ingat kepada Zakrul muncul kembali. Tapi kali ni lebih ketara. Aku terus keluar kolej waktu malam dan naik komuter turun dekat kawasan rumah dia. Aku sampai kat perhentian dah dekat tengah malam, maknanya mungkin train yang terakhir. Aku call Zakrul, suruh dia jemput aku. Sampai je Zakrul depan aku, dia lemparkan aku dengan senyuman yang sangat-sangat sinis. Aku sedar masa ni benda yang aku buat ni tersangat bodoh, tapi aku rasa seakan-akan diseru untuk datang.

Malam tu, sampai je depan rumah dia, dia ajak aku duduk kat beranda luar rumah dulu. Aku tak ingat dah apa benda yang aku sembang. Tapi kejadian tu dalam pukul 2 3 pagi. Aku nampak sekawan lembu berkeliaran di sekeliling rumah dia, seakan-akan membentuk pagar. Lembu-lembu ni memang pelik rupa dia, rupa macam lembu biasa tetapi kepalanya seakan-akan TIADA. Ya, lembu tiada berkepala. Bab haiwan ni, aku harap Bro Carlito Rockers dapat terangkan, apakah gerangan makhluk ini??

Wallahu a’lam. Masa tu aku dah rasa seram dan lain macam. Lepas tu dia bawa aku ke belakang rumah, tengok satu makhluk berbungkus putih. Mula-mula aku ingat guni, tapi makin lama, makin aku sedar, itu bukan lah guni putih biasa. Ianya pocong? Masa ni aku macam sedar dan takut sangat. Zakrul pun ajak masuk rumah mungkin sebab tengok wajah aku yang semakin pucat. Malam tu, aku tidur di bilik adik perempuan Zakrul. Dan Zakrul tidur di dapur, aku masih lagi pelik sampai sekarang, kenapa Zakrul suka tidur di dapur. Cita-cita menjadi seorang chef?? Entah, relevannya pun aku tak tahu.

Keesokkan harinya, awal pagi lagi Zakrul dah hantar aku ke KTM. Dia pesan kat aku,
“Dah la, balik ye, jangan buat macam ni lagi,tak baik. ”

Tu detik terakhir aku jumpa Zakrul. Aku pun tak tahu kenapa dia pesan aku benda tu. Aku pun balik ke kampus. Tapi semuanya bagai dah tak seperti biasa, aku dah tak semangat, jiwa kacau, tak tenang tak tenteram. Aku dah tak dapat belajar dengan baik. Benda paling bodoh aku pernah buat, aku telan pil, cuba bunuh diri. Pening melayang-layang, Alhamdulillah Allah masih sayangkan aku,beri peluang aku untuk bertaubat. Aku hampir minum racun rumpai, dah tuang dalam gelas, hampir minum dah, tapi masih ada secebis iman yang menghalang aku.

Pelbagai usaha dibuat oleh mak ayah aku, dibawanya berubat. Mak dan ayah aku bawa aku pergi umrah. Ketika umrah, aku menjadi takut dan kesal dengan semua perbuatan aku, mungkin semua ni terjadi sebab aku sering lalai dan bukan lah seorang anak dan hamba Allah yang baik. Tak sampai la menengking mak ayah, tapi aku seorang yang jenis “rebel”. Aku atur langkah aku ke dalam Masjidil Haram, dengan penuh berhati-hati, segala benda bermain di benak fikiran aku. Tak nampak Kaabah la, lumpuh la,sawan la.

Aku terkenang semua dosa-dosa aku,takut dibayar cash masa kat sana. Astaghfirullah Al-Azim..Aku bersangka buruk pada Tuhanku, walhal Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.Selepas aku menjejakkankan kaki di hadapan Kaabah, Alhamdulillah, aku nampak Kaabah, aku pun tawaf dengan bersyukur dan merendah diri sangat-sangat. Semasa di sana juga, aku merasai dua pengalaman yang sangat beharga sebagai hambaNya, pertama ketika aku bertawaf di bawah matahari yang terpacak di atas kepala, aku rasakan tiba-tiba angin sejuk seperti penghawa dingin sepanjang aku bertawaf dan pengalaman kedua, aku dibantu oleh seorang hamba Allah lelaki, memegang telekung ku,menarik ku hingga ke Hajarul Aswad, aku sangat bersyukur kerana pada masa tu, manusia tersangatlah ramai, bila aku ingin berpaling kembali untuk mengucapkan terima kasih,lelaki itu hilang lesap. Aku ingat lagi wajah lelaki itu,putih,bersih,tenang dan sangat tampan. Siapa gerangan lelaki itu? Wallahu a’lam.

