JELMAAN DARI BALIK TIRAI

“Malam ni kau free tak, Zali?”

“Kalau aku free, kenapa? Kau nak belanja aku makan, ke?”

“Yup! Tapi sebelum tu, kau kena tolong aku dulu?”

“Dah agak. Kau kalau nak belanja aku mesti ada benda kau nak minta tolong dari aku, kan? Okey, apa dia? Tolong gosokkan baju kau? Atau cucikan kasut kau yang dah berminggu tak bercuci tu?”

Fariz terus tergelak besar. Tidak sangka pula dia, Zali perasan yang kasutnya sudah lama tidak dicuci.

“Tak! Bukan tu. Sebenarnya, aku nak minta tolong kau siapkan assignment aku. Sebab pagi tadi abang aku telefon. Dia cakap ayah aku tak sihat. Jadi aku ingat, lepas lsyak aku nak bertolak ke kampung.” Jelas Fariz.

Sejak dia belajar di situ dan duduk satu bilik asrama dengan Zali, persahabatan mereka semakin hari, semakin akrab. Zali banyak membantunya dari segi kewangan mahu pun pelajaran. Adakalanya, dia juga akan membantu Zali, jika Zali memerlukan bantuan daripadanya.

“Okay, no problem! Yang penting, kau kena belanja aku makan malam ni?” Kata Zali sambil tersengih.

“Tak ada hal lah bro. Kau cakap aje nak makan apa? Aku belanja.” Fariz senyum meleret.

Kalau setakat hendak belanja kawan makan, dia tidak berkira sangat. Kalau dia ada duit, hari-hari pun dia boleh belanja.

******

Malam itu, suasana yang sunyi dikejutkan dengan bunyi bising salakan anjing. Pada awalnya salakan itu biasa-biasa sahaja. Tetapi, semakin lama didengar, semakin pelik pula bunyinya. Kuat dan lebih mendayu-dayu.

Zali berhenti menaip. Hembusan angin di luar jendela agak kencang juga. Tirai yang menutupi tingkap berkibar-kibar dengan kuat bila ditiup angin.

Zali bangun dari kerusi dan berjalan menghampiri tingkap. Pandangannya dihalakan ke bawah. Dia melihat ada seekor anjing berwarna hitam, bertubuh agak besar sedikit dan berada di tengah-tengah jalan. Sepasang mata anjing itu menghala tepat ke arah Zali. Salakannya bertalu-talu itu terhenti ketika memandang Zali dalam beberapa saat sebelum berlalu.

Zali berasa pelik. Dalam masa yang sama bulu roma di tengkuknya tiba-tiba sahaja meremang. Anjing itu seolah-olah telah melihat sesuatu selain daripada dirinya.

Zali segera menutup tingkap dan menarik langsir. Kemudian, kembali semula ke meja tulisnya. Tugasan yang diberikan Fariz perlu disiapkan malam itu juga. Lagipun dia tidak suka menangguhkan sesuatu kerja itu.

*********

Malam semakin larut. Zali masih tekun menaip. Sekali sekala dia menguap. Dia berhenti seketika sambil mencapai mug. Saki baki air kopi diteguk habis. Agar hilang rasa mengantuknya. Kemudian, dia kembali menyambung kerjanya. Tetapi, berhenti semula.

Dia merasakan seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikannya di balik tirai. Zali menoleh dan memandang lama ke arah tingkap. Kain langsir berwarna coklat itu bergerak-gerak sedikit.

Namun, dia yakin, dia sudah menutup tingkap. Jika angin boleh menembusi celahan tingkap sekalipun, ia tidak akan mampu menggerakkan kain langsir dalam pergerakkan begitu. Seolah-olah, ada seseorang sedang bersembunyi di sebalik langsir.

Zali beranikan diri menghampiri tingkap. Kain langsir diselak dengan kuat. Namun, tidak kelihatan apa-apa pun di sebalik kain langsir itu. Zali menarik nafas lega.

Dia kembali ke meja tulis dan menyambung menaip. Tetapi, kerana tidak dapat menahan rasa mengantuk, akhirnya Zali terlena seketika di meja tulis.

Tetapi, dia terjaga semula bila terasa seperti ada hembusan angin bertiup masuk menepuk gegendang telinganya.

‘Angin apa pula yang tiup dekat telinga aku ni?’ Bisik Zali.

