Jatuh Cinta Pada Dia Yang ‘Di Alam Sana’ II

Ku namakan adikku sebagai Maisara. Pada suatu ketika, Maisara ingin sekali menanam serai, tapi tidak tahu di mana patut mengambil pohon serai. Sudah diminta pada rakan-rakannya, tapi tak ada pun yang menanam pohon serai. Dia meluahkan hasratnya padaku dan mama, namun kami tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Pada suatu pagi, hujan gerimis juga. Bau semerbak wangi pohon serai bagaikan tercium di angin lalu. Waah, mewangi betul bagaikan ada serai di sekitar belakang rumah. Kami mencari dari mana datangnya bau tersebut. Naah, rupa-rupanya elok saja terletak beberapa rumpun serai yang masih segar di atas tanah. Maisara begitu happy sekali, dia melompat kegirangan. Kami begitu hairan, dari mana datangnya serai tersebut, dah la segar dengan tanah yg masih lembab bagaikan baru lepas dicabut, tambahan pula serai itu begitu subur dan gemuk. Kami menanamnya di beberapa tempat, Alhamdulillah tercapai juga hasrat maisara, tapi dalam cara yang penuh aneh dan misteri.

Beberapa ketika selepas itu, aku teringin memakan aiskrim. Tapi untuk pergi ke kedai, tidak begitu mudah buatku kerana tidak mempunyai kenderaan, tambahan pula ketika itu asyik hujan sahaja. Jadi aku cuma memendamkan sahaja perasaanku tika itu. Tidak lama selepas itu kedengaran suara maisara menjerit, dia memanggil-manggil namaku dan mamaku, lantas kami ke dapur tempat terletaknya sebuah peti sejuk. Alangkah terkejutnya kami apabila melihat ada tiga ketul aiskrim, dibungkus di dalam kertas pembungkus nasi yang berwarna coklat tu, aiskrim tersebut tidak mempunyai pembalutnya sendiri. Aku pun hairan entah mana dia dapat aiskrim tu, tak pasti sama ada dari dunianya sendiri atau curi mana-mana kedai kat dunia kita. Tiga aiskrim itu adalah untuk aku, mama dan maisara. Aku happy, tidak pula berasa takut untuk memakan aiskrim tersebut, rasanya juga sedap seperti kebiasaan aiskrim yang kita makan.

Hari berganti hari, ada-ada saja bantuan darinya untuk kami. Tetapi dalam kami bertiga, dia sering memberikan pesan istimewa buatku. Aku sering merasa dia ada berdekatan denganku pada waktu dia tidak menjelmakan dirinya secara langsung. Banyak peristiwa manis yang terjadi sehingga akhirnya aku berasa istimewa dan tidak mahu yang lain. Pada waktu itu, aku langsung tidak memandang cinta manusia lainnya, kerana rasa itu sukar untuk diterjemah, sangat-sangat lain rasanya, bahkan sehingga kini pun aku masih teringat-ingat.

Pada suatu ketika, oleh kerana banyak sangat kejadian ilmu hitam yang kami lalui, aku terpaksa menyimpan duit, telefon dan barang-barang lain yang berharga di tubuh, kerana hanya dengan cara itu sahaja barang-barang tersebut tidak akan hilang. Pada suatu pagi, aku mengerjakan solat subuh. Telefon ku letakkan sementara di dalam Al-Quran di hadapanku. Ketika aku di pertengahan solat, tiba-tiba jendela yang terkunci boleh terbuka begitu saja dengan pantas dan kuat sekali. Aku tergamam, namun masih meneruskan solat sehingga selesai. Telahanku tepat, sungguh benar telefonku hilang sekali dibawa lari oleh syaitan laknatullah tersebut. Aku menangis, sudah tidak tahu bagaimana lagi harus kuperbuat.