Balik dari Mekah, aku cuba beberapa kali nak sambung pengajian ijazah yang tertangguh. Tapi masih tidak berjaya. Walaupun kesan sihir agak berkurangan selepas pulang dari Mekah, otak dan semangat aku masih lesu dan kosong untuk belajar. Setelah fikir masak-masak, mak ayah aku bersetuju untuk berhenti belajar. Sebab kesan sihir ni sebenarnya agak teruk, aku tak boleh berseorangan, contoh kalau masa drive seorang diri, fikiran aku melayang-layang dan tak dapat fokus, sangat merbahaya.

2,3 tahun lepas berhenti belajar,  ayah aku mengundang kawan dia ke rumah. Kawan dia berkebolehan bantu orang bab mistik macam ni. Masa orang tua dan adik beradik aku diperiksa, semua takda apa masalah. Cara dia memeriksa, dia guna logam (kurang pasti logam apa) berbentuk keris kecil, dia lalukan di jari kaki.

Tiba giliran aku kat kaki kanan takda rasa apa-apa. Dekat anak jari kaki kiri tiba-tiba rasa sakit macam kena renjat letrik. Terkejut aku, mujur tak kena penyepak abang tu?. Jadi dia bagi cadangan tarikh untuk berubat dan apa yg perlu disediakan.

Pada hari tersebut dia datang dengan 2 orang kawan. Masa mengubat tu Alhamdulillah, aku takda lupa diri atau apa. Cuma agak sakit kat anak jari kaki kiri tersebut. Terangkat jugak mujur bapak aku tahan. Selesai tu dia minta aku minum 7 biji air kelapa muda.

Ye sangat banyak. KEMBUNG PERUT RASA.. Biji pertama minum takda apa. Biji kedua baru sekali sedut guna straw aku termuntah. Tapi muntah keluar lendir. Takda keluar makanan atau benda lain. Dia kata air kelapa tu untuk cuci perut. Buat pertama kali dalam beberapa tahun sejak terkena ilmu orang tu, aku dapat tidur nyenyak. Kalau tak mimpi bukan-bukan. Mimpi jatuh dari tempat tinggi, mimpi benda-benda hodoh, mimpi anjing hitam. Sampai satu tahap aku tak boleh tidur malam. Bila hari dah cerah, lepas subuh baru boleh tidur.
Abang tu ada pesan kat aku,

“Dik, orang yang dah terkena ilmu macam ni, dia akan berlubang. Ada pintu benda-benda lain boleh masuk. Jadi rajin-rajinkan diri beramal apa yang patut dan terus konsisten berubat kalau perlu.”

Tapi biasa la, aku pun manusia juga, lepas dah sihat, kadang-kadang aku alpa juga, tapi tidaklah seteruk dulu. Tapi bila aku mula lupa atau keseorangan, kesan sihir tu akan datang balik sehinggalah sekarang. Lepas putus dengan Zakrul, aku ada cuba juga untuk berkawan dan mencari jodoh, naluri insani kan tapi semuanya gagal. Ada la dalam 5 ke 6 orang aku berkawan.. Tapi, semuanya gagal,paling lama bertahan pun 3 tahun, tapi makin lama makin pendek. Sampai satu tahap, aku rasa aku malas nak kahwin. Tapi tak baik la pula kan, lepas dengar ceramah daripada sorang ustaz tv9 hari tu.

