Jelmaan Berbaju Kuning

Assalamualaikum & Salam Sejahtera. Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih pada admin FS kerana menyiarkan kisahku sebelum ini. Kali ini aku ini kongsikan kisahku di pejabatku pula. Namaku Adel.

Kisahnya bermula apabila pada satu pagi, aku tiba di pejabat terlalu awal dari kebiasaannya. Aku tiba pada jam 07:10 pagi. Waktu kerja di pejabatku bermula pada jam 08:30 pagi. Sewaktu aku tiba, tiada sesiapapun ada di pejabat ketika itu. Aku berseorangan. Entah mengapa tiba-tiba aku berasa sangat seram dan seperti diperhatikan. Aku memetik semua suis lampu di level tempat kerjaku iaitu di tingkat 3. Bangunan pejabatku 6 tingkat. Aku terus ke bilikku. Berehat-rehat sebentar dan menghidupkan suis komputerku. Dalam hatiku berharap agar ada siapa-siapa yang tiba di pejabat dalam minit-minit terdekat ini. Sangkaanku meleset sama sekali.

Sehinggalah jam 07:30 pagi, tiada sesiapapun tiba termasuklah kakak-kakak cleaner. Menyesal aku tak duduk dalam kereta dulu. Sepatutnya aku naik lewat sikit. Atau tunggu siapa-siapa yang sampai pejabat, barulah naik pejabat. Tapi menyesal sekarang pun tak guna sebab dah masuk pun dalam pejabat. Lain kali aku memang tak nak naik pejabat kalau sampai awal-awal macam nie. Aku bermonolog sendiri. Untuk menghilangkan ketakutanku, aku ke bilik air. Tetapi jalan ke bilik air pun seram gak, walaupun cantik tetapi sebab tersorok, menambahkan keseramanku. Aku berada dalam bilik air dalam 5 minit macam tu. Aku berharap, lepas keluar bilik air nie, ada lah yang akan tiba di pejabat.

Aku membuka pintu yang menghala le lobi Pengarah Urusan yang terletak bersebelahan bilikku. Perlahan-lahan aku berjalan dan tertinjau-tinjau kat setiap partition yang ada di tingkat 3 ini. Sedang aku tertinjau-tinjau itu, aku terpandang ke arah cermin bilikku. Dari cermin itu akan terpantul apa yang ada di hadapannya. Kebetulan pula, ada bidai kayu yang menutupi cermin itu dan aku nampak jelas sesusuk tubuh seorang wanita berbaju kurung kuning diraja tapi cuma kelihatan sebahagian badannya sahaja sedang duduk di sofa lobi. Muka dan bahunya terlindung di sebalik partition di sebelahnya. Aku memandang ke arah lain seketika. Kemudian aku pandang semula ke arah pantulan cermin itu. Masih ada seolah-olah manusia betul.

Aku tak bercadang langsung untuk menegur “dia” sebab aku yakin tiada sesiapapun yang tiba di pejabat ketika itu. Dan “dia” sesungguhnya bukan manusia tapi jelmaan aku. Ya, jelmaan aku…Sesusuk tubuhnya persis aku. Seolah-olah menyerupaiku. Aku dah mula seram dan semakin takut. “Macam mana nak buat nie…apehal lak kau tiru susuk badan aku lak nie..” getusku dalam hati. Kalau aku berpatah balik ke belakang, aku risau nanti, tiba-tiba “dia” muncul di depanku. Jadi, nak tak nak, terpaksalah aku lalu depan “dia”. Macam mana nie…aku memang tak boleh toleh ke belakang, tetap kena ke depan dan lalu depan “dia”. Aku semakin tak keruan. Aku tak boleh berlama-lama berfikir di situ. Aku kena buat keputusan segera. Nanti dibuatnya “dia” say hi kat aku, lagi haru biru aku dibuatnya.

Perlahan-lahan aku melintas di hadapan “dia”. Dalam hatiku berkata, “Aku tak ganggu kau, kau jangan ganggu aku”. Seusai melintas di hadapan “dia”, aku cepat-cepat masuk ke bilikku. Cepat-cepat aku on lagu-lagu yang ada dalam komputer aku. Masa tu, aku tak terfikir pun nak pasang ayat-ayat suci Al-Quran. Otakku seperti tak boleh berfikir dengan betul sebab terlalu takut dan terkejut yang amat sangat.

Kira-kira jam 07:55 pagi, barulah ada orang datang, dan yang datang itu penyelia aku. Alhamdulillah. Lama sungguh kurasakan masa bergerak. Selalunya penyelia aku tu sampai awal, macam masa aku sampai tadi, tiba-tiba pula dia lambat hari nie. Dah tersurat aku nak kena sakat hari nie, tu yang jadi macam tu. Aku tak cerita pun hal itu pada penyelia aku tu. Aku keluar semula dari bilik dan mengintai area sofa yang “dia” duduk tadi. Memang tiada sesiapapun. Petang hari itu aku balik agak lambat dari kebiasaanku jam 05:30 petang. Aku balik jam 06:45 petang. Itupun setelah disakat mesin fotostat pulak.

Pada mulanya, aku ingat ada orang yang sedang menggunakan mesin fotostat tu, tapi bila aku periksa di semua partition, jelas, hanya aku seorang sahaja di tingkat 3 itu. Agaknya si “dia” berbaju kuning tu ada tugasan nak disiapkan, tu sebab sibuk guna mesin fotostat. Rasa seram sangat-sangat dan sukar dibendung. Aku cepat-cepat mengemaskan segala barang-barangku dan capai handbag. Ketika aku keluar dari bilikku, mesin fotostat tersebut masih beroperasi. Aku biarkan sahaja. Aku tutup semua lampu dan tekan butang lif. Keesokan harinya, aku bertanya kakak-kakak cleaner, mereka kata, memang tingkat 3 ada penunggu. Mereka telah beberapa kali tersempak dengan “dia”. Cuma cara mereka munculkan diri tu tak sama dengan apa yang aku alami semalam. Dalam hatiku tertanya-tanya, kenapa “dia” mahu menyerupai diriku?

Sehingga kini aku belum mendapat jawapannya. Aku memang tak amalkan ilmu hitam atau apa-apa ilmu yang menyimpang agama Islam selama ini. Sapa tak risau kalau dah sesuatu “benda” yang kita tak nampak, menyerupai kita. Selama ini, aku hanya dengar cerita di tingkat-tingkat lain sahaja. Ada kawan-kawan bertemu seorang ibu dan 2 orang anaknya dalam lif. Kanak-kanak bermain kejar-kejar di tingkat 4. Orang tua berambut panjang tengah duduk di tangga antara tingkat 4 dan 5. Lembaga tiada kepala sedang buat kerja pejabat di meja kawanku di tingkat 4 dan banyak lagilah. Kebanyakan kisah mistik berlaku di tingkat 4, bukannya 3. Agaknya “dia” dah bosan kot sebab tingkat 4 ramai dah yang tolong “menyakat”. Sekian dulu kisah mistikku. Terima kasih kerana membaca.

Adel ( bukan nama sebenar )
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.