Kampung Angker

Assalamualaikum pembaca setia Fiksyen Shasha. Terima kasih kerana sudi menyiarkan kisah aku di entri kali ni. Sebelum ini, aku pernah berkongsi dengan kalian tentang pengalaman aku ketika berusia 11 tahun yang diganggu dengan abang ‘Poco-poco’. Tak perlu lah disebut nama nya disini. Entah nanti dia menjenguk pulak saat aku sedang menulis. Mintak simpang. Huhuhu..
Kisah kali ini pula, ingin aku kongsikan pada semua pembaca tentang kampung yang menjadi penempatan kami sekarang….

Bagi belia emas yang sudah lama menetap di kampung ini, mereka sudah sangat maklum dengan sejarah lampau kampung kami. Sejak tahun 80-an, kampung ini sangat terkenal dengan tempat orang membuang saka, jin sihir dan segala macam jin. Pernah tak korang terfikir, bila orang berubat, sebahagian perawat akan tangkap jin yang menempat atau mengganggu badan pesakit. Tapi, kemana perginya jin yang dah dikurung dalam buluh, dalam botol atau dalam tempayan tu?
Selain dialirkan ke sungai dan laut, kampung kami lah tempat mereka melepaskan jin-jin durjana tersebut. Cerita ini bukanlah rekaan saya. Kisah ini diceritakan sendiri oleh penduduk asal kampung ini.

Kalau nak diceritakan gangguan di kampung kami, tak terkira banyaknya. Sehinggakan kawan saya pernah mencadangkan agar kami berpindah. Memang tak lah kami nak pindah. Ini rumah kami. Beras kite yang beli! Tiber.

Jin yang mengganggu kami ni banyak jenis. Macam-macam rupa kejadian. Ada yang melekat di dinding, ada yang tanpa kepala dan ada juga tinggal dalam cermin. Antara kejadian seram yang sering berlaku dirumah kami :
1. Rumah tinggal.

Pada akhir tahun 90-an, kami berpindah ke sini. Ketika itu, Rumah yang kami duduki baru siap 80 peratus. Sebenarnya rumah ini sudah 3 tahun tidak berpenghuni kerana ia dibina mengikut budget ketika itu. Namun, Kami terpaksa juga berpindah kerana rumah sewa kami di Ampang selalu saja banjir.
Ketika itu saya berusia dalam lingkungan 11 tahun. Ya.. sesi pengenalan saya dengan makhluk di sini ialah abang ‘Poco-poco’. Sudah saya ceritakan kisah itu sebelum ini.

Daripada cakap-cakap orang sekitar, rumah kami ini menjadi sarang penagih dadah melepaskan gian dan tempat orang meminta nombor. Mereka sering terserempak dengan entiti berbaju putih di rumah itu sebelum kami tinggal disini. Mereka gelar rumah kami sebagai Rumah Hantu. Ayah tak pedulikan semua cakap-cakap orang. Ayah aku ni berani orangnya. Nantilah aku ceritakan pengalaman ayah aku pule bile ade kelapangan nanti.

Ketika kami menduduki rumah ini, tidak ada jiran di depan, kiri dan kanan. Yang ada hanyalah hutan belantara. Tanah disini masih banyak yang belum diterokai ketika itu. Rumah Kami adalah antara rumah terawal yang dibina. Rumah baru yang dibina ini lebih besar berbanding rumah sewa yang lama. Seronoklah kami main lari-lari, main sorok-sorok.

Walaupun seronok, kami tak berani nak ke ruang tamu hadapan berseorangan. Sebabnye, setiap kali berjalan melimpas ruang tamu untuk ke pintu utama, akan terasa ada yang memerhatikan dari arah penjuru.

Satu hari tu, adik-adik aku bermain di bilik tidur utama. Biasalah budak-budak. Seronok nak bermain. Ayu, Hidayah dan Iwan masing-masing berpakat nak main hantu-hantu. Dayah dan iwan ketika itu masing-masing berumur anggaran 9 dan 5tahun berselubung dalam selimut. Ayu di suruh jadi hantu. Ayu yang malas nak bermain hanya melihat mereka berselubung dan akhirnya tertidur. Ketika itulah Dayah dan Iwan melihat ayu masuk ke dalam selimut dari arah bawah kaki mereka secara merangkak. Tapi muka ayu tidak kelihatan. Hanya kepalanya yang disua-suakan dan seperti mahu menakut-nakutkan Dayah dan Iwan.