Aku ingat benda tu biasa, atau tiada jodoh. Tapi satu hari tu, datang sorang kawan perempuan aku, bernama Suhaiza Razak berasal dari utara tanah air melawat aku. Dia ada la juga kebolehan untuk melihat dan merawat pesakit macam aku. Masuk je jumpa aku, dia cakap kat aku,
“Zakrul ni ada hantaq benda lagi kat hang ni, tapi kali ni len macam, niat dia satu ja, nak bagi hang bujang sampai ke tua.Tapi hang jangan takut,benda ni tak kacau hang,dia cuma kacau mana-mana laki yang nak dekat dengan hang..”

Aku terdiam. Buntu. Dalam nak percaya ke tak percaya. Tiba-tiba, Suhaiza bersuara lagi, “Keturunan pun ada hang ni, lama dah.Dari hang kecik lagi dia ikut hang.”

Bila ingatkan balik memang sejak kecil aku diganggu dengan kelibat hitam dan putih sekeliling aku. Tapi makin aku dewasa benda tu makin kurang menonjolkan diri. Benda paling kerap berlaku, terdapat lebam-lebam di dada dan peha. Paling teruk aku kena kacau dengn benda keturunan ni masa aku umur 9 tahun, aku tengah sikat rambut sambil main gincu mak aku. First, tengah aku pandang cermin almari solek,aku nampak bayang putih jauh di belakang. Aku biarkan. Kali kedua, aku nampak bayang hitam pula, perasaan aku dah mula goyah. Kali ketiga, aku toleh kiri, Ya Allah, dia munculkan diri. WAJAH PEREMPUAN TUA, MUKA BERKEDUT-KEDUT BERBINTIL-BINTIL,BERUBAN, MENJEGILKAN MATA DI SEBELAH AKU. Aku pengsan. Hati-hati ye pembaca semua yang bersolek tengah-tengah malam tu.

Aku buntu. Aku keliru. Tu punca aku minta mamat SenyumanPerantau tu tulis pasal ni. Sekarang aku masih cuba menguatkan benteng pertahanan diri aku, di samping ingin tahu punca sebenar aku jadi macam ni, sihir sahajakah, ataupun akibat daripada gabungan keduanya.. Allah..tolonglah hambaMu ini.
Cerita aku dah habis, dekat bawah ni, cerita hubungan ayah aku dan ayah Zakrul.

Kisah Ayah Fiya (Ezrul Khan) dan Bapa Zakrul (Razali Soot), kejadian ini berlaku ketika aku mula berkenalan dengan Zakrul.

Ok. Korang ingat episod lepas, masa mula-mula aku pergi dekat rumah Zakrul? Malam tu lepas berkenalan semua, bapa Zakrul atau lebih dikenali sebagai Razali Soot meminta diri untuk menyelesaikan urusan di sebuah bilik. Bilik tu kosong, gelap. Aku mengintai daripada jauh, lama-kelamaan, aku mulai berasa ingin tahu dan bertanya akan perihal “urusan” bapa Zakrul. Zakrul pun menjemput aku masuk ke bilik itu. Zakrul pun mula bercerita di mana bapanya merupakan seorang bomoh telur, yang bisa mengubati dan menyembuhkan penyakit menggunakan telur ayam kampung.

Malam tu pertama kali aku tengok orang berubat guna telur ayam kampung, badan orang tu akan dialin menggunakan telur tu, lalu dipecahkan,maka keluar la lendir darah. Keberkesanan dia? Aku pun tak pasti. Malam tu juga aku bercerita tentang arwah atuk aku yang terlantar dan menderita sakit bertahun-tahun. Bapa Zakrul mendengar dengan penuh teliti.

Tiba-tiba,bapa Zakrul ni toleh ke tepi macam bercakap dengan seseorang. Dalam beberapa minit lepas tu bapa Zakrul kata arwah atuk (masa tu belum meninggal) ada saka. Dan saka tu nak turun pada aku. Memang aku taknak la.

Masa nak gerak balik tu Zakrul cadangkan kepadaku untuk minta air penerang hati kat bapa dia. Dah dapat tu Zakrul bagitau kalau nak tengok benda-benda halus ni, lepas minum air tu ambil sikit sapu kat muka.

