JK : Raungan Rimba Kembali

Baca sini part 1

Tak bermaya sungguh rasanya harini dengan kawasan yang perlu dilalui dalam hutan ini terasa begitu jauh berbatu dengan rupa bumi yang berbukit tinggi, berceranggah dan dipenuhi paku resam menambahkan kelesuan badan ketika melaluinya. Aku hampir tergelincir jatuh kedalam jurang ketika sedang turun untuk mengecat menanda pokok sebagai pokok larangan tebangan. Nasib baik sempat berpaut pada akar mengkelat yang berjuraian ditepi kaki kalau tak mau jadi lempeng jatuh terhempas kebawah. Badan aku benar-benar kelesuan mungkin kerana tak cukup tidur semalaman melayan cerita mistik rakan sebelah hammockku sampai terdengar bunyi kokokan ayam hutan menandakan pagi sudah menjelang. Yang hairannya rakanku itu tetap steady bekerja, maklum sahajalah orang berpengalaman ni keluar masuk hutan ibarat keluar masuk shopping complex baginya. Tambahan pula dia asalnya adalah seorang buruh hutan sebelum menyambung pelajaran untuk kenaikan pangkat menambahkan lagi faktor keperkasaannya.

Takpa sikit lagi nak habis, ikot peta yang dibincangkan semalam kumpulan aku cuma habiskan kerja beberapa meter sahaja lagi didepan. “Okay kita rehat dulu kejap lagi sambung.. sikit je lagi nak habis tu kerja tak berat harini kita rilek-rilek je buat ” arah Damar ketua kumpulanku yang tuanya sepuluh tahun dari umurku. Bekalan makanan dibuka dan rokok dinyalakan untuk menghalau agas yang mengerumuni muka. Sempat aku membuka jungle boot untuk mengurut kaki, terasa sedikit sengal kesan terseret akibat jatuhan tadi. Sementara menunggu rakan-rakan yang sedang berehat aku mencari ‘port’ yang sesuai.. alaskan bumi dengan potongan daun lerek sebagai tikar dan baring untuk melelapkan mata seketika.

“Dah la woi, bangun kita setelkan kerja sikit lagi tu” suara garau Damar mengejutkan aku. Terpisat-pisat aku duduk, mengeliat dan terus memakai kasut bersedia untuk menyambung kerja. Nasib baik tugas aku mudah harini cuma mengecat gelang pada keliling pokok sahaja, boleh la curi tulang jalan melenggang kangkung. “Kejap Mar aku nak makan sikit, nak buat alas perut lupa nak makan tadi”.. Damar menjeling keras sambil menghembuskan asap rokoknya melalui hidung dah macam kerbau nak mengawan rupanya. Nasi goreng kicap belacan lebihan bekal yang dibawa kumpulanku dihabiskan dengan sepantas Ducati, rasanya taklah sesedap mana tapi mengenangkan perut yang lapar laju saja nasi goreng entahapa rasa ni melintasi tekakku.

“Yesss!!! sampai dah aku kat kawasan pokok terakhir lepas ni boleh balik tido” jerit hatiku kegembiraan. Langkah kaki dipercepatkan jauh melewati rakan- rakan yang lain niat dihati nak siapkan kerja awal supaya dapat berehat sementara menunggu mereka menyiapkan tugasan masing-masing. Sekilas pandanganku tertangkap pada sebuah gua dikaki bukit betul-betul dihadapan yang mana kelihatan aneh tetapi sangat indah. Tidak pernah seumur hidupku melihat sebuah gua yang indah dengan rimbunan pokok yang tumbuh seakan sebuah taman. Susunan pokok renek yang tumbuh teratur dengan rimbunan bunga orkid hutan yang berjuntaian pada atas pintu gua sangat memukau pandangan.

Dengan dedaunan tumbuhan berwarna kuning dan merah serta bunga-bungaan yang tumbuh melatari landskap gua persis gambar sebuah taman di Korea yang pernah aku lihat pada poskad yang dijual di Pasar Seni dahulu. Sungguh tak mampu untuk aku ungkapkan betapa cantiknya kawasan ini dengan lantai hadapan pintu masuk gua yang bersih seakan disapu dan dijaga oleh ‘seseorang’. Lama aku terpaku dan terpukau dihadapan gua yang indah ini masih sukar untuk aku percaya ditengah hutan tebal begini wujud sebuah taman yang indah.