Dia memandang ke arah tingkap. Hairan? Seingatnya, dia sudah menutup tingkap dengan rapat dan menguncinya. Bagaimana ia boleh terbuka semula? Siapa yang membukanya?

Zali beranikan diri merapati tingkap. Kain langsir itu disingkap perlahan-lahan. Dia dapat rasakan ada sesuatu di situ.

“Astaghfirullahalazim….Allahuakbar!” Terperanjat Zali bila dia melihat ada dua biji mata merah menyala merenung ke arahnya.

“Aku berlindung kepadaMu Ya Allah, daripada syaitan yang direjam!!” Zali memejamkan matanya rapat-rapat.

Bila dia membuka mata semula, mata yang merenungnya tadi, sudah menghilang. Mungkin makhluk itu telah meloncat ke luar tingkap.

Cepat-cepat Zali mengunci tingkap. Bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak baik pada dirinya. Zali tidak pasti sama ada mata lembaga itu milik haiwan atau sebaliknya. Namun, renungan tajam itu benar-benar menakutkannya.

********

Usai bersiap-siap, Zali memandang seketika ke arah tingkap. Dia berharap apa yang berlaku malam tadi hanya khayalannya sahaja. Mungkin kerana dia terlalu banyak berfikir. Maka timbul perkara-perkara yang tidak dijangkakan.

Tetapi ketika tiba di kolej, Zali terdengar desas-desus daripada rakannya yang lain mengatakan tentang kemunculan lembaga yang berkeliaran di sekitar bilik asrama. Lembaga itu dikatakan suka bersembunyi di sebalik langsir dan mengganggu pelajar-pelajar yang lewat tidur.

Walaupun cerita itu seakan-akan sama dengan apa yang dialami, Zali tidak menghiraukan. Baginya, mungkin semua itu hanya satu kebetulan sahaja. Dia yakin, perkara yang sama tidak akan berulang pada malam ini.

*********

Namun, pada malam itu perkara yang sama berulang lagi. Tingkap tertutup. Tetapi kain langsir itu berkibar-kibar seperti ditiup angin.

Kali ini Zali kuatkan hati. Perasaan takut dilontarkan jauh. Dia beranikan diri untuk mengintai di balik tirai. Dia ingin tahu, makhluk apakah yang bersembunyi di situ.

Zali tidak boleh menolak rasa cemasnya. Pantas kain langsir itu direntap kuat. Dia terkedu.

Miauw… Miauwww….

Kelihatan seekor anak kucing bertubuh sederhana. Bulunya pula berwarna hitam pekat. Anak kucing itu sedang bermain-main dengan langsir. Zali tidak sedar, entah sejak bila anak kucing itu masuk ke dalam biliknya.

Ketika dia membuka tingkap, anak kucing hitam itu tiba-tiba sahaja meloncat ke luar tingkap. Zali agak terkejut. Bilik asramanya berada di tingkat yang agak tinggi. Mustahil anak kucing itu boleh selamat jika jatuh ke bawah.

Zali menjenguk-jengukkan kepalanya ke arah bawah. Tetapi, kelibat anak kucing itu tidak kelihatan lagi. Ghaib entah ke mana.

**********

Selepas solat Isyak, Zali mengunjungi sebuah kedai makan yang terletak berdekatan dengan asramanya. Dia memilih menu-menu yang ringkas sahaja. Nasi goreng kampung dengan segelas teh tarik.

Usai menjamu selera, Zali terus pulang ke bilik asramanya. Ketika pintu bilik dibuka, dia terhidu seperti bau kemenyan. Hatinya berasa tidak sedap. Ucapan Bismillah dimulakan terlebih dahulu sebelum kakinya menapak masuk.

Pintu bilik dikunci. Dia berpaling dan terkejut. Rakannya Fariz sedang berbaring di atas katil.

Fariz bangun sambil duduk bersandar bila melihat Zali muncul di dalam bilik itu.

“Eh, Fariz? Bila kau sampai? Tak beritahu aku pun kau nak balik?” Soal Zali dengan pandangan pelik.

Selalunya, kalau Fariz pulang ke kampung dan mahu kembali ke sini semula, Fariz akan menghubunginya terlebih dahulu. Tetapi, kenapa Fariz tiba-tiba sahaja pulang ke sini tanpa memaklumkan kepadanya dulu?

“Saja, aku nak buat surprise.” Ujar Fariz dengan ketawa kecil.

Zali hanya tersenyum.

“Tapi muka kau nampak pucatlah. Kau tak sihat, ke?” Tanya Zali.

