#Jemah- Kisah Seram Adik Beradik

Assalamualaikum dan salam sejahtera rakan pembaca FS semua. Namaku JEMAH, 24 dan pembaca setia FS tapi hanya sekadar menjadi silent reader. Aku dah pernah submit cerita ni tapi admin takde publish and siap kena reject lagi. Tak tau kenapa. Harap kali ni admin publish. Aku bukan penulis yang bagus namun aku tetap ingin berkongsi tentang keangkeran rumah yang aku sekeluarga diami lebih kurang 18 tahun sejak berpindah dari negeri lain yang tak perlu aku sebutkan.

Mak aku warisi rumah ni dari neneknya kerana mak aku cucu sulung dan dia tinggal dengan nenek nya dari kecik sampai lah dia kawen dan pindah negeri ke lain kerana ikut ayah aku. Sejak kami berpindah ke rumah itu selepas nenek mak aku(moyang aku) meninggal dunia, tiada yang seram atau mistik berlaku pada 2-3 tahun pertama. Namun selepas tu ada yang dah berani menunjukkan belang.

Aku nak buat disclaimer yang keangkeran rumah aku tidak berkait dengan arwah moyang aku ada ‘membela’ atau mempunyai saka. Alhamdulillah susur galur ku takde berkait dengan unsur menyekutukan Allah. Cuma aku dan sekeluarga tak pasti mana datangnya ‘benda’ ini.

KISAH ALONG
Cerita pertama ini berlaku kepada abang long aku. Rumah kami ada 3 bilik. Semua dalam kedudukan sebelah menyebelah start dari bilik parents, bilik aku + kakak & last bilik adik beradik lelaki. Bagi aku bilik hujung (bilik lelaki) yang paling menyeramkan. Sebabnya belakang rumah dikelilingi hutan. Hutan yang tak terlalu tebal tapi cukup untuk menjadi habitat babi hutan.

Kejadian berlaku sewaktu Along berumur 15-17 tahun. Along selalu mengadu dekat mak yang dia kena ‘kacau’. Katanya ‘benda’ tu selalu cuit bahu dia semasa tidur. Bila Along berpaling tengok sebab ingatkan adik aku yang kecik masa tu (darjah 1 kot) yang nak main-main. Rupanya adik dah lama berair liur basi dan terlentang agak jauh dari dia. Agak mustahil adik bergurau sebab dia penakut dan masa tu dah pukul 2-3 pagi. Diorang plak tidur tanpa cahaya lampu.

Tak cukup dengan cuit bahu, tapak kaki Along juga dikuis-kuis bagaikan si ayam kais tanah. Mau tak terkejut Along bila dia tersedar dan perasan lembaga hitam tu elok berdiri depan katilnya. Hanya lembaga hitam tanpa rupa atau anggota. Besar lembaga tu cukup untuk memenuhi 1 bahagian tinggi tingkap nako. Fahamkan besar dia macam mana. Tingkap nako tu kan lebar cermin dia ada dalam 1 1/2 kaki. Tinggi setiap nako yang bersusun tu adalah dalam 3 kaki . Dan jarak lantai ke nako dalam 5 kaki. Hahhh. Agak tinggi kan lembaga tu.

Macam mana Along boleh nampak dengan jelas lembaga hitam tu sebab masa tu bulan purnama. Cahaya luar cukup terang untuk menembusi masuk ke dalam bilik melalui cermin nako yang tak berlangsir. Tiba-tiba adik peluk Along. Rupanya malam tu kaki adik pun kena kuis jugak. Maka tidur berpelukanlah mereka hingga ke pagi.

Kadang-kadang lembaga hitam tu muncul di pintu bilik diorang. Yang ni adik yang nampak. Gigih dia kejutkan Along dan tanya ‘Along, apa dekat pintu tu??’ Oh sungguh noob dan suci betul adikku waktu ni. Maka Along berhuhu dan sekali lagi mereka tidur berpelukan.

Menurut mak aku, lembaga ni ada tuannya iaitu jiran rumah aku. Bukan jiran sebelah. Tapi jiran disebalik hutan belakang rumah aku. Ada jalan kecil menyelusuri hutan yang akan menembusi rumahnya. Bukan mak aku menuduh, tapi si nenek itu sendiri yang datang mengaku. Katanya kalau ada ‘benda’ datang mengganggu, itu hantu raya milik arwah suaminya. Bertujuan jagakan rumah dan kebun mereka. Katanya lagi hantu raya itu akan berkeliaran bila saja dia ke rumah anaknya di negeri lain. Maka tinggallah hantunya tanpa makanan dan tuan. Patutlah ia datang bersiar-siar ke rumah kami. Banyak cantik!

