Tahun 2017.
“Petang semalam saya baring mengiring menghadap Affan sebab nak tidurkan dia. Tiba-tiba saya rasa macam ada jari yang cucuk belakang saya, ada la dalam beberapa saat. Saya tak berani nak tengok sebab saya tau Arip dah pergi kerja, dia takde kat rumah masa tu.” Jelas suara Ani di hujung talian, menceritakan apa yang dialaminya semalam kepada saya.
Affan adalah anak lelaki Ani dan Arip yang baru berumur beberapa bulan. Kejadian itu berlaku di rumah sewa mereka yang terletak di PJ.
“Lepas tu, malam tadi dalam pukul 9 lebih saya tengah nak dodoikan Affan, baring mengiring menghadap Affan macam petang semalamlah, tiba-tiba saya rasa lagi macam ada jari yang cucuk belakang saya. Kali ni saya berani sikit sebab Arip ada kat rumah. Saya toleh ke belakang, saya nampak lembaga… rambut panjang, mata merah, ada taring tengah tengok saya. Saya nampak Arip ada kat luar tengah buat kerja, dia tak pandang ke arah saya. Saya cuba panggil dia, tapi suara saya tak keluar. Lembaga tu hilang lepas beberapa saat, tapi saya rasa macam lama sangat. Lepas benda tu dah takde baru saya jerit panggil Arip.” Panjang lebar Ani ceritakan kepada saya.
“Sebelum ni tak pernah berlaku jenis yang munculkan diri macam ni kan?” Saya cuba dapatkan kepastian.
“Tak pernah Cik Zul”
“Saya rasa ni jenis yang menyinggah ni. Mungkin yang tak bertuan.”
Masa Ani call saya sedang outstation di Kuantan, sedang buat kajian lapangan mengenai transport di stesen Kuantan Sentral.
Sebagai antara kawan rapat Ani dan Arip, saya dah bantu Ani sejak dia masih solo, sampai couple dan kahwin dengan Arip hinggalah dah ada anak, jadi saya masih ingat memang sebelum ni tak pernah dia hadapi gangguan jenis yang menjelma tunjukkan diri. Yang ada cuma sakit macam-macam, seperti yang telah saya ceritakan dalam kisah sebelum ini.
Petang tu habis je kerja kaji selidik, saya dan team pulang ke hotel tempat kami menginap. Lepas solat Isyak, rasa penat dan mengantuk menguasai diri, jadi saya hanya terus zasst Kak Limah yang kacau Ani. Sepintas lalu, saya rasa Kak Limah tu datang dari kawasan berhampiran. Bukan dihantar oleh sesiapa dan memang tak bertuan.
Alhamdulillah itu adalah kali pertama dan terakhir Kak Limah menjelmakan diri. Selepas itu tak kelihatan lagi dah kelibat Kak Limah.
Seminggu sebelumnya…
Saya berada di Tumpat, Kelantan atas urusan kerja yang sama. Masa tu saya ada kat satu bus stop, tak jauh dari pekan Tumpat, rasanya kat Kg. Air Dingin kot. Tengah dok kira bas yang lalu, tiba-tiba dapat wasap dari Arip.
“Cik Zul dah tengokkan ke bilik saya ni? Kebelakangan ni makin panas pulak, berbahang, sampai menitik peluh bila tidur malam.”
Alaa Arip ni, bagi la chan saya relaks kejap. Sebenarnya dah beberapa minggu Arip mintak tolong tengokkan biliknya yang berbahang. Katanya hanya bilik tidurnya yang panas macam tu. Bilik lain, ruang tamu dan lain-lain ruang dalam rumah rasa biasa je tak berbahang. Saya pulak bila Arip cakap biliknya panas, saya rasa benda tu biasa je, musim panas, jadi rumah pun panaslah. Bilik tidur ada orang, haba dari badan tulah yang jadikan bilik tu lebih panas dari bilik-bilik dan ruang lain dalam rumah. Kalau pasang aircond selesailah masalah. Macam tulah teori sains yang dapat saya fikirkan.
Jadi lepas Arip mengadu mula-mula tu saya cakap saya akan tengokkan tapi sebab sibuk, campur saya kurang yakin yang keadaan bahang tu ada kena mengena dengan unsur mistik, ia jadi tertangguh-tangguh. Hari ni mungkin dah kali ke-3 Arip tanya pasal tu. Untuk tak menghampakan dia, malamnya saya buatlah apa yang patut.
Macam ada jaring kat tingkap bilik tidur utama yang tak nampak oleh mata kasar yang menghalang haba panas keluar. Saya ni ‘rasa’ tak berapa ada, jadi apa yang saya nampak tidaklah semua tepat, tapi kerap jugalah ada yang betul. Saya terus rentap dan hancurkan jaring tu. Malaslah nak susul camna jaring tu boleh ada kat situ. Faham-fahamlah dah seharian sepanjang siang dok kira bas, penat takyah cakaplah.
Esoknya saya tunggu update dari Arip tentang keadaan biliknya tu. Saya fikir Arip akan bagitau saya, “Cik Zul, bilik saya masih bahang lagi la.”
Lepas tu saya akan jawab, “bahang panas tu bukan sebab ada gangguan, takde kaitan dengan hal mistikpun, tapi sebab cuaca sekarang panas, tu yang bilik tu pun panas. Kalau pasang aircond mesti selesai masalah.”
Tapi sebaliknya bila Arip wasap saya, dia bagitau, “Cik Zul, malam tadi dah tak bahanglah. Best je tidur.”
