Kampung Angker III -Cerita Ayah-

Assalamualaikum dan Salam sejahtera kepada semua Pembaca Fiksyen Shasha. Terima kasih admin Fiksyen Shasha kerana tidak jemu-jemu membaca dan mengedit tulisan aku yang tak seberapa ini. Terima kasih juga kepada pembaca dan pengomen yang rajin mengomen…

Apetah lagi ada beberapa pembaca yang cuba meneka lokasi kampung aku. Bukan main ye. Hahaha. Namun tekaan kalian melecet sama sekali. Maksud aku meleset. Meleset sama sekali. Sejujurnya, aku bukan dari Melaka. Bukan juga dari Pahang. Aku dilahirkan di Kuala Lumpur dan dibesarkan di Selangor. “Orang Keyel”, kate si Meon. “Dak-dak Town”, kate dak Sapik…

Walaupun begitu, aku anak orang kampung. Mak aku dari Melaka dan ayah aku dari Muar, Johor. Mereka adalah perantau yang merantau dari kampung ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Bukan mudah waktu itu tuan-tuan. Ayah dan mak aku bertungkus-lumus membesarkan kami 7 beradik di bandar Kuala Lumpur ini. Aku dibesarkan bukanlah dengan kekayaan yang menggunung. Bukan tipikal dak-dak town yang kalian bayangkan. Aku dibesarkan dikawasan kampung. Jauh dari hiruk-pikuk kesibukan kota raya. Jika penduduk Selangor mungkin tahu lokasi Bukit Belacan? Ha.. kat situlah aku dibesarkan. Disitulah selalu banjir bila air empangan dilepaskan. Dan disebabkan kejadian banjir itulah kami berpindah ke kampung yang sekarang…

Sebelum aku meneruskan penulisanku untuk entri kali ini, izinkan aku meleraikan kekusutan beberapa pembaca yang mungkin terkeliru dengan cerita aku mengenai keadaan belakang rumah aku. Terdapat kekeliruan pada kisah aku yang sebelumnya dalam Kampung angker II. Sebenarnya bila nak menjelaskan suasana rumah tu bukan senang nak menulis. Aku lagi selesa lukis. Tapi apakan daya, ruangan ini hanya untuk nukilan. Bukan lukisan…

Masihkah kalian ingat tentang perigi ditepi rumah, aku katakan bahawa dibelakang rumah aku ada rumah sewa nan sebiji, betul? Dan cliché nya disini, aku ada nyatakan juga yang belakang rumah aku hutan belantara, benar? Jadi, kedua-duanya betul. Dibelakang rumah aku ada rumah sewa kayu yang disebelahnya ada hutan belantara yang tebal. Jadi, disitulah Penduduk Bunian berkampung. Tapi sekarang, perkampungan mereka telah berpindah kerana tanah tempat kampung mereka terletak telah dibangunkan banyak rumah. Semoga penjelasan tersebut dapat meleraikan kekusutan kalian.

Berkenaan soalan seorang budiman mengenai tahi manusia, tak dapat aku pastikan mengapa. Hanya terdengar cakap-cakap orang yang mereka cuba untuk berbuat tak baik pada tuan rumah. Bila tak menjadi, syarat nya, perlu berak di tempat itu. Kesahihan itu tidak dapat aku pastikan. Jika ada yang tahu, boleh la komen.

Dengan kalimah Bismillahirrohmanirrohim, ingin aku kongsikan dengan kalian tentang Cerita Ayah. Ayah aku anak nelayan. Arwah atuk aku dulunya adalah pedagang yang datang dari tanah seberang, Kepulauan Jawa. Datang ke Tanah Melayu untuk berdagang. Bertemu dan berkahwin dengan arwah nenek ku. Orang Melayu Bugis. Arwah nenek merupakan tukang urut dikampung. Tangannya seperti magis bila mengurut. Siapa saje yang diurut, cepat aje sihat. Adakah nenek bidan kampung? Entahlah. Tak dapat aku pastikan. Arwah Atuk merupakan salah seorang peneroka di Kampung Muar itu bersama beberapa orang kampung yang lain. Nama kampung ayah dulunya pernah di petik oleh salah seorang pengarang cerita seram paling otai di Malaysia dalam salah sebuah buku terbitannya, Siri Bercakap Dengan Jin. Kampung mane? Rahsia. Dalam karangannya, Beliau membayangkan bahawa kampung ayah ku itu dikenali sebagai kampung penuh dengan Ilmu hitam Pawang dan Bomoh kerana menurut penulis, kebanyakan penduduk kampung disitu ada ilmu yang diamalkan. Sejauh mana kebenaran kisah itu? Mari kita saksikan.