Dayah jadi rimas dan segera buka selimut. Apa yang memeranjatkan, dilihatnya Ayu sedang tidur di bawah kaki mereka. Bermula dari situlah, Ayu, Dayah dan Iwan sering terlihat kelibat perempuan dari bilik hadapan yang tidak berkaki. Kadang kelihatan seperti mak aku, kadang seperti angah. Suka sangat die nak menyerupai orang perempuan di rumah aku tu.

2. Makhluk Hitam di kilang haram.

Setelah beberapa tahun tinggal dirumah itu, ada jiran yang baru membeli rumah diseberang jalan. Pasangan suami isteri itu baru sahaja menjualkan tanahnya di Kuala Lumpur untuk pembinaan jalan raya. Wang pampasan itu lah digunakan untuk membeli tanah di kampungku dan dibinakan rumah diatasnya.

Di sebelah rumah itu, terdapat kilang haram tempat membuat berhala. Sekarang sudah menjadi bengkel kereta yang agak tersorok. Sudah lama kilang itu beroperasi tetapi kami baru tahu tentang kegiatan mereka setelah berlaku satu kejadian seram yang tak dapat kami lupakan.

Pada satu malam, kami terdengar bunyi ngauman yang sangat kuat dari arah kilang tersebut. Kalau dari arah rumah kami, kami tak dapat lihat kilang itu walaupun hanya seberang jalan kerana ditutupi dengan belukar yang tebal. Ayah aku bilang mungkin harimau. Mana mungkin harimau berbunyi begitu. Bunyi tersebut sangat kuat dan seperti haiwan yang sangat besar lagaknya.

Malam itu kedengaran kecoh di tempat kilang tersebut. Entah kenapa. Ketika itu, mak aku tak bagi kami menjengah keluar kerana rumah kami juga diganggu dengan bunyi-bunyian. Ada bunyi ketuk pintu, bunyi berjalan dari arah atas siling, tingkat dibaling batu kecil dan banyak lagi. Kami tidur berpelukan malam itu.

Keesokan harinya, barulah kami dapat khabar pada malam kekecohan itu. Rupanya pekerja kilang yang tinggal dikawasan tersebut ternampak Lembaga hitam besar mengamuk.
Dikatakan makhluk itu berbulu hitam dan ketinggiannya hampir menyamai ketinggian pokok kelapa. Sebab mengapa lembaga itu mengamuk tidak aku ketahui. Gangguan dalam rumah pun masih belum habis, ini kan pula nak mengambil tahu gangguan dari jiran seberang jalan.

3. Kelibat di rumah Mak Timah.

Mak Timah adalah antara penduduk asal di kampung ini. Beliau tinggal disini sejak kecil lagi. Kisah Mak Timah ini menguatkan lagi kepercayaan aku bahawa kampung ini memang berhantu.

Seperti biasa, Mak Timah akan memasak di dapur untuk masak makan tengahari untuk suaminya. Dia menjerang air untuk dibuat kopi O nanti. Ketika sedang sibuk membasuh pinggan, Mak Timah Nampak kelibat hitam melintas di pintu dapurnya yang bersambung dengan ruang tamu.
“kau jangan kacau keluarga aku. Aku tak kacau kau. Ini rumah aku!”

Alah bisa, tegal biasa. Mak timah sudah tak heran dengan kelibat hitam yang sering dilihat dalam rumahnya itu. Kelibat itu makin kerap kelihatan apabila tiba waktu maghrib. Kelibat itu hanya akan hilang bila Mak Timah dan suami membaca Al-Quran dirumah. Bila ditanya, Mak Timah tak takut ke? Mak Timah sempoi je menjawab,

“ini dulu tempat die. Die duduk sini dulu sebelum kite. Asalkan dia tak kacau kite sudahlah”.

Kelibat itu biasa sudah. Bukan itu saje, Abg poco-poco juga sering berkunjung ke rumah Mak Timah. Kadang suka menjenguk dari tingkat dapur berhadapan singki. Muke lawa takpe. Ini muke hitam berbalut putih. Kuss semangat. Mungkin itulah abg poco-poco yang sama menegur aku ketika aku menunggu van nak ke sekolah satu ketika dahulu.

4. Rumah di tepi padang.

Mungkin ini kisah terakhir yang ingin aku kongsikan.
Disebelah rumah kami terdapat 1 tanah lapang berumput. Disini sering kelihatan kanak-kanak bermain bola pada waktu petang. Aku tak ikut campur bermain dengan mereka kerana semuanya lelaki. Di hujung tanah lapang itu, terdapat 1 rumah kayu yang sangat cantik. Lagaknye seperti chalet di tepi laut.