“Ooo ye ke. Alhamdulillah.” Saya pulak yang macam tak percaya. Biasa bantu rawat sakit orang, tak sangka plak bahang panas pun boleh di rawat. Jangan lepas ni Arip mintak tolong tengokkan perkara yang bukan-bukan dah la.
Flashback lagi beberapa bulan ke belakang…
Masa tu saya kerja di ofis macam biasa. Arip mengadu kat rumahnya tiba-tiba ada lipan. Mula-mula jumpa dalam sinki kat dapur, tak la pelik sangat… tapi lepas tu ada pulak jumpa lipan atas tilam. Lipan pulak ada macam-macam saiz, bak kata Ani ada kakak lipan ada adik lipan. Dah berumahtangga kat rumah diaorang pulak ke lipan-lipan tu. Bila dah banyak kali jumpa, dah jadi macam peliklah pulak. Perkara tu dah berlarutan selama beberapa hari. Dah kena jadi pest control pulak dah saya ni.
Untuk kes adik dan kakak lipan ni pun saya hanya zasst kan terus je. Dah tak reti nak buat cara lain kan. Tapi sebelum zasst tu saya bagilah amaran sikit, “kalau ada yang berkenaan menjadi punca kepada serangan adik beradik lipan ni korang blah sekarang sebelum aku hantar anak panah berapi hinggap kat badan korang.”
Alhamdulillah esok harinya dan hari-hari seterusnya bayang nenek lipan pun takde.
Fast forward balik ke selepas saya pulang dari outstation…
Selang beberapa minggu dari kes Kak Limah tunjukkan diri. Hari tu Ani dan Arip ada kat rumah ayah Arip. Tak jauh sangat pun dari rumah sewa mereka, jaraknya lebih kurang dalam 15 minit drive. Setiap minggu mereka akan tidur kat rumah ayah Arip untuk sehari dua, temankan ayah Arip sebab mak Arip telah meninggal dunia beberapa tahun lepas akibat kanser.
Masa tu lebih kurang pukul 9 pagi. Saya ada kat ofis. Ani wasap saya.
“Cik Zul, Affan ni dari malam tadi dok gelak-gelak sambil pandang kat siling, macam ada yang agah dia. Lama jugak dia gelak-gelak sampai tak hisap susu. Sebelum ni saya agah dia pun takde lah dia gelak sampai macam ni sekali. Malam tadi bila dah tidur baru dia berhenti gelak. Tapi pagi ni bangun tidur dia sambung gelak balik… stress saya dibuatnya.”
“Cuba cakap kat benda tu, kalau dia tak pergi dari situ nanti nahas dia.” Saya cuba beri cadangan bernas… mmm bernas ke?
“Saya dah cakap tadi, kalau kau tak pergi nanti aku report kat Cik Zul, tapi Affan masih sama jugaklah dok gelak-gelak.”
“Ooo.. ni jenis tak makan saman ni.” Cadangan bernas saya dah jadi cadangan takleh pakai 😊.
“Sekejap ye.” Saya masuk ke dalam surau kecik kat ofis.
Jenis yang tak makan saman macam ni tak payah cakap banyak dah. Saya masuk ke surau, kemudian duduk menyandar ke dinding. Saya ‘tengok’ kat rumah ayah Arip. Ada sekor badut tengah beria dok mengagah Affan. Belakang badut tu pada jarak lebih kurang 3 meter ada sorang nenek tua badan bongkok 3 bersanggul siput dan bertongkat. Kalau dulu, menggunakan kaedah tertentu, memang saya akan cuba susul dan cuba mencari tahu siapa badut tu, siapa nenek tu dan dari mana mereka datang. Tapi sekarang saya lebih mengambil sikap tak ambil peduli tentang semua itu. Tak kisahlah dari mana mereka datang sekali pun, yang penting masalah selesai.
Badut dan nenek macam menyedari ‘kehadiran’ saya, tapi macam buat endah tak endah je. Oklah… kalau macam tu senanglah kerja saya. Saya pancung dua kali. Tangan kanan saya membelah angin di depan saya secara menyerong. Sejurus itu saya wasap Ani.
“Macamana Affan sekarang?”
“Dah tak gelak-gelak lagi dah Cik Zul, baru beberapa saat. Berhenti je gelak tiba-tiba dia menangis, bila bagi susu terus diam, hisap susu pun macam lapar sangat. Mana tak laparnya, asyik gelak sampai tak nak hisap susu. Saya dah agak ni mesti Cik Zul dah buat apa-apa sampai benda tu pergi, betul kan?”
“Yup, baru je saya sekeh kepala dua ekor tu. Harap diaorg tak datang lagilah.”
“Alhamdulillah. InsyaAllah Cik Zul, harap-harap takdelah yang ganggu lagi lepas ni.”
“InsyaAllah. Sama-samalah kita doakan.”
Sejak dari awal saya membantu Ani dan Arip, sepanjang dua tahun macam-macam sakit dan gangguan yang mereka hadapi. Sehingga kini, selepas beberapa tahun berlalu, dah tiada gangguan yang teruk yang mereka alami. Hanya kadang-kadang ada makhluk yang berminat menyinggah sebab diri Ani dan Arip dah ada laluan. Sekarang hanya terserah kepada amalan diri dan izin DIA untuk membolehkan adanya pendinding pada diri dan seterusnya laluan mereka beransur-ansur tertutup.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Astaghfirullah seram