Ayah aku adalah peminat cerita hantu sama juga seperti aku. Antara buku kegemarannya adalah karya Tamar Jalis. Ketika ayah aku membaca ulasan penulis tentang kampungnya, marah dia bukan kepalang. Haha.
“Ade ke patut dikatenye orang kampung aku guna ilmu hitam. Hish! Tak betul tu.” Marah ayah sambil sambung membaca.

Memang benar di kampung ayah ku ada ramai Pawang. Tetapi mereka tidak suka dikenali begitu. Saudara sebelah ayah mengamalkan ilmu perubatan untuk mengubat orang kampung yang sakit jika tidak sempat nak dibawa ke hospital. Ada juga berubat kerana buatan orang atau kes berkaitan dengan gangguan jin. Orang kampung akan datang berjumpa dengan Moyang saudara ku untuk berubat. Beliau tidak mengambil upah. Hanya pengeras sebagai syarat. Bagilah 50sen sekalipun, moyang ku ambil. Kerana bukan bayaran yang dikejar. Tetapi memang syarat perubatannya begitu.

Mereka ada kaitan d***h dengan ayah. Ada yang merupakan sepupu, Bapa saudara dan Atuk saudara. Usahlah pembaca khuatir dan mula berasa sangsi. Dulu, nama Pawang diberikan kepada lelaki yang disegani dan dihormati. Bukan lah seperti yang kalian bayangkan. Oh tidak tuan-tuan. Arwah atuk membina surau di hadapan rumahnya di Muar dan surau itu masih digunakan sampai sekarang. Semoga roh arwah atuk ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Aamiin..

Sejak remaja, ayah dan adik – beradik lelakinya yang lain diajar ilmu Silat Sendeng untuk mempertahankan diri. Ilmu jurus angin dan ilmu kebal juga diajarkan. Sampai sekarang, ayah masih menyimpan kain kuning pemberian gurunya. Jika diamalkan zikir dan selawat yang diajarkan oleh guru, Ilmu silat itu masih boleh digunakan walaupun telah menginjak ke usia tua.

Kata ayah, bila tak diamalkan zikir yang diajarkan, silatnya tidak menjadi. Ibarat ilmu silat yang dipelajari itu hanya akan datang semula kepada penyilat jika amalan si pemakai diteruskan. Amalan yang perlu di buat ialah membaca zikrullah sebanyak 1000kali sehari. Dan beberapa amalan yang tidak syikin bak kata orang sekarang. Syirik tuan-tuan. Syirik. Syikin tu nama kedua aku. Ape benda la korang ni. Tiada langsung amalan syirik yang perlu dituruti. Adik ayah, Pakcik J juga boleh merawat orang.

Ayah? Ayah tidak boleh mengubat. Namun, ayah tidak mudah ditakutkan dengan makhluk halus. Buktinya, ketika ayah masih kecil, ayah selalu mengikut arwah atuk turun ke laut. Rumah dengan laut ketika itu tidak jauh. Sepelaung saje. Setiap kali sebelum subuh dalam jam 3-4pagi, arwah atuk akan turun ke laut. Pada hari itu, ayah dan abangnya(arwah cik Atan) mengikut ayah ke laut. Atuk menyuruh ayah dan abangnya berjalan ke kapal(kapal kecil nelayan berenjin diesel) terlebih dahulu untuk membuat persiapan yang perlu sebelum menangkap ikan. Pagi itu, selepas menghabiskan sarapan ubi rebus, seperti biasa ayah berjalan menyusuri denai sambil membawa lampu minyak tanah. Jalannya lemah longlai kerana rasa mengantuk yang masih tersisa. Abang nya berjalan dibelakang sambil ayah berjalan dihadapan. Untuk ke laut, mereka perlu melalui pokok Kayu Ara yang besar dan tinggi.

Entah mengapa pada awal pagi itu, dari jauh kelihatan Kawasan di pokok kayu ara nampak terang. Tak seperti hari lain. Mata ayah tertacap pada pucuk pokok itu. Kelihatan ada cahaya terang yang menerangi Kawasan tersebut. Cahaya itu bergerak ke atas dan kebawah pokok berulang kali dalam skala yang cepat.

“ Eh, atan. Ko tengok kat pokok tu. Lampu lah. Ape tu yek?” tanya ayah pada abangnya.

“ Orang nak ambil madu lebah la kot.” Jawab Arwah Cik Atan malas.

“ Laju betul orang tu turun naik pokok ye? Jom la kite pergi tengok”. Ajak ayah.