KISAH JAT
Cerita ini dialami oleh abang aku yang kedua, Jat (bukan nama sebenar). Pertama kali dia kena sakat masa dia Darjah 4 atau 5. Aku dah lupa. Masih berkait dengan bilik hujung. Kan aku dah cakap bilik hujung ni angker dia lain macam. Semuanya sebab kedudukan bilik tu yang lebih ‘hampir’ dengan rumah tuan benda tu.

Kejadian berlaku semasa masuknya waktu Maghrib bagi kawasan tempat tinggal aku dan sekitarnya. Maka adik-beradik aku berpusu-pusu berebut bilik air untuk berwudhu’ dan mandi. Masa ni giliran Jat ke bilik air lambat lagi. Jadi dia ditugaskan Along untuk tutup tingkap dalam bilik hujung. Kebetulan masa ni Jat tak sihat dan tak pergi sekolah haritu. Demam katanya.

Disebabkan masa tu dah gelap, Jat bukak lampu bilik untuk masuk tutup tingkap. Dengan tak semena dia terpandang satu lembaga berdiri di luar tingkap bilik. Hanya kepala sahaja yang muncul. Tanpa badan. Seolah-olah mengintai Jat dari luar. Yang peliknya nak kata orang memang bukan dan mustahil seseorang setinggi itu sebab semua bilik duk bahagian rumah atas. Dua kali tinggi orang dewasa baru lah boleh intai ke dalam bilik. Jat describe lembaga tu matanya merah merenung garang, muka putih dan pucat, rambut mengerbang macam penyanyi Alleycats, David Arumugam dan tak nampak mulut.

Punyalah dia lari tak cukup lantai dari bilik tu dia lompat balkoni dalam rumah terus terjun ruang tamu. Macam mana ek nak describe. Balkoni tu pemisah antara rumah kayu yang atas dengan ruang tamu bawah. Kalau berdiri kat ruang rumah kayu atas, tinggi palang balkoni tu ada lah paras pinggang. Bila lompat ke bawah boleh seliuh gak lah kaki.

Aku dengan yang lain termasuk mak aku semua terkejut tengok dia, Muka Jat masa tu kalau toreh dengan pisau konfem takde keluar darah. Dah la dia demam. Lemah semangat kot. Tu yang benda tu kacau dia. Lepas landing dari lompatan tu, Jat bangun duduk kat sofa and diam kejap. 5 minit baru dia bukak mulut dan bercerita lepas mak aku bacakan ayat kursi.

Pengalaman Jat yang kedua, dia terserempak dengan mak aku yang ‘kedua’. Yup. Benda tu menyerupai mak aku. Masa ni rumah tengah renovate. Aku pun tak reti nak describe keadaan selok belok dalam rumah masa tu. Ceritanya pada suatu malam, Jat ke dapur nak minum air. Dia tengok lampu dapur terpasang cerah. ‘Oh mak tak tidur lagi la tu’, dalam hati. Dia pun ke dapur. Nampak mak aku tengah bancuh air. Dia tak tegur pun sebab mak aku kebiasaan malam sebelum tidur dia buat aiskrim 1 Malaysia. Lepas minum air dia nak menuju ke bilik hujung kena lalu bilik 1 dan 2. Tiba-tiba mak aku yang sebenar keluar dari belakang almari (almari tu ada depan pintu bilik mak sebab rumah tengah renovate) terkejut kera la abang aku. Ada dua mak malam tu. Terus dia tanya ‘eh bukan ke mak kat dapur?’. Mak aku tengok pelik. ‘kamu ni kenapa? Mak baru lepas solat Isyak. Takde pergi dapur pun lagi.’ Maka berhuhu lah dua beranak itu.