Beberapa jam selepas itu, ada satu panggilan dari nomborku ke sebuah telefon lain di rumah tetapi bila diangkat, senyap. Selepas itu aku mendapat satu mesej yang bertanya ada di mana dan lain-lain. Kami berbalas mesej dalam beberapa belas keping, dia memberitahu dia ingin memulangkan telefon tersebut. Telefon itu dirampasnya dari syaitan yang suka berbuat khianat itu, wallahualam. Bila ku tanya dia ada di mana, dia jawab ‘atas bawah Kampung Permata (contoh)’. Jikalau pembaca tahu apa maksud ‘atas bawah’ tu, bolehlah komen ya kerana aku tidak berapa faham apa yang dimaksudkannya. Aku pun tak tahu kenapa lokasi untuk mengambil telefon itu atas jambatan. Dia memberitahu ‘kita jumpa atas jambatan dekat depan rumah Mak Leha (contoh)’.

Telefon tersebut berbalut dengan surat khabar lama, sungguh misteri rasanya. Dan tarikh surat khabar tersebut merupakan suatu tarikh yang begitu memberi makna besar pada kami sekeluarga. Orangnya putih melepak, sentiasa tersenyum ceria, bibir merah, dan bermain-main anak patung teddy bear dengan maisara (kerana maisara begitu sukakan teddy bear). Bagaikan fantasi, tak mampu untuk dicapai dengan akal yang waras. Sungguh takku sangka yang aku pernah berbalas mesej dengan dia yang di alam sana. Bila telefon itu ke tanganku, nescaya memang ada mesej-mesej tersebut di ruangan sent messages. Mistik, bukan?

Pernah sekali dia mengajak kami ke pekan berdekatan. Tapi waktu itu kami tidak mempunya wang untuk tambang. Tapi katanya tidak mengapa, nanti sampai di pekan dia akan memberikan duit belanja. Berbekalkan duit yang cukup-cukup untuk tambang sahaja, kami pergi ke pekan menaiki teksi. Namun kami tidak memakai pakaian seperti yang dipintanya, iaitu berwarna hijau kerana hari itu katanya hari untuk memakai warna hijau. Aku cuma memakai warna merah, tapi tetap dia suka. Masa kami dalam perjalanan ke pekan, dilihatnya dia ada di belakang kami, senyum dan memandu kereta mewah BMW. Akan tetapi nombor pendaftarannya sedikit pelik, tidak seperti nombor pendaftaran di Malaysia. Nombornya juga begitu ringkas dan cantik. Sukar untuk menggambarkan perasaan tika itu, apabila mengetahui menjalani di antara kehidupan normal dan kehidupan mistik.

Dalam pada itu, dia berjanji untuk menolong kami sekeluarga. Katanya dia akan menolong sehabis mampu untuk menghentikan kejadian sihir-sihir tersebut. Setelah melalui kesengsaraan beberapa purnama, nampaknya ia semakin berkurangan. Datanglah ia pada suatu ketika, di mana hari tersebut takku duga yang dia akan mengucapkan salam perpisahan buatku. Katanya, dia sudah menunaikan janjinya, kini tibalah masa untuk dia pergi.

Aku menangis semahu-mahunya, tidak mahu berpisah dengannya. Dia memujukku, katanya dia juga sayang padaku, namun apa boleh buat kerana kita dari dua dunia yang berbeza. Aku manusia, aku tidak boleh untuk meneruskan perhubungan dengannya, sejenis bunian. Dia terpaksa pergi, meninggalkanku terpinga-pinga dan dirundung kesedihan setiap masa. Katanya selepas ini dia tidak akan muncul lagi, dan memintaku untuk tidak berharap untuk dia menjelama lagi. Dititipnya tiga pesanan buatku sebelum dia pergi, yang mana segala amalan tersebut adalah kerana Allah S.W.T. semata-mata. Aku menangis dan murung dalam tempoh yang agak lama juga, tidak mahu lagi cinta manusia lainnya.