“Oi ko buat apa lagi tu setan? Mengular je kerjanya” teriakan Damar sikit pun tak menganggu konsentrasiku. “ Mar cuba tengok tu cantik tak?” aku menunjuk kearah gua dihadapanku. Dengan muka yang kehairanan Damar memandang dan menolakku kehadapan. “Cantik kemende gua penuh semak samun je..dah cepat siapkan kerja kau” kata Damar terus berlalu pergi. Sungguh aku berasa hairan taman seindah ini dikatanya cuma tumbuhan semak samun? betul bukan pencinta alam orangnya situa ini. Rakan-rakan yang lain sudah berada dibelakangku untuk meneruskan tugas. Dengan rasa teruja aku menunjukkan gua yang indah kepada mereka tetapi reaksi yang sama diberikan kepadaku seperti Damar tadi. Siap ada yang gelakkan aku dan mengatakan aku mabuk ketum dan mengantuk. Puas aku tunjukkan rimbunan bunga orkid diatas pintu gua tapi mereka tetap mengatakan itu adalah pokok rotan sega yang menjalar. Aku tunjukkan lantai gua yang terjaga bersih mereka kerutkan muka sambil mengelengkan kepala.

“Ko jangan melawak camni mau makan kaki karang..tapi kalau betul ko nampak simpan je kat ko itu rezeki ko, kitorang seriously tak nampak pon apa yang ko cakap tu”. Wadi menepuk bahuku sambil menghayunkan kepala mengisyaratkan untuk meneruskan kerja. Mata tetap tak kulepaskan untuk menatap keindahan taman gua ini.

Mungkin Wadi nampak kesungguhanku bercerita menunjukkan aku tak berbohong atau memang dia dah merasakan sesuatu ‘aura’ yang lain. “Eh? Tu kumpulan Pok Yee kan?” Wadi menunjuk kearah kawasan diatas gua. Kumpulan Pok Yee adalah rakan kami dari kumpulan lain yang juga menyiapkan tugasan di kawasan bersebelahan tetapi sangat jauh dari kumpulan kami. Mustahil akan bertembung dalam satu kawasan yang sama kerana laluan pergi dan balik kami adalah berlainan. Laju sungguh mereka berjalan langsung tak menoleh kiri kanan.. kami yang berteriak memanggil Pok Yee langsung tak diendahkan padahal jarak kami dengan mereka tidaklah jauh mana dalam lingkungan 30-40 meter sahaja.

Yang lagi menambahkan pelik mereka sekumpulan dalam jumlah lima belas orang berjalan rapat-rapat seperti sedang berkawad dan menonong berlalu begitu sahaja tanpa mempedulikan kami.
“Pekak ke apa orang tua tu? Nak mampos agaknya” getusku sedikit marah. Wadi yang berada disebelah segera menarik lengan bajuku dan membisikkan sesuatu. “Kalau ko nak tau tu bukan diorang, kalo ikotkan diorang tak lalu pon kawasan ni, dah sekarang kita senyap je jangan ditegur apa-apa…kita siapkan keje ni terus keluar dari sini”. Aku yang paling muda dari segi pengalaman dalam kumpulanku memang terlalu bodoh untuk memahami semua ini. Sebenarnya puaka hutanlah yang menyamar sebagai kumpulan Pok Yee itu, andai aku turutkan mereka pasti akan disesatkan jauh ke dalam hutan. Banyak kejadian disesatkan puaka ini dengan cara menyamar sebagai sahabat mangsa dan akan berjalan laju melepasinya dengan harapan si mangsa akan mengikut dibelakang seterusnya mangsa akan ditinggalkan keseorangan ditengah hutan. Kadangkala mereka ini suka menyahut jika kita memanggil sahabat yang jauh didepan dengan laungan Oi atau Hoi (panggilan selain dari nama sahabat kita).

Gelangan pokok terakhir sudah di catkan menandakan sempurnalah sudah tugasku begitu juga dengan sahabat yang lain. Tugas merintis hutan, menyukat jarak dan penandaan pokok lindungan sudah kami selesaikan pada harini. Tibalah masa untuk bergerak pulang ke khemah sebelum hari menjadi semakin gelap. Dalam hutan tebal begini aturan masa menjadi terlalu pantas, disebabkan kanopi hutan yang menutup sinaran matahari dari menyinari lantai hutan, menjelang petang sahaja (kira-kira pukul 4 pm) kawasan hutan sudah mulai menjadi gelap. Jika keluar dari hutan selepas pada waktu ini alamatnya bermalamlah di tengah perut hutan ini.