Bibir Fariz kelihatan kebiruan. Wajahnya pula pucat dan lesu.

“Aku tak sihat sikit. Demam. Maklumlah, cuaca dekat kampung tu agak panas. Aku rasa macam kulit aku nak terbakar.” Kata Fariz dengan iringan tawa yang lebih panjang.

“Oh, ya ke? Kau nak ubat tak?”

“Tak apa. Aku baru makan ubat tadi.” Lemah suara Fariz menjawab.

“Kalau macam tu kau berehatlah. Pasal assignment kau tu, aku dah siapkan semuanya. Tapi kau tahu, tak? Sepanjang kau tak ada, aku rasa macam ada gangguan dalam bilik ni. Terutama dekat bahagian langsir. Aku rasa macam ada benda memerhatikan aku. Sebab tulah aku cabut langsir tu!”Kata Zali bersungguh-sungguh.

“Maksud kau, benda yang macam mana?” Tanya Fariz.

“Entahlah. Jelmaan kut? Hari tu aku ada nampak kucing hitam. Nenek aku cakap, jelmaan ni ada berbagai bentuk.”Jelas Zali.

“Kadang-kadang, dia akan menyerupai haiwan. Macam kucing atau pun cicak dan belalang. Kadang-kadang, dia akan menyerupai dalam bentuk manusia. Dia boleh jadi orang yang kita kenali dan orang yang dekat dengan kita. Macam ibu, ayah atau nenek dan datuk kita.”Terang Zali lagi.

Ketika umurnya sepuluh tahun, satu kejadian ngeri pernah berlaku. Waktu Maghrib hampir tiba ketika itu. Dia melihat ada seseorang di kawasan luar rumah. Dia sangkakan itu neneknya yang datang berkunjung.

Dia menghampiri ke arah wanita tua itu. Tetapi, wanita itu berlalu tanpa memandangnya walaupun, dia terus memanggil-manggil wanita yang disangkakan neneknya itu.

Zali mengekori langkah wanita tua itu sehingga dia tidak sedar kakinya sudah jejak ke dalam kawasan semak.

Mujur, ada seorang penunggang motorsikal lalu di situ. Bila ternampak Zali, dia lantas menegur.

Zali kelihatan terpinga-pinga selepas ditegur. Dia terkejut melihat kawasan sekelilingnya. Hanya rumput-rumput kering yang menjalar. Dia baru menyedari, yang dia berada jauh dari kawasan rumahnya. Dan wanita tua itu sudah menghilang entah ke mana.

Itu antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Jelmaan yang menyerupai neneknya.

“Oh, macam tu, ke? Tapi kau pernah terfikir tak? Jelmaan tu juga boleh menyerupai rakan baik kau, FARIZ….?”Suara Fariz berubah garau.

Zali tersentak. Pandangan dan senyuman Fariz dilihat berbeza daripada biasa. Macam bukan Fariz yang dikenali.

“Apa maksud kau ni, Fariz? Agak-agaklah kalau kau nak bergurau dengan aku pun. Dah malam, kan?” Marah Zali. Tiba-tiba sahaja dia berasa seram semacam.

Nada telefonnya berbunyi. Terus menggigil tangan Zali apabila melihat nama yang tertera. Fariz!

Zali melekapkan telefonnya ke telinga sambil menunduk. Kaki lututnya terasa longlai. Tetapi, dia tidak mampu berganjak ke mana-mana.

“Helo, Zali? Apasal kau lambat jawab telefon? Aku nak beritahu kau, esok pagi baru aku balik. Ingat nak balik malam ni. Tapi dah lewat sangat. Assignment aku macam mana? Kau dah siapkan ke, belum?”

Soalan dari Fariz tidak mampu dijawab ketika ini. Telefon dalam genggaman tangannya terhempas ke lantai. Perlahan-lahan dia memandang ke arah katil.

“Allahuakbar!” Zali mahu menjerit.

Namun, suaranya tersekat di kerongkong. Dia kaku di situ dengan mata terbeliak memandang Fariz yang sudah berubah kepada bentuk mengerikan!!

Dan, Zali? Rebah!

-TAMAT

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

1 thought on “JELMAAN DARI BALIK TIRAI”

  1. Korang yg suka karang fiksyen hantu2 ni nak sangat ke mati nti jadi hantu? Ko ada unsur2 berupa nasihat ke atau dapat tambah ilmu ke tak apa le jugak.

    Reply

Leave a Comment