Pengalaman seram lain yang berlaku ketika Jat dah berusia 16-17 macam tu. Masa ni dia selalu pulang ke rumah lewat malam. Biasalah remaja lelaki yang baru nak up. Lagi-lagi arwah ayah dah takde. Cerita bermula bila dah pukul 12-1 pagi Jat baru ada kesedaran nak pulang kerumah. Bila sampai je rumah dia masuk guna kunci spare. So tak perlu dah nak kejut sesapa bukak pintu. Cuma sebelum tu motor yang Jat tunggang kena bawak masuk stor dulu sebab banyak kes kecurian motor berlaku di kampung. Kedudukan stor ni agak tersorok sebab duk bahagian kanan rumah dan sebelah stor tu hutan /semak tebal. Takde rumah jiran pun sebelahnya.

Jadi masa duk sorong motor, Jat perasan ada kelibat putih antara celahan pokok dari ekor mata dia. Dalam hati sebenarnya dia taknak pandang. Tapi ternyata suara hati tewas kepada perasaan ingin tahunya. Maka secara jelasnya dia terpandang sosok perempuan berbaju putih labuh sampai ketanah, rambut panjang tak pasti paras mana sebab agak gelap dan perkara wajib bagi hantu ialah mata merah terbuntang tengah merenungnya. Jat terkaku dua tiga saat dan kembali sedar lalu dia cepat-cepat masukkan motor terus pergi masuk tidur. Esoknya baru dia ceritakan dekat kitorang. Dan jawapan paling win dari mak ialah “ Oh.. dia intai kawan dia la tu (merujuk kepada Jat). Nasib dia tak tegur kamu balik dah ke?.’ Maka Jat insaf untuk dua tiga hari. Padan muka!

KISAH DAL
Bahagian ketiga ni cerita seram dari adik lelaki aku plak. Nama Dal. Bukan kuah Dal ya. Dia ni bagi aku paling banyak jumpa hantu yang hardcore seram. Dari nampak, rasa dan siap terakam sekali. Semuanya dia hadap dengan tagline “pergi mampus’. Dari dia kecik sampai lah berumur 20 an ni cukup banyak cerita seram dia. Yang masa dia kecik tu yang aku cerita di Kisah Along yang masa dia tidur dengan Along ternampak lembaga hitam. Itu hanya permulaan.

Masa Dal di alam sekolah menengah, part bunyi dalam rumah tu dia dah biasa sebab dia selalu kena tinggal sorang kat rumah. Sebab aku masa tu di IPT. Mak aku kadang-kadang gi jalan rumah Along dan kakak aku. So dia macam selalu lah duk sorang kat rumah. Setakat bunyi tapak kaki macam ada orang berjalan dalam rumah pun ada (rumah aku kan rumah kayu). Bunyi atas bumbung rumah pun ada. Tapi kan dia ada tagline ‘pergi mampus’.

Okay kita cerita yang hardcore. Kisah bermula masa dia kerja di kedai makan berdekatan rumah aku lepas SPM sambil tunggu result keluar. Kedai tu start beroperasi waktu Asar hingga pukul 1-2 pagi. So selalu lah Dal balik pukul 2-3 pagi. Naik motor sorang-sorang lalu jalan kampung. Oh lupa part yang Jat kena kacau tu pun Dal ada kena jugak masa nak masukkan motor ke dalam stor. Versi hantu sama. Walaupun beza 4 tahun hantu tu masih setia menunggu di situ. Cuma kadang-kadang jelah.

So macam biasa dah masukkan motor, Dal smoking jap depan rumah sebelum masuk. Tengah syok buat kepulan asap 0, asap melalui hidung, mata dia tertumpu ke pokok kelapa depan rumah aku. Jarak ada lebih kurang 10 meter. Pokok kelapa nya pendek je sebab tak matang lagi. Buah boleh petik tanpa tangga atau galah. Dia nampak macam kelibat seseorang berdiri disebalik pokok kelapa tu. Dal ni rabun dia pakai spek. So dia macam nak fokus lagi sambil betulkan spek. Mula-mula tu dia ingatkan orang kampung aku sebab dari sosok tubuh badan macam manusia. Benda tu masa tu bukan menghadap Dal tapi mengiring. Means Dal nampak makhluk tu dari bahagian tepi. Paras rambutnya paras bahu.

Baju seakan warna coklat tanah agak tak jelas hanya nampak dari kepala ke pinggang. Dari pinggang ke bawah tak jelas atau memang takde. Lepas dikenalpasti terus hatinya menjerit ‘Damn!!!’ sebab dengan tiba-tiba si minah “freehair’ berpaling menghadap arahnya. Kiranya berpusing 90° kepala dan badan ke arah Dal yang tercegat depan rumah. Dengan mata merah menyala. Seperti biasa dia kaku 2-3 saat sebelum kembali berpijak di bumi nyata. Terus dia bukak pintu tanpa berlengah. Adakah Dal takut??

Semestinya tidak. Dia cecepat masuk rumah sebab dia nak raikan dengan mak aku yang benda tu muncul lagi depan dia. Dia pergi kejut mak aku dalam bilik semata nak tunjuk benda alah tu. Tak guna betul Dal. Mak aku dengan lurusnya pun pergilah tengok. Cuma nasib mak aku cukup bertuah malam tu sebab benda tu dah ghaib. Eh satu kerja plak kan si minah tu nak tunggu mak aku?

Next story terjadi masa Dal kena tinggal sorang kat rumah. Masa ni dia dah di alam IPT Cuma ulang alik dari rumah. Seperti biasa azan Maghrib berkumandang mulalah aktiviti Dal macam biasa. Mandi untuk solat. Tengah syok mandi tetiba…. takde apa pun. Gurau je. Setel mandi, Dal kuar dari bilik air yang berada depan bilik hujung. Suis lampu dipadam. Lepas berjalan dua tiga langkah tiba-tiba ‘ Dummm’. Semua pintu bilik tertutup rapat.Bukan satu bilik tetapi ketiga-tiga.

Kan aku cakap semua bilik bersebelahan. Dal nampak semua pintu tu tertutup sendiri tanpa angin tanpa ribut. Angin celah mananya kalau tingkap dalam bilik pun tak bukak. Kipas ruang tamu pun tak bukak. Dia apa lagi dengan bertuala terus berlari keluar rumah. Part ni tau plak dia takut walhal bukan ada penampakan pun. Yang jelas depan mata berani plak dia bertentang mata. Hurmmm Dal Dal. Lepas dia bertenang amik nafas baru dia masuk rumah sebab nak solat cecepat dan kuar gi lepak. Malam tu kawan dia datang teman tidur di rumah.

Setahun lepastu rasanya dia kena tinggal sorang lagi. Nasib kau lah Dal. Tapi kali ni dia ajak sorang kawan dia, Abu teman bermalam dirumah. Lepas Isyak, Abu dah terpacak depan rumah. Diorang borak sampai tengah malam. Dah mengantuk, Abu pun tidur dulu. Diorang tidur di ruang tamu bawah je. Sebab Dal pernah citer pasal bilik hujung tu kat Abu so konfem la Abu tak mau tidur di bilik angker tu. Tapi Dal stay lagi sebab nak chat dengan makwe. Puiii.

Tetiba ( cliche nak masuk part seram) dia terdengar tapak kaki orang berjalan di ruang ruang part atas ( aku ada mention yang rumah aku ada part atas dan bawah. Part atas tinggi paras pinggang je dari part bawah. Harap korang boleh imagine). Terus Dal on kamera handphone dia. Boleh plak dia terfikir nak tangkap gambar benda tu. Bongok betul. But yes! Benda tu ada dalam gambar Dal snap. Cumanya hanya bahagian sisi kepala sahaja yang ada. Seolah benda tu mengintai disebalik almari. Hitam coklat gelap kepala botak. Gambar tu masih ada dalam simpanan aku. Bila aku try snap saja nak test guna hp aku, ternyata tiada apa-apa penampakan. Selamat!

~Cerita ni aku tulis berdasarkan kronologi masa berlaku dari kami kecik sampai lah dah berkahwin. Kebanyakan cerita seram yang berlaku di rumah ni, Alhamdulillah aku dan kakak langsung tak pernah rasa, lihat atau bau. Mak aku ada jugak kena. Tapi sekadar bunyi. Abang ipar dan kakak ipar aku pun tak ketinggalan merasa keangkeran. Ada masa aku cerita lagi. Terima kasih.

7 thoughts on “#Jemah- Kisah Seram Adik Beradik”

  1. Alaaarr…
    Nk tgk gak gambor tu…
    Pm pesbuk akk ekk nnt…
    Hehehehe…

    Sukeeeee sgt dgn ayat mak bg setepek tu…
    “ Oh.. dia intai kawan dia la tu… Nasib dia tak tegur kamu balik dah ke?”.
    Hahahahahahha…sentaplah ko Jat…

    Reply

Leave a Comment