Sempat aku menjeling kearah gua tadi, ternyata keindahannya masih tidak hilang dari pandangan mata. Aku cuba kelipkan mata berulang kali tapi pemandangannya masih sama tak berubah. Seram? langsung tidak kerana keindahannya memang begitu mempesonakan tambahan pula aku tidak melihat sebarang sosok lembaga aneh dan menakutkan disitu..jadi layankan saja. Rasanya pandanganku sudah tertembus ke dimensi alam bunian selepas mencekik sisa nasi goreng kicap belacan tadi….mungkin.

“Ko kalau nak balik dan dan je bersemangat, jalan slow sikit la woi” Damar menegurku sambil tertawa kecil. Comel juga raut wajahnya begitu selalunya berwajah bengis dan serius memanjang. Aku tak peduli memang niatku untuk menjadi orang pertama yang sampai ke khemah, seterusnya dapatlah aku baring dan lelapkan mata sebentar. Dua jam perjalanan pulang terasa sungguh pantas sangat berbeza dengan perjalanan awal untuk masuk kedalam hutan tadi. Rakan-rakan masih kelihatan dibelakangku walaupun sedikit jauh tapi mereka juga masih meneruskan perjalanan.

Nun dari kejauhan sudah kelihatan bumbung khemah kumpulanku. Nampak gayanya memang akulah orang pertama yang tiba, dengan sepenuh kekuatan aku berlari kekhemah bersedia untuk landing diatas hammockku. Parang, bag, kasut boot dan segala kelengkapan lain cuma aku campakkan ke atas para, tanpa menukar pakaian segera aku betulkan kedudukan bantal dan letakkan kepala. Hilang segala keletihan dan kelesuan badan bila berada diaatas hammock keramat ini.

“Aduh, celaka sakitnya perut ni…”sakit perut yang memulas-mulas mengejutkan aku dari tidur. Sunyinya suasana didalam khemah tatkala aku membukakan mata, sekelilingku pula sudah menjadi gelap cuma diterangi dengan beberapa biji cahaya dari mentol putih diatas bumbung khemah. Hairan mana semua orang pergi? takkan tak sampai lagi kekhemah ini?. Sayup-sayup kedengaran bacaan surah al-fatihah dari khemah solat nun jauh di tanah lapang sana.

Rupanya diorang dah berada disana untuk solat maghrib berjemaah meninggalkan aku keseorangan disini. Lama betul aku terlelap takkan takda sorang pon nak kejutkan aku? Diorang tak nampak aku ke? Mana semangat teamwork sebagai sebuah kumpulan?. Aduh lupa perut aku masih sakit memulas, otak yang masih ‘loading’ akibat tidur selepas waktu asar menangguhkan sakit perutku buat sementara. Aku harus segera ‘membuang’ pintu empangan tak tertahan sudah hampir pecah. Ni mesti angkara nasi goreng kicap belacan tadi hampeh betul tukang masaknya macam tu punya menu pun ada.

Nampak gayanya aku terpaksa melepaskan hajat dalam sungai dihujung khemahku ini. Padahal pada hari pertama lagi kami sudah diingatkan untuk tidak memerut didalam sungai kerana khemah ku berada dikawasan hulu dimana air sungainya mengalir melalui khemah-khemah yang lain. Disitulah juga tempat mereka mandi dan kadangkala mengambil air untuk memasak, walaupun paip air sudah disediakan dengan punca air diperoleh dari kawasan hulu lebih jauh dari penempatan kami semua tetapi memang menjadi kegemaran mereka untuk menceduk air terus dari sungai… cepat katanya. Terpaksa aku lakukan kerana untuk ke tandas korek yang disediakan jauhnya kira-kira 400 meter dari khemahku dan harus melintasi khemah surau tempat semua pelajar bersolat, nanti kantoi pula aku tak mengerjakan solat berjemaah. Maafkan aku kawan-kawan..aku terpaksa. Dengan berhati-hati aku memilih ‘port’ yang sesuai ditebing sungai sedikit tersorok dari pandangan orang terutamanya cikguku, andai terkantoi ‘makan tak habis’ dendanya.

Berdebar-debar juga jantungku bila berseorangan ditepi sungai yang suram ini, bukanlah hantu jembalang yang aku risaukan tetapi binatang buas yang ada dikawasan ini. Buatnya diterkam harimau akar atau harimau kumbang mati berseoranganlah aku disini. Sengaja aku tak memasang head lamp risau dikesan oleh mereka. Dalam kesunyian ini ditemani bunyi deruan air dan unggas rimba telinga aku dapat menangkap satu persatu bunyi dengan jelas sejelasnya. “Krok krok krok” itu bunyi katak betung, “ greett greetttttt” riang-riang berbunyi nyaring memanjang, “kihkihkihkihkih”..pelik binatang apa berbunyi begini?.