Balik kolej tu lepas selesai solat maghrib aku minum air & sapu kat muka. Masa tu jugak ada bau bangkai. Aku tinjau luar tingkap, tiada bangkai burung atau tikus. Lagipun bilik bukan di ground floor. Beranda pun takda. Bukak pintu bilik tengok kat laluan pun tiada apa-apa. Tapi lepas sapu tu, ada juga la nampak benda bukan-bukan. Wajah orang tua buruk, perempuan rambut panjang, budak perempuan muka kosong dan banyak lagi la. Sampai akhirnya aku pun buang la kononnya air penerang hati tu.

Benda berubat aku dan atuk ni, bukan free. Mak ayah aku sendiri kena tipu dekat beribu. Tu ayah aku naik angin sangat dekat bapa Zakrul. Lepas habis beribu-ribu, atuk aku pun tiada tanda-tanda sembuh dan meninggal dunia.

Lepas daripada berhenti hubungi Zakrul, aku pun tak tahu apa cerita dengan bomoh Razali Soot. Khabarnya dia memang terkenal dengan rawatan telur ayam kampung di semenanjung Malaysia. Tamat cerita dendam ayah aku dengan bapa Zakrul. Puncanya sebab kemungkinan bapa dia yang buat aku macam ni dan duit ayah aku melayang ribu-ribu??

Akhir sekali, daripada mana Zakrul dapat nombor aku?? Ingat episod pertama? Ada program dengan budak-budak sekolah agama tu?? Akhir program ada budak minta tukar nombor telefon dengan kakak fasilitator. So, Zakrul ni pakcik salah sorang budak tu. Sedih kan.Tetapi aku memang redha. Setiap benda yang jadi ni ada hikmahnya, walaupun aku tak habis ijazah, aku sekarang makin hormati ibu bapa aku, dan banyak masa dengan mereka berbanding dengan Fiya yang dahulu. Sekarang, aku pasrah dan redha, kalau dah ketentuan Allah aku tiada jodoh, mungkin ia masa untuk aku membalas jasa ibu bapa aku dengan menjaga mereka???

SenyumanPerantau:

Selesai aku rumuskan semua cerita Fiya yang sememangnya panjang dan kompleks. Ni pun ada dah yang aku ringkaskan. Maaf kalau ada ayat yang tak sempurna atau kelam kabut sikit. Almaklum la, menulis sambil kemas-kemas beg, siap sedia duit raya dalam sampul.?

Untuk Fiya, aku doakan dia berjaya membuang semua kesan-kesan sihir dan bertemu jodoh. Sebab dia pun tengah mencari sebab umur dia dah 28 tahun, dia agak risau. Tapi kalau dah ketentuan Allah untuk bertemu jodoh, apa-apa sihir pun tak dapat menghalang ketentuan Allah.
Pengajaran untuk kita:
1. Sentiasa dekatkan diri kita dengan Pencipta.
2. Sentiasa menghormati ibu bapa.
3. Perbuatan mensyirikkan Allah adalah dosa besar bagi yang beragama Islam.
4. Kalau kita berubat dengan ustaz terhebat pun, tapi sembahyang pun tak nak, hmm…tak payah la, sebab setan pun dah bersarang dalam badan kita.

Satu lagi, aku ingat benda-benda sihir ni jadi kat orang Islam je. Rupa-rupanya kawan aku berbangsa Cina pun pernah kena sihir.. Pelik kan? Itulah realitinya. Akan tetapi,tanda dan kesan sihirnya agak berbeza walaupun terdapat sedikit kesamaan.

Akhir kata, aku ingin memohon kemaafan kepada semua pembaca fiksyen shasha dalam aku menulis, kadang-kadang tersalah eja, tersilap tatabahasa,terpendek cerita,tak terjemah bahasa, dan rakan-rakan penulis yang mungkin agak terkasar dan keras dalam bergurau senda, deefen, wan sc, ser shizu, carlito rockers,daeng, cik edot, nadey (banyak dosa dengan hang ni?), mok, nana, dan banyak lagi la yang tak tersebut dalam ni.

Menjadi kaya biar berteman,
Sebarkan dakwah biar steady,
Pagi raya saling bersalaman,
Moga ukhuwah kekal abadi.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin???

Jumpa lagi pas raya, kalau panjang umuq dan aku rajin nak menulis?

.

SenyumanPerantau
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

8 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.