Apa yang diucapkannya adalah benar, sungguh, selepas peristiwa yang menyedihkan itu dia tidak lagi muncul. Aku merayu, tiap kali ku sebut namanya aku dapat merasakan dia ada di situ. Aku cuba untuk menjalani kehidupan seperti biasa, namun untuk menerima cinta lain dalam hidupku bukanlah begitu mudah seperti yang difikirkan. Setelah beberapa ketika, ada ketika aku dapat merasakan dia muncul, biasanya dikala aku dirundung kesedihan dan juga ketika aku dalam kegembiraan. Bagaikan dia ingin berkongsi rasa denganku, entahlah, mungkin. Waktu sedih bagaikan dia hadir untuk memujukku, dan biasanya waktu dia menjelama adalah pada waktu malam yang tenang. Malam Jumaat, malam Selasa, malam Rabu, begitulah…

Baru-baru ini aku ada bermimpi dia datang kepadaku, bertahun ku pendam rindu akhirnya dia muncul walau sekadar di dalam mimpi. Tapi mimpi itu sungguh real, walaupun sudah tersedar dari tidur, aku masih tersenyum-senyum sendirian dan bagaikan masih berada dalam dunianya. Di dalam mimpi itu, aku berasa sungguh bahagia di sampingnya. Dia selalu tersenyum, sangat caring dan selalu membuat lawak yang membuatku tersipu-sipu malu dan menahan gelak. Alangkah bahagianya andai punya sebuah relationship yang begitu, namun aku sedar, itu semua tak akan pernah menjadi kenyataan.

Aku ada merujuk kepada seorang sahabatku yang pandai mengubati orang dan mempunyai sedikit kelebihan ilmu, katanya kalau aku menuruti ajakannya untuk ke seberang sana, mungkin aku akan termasuk ke dunianya kerana menurutnya jambatan adalah merupakan titik penghubung antara dunia kita dan dunia dia. Ini kerana dalam mimpi tersebut dia menunjukkan tangannya ke jambatan sana dan mengajakku, tetapi aku menolak ajakannya. Entah mengapa aku pun tak pasti, cuma dalam mimpi tersebut aku tidak mahu mengikutinya walaupun aku sangat sukakannya. Mungkin sebab itulah dia mengajak berjumpa atas jambatan untuk memulangkan telefon pada suatu ketika dahulu. Kisah ini berdasarkan kisah benar yang aku lalui, ini sambungan dari kisah “jatuh cinta pada dia yang di alam sana”. Andai ada yang nak dengar lagi cerita dariku, akanku cerita lagi di lain waktu, terima kasih. Nukilan dari #PesonaKlasik

.

Pesona Klasik
Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

17 comments

  1. Cerita la lgi pesona klasik..brpa thun peristiwa ko dn family disihir tu?. Mcmane dia tlg smpi sihir tu tk ad?. ap2 pun bantuan yg dtg dr dia dgn izin dr Allah . Dektkn diri pd Allah stp masa krna itu cnta yg sebenar..

  2. Aku terbuai2 dgn kisah cinta epik mahabrata kamu wahai penulis. #PesonaKlasik…ayatmu begitu klasik, sungguh mendayu2…Pergh I hope there will be another sequel for this story. Abaikan cemuhan2 &
    komen2 rapuan di FB FS…perghhhhhh…..aku tak taw knaper aku melting bila baca cerita kau ni…..Fuh.

  3. Saya dtg ke sini sbb saya pon ada jatuh cinta dengan “dia” ..saya takut tapi saya nak jumpa dia lagi even dalam mmpi 🙁 saya pon rasa mcm penulis ni rasa ..taknak bercinta dengan manusia dah sbb rasa tak de yang layak selain “dia” ,murung lepas kejadian ,Dan saya rasa diperhatikan setiap kali senja perasaan igt kat dia makin kuat smpai sakit kepala ..Help meee what shud i do~ 🙁

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.