Rumah itu di duduki oleh keluarga Mak Som. Lama juga mereka menyewa di rumah itu. Tetapi, pada suatu hari Mak Som berkunjung ke rumah kami. Dia memberitahu yang mereka sekeluarga akan berpindah ke Kawasan perumahan. Kenapa Mak Som pindah?
Aku memasang telinga ketika mak dan Mak Som berbual. (anak-anak, don’t do this at home). Rupanya gangguan dirumah chalet itu lebih dahsyat lagi. Menurut Mak Som, Setiap malam mereka sekeluarga akan dengar perempuan mengilai dari arah atas. Layaknya seperti terbang mengelilingi rumah tersebut.

“dah tak tahan la kami anak- beranak kena kacau”. Kat Mak Som.
Anak lelaki Mak Som pula sering pulang lewat ke rumah. Ini cari penyakit namanya tuan-tuan. Di hadapan padang itu ada hutan tebal yang belum diterokai.

Satu malam, anak Mak Som melalui hutan tersebut menaiki motor. Sampai di depan hutan itu, dia ternampak ada Ponti bertenggek di dahan patah ditepi jalan. Kainnya kuning berambut Panjang. Ponti itu memandang anak lelaki Mak Som dengan pandangan mata yang tajam. Merah matanya sambil tersenyum manja. Hahaha. Manja la sangat. Menyeringai ditunjukkan taringnye. Amboi.

Ape lagi, anak lelaki Mak Tom memulas throttle motornye paling maksima. Seminggu demam katenye tersampuk dek Ponti.

Apabila rumah itu sudah kosong, bermulalah episode tak best yang kami alami. lorong rumah kami ini selorong dengan kubur. Bila ada orang kampung yang meninggal, mereka akan melalui depan rumah kami. Entah kenapa, Setiap kali bila ada penduduk yang meninggal, Malam harinya kami pasti terdengar lolongan anjing sayup-sayup. Seperti mengonggok sesuatu. Sekarang ni, dah tak dengar lagi lolongan anjing di kubur. Mungkin anjing sudah ditangkap atau sakit tekak.

Maka, pada malam itu, Jam menunjukkan lebih kurang jam 11.30 malam. Hujung minggu biasanya ayah tidur lewat kerana menonton tv. Aku pun mengendeng same. Kalau mak aku tau aku tak tidur lagi, masak aku. Seperti biasa, apabila siang hari ada yang meninggal, akan ada Bunyi lolongan anjing. Pada malam itu kedengaran lagi. Aku seram sejuk. Duduk rapat-rapat dengan ayah. Tak berapa minit kemudian, mak aku keluar dari bilik. Katenye terdengar bunyi anjing disebelah tingkap biliknya. Takut la tu. Hehe.

Ketika itu, ayah keluar melihat ape yang berlaku. Ha, live stream ayah melihat anjing tersebut seperti mengejar sesuatu. Ayah Nampak seperti kain putih agak transparents terbang dan menuju ke rumah kosong di Kawasan tanah lapang itu. kain itu kemudiannya bertukar menjadi Ponti. Anjing- anjing tersebut mengejar dan berlari kearah rumah itu sambil berbunyi “awuuuuuu….wuuuuuu”..
Kate ayah, Ponti itu kelihatan melepak pulak kat pangkin rumah tersebut sebelum terbang tanpa dapat dikesan. Seram mase tu tak yah cakaplah. Walaupun dengar anjing melolong je pun dah naik bulu roma.

Ha, itu saje kisah aku pada kali ini. Ada gangguan lagi tak sekarang? Bunyi berdesir di atas syiling rumah tu dah biase dengar. Jika ada gangguan lain pun, kami buat tak tau aje. Dah banyak aku taip. Nanti takut kalian bosan pulak baca. Terima kasih kerana sanggup baca sampai ke titisan huruf yang terakhir.

Akhir kate, jin ini suka mengganggu manusia dengan tujuan untuk menurunkan skala keimanan kite. Sengaja buat manusia takut padahal manusia lebih mulia daripada jin. Jadi, jika kalian diganggu jin jahat ni, usahlah takut. Banyakkan berselawat. Tetapkan iman dan hati. Serta yakinlah dengan apa yang dibaca itu.

Jika ada diantara pembaca yang ada six sense, penah berbicara dengan makhluk begini dan mengatakan yang dia m**i d*****h, diracun, kemalangan atau apa saja sebab kematiannya. Percayalah bahawa itu semua adalah jin. Bukan jelmaan roh.

Kerana seseorang yang telah pun m**i, rohnya akan ke alam barzakh.

Tiada roh yang dapat kita lihat melainkan hanya jin yang suka mengajuk hidup orang yang telah m**i itu.

Sekian dari saya.

-Sri Kandi Akasya-

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Sri Kandi Akasya

2 thoughts on “Kampung Angker”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.