Perasaan ingin tau itu meluap-luap. Biaselah kan budak kecil masa tu. Tak pernah nampak kejadian aneh macam gitu. Apabila sampai berdekatan dengan pokok tersebut, ayah perhatikan cahaya itu makin galak turun naik pokok. Kelihatan bebola api bergerak dengan laju keatas kebawah seperti mengetahui yang dia sedang diperhatikan. Semakin dekat, semakin jelas kelihatan. Cahaya yang disangkakan orang mengambil madu itu meleset sama sekali. Nampak dengan jelas seperti kepala yang berapi turun dan naik dipokok tersebut. Tak lama kemudian, cahaya itu hilang. Digantikan dengan bau busuk yang menyengatkan hidung.

Ape lagi tuan-tuan. Langkah seribulah ayah dan abangnya mencecet lari sambil membaca surah yang mereka hafal. Entah berapa kali tergolek, bangun semula. Tangan tetap memegang lampu minyak tanah hingga ke titisan minyak yang terakhir. Kalau hilang lampu tu, mau berbirat belakang ayah dengan rotan. Walau dalam keadaan cemas, masih boleh berfikir secara waras. Sesampai di kapal, mereka lihat atuk sudah ada disana.

“ Eh, bapak. Awalnye bapak sampai.” Sapa ayah sambil tercungap-cungap cuba mengambil semula nafas yang hilang.

Lega rasa hatinya apabila nampak bapaknye di kapal. Tak lah seram sangat rasenye. Cik Atan membongkok memegang lutut sambil mencungap. Dilihatnya atuk sedang duduk di kapal sambil membelakangi mereka.

“ Bapak lalu jalan mana? Laju betul”. Ayah tak habis bertanya. Namun, atuk hanya diam tanpa bercakap apa-apa.

“Ah sudah. Bapak aku ni dah kenape?” getus ayah dalam hati.
“Bapak. Ooohh bapak.” Kuat ayah memanggil atuk.
“Tak dengar la agaknye tu.” Gumam ayah dalam hati.
Jarak antara mereka dengan kapal dalam 4 meter. Nak ke kapal, mereka perlu turun ke jeti kecil terlebih dahulu barulah kapal boleh dinaiki.
Ayah cuba untuk berjalan menuju ke kapal. Tapi ditahan oleh abangnye.
“Nanti dulu. Tunggu bapak sampai”. Kata abangnya.
“ Bapak kan dah sampai. Nak tunggu ape lagi?” marah ayah.
“Syyhh.. tu bukan bapaklah. Kau diam je lah. Tunggu kat sini. Nanti bapak datang”. Bisik abangnya pada ayah.

Ayah terpinga-pinga tak faham. Selang beberapa minit, atuk datang membawa jamung.

“ Ha, buat ape duduk menyangkung kat tepi tu? Dah jom kite”. Tegur atuk sambil berjalan ke arah kapal.

“ Eh, bapak?” ayahku menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Jadi siapa yang duduk di kapal tadi? Barulah ayah tau kenapa abangnya melarang ayah ke kapal tadi. Setelah melakukan rutin sebelum belayar, Mereka memulakan perjalanan. Dalam perjalanan, ayah bercerita apa yang dilihatnya tadi diatas pokok. Kata atuk, itu hantu api-api. Tak kacau orang katenye. Kus semangat. Di urut dadanya berkali-kali.

“Nasib baik tak di kokaknye kite ni, kan Atan?” gurau ayah.

“Habis tu, siapa lelaki yang nampak macam bapak tu?” tanya ayah lagi. Masih belum move on.

“Entahlah. Jin la agaknye”. Atuk menjawab bersahaja sambil mengemudi kapal.

Selalunya mereka akan pulang ke pasar pada waktu tengahari untuk menjual ikan pada peraih.

Antara banyak-banyak pengalaman ayahku di lautan lepas, aku masih ingat cerita ayah ketika ayah nampak kepala ribut ketika di laut. Itu nantilah aku ceritakan. Ayah aku masih ada namun keadaan kesihatannya tidak begitu baik. Ayah aku adalah seorang pesakit kencing manis dan buah pinggangnya rosak. Sekarang, beliau menjalani rawatan dialysis 3 kali seminggu di Pusat Dialysis berdekatan tempat tinggal kami. Doakan ayah aku sihat walafiat ye. Nukilan kisah ini akan menjadi kenangan kami adik beradik. insyaAllah akan aku nukilkan lagi kisah ayah waktu kecilnya yang beliau sering ceritakan pada kami. Bila rindu, boleh lah aku baca kisah ini jika ayah sudah tidak ada.

Kalian, setiap yang hidup pasti menemui m**i. Tetapkan hati dan pendirian dalam ajaran agama kita. Jin sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia. Biasakan menutur zikrullah dibibir. Semoga bila tiba saat kita kelak, ayat terakhir yang terlafaz dari bibir kita ialah ‘LailahaillAllah’.

Jumpa lagi di lain entri.
Izinkan aku mengundurkan diri.
-Sri Kandi Akasya –

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Sri Kandi Akasya

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 7 Average: 5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.