Bunyinya jelas betul-betul ditebing sungai diseberang sana setentang denganku. Terhenti sebentar nafas serentak berdegup kencang jantung ini. Dengan hati yang berbelah bagi dan urusan perut yang masih belum selesai aku gagahkan juga perjuangan ini. Sikit lagi..sikit lagi nak setel.. janganlah kacau aku, bisikan hati ini seakan tidak diendahkan olehnya. Suara ketawa panjang semakin jelas menghampiriku tetapi tidak menampakkan rupanya. Masa kurasakan seakan terhenti peluh jantan mula menitik dari dahi ini, suara ketawa semakin kuat bergema dari satu suara menjadi dua menjadi tiga dan seterusnya semakin ramai.

Perasaannya seolah olah berada didalam sebuah dewan, kita duduk ditengah- tengah dengan segala hadirin seisi dewan sedang mentertawakan kita bezanya kini cuma mendengar suara tanpa dapat melihat rupa hadirin dewan. Kaku keras aku dalam posisi mencangkung kaki terasa seperti ditumbuhi akar disitu. Hampir-hampir pitam juga bila deruan darah menerpa masuk naik ke otak. Ya Allah jangan beri aku mati disini kurniakanlah kekuatan untuk aku hadapi semua ini. Dalam keserabutan itu sempat aku berpikir untuk lari andai kata aku pengsan dan mati lemas terjatuh hanyut dibawa arus sungai pasti sadis kematianku ini.

Dengan sisa kudrat yang ada aku kumpulkan tegapkan kaki terus bangun menarik seluar yang lucut dilutut dan terus mengatur langkah seribu. Tidak berani untuk aku menoleh kebelakang, tebing yang tinggi selamba aku berlari mendakinya. Entah berapa kali terjelepuk jatuh tersandung akar kayu aku bangun dan teruskan memecut menuju ke khemah solat disana ramai orang kurang sedikit rasa seram ni.

Separuh dari perjalanan sudah kelihatan rakan-rakan kumpulanku yang berbaju melayu dan berkopiah berjalan menuju ke khemah mereka baru selesai bersolat. “Nak gi mana ni? Orang dah habih solat ko dengan baju kerja comot tak bertukar selipar pon tak pakai ” Adin menegur. Serentak mereka mentertawakan aku bila diberitahu aku mahu pergi menunaikan solat maghrib. Sebenarnya bukan itu tujuan aku tapi aku perlukan tempat yang ramai orang untuk menghilangkan perasaan seram ni. “Kitorang dah kejutkan ko berkali-kali tapi ko tidur macam orang mati” kata mereka bila aku bertanya mengapa tinggalkan aku berseorangan di khemah. Segera aku berpatah balik menuruti mereka menuju kekhemah sebelum dilihat oleh cikgu-cikgu.

Mujurlah ada seorang rakan yang mahu turun kesungai senja itu kerana dia juga masih belum mandi sebelum bersolat tadi. Bersamanya aku mandi dan bersuci jauh dari lokasi tempat memerut tadi. Ambil masa sebulan juga untuk aku melupakan dan kembali membiasakan diri dengan hutan ini. Dalam tempoh pemulihan semangat ini jarang sekali aku bergerak berseorangan, mandi beramai-ramai, turun solat sepanjang waktu hinggakan tidur juga beramai-ramai. Sebelum masuk ketempat tidur aku akan pastikan perut ini sudah dikosongkan risau jika tiba-tiba panggilan memerut memanggil diwaktu malam, tak ingin aku peristiwa lama berulang lagi.

Jika nak terkucil diwaktu malam memang aku standby botol kosong di bawah hammock ini biarlah orang kata pengotor sekali pun tapi pengalaman yang aku lalui tak siapa yang tahu. Peristiwa itu memang kekal dalam ingatan ini dan tak pernah aku ceritakan kepada sesiapa kecuali beberapa orang sahabatku itupun sewaktu perjumpaan semula selepas beberapa tahun tamat pengajian dan masing-masing sudah bekerja ditempat sendiri. Kisah ini betul-betul menguatkan keyakinan aku bahawa makhluk halus ini memang sentiasa ada memerhatikan kita dimana-mana sahaja… sekali kita buat taik mereka tanpa segan silu akan memberi pengajaran.

Peringatan aku sentiasalah berhati-hati dengan kelakuan kita bila ditempat asing…masuk tempat orang bawak otak bukan tahi.

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

10 thoughts on “JK : Raungan Rimba Kembali”

